Setelah perbicaraan di mahkamah berakhir, Dzafri membuat keputusan untuk membawa Lysa jauh dari Datin Masriza dan semua orang yang mengganggu hubungan mereka. Dia tahu bahawa hubungan mereka semakin jauh dan hanya dengan meluangkan masa bersama, mungkin mereka dapat memperbaikinya. Dia tidak mahu kehilangan Lysa, walaupun dia sendiri masih bergelut dengan perasaannya terhadap Lysa.
Mereka berangkat ke sebuah pulau yang jauh dari hiruk-pikuk kota. Lysa agak terkejut dengan keputusan suaminya itu tetapi tidak membantah. Dia juga mahu memberi peluang kepada perkahwinan mereka. Setibanya di sana, mereka menginap di sebuah vila yang menghadap laut biru jernih.
Pada mulanya, keadaan di antara mereka masih dingin. Lysa lebih banyak berdiam diri dan hanya berbicara apabila perlu. Dzafri pula cuba untuk tidak memaksa. Hari pertama mereka hanya diisi dengan aktiviti santai—makan malam bersama di tepi pantai dan berjalan-jalan menikmati angin laut.
Namun, pada hari kedua, keadaan mula berubah. Dzafri mengajak Lysa untuk menaiki bot dan menyelam skuba, sesuatu yang selalu diimpikan oleh setiap pasangan. Lysa sedikit keberatan, tetapi akhirnya dia akur. Sewaktu di dalam air, melihat keindahan dunia dasar laut, Lysa merasakan ketenangan yang sudah lama dia rindukan. Dzafri, yang turut menyelam bersamanya, memerhatikan wajah isterinya yang penuh dengan kekaguman.
Ketika mereka naik semula ke permukaan, Dzafri berkata dengan nada lembut, "Aku rindu senyuman kau, Lysa."
Lysa tergamam seketika. Dia tidak tahu bagaimana hendak membalas kata-kata itu. Namun, jauh di sudut hatinya, dia juga merindui kemesraan mereka sebelum semua kekeliruan dan kesakitan menguasai hubungan mereka.
Malam itu, mereka duduk di balkoni bilik mereka, menikmati bunyi deruan ombak. Dzafri akhirnya membuka mulut tentang apa yang selama ini terbuku di hatinya.
"Aku tahu aku bukan suami yang sempurna, dan aku banyak buat silap.Tapi aku tak pernah tipu bila aku kata nak pertahankan perkahwinan kita. Aku cuma… keliru dengan perasaan aku sendiri,".
Lysa menghela nafas perlahan. "Saya pun tak sempurna, Dzafri.Saya pun ada buat kesilapan dalam hidup saya.Saya cuma tak pasti sama ada kita boleh kekal dengan ikatan kita ni,".
"Kita boleh cuba?" Dzafri bertanya dengan penuh harapan.
Lysa memandang wajah suaminya lama sebelum mengangguk perlahan. "Kita cuba."
Hari-hari berikutnya dihabiskan dengan lebih banyak ketawa dan perbualan. Mereka seperti pasangan yang baru bercinta, saling mengenali antara satu sama lain semula. Percutian itu memberi mereka ruang untuk masing-masing mula akur dalam perkahwinan mereka.
Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama.
Setelah kembali ke kota, mereka dikejutkan dengan ketegasan Ameer, abang Lysa. Dia telah mengetahui segala-galanya—tentang perbicaraan, tentang kes fasakh yang dipalsukan oleh ibu Dzafri, Datin Masriza. Kemarahannya meluap-luap.
"Lepaskan Lysa, Dzafri!" kata Ameer dengan nada tajam.
Dzafri terkedu. Dia tidak menyangka akan menerima tentangan sekuat itu. "Ameer, aku… aku tak boleh. Aku sayangkan Lysa."
"Sayang? Kau tahu tak apa yang dah berlaku? Keluarga kau dah buat hidup Lysa menderita!" bentak Ameer. "Kau fikir percutian bodoh tu boleh selesaikan semuanya?"
"Abang,cukup!" Lysa mencelah. "Lysa yang buat keputusan untuk teruskan perkahwinan ni.Lysa yang memilih untuk beri peluang lepas apa yang jadi,".
Ameer menggeleng dengan wajah kecewa. "Lysa, abang cuma nak Lysa bahagia,".
