Lysa menggenggam erat telefon di tangannya. Kata-kata Ameer masih berulang di fikirannya.
"Abang tak kira, hari ini juga Lysa minta cerai dengan Dzafri."
Matanya berkaca. Selama ini, abangnya adalah tempat dia bergantung. Tetapi kali ini, dia tidak pasti apakah dia harus mengikut kehendak Ameer atau mempertahankan perkahwinannya dengan Dzafri.
Dia menarik nafas dalam sebelum berkata perlahan, “Abang, Lysa tak boleh buat keputusan tergesa-gesa. Dzafri—”
“Dzafri apa, Lysa?” Ameer memotong dengan suara keras. “Abang dah cakap dari awal, perkahwinan ni satu kesilapan. Sekarang tengok apa jadi? Keluarga dia nak jatuhkan maruah kau! Kau nak tunggu sampai apa lagi Lysa? Sampai dia tinggalkan kau dan kahwin dengan Stella?”
Lysa menelan liur. Kata-kata itu menusuk ke dalam hatinya. Memang betul, keadaan sekarang tidak memihak kepadanya. Tetapi Dzafri… dia tidak rasa lelaki itu akan mengkhianatinya.
“Abang…” Suaranya hampir berbisik.
"Lysa, abang dah bagi keputusan abang. Kau pilih—abang atau dia?”
Dada Lysa berombak. Air matanya jatuh setitik demi setitik. Dia tidak mahu kehilangan abangnya. Tetapi dia juga tidak mahu kehilangan Dzafri.
Ameer menunggu. Suara di hujung talian menjadi sepi.
Lysa menggeleng perlahan. "Abang, tolonglah faham… Lysa sayangkan Dzafri."
Di hujung talian, Ameer menarik nafas tajam. “Kalau macam tu, Lysa tak perlu cari abang lagi.”
Panggilan dimatikan.
Lysa terkedu. Tangannya terketar-ketar menggenggam telefon. Air matanya akhirnya tumpah sepenuhnya.
Di Pejabat Peguam.....
Dzafri melangkah masuk ke pejabat peguam dengan wajah tegang. Dia tidak mahu berlengah lagi. Jika ibunya sudah sanggup sampai ke tahap ini, dia juga tidak akan duduk diam.
Encik Hakim, peguam yang dikenali oleh keluarganya, menyambut Dzafri dengan anggukan kecil. “Saya dah baca surat tuntutan fasakh ni, Dzafri. Tuduhan yang dibuat memang berat.”
Dzafri mengetap bibir. “Boleh ke saya lawan benda ni?”
Encik Hakim menghela nafas. “Fasakh ni bukan perkara mudah. Kalau pihak yang menuntut dapat membuktikan suami gagal menjalankan tanggungjawab, mahkamah boleh luluskan tuntutan. Tapi dalam kes kamu…”
Encik Hakim mengangkat kertas di hadapannya. “Alasan yang digunakan dalam tuntutan ini lemah. Mereka cuba mendakwa perkahwinan kamu tidak sah, tetapi dokumen nikah kamu lengkap. Dan kalau mereka guna alasan nafkah batin, ia perlu dibuktikan.”
Mata Dzafri berkilat marah. “Mereka cuba buat fitnah. Saya tak pernah abaikan Lysa.”
Peguam Hakim mengangguk. “Tapi kamu kena bersedia, Dzafri. Kalau mereka dah berani failkan fasakh, ini bermakna mereka ada langkah seterusnya. Kamu perlu bertindak sebelum mereka sempat buat apa-apa lagi.”
Dzafri meraup wajahnya. “Apa langkah yang saya boleh ambil sekarang?”
Encik Hakim bersandar. “Kamu kena buat dua perkara.Pertama, cari bukti yang perkahwinan kamu sah dan kamu menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Kedua, pastikan Lysa tak termakan dengan permainan mereka.”
Dzafri tersentak. “Lysa…”
Dia terus mencapai telefon dan mendail nombor isterinya. Kali ini, dia tidak akan membiarkan sesiapa memisahkan mereka.
LYSA masih duduk di ruang tamu dengan mata yang merah dan bengkak. Surat tuntutan fasakh masih dalam genggamannya. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Nama yang tertera di skrin—Dzafri.
Dia mengangkat dengan suara yang serak. “Hello…”
“Lysa, aku dah jumpa peguam. Kita boleh lawan benda ni.”
Lysa diam. Matanya kembali berkaca.