"Lysa yakin Lysa boleh bahagia dengan dia," balas Lysa tegas.
Namun, pertelingkahan itu tidak terhenti di situ. Dalam masa yang sama, Dato Mukhriz, ayah Dzafri, telah mengetahui tindakan isterinya yang cuba memalsukan tuntutan fasakh. Kemarahannya tidak dapat dibendung.
"Apa yang awak dah buat, Masriza?" Dato Mukhriz menyoal dengan nada tegas. "Awak hampir musnahkan rumah tangga anak kita sendiri!"
Datin Masriza cuba membela diri, tetapi suaminya tidak mahu mendengar sebarang alasan. "Cukup! Saya dah penat dengan permainan awak. Dari dulu lagi awak cuba kawal hidup Dzafri! Sudah sampai masanya awak terima bahawa dia ada hak untuk memilih!"
Datin Masriza terdiam. Dia tidak pernah melihat suaminya semarah ini.
Sementara itu, Dzafri dan Lysa masih berusaha mempertahankan rumah tangga mereka, walaupun halangan demi halangan datang menguji. Mereka tahu, selagi mereka saling percaya dan cuba menyayangi, mereka akan mampu mengharungi segalanya… bersama.
Namun, tidak semudah itu untuk membina semula kepercayaan dan kasih sayang yang sudah retak. Walaupun mereka sudah bercuti dan berusaha memperbaiki hubungan, ada ketegangan yang masih bersisa. Lysa masih ragu-ragu, dan Dzafri pula sering termenung, seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
Suatu petang, ketika mereka sedang duduk di balkoni rumah, Dzafri menarik nafas panjang sebelum bersuara, “Lysa, aku tahu kau masih belum sepenuhnya maafkan mama… dan aku tak salahkan kau.”
Lysa mengalihkan pandangannya dari langit yang mula berubah warna senja. "Saya cuba, Dzafri. Saya betul-betul cuba. Tapi semua yang berlaku… susah saya nak lupakan.”
Dzafri mengangguk perlahan. “Aku faham. Aku pun tak harapkan kau lupakan semua dalam sekelip mata. Tapi sekurang-kurangnya… boleh tak kita cuba mulakan semula, tanpa bayangan masa lalu?”
Lysa diam seketika sebelum akhirnya mengangguk. “Baiklah. Kita cuba,".
Hari demi hari, mereka berusaha menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang lebih baik. Dzafri lebih banyak meluangkan masa dengan Lysa, cuba mengenali hatinya yang sebenar. Begitu juga dengan Lysa, dia perlahan-lahan membuka hatinya untuk memberi peluang kepada lelaki itu.
Namun, kebahagiaan yang baru hendak mereka kecapi tidak bertahan lama. Sewaktu mereka kembali ke rumah keluarga Lysa, Ameer sekali lagi menunggu di ruang tamu dengan wajah yang tegang.Ibu Faz dan Raisya turut ada di situ, tetapi riak wajah mereka berbeza.Ibu Faz kelihatan letih, manakala riak wajah raisya kelihatan serba salah.
“Ada apa ni Ameer?” tanya Dzafri dengan kening berkerut.
Ameer memandang tepat ke arah Dzafri. “Kau dah dapat apa yang kau nak, kan? Sekarang, lepaskan Lysa.”
Lysa terkejut mendengar kata-kata abangnya. “Abang! Kenapa ni?”
“Abang tak boleh biarkan Lysa terus bersama dia.Lysa layak dapat lelaki yang lebih baik,".
Dzafri mengepal tangannya, cuba mengawal emosinya. “Ameer, aku tak akan lepaskan Lysa. Kami berusaha untuk perbaiki hubungan kami,".
“Perbaiki?” Ameer tergelak sinis. “Selepas semua yang berlaku? Kau fikir percutian beberapa hari boleh hapuskan semuanya?”
Lysa cuba bersuara, tetapi Ameer memegang bahunya. “Lysa, dengar cakap abang. Abang tahu ini yang terbaik untuk Lysa,".
Ibu Faz yang sejak tadi diam akhirnya bersuara, suaranya bergetar. “Ameer… jangan paksa Lysa. Dia yang kena buat keputusan sendiri.”
Ameer memandang ibunya dengan tidak percaya. “Ibu… ibu masih nak biarkan dia dengan lelaki yang—”
"Ameer, cukup!” sekali lagi Ibu Faz memotong dengan suara yang tegas. “Ibu dah penat dengan semua ini. Sudah-sudahlah.”
Semua orang terdiam. Lysa memandang Dzafri, matanya penuh dengan emosi bercampur baur. Dia tahu, ini bukan keputusan yang boleh dibuat dalam sekelip mata. Tetapi satu perkara yang dia pasti—hatinya masih bersama lelaki itu.
"Aku tak akan bercerai dengan Lysa,” kata Dzafri akhirnya, nadanya penuh keyakinan. “Aku akan buktikan pada kau, Ameer, yang aku mampu bahagiakan dia.”
Ameer mendengus, lalu berdiri. “Kau ingat aku akan percaya cakap kau? Kita tengok nanti.”
Selepas Ameer beredar, suasana di dalam rumah kembali sunyi.Ibu Faz juga berganjak dari situ naik ke bilik.Dzafri dan Lysa turut naik ke atas pergi ke bilik mereka. Lysa menarik nafas panjang sebelum menggenggam tangan Dzafri. “Saya…saya tak nak berpisah, Dzafri.”
Dzafri tersenyum kecil, lalu menggenggam erat tangan isterinya yang sedang duduk di birai katil. “Kita akan hadapi semua ini sama-sama Lysa aku janji kau tak akan tersakiti lagi,".
BEBERAPA minggu selepas insiden di rumah keluarga Lysa, kehidupan pasangan itu perlahan-lahan kembali tenang. Walaupun Ameer masih menjauhkan diri, Dzafri dan Lysa memilih untuk fokus kepada kehidupan mereka sendiri. Mereka berpindah ke rumah baru, sebuah rumah kecil yang mereka sewa di pinggir bandar—jauh dari gangguan keluarga dan kenangan lama. Rumah itu tidak besar, tetapi cukup selesa untuk mereka memulakan semula.
Setiap pagi, Dzafri akan menyediakan sarapan untuk Lysa sebelum pergi ke pejabat bersama. Satu kebiasaan baharu yang mereka sama-sama usahakan. Lysa pula mula menunjukkan senyuman yang dulu sering dirindui Dzafri. Walaupun ada ketikanya mereka masih bertengkar, perbezaannya kini adalah mereka belajar untuk menyelesaikannya bersama, bukan saling menjauhkan diri.
Namun begitu, tidak semuanya mudah. Lysa masih berasa berat untuk kembali rapat dengan keluarga sendiri, terutama Ameer. Dia tahu abangnya hanya mahu melindunginya, tetapi hatinya berat setiap kali teringat pertengkaran mereka tempoh hari. Dia cuba menghubungi Ameer beberapa kali, namun tidak pernah dijawab. Kadangkala, dia tertanya-tanya sama ada dia benar-benar membuat keputusan yang betul.
Satu malam, ketika Dzafri dan Lysa sedang menonton televisyen di ruang tamu, telefon Lysa berbunyi. Nama Ameer tertera pada skrin. Jantungnya berdegup kencang.
"Jawablah," kata Dzafri lembut, seakan-akan memahami gelora hati isterinya.
Lysa mengangguk dan menekan butang hijau.
"Assalamualaikum, abang," suaranya sedikit bergetar.
"Waalaikumussalam," balas Ameer ringkas. "Lysa sibuk?"
"Tak… ada apa-apa ke, abang?"
Ameer diam seketika sebelum berkata, "abang minta maaf, Lysa.abang terlalu ikutkan emosi.Abang cuma… risaukan Lysa,".
Lysa tersentak. Air matanya hampir menitis mendengar suara abangnya yang mula lembut. "Lysa faham, abang.Lysa pun minta maaf. Lysa tak pernah berniat nak lukakan hati abang,".
"Kalau Lysa bahagia, itu dah cukup untuk abang,".
Perbualan itu berakhir dengan janji untuk bertemu tidak lama lagi. Selepas talian dimatikan, Lysa berpaling kepada suaminya, matanya berkaca.
"Abang Ameer minta maaf," bisiknya.
Dzafri tersenyum. "Baguslah kalau dah selesai,".
Beberapa hari kemudian, mereka bertemu Ameer di sebuah kafe kecil. Pertemuan itu berlangsung dengan tenang. Ameer masih menjaga jarak, tetapi sekurang-kurangnya dia cuba memahami pilihan adiknya. Dzafri pula berusaha menunjukkan hormat dan keikhlasannya. Walaupun banyak luka belum sembuh, pertemuan itu memberi sinar harapan bahawa hubungan kekeluargaan mereka boleh dibaiki.