“Tapi Lysa…” suara Dzafri menjadi lebih lembut. “Aku nak tahu satu benda. Kau masih nak teruskan perkahwinan ni?”
Hati Lysa terasa seperti diramas. Ini adalah soalan yang dia sendiri tidak tahu jawapannya.
“Lysa…” Suara Dzafri bergetar. “Aku sanggup buat apa saja untuk lindungi perkahwinan kita. Tapi kalau kau sendiri dah putus asa, aku…”
Dia tidak sanggup menghabiskan ayat itu.
Lysa menggigit bibir, menahan esakan. Dia menutup matanya rapat-rapat, mencari jawapan di dalam hatinya.
Akhirnya, dia menarik nafas dalam dan berkata perlahan, “Saya tak nak berpisah dengan awak, Dzafri.”
"Kalau macam tu tunggu aku balik ok.Kita bincang sama-sama,".
Lysa mengangguk lalu kembali duduk semula di sofa.
Lysa menggenggam telefon di tangannya dengan erat, suara Ameer yang tegas masih terngiang-ngiang di telinganya. Dia tidak sangka abangnya sendiri mahu dia menamatkan perkahwinan ini secepat mungkin.
“Lysa, abang tunggu keputusan kau.”
Pada ketika itu,panggilan dimatikan sebelum Lysa sempat memberi jawapan. Tangannya menggigil, air matanya hampir tumpah. Dia tahu abangnya hanya mahu melindunginya, tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mahu mengalah begitu saja.
Dzafri, yang baru sahaja pulang berjumpa dengan peguam Hakim, berpaling melihat Lysa yang masih duduk kaku di sofa dengan wajah sugul. Dia menghampiri Lysa lalu duduk di sebelahnya.
“Ameer ada call kau ke?” tanya Dzafri lembut.
Lysa mengangguk perlahan. “Dia suruh saya minta cerai, Dzafri…”
Dzafri terdiam. Dia sudah menjangkakan reaksi itu daripada Ameer. Sebagai abang, sudah tentu lelaki itu tidak mahu adiknya terus terlibat dalam permainan kotor Datin Masriza.
"Tapi kau tetap akan pertahankan perkahwinan kita kan Lysa?” soal Dzafri akhirnya, walaupun dia sendiri takut mendengar jawapan dari Lysa.
Lysa mengangkat kepala, matanya merah akibat menahan tangisan. “Saya tak tahu, Dzafri…” suaranya bergetar. “Saya takut.Saya tak tahu sampai bila kita boleh bertahan…”
Dzafri mencapai tangan Lysa, menggenggamnya erat. “Dengar sini. Aku takkan lepaskan kau hanya sebab mama cuba pisahkan kita. Kita boleh lawan Lysa. Kau cuma perlu percaya pada aku.”
Lysa menarik nafas dalam. “Tapi kalau kita kalah?”
Dzafri menggeleng. “Kita takkan kalah. Aku akan pastikan benda ni selesai. Kalau aku kena berdepan dengan mama sendiri pun, aku sanggup.”
Lysa memandang wajah suaminya lama. Ada keteguhan dalam matanya, seolah-olah dia benar-benar yakin mereka akan menang dalam pertarungan ini.
Sementara itu, Datin Masriza yang duduk di dalam bilik, tangannya memegang cawan teh yang masih berasap. Dia tersenyum puas membaca mesej yang baru diterima daripada peguamnya, Encik Johan.
Encik Johan: Saya sudah failkan tuntutan tersebut di mahkamah. Dalam masa seminggu, perbicaraan akan dijalankan.
Datin Masriza meletakkan telefonnya di atas meja, senyuman sinis terukir di bibirnya. "Dzaf fikir Dzaf boleh tentang mama? Kita tengok siapa yang akan menang nanti,".
Tiga hari kemudian…
Dzafri melangkah masuk ke dalam rumahnya dengan wajah tegang. Lysa yang sedang duduk di ruang tamu segera bangun apabila melihat suaminya pulang.
“Apa yang jadi?” tanya Lysa cemas.
Dzafri menghempas satu fail di atas meja. “Mahkamah dah tetapkan tarikh perbicaraan fasakh kita.”
Lysa terkaku. “Bila?”
“Minggu depan.”
Lysa duduk kembali, tubuhnya terasa lemah. Dia tahu detik ini akan tiba, tetapi dia masih belum bersedia.