Namun, di sebalik semua ini, Dzafri menyimpan satu rahsia yang membebankan hatinya.
Beberapa minggu lalu, dia mendapat tahu sesuatu yang mengejutkan tentang ibunya. Datin Masriza bukan sahaja memalsukan dokumen tuntutan fasakh, tetapi turut menyuap seorang peguam untuk menutup kes itu daripada diketahui pihak berkuasa. Perkara itu diketahui oleh Dato Mukhriz melalui siasatan peribadinya. Dan kini, Dato Mukhriz menyerahkan tanggungjawab kepada Dzafri untuk membuat keputusan—sama ada melaporkan perbuatan ibunya atau terus menyimpannya sebagai rahsia keluarga.
Malam itu, Dzafri duduk termenung di beranda rumah. Angin malam bertiup perlahan, tetapi fikirannya berserabut. Lysa datang menghampiri, membawa secawan teh.
"Apa yang buat awak termenung macam ni?" soal Lysa sambil duduk di sisinya.
Dzafri mengambil masa sebelum menjawab. "Aku… ada sesuatu yang nak beritahu kau,"
Lysa menoleh, wajahnya serius. "Apa dia?"
"Aku tahu apa yang sebenarnya berlaku dengan kes fasakh tu. Bukan sekadar manipulasi… tapi melibatkan rasuah. Mama suap orang untuk tutup mulut."
Lysa terdiam. "Dan awak baru tahu?"
"Beberapa minggu lepas.Papa yang bongkar semuanya. Tapi… dia serahkan pada aku untuk buat keputusan sama ada nak lapor atau tidak."
"Jadi awak nak buat ke?"
"Aku yang patut tanya sebab kau yang kena jadi apa pilihan kau?"
"Dia tetap mama saya juga jadi saya pilih untuk lupakan,".
Jawapan Lysa membuat Dzafri rasa senang dan dia bersyukur Lysa mampu untuk melupakannya.Walau dia tahu susah untuk dimaafkan apa yang telah dibuat oleh Datin Masriza Dzafri kagum Lysa seorang yang tidak berdendam pada mentua.Lama-lama Dzafri berasa syukur dikurniakan seorang isteri sebagai pendamping.Dia yang dulu membenci Lysa perlahan membuka hati untuk menerima Lysa dalam hidupnya.
Dzafri mungkin sudah meninggalkan segala masalah tapi ada satu bala yang masih terikat dengannya.Stella jadi bertambah teruk sejak disahkan amnesia.Kini,dia obses kepada seorang Irfan Dzafri yang pernah dia tinggalkan dulu.
"Stella nak Dzafri mama mana Dzafri mama kata dia nak kahwin dengan Stella!!!"
"Stella janganlah macam ni sayang nanti Dzafri mesti datang jumpa Stella,"
"Mama penipu Stella tak kira Stella tetap nak Dzafri!".
Stella lalu naik ke atas menghempas kuat pintu bilik.Datin Adiba segera mencapai telefon menelefon Datin Masriza utuk diajak bertemu.Berkali-kali nombor ditelefon Datin Masriza tidak kunjung mengangkat panggilan.Tanpa menunggu lama Datin Adiba terus sahaja menghampiri Datin Masriza di rumahnya.
Setibanya di sana, Datin Masriza berkata dia tidak tahu macam mana lagi untuk menyatukan Dzafri dan Stella.Jenuh dia mencuba bermacam cara tapi sialnya tiada satu pun yang berhasil.Datin Adiba tetap meminta mereka disatukan kerana keadaan Stella yang semakin membimbangkan.Selang sejenak,Datin Masriza sepertinya tahu cara baharu untuk menyatukan Stella dan Dzafri.
"I rasa Sam sahaja yang boleh tolong kita sekarang ni Adiba.You kena suruh dia pujuk Dzafri untuk kahwin dengan Stella,"
"Dia pun I tak suka lagi nak suruh dia pujuk Dzafri,"
"Ini sahaja cara yang kita ada.You tetap kena buat,".
Datin Adiba menghela nafas panjang sebelum mengangguk tanda setuju menerima rancangan itu.
Sorry for late update.Please leave a comment thank you:)
Share this novel