Dzafri menghampiri dan duduk di sebelahnya. “Aku dah bincang dengan peguam kita. Dia yakin kita ada peluang untuk menang. Perkahwinan kita sah, Lysa. Mama tak ada alasan untuk batalkan.”
“Tapi kalau mereka buat-buat alasan?Awak tahu mama sanggup buat apa sajakan Dzafri,” kata Lysa dengan nada resah.
"Aku tahu. Sebab itu aku akan pastikan mama tak dapat buat apa-apa lagi,".
Lysa memandang Dzafri, cuba mencari kepastian dalam kata-katanya. Dia tahu Dzafri bukan seorang anak yang menurut, dan itulah yang membuatkan dia tetap bertahan sehingga kini.
“Dzaf… kalau kita menang nanti, apa yang akan jadi?”
Dzafri mengelus tangan Lysa. “Kita jalani hidup kita macam biasa.Aku akan bawa kau pergi jauh dari mama,".
Lysa mengangguk perlahan, tetapi jauh di sudut hatinya, dia tahu ia tidak semudah itu.
Di sebuah hotel mewah, Datin Masriza duduk di restoran bersama Encik Johan. Lelaki itu menyerahkan beberapa dokumen kepadanya.
“Ini dokumen yang saya peroleh. Nampaknya, tak ada sebarang kesalahan dalam perkahwinan Dzafri dan Lysa. Saya risau fasakh ini takkan berjaya, Datin.”
Datin Masriza mengetap bibir. Dia tidak boleh menerima kekalahan.
"Ada cara lain?” soalnya dengan nada mendesak.
Encik Johan kelihatan serba salah. “Ada… tapi ia mungkin tidak beretika.”
Datin Masriza tersenyum sinis. “Saya tak peduli tentang etika,Johan. Yang saya nak, perkahwinan mereka terbatal,".
Encik Johan menghela nafas. “Kita boleh cuba mendapatkan saksi palsu… atau membuat tuduhan yang boleh menyebabkan hakim meragui kesahihan perkahwinan mereka.”
Datin Masriza tersenyum puas. “Bagus. Lakukan apa saja yang perlu.”
Malam sebelum perbicaraan…
Dzafri duduk di balkoni rumah mereka, menatap langit yang gelap. Dia tidak boleh tidur, fikirannya terlalu kacau.
Lysa keluar dari bilik, melihat suaminya termenung seorang diri. Dia menghampiri Dzafri dan duduk di sebelahnya.
“Awak masih fikirkan tentang esok?”
Dzafri mengangguk. “Aku takut, Lysa. Bukan sebab aku tak yakin dengan kes ini, tapi aku tahu mama sanggup buat apa saja untuk menang.”
Lysa mencapai tangan Dzafri menggenggamnya erat. “Saya percaya pada awak Dzafri. Apa pun yang jadi esok, kita hadapi bersama.”
Dzafri menoleh, menatap wajah isterinya yang penuh dengan kepercayaan. Perlahan-lahan, dia tersenyum.
“Ya, kita akan hadap benda ni sama-sama,".
Mereka saling berpandangan dalam keheningan malam. Tidak kira apa yang akan berlaku esok, mereka tahu perkahwinan mereka bukan sesuatu yang mudah dimusnahkan.
HARI perbicaraan akhirnya tiba. Lysa duduk di sebelah Dzafri dalam bilik mahkamah, jari-jemarinya saling bertaut dengan erat. Jantungnya berdegup kencang, tetapi dia cuba menenangkan diri. Di hadapan mereka, Datin Masriza duduk dengan wajah penuh keyakinan, sementara Datin Adiba pula duduk tidak jauh darinya, dengan wajah yang sukar untuk ditafsirkan.
Hakim memasuki bilik mahkamah dan semua yang hadir segera berdiri sebelum diarahkan untuk duduk kembali. Perbicaraan dimulakan dengan peguam pihak Datin Masriza, Encik Johan, membentangkan tuntutan mereka.
“Yang Arif, kami mendakwa bahawa perkahwinan antara Irfan Dzafri Dato Mukhriz dan Irlysa Dzulaika binti Hamidi tidak sah kerana wujud unsur pemaksaan semasa pernikahan berlangsung.”
Dzafri mengepal tangannya di atas meja, tetapi dia tetap berusaha menenangkan diri.
Peguamnya,Encik Hakim segera bangun. “Yang Arif, ini adalah dakwaan yang tidak berasas. Perkahwinan mereka telah didaftarkan secara sah dan tidak wujud sebarang unsur pemaksaan. Kami mempunyai saksi serta bukti yang menyokong perkara ini.”
Hakim meneliti dokumen yang diberikan sebelum mengangkat wajah. “Adakah pihak pemohon mempunyai bukti yang boleh menyokong dakwaan ini?”
Encik Johan tersenyum kecil sebelum berpaling ke arah seorang lelaki tua yang tiba-tiba masuk ke dalam kamar mahkamah. Lysa tergamam apabila mengenali lelaki itu—Tok Kadi yang menikahkan mereka dahulu.
“Yang Arif,” kata Encik Johan dengan penuh yakin. “Ini adalah individu yang telah menguruskan pernikahan mereka. Beliau boleh memberi keterangan mengenai keadaan semasa pernikahan berlangsung.”
Tok Kadi itu dipanggil ke hadapan untuk memberikan keterangan. Namun, sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila beliau berkata, “Saya sendiri yang menikahkan mereka, dan sepanjang majlis berlangsung, saya tidak melihat sebarang tanda-tanda pemaksaan.”
Datin Masriza yang dari tadi kelihatan yakin tiba-tiba berubah wajah.Datin Adiba pula semakin resah di tempat duduknya.
Encik Johan cuba mengawal keadaan. “Tapi… bukankah pihak lelaki, iaitu Irfan Dzafri berada di bawah tekanan ibunya semasa perkahwinan berlangsung?”
Tok Kadi itu menggeleng. “Saya hanya boleh sahkan bahawa segala prosedur pernikahan dijalankan dengan sah. Jika ada tekanan emosi, ia bukan dalam bidang kuasa saya untuk menentukan sah atau tidaknya pernikahan ini.”
Dzafri menghela nafas lega. Lysa di sebelahnya menggenggam tangannya dengan lebih erat. Mereka masih ada peluang untuk menang.
Hakim menoleh ke arah Encik Johan. “Adakah pihak pemohon mempunyai bukti lain untuk menyokong tuntutan fasakh ini?”
Encik Johan mula gelisah. Dia melihat ke arah Datin Masriza yang semakin tegang. Wanita itu menggigit bibir, sebelum akhirnya bangun dan berkata dengan lantang, “Yang Arif,Lysa ada beritahu saya.Dia sendiri tahu perasaan anak saya pada dia.Dzafri tidak mencintai dia Yang Arif!”
Seluruh mahkamah menjadi riuh seketika. Dzafri berdiri. “Mama! Cukup!”
Hakim mengetuk meja, meminta semua orang bertenang.
Lysa menarik nafas dalam, sebelum akhirnya dia berdiri dan bersuara. “Yang Arif.....sebenarnya ini adalah tuntutan fasakh palsu.Saya tidak pernah bersetuju atau menyuruh sesiapa memfailkan fasakh ini,".
Hakim memandang Lysa dengan penuh terkejut.“Jadi, puan tidak pernah terfikir untuk memfailkan fasakh ini?"
Lysa menoleh ke arah Dzafri. Mata mereka bertemu, dan buat pertama kalinya, dia benar-benar yakin dengan pilihannya.
"Tidak, Yang Arif. Saya mahu mempertahankan perkahwinan ini.”
Senyuman kecil terukir di bibir Dzafri. Dia kemudian berpaling ke arah hakim dan berkata dengan penuh keyakinan, “Saya juga, Yang Arif. Saya tidak akan sesekali menceraikan isteri saya.”
Hakim mengangguk perlahan, sebelum akhirnya bersuara, “Setelah mempertimbangkan segala bukti dan keterangan, mahkamah mendapati bahawa tuntutan fasakh ini adalah palsu dan tidak benar. Oleh itu, perkahwinan antara Irfan Dzafri dan Irlysa Dzulaika adalah sah dan tetap berkuat kuasa.”
Mahkamah sunyi seketika, sebelum Lysa menarik nafas lega.Akhirnya dia berani bersuara tentang fasakh palsu itu.
Datin Masriza, sebaliknya, bangun dengan wajah merah padam. “Ini tidak boleh diterima!”
Hakim menegur, “Datin, keputusan telah dibuat.Tiada tuntutan maka tiada penceraian,".
Dengan perasaan marah, Datin Masriza keluar dari mahkamah diikuti Datin Adiba yang masih kelihatan terkejut di situ.
Sementara itu, Dzafri berpaling ke arah Lysa dan menggenggam tangannya erat. “Kita menang Lysa.....,".
Share this novel