Petang itu Luth bertandang ke rumah isterinya. Sengaja dia tidak memberitahu Nureen akan kedatangannya.
Semasa dia sampai, ibu mertuanya sedang menyiram pokok bunga. Aisha Husna sedang bermain dengan basikal kecilnya. Nureen Safia tidak kelihatan, dalam rumah agaknya.
"Assalamualaikum!" Luth Ambreen memberi salam.
"Papa!" jerit Aisha Husna. Berlari anak kecil itu ke arah Luth. Gembira bukan kepalang melihat kehadiran lelaki yang senang dipanggil 'papa' itu.
Aisha Husna tidak lagi memanggil Luth dengan panggilan 'papa Luth'..hanya papa sahaja. Hubungan anak yatim piatu itu dengan Luth semakin akrab. Maklumlah anak kecil itu kehilangan bapanya sewaktu dia masih kecil lagi. Hanya Nureen sahaja yang masih jinak-jinak merpati dengan Luth Ambreen.
Didukung, dipeluk dan dicium Aisha Husna bertalu-talu persis anaknya sendiri. Puan Salmiah terharu melihat layanan mesra menantunya terhadap cucu sulung yang tidak beribubapa itu.
"Mak sihat?" Luth hulur tangan bersalaman dengan ibu mertuanya. Bungkusan buah tangan diserahkan pada wanita itu.
"Alhamdulillah..sihat. Jom masuk rumah" ajak Puan Salmiah.
"Kejap lagi Luth masuk, nak teman Una main dulu"
Puan Salmiah pandang wajah menantu lelakinya. Terharu.."Ye lah, mak masuk dulu"
"Yeaaay....boyeh(boleh) main beskal dengan papa" suka benar Aisha Husna ada yang melayannya bermain basikal.
Cempedak yang siap digoreng dimasukkan ke dalam pinggan. Beberapa biji gelas disusun dalam talam bersama satu jag sirap selasih. Nureen mendengus perlahan apabila dikhabarkan oleh emaknya akan kedatangan suaminya.
"Reen bukan tak suka dia mak, benci pun tidak, Reen perlukan masa untuk terima dia" kata Nureen pada ibunya.
"Apa-apa pun dia dah sah jadi suami Reen. Walaupun mak tak kenal sangat menantu mak tu, tapi mak dapat rasa..dia seorang yang baik. Reen kena redha dengan ketentuan ALLAH. Buka hati Reen tu untuk terima dia. Berdoa, minta ALLAH buka hati Reen tu. Tak baik buat suami macam tu, layan dia sebagai mana yang sepatut seorang suami dapat. Bila Reen dah nikah, sekurang-kurangnya mak dah boleh berlapang dada, ada orang yang boleh menjaga Reen dan Una. Jangan besok dah tak ada depan mata, baru nak menyesal. Kalau Reen tak dengar cakap mak, Reen nak dengar cakap siapa lagi. Cakap ayah.. abang Long, dorang dah tak ada...Reen" Panjang lebar nasihat Puan Salmiah pada anak perempuannya.
Sedikit sebanyak apa yang dikatakan oleh emaknya, meresap ke dalam hati Nureen. InsyaALLAH..dia akan cuba.
Luth yang berada disebalik dinding yang memisahkan dapur dan ruang tengah itu, mendengar segala teguran ibu mertuanya terhadap isterinya.
Tak mengapa, dia faham keadaan isterinya. Biarlah Nureen ambil masa yang dia perlukan. Perlahan-lahan dia akan pikat isterinya. Nureen tak membencinya pun dah cukup bagus.
"Dah..bawa minuman tu ke depan" suruh Puan Salmiah.
"Sedapnya..bau apa ni?" Luth pura-pura muncul diruang dapur.
Puan Salmiah dan Nureen toleh ke arah lelaki itu. "Nureen buat cempedak goreng" beritahu Puan Salmiah.
"Sedap tu" dipandang isterinya yang sedang mengangkat dulang. Lalu dia bergerak ke arah Nureen, dulang ditangan isterinya diambil. Mereka berpandangan sebentar. Dulang bertukar tangan.
"Jomlah kita ke depan" ajak Puan Salmiah.
Luth mendahului ibu mertuanya dan Nureen ke ruang tamu. Dulang diletakkan diatas meja kopi. Kemudian Luth berlalu ke pintu utama.
"Sayang papa!, mari masuk, kita makan. Mama buat cempedak goreng" Luth memanggil Aisha Husna yang sedang leka dengan basikalnya.
Anak kecil itu segera meninggalkan basikalnya dan berlalu masuk ke dalam rumah.
"Jom basuh tangan dulu" Luth mendukung Aisha Husna terus dibawa ke dapur untuk mencuci tangan.
"Senang mak tengok layanan suami kamu pada Una" puji Puan Salmiah. "Mak doakan Reen dengan Luth kekal sampai Jannah"
"InsyaALLAH mak, doa seorang ibu tiada hijabnya. Amiinnn". Luth muncul diruang tamu itu bersama Aisha Husna. " Terima kasih mak doakan kami berdua"
Luth duduk disebelah isterinya. Aisha Husna diletakkan atas ribaan Nureen. Luth mengambil tisu dari bekasnya lalu dikesat peluh yang merenik didahi anak itu.
Tersentuh hati Nureen dengan sikap Luth Ambreen.
"Papa..nak air" pinta anak kecil itu.
Luth mengambil segelas minuman sejuk itu lalu didekatkan ke bibir Aisha Husna.
"Minum perlahan-lahan Una" tegur Luth pada anak kecil itu.
"Dahaga yah papa (Dahaga lah papa).."
"Ya..papa tahu anak papa dahaga"
Dua pasang mata, menyaksikan tingkah laku seorang kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa yang langsung tidak mempunyai pertalian darah, hanya kasih dan sayang yang mengikat dan mengakrabkan mereka sebagai anak dan bapa.
"Kenapa?" soal Luth perlahan pada isterinya. Dia perasan Nureen asyik memandangnya sedari tadi.
Nureen geleng kepala.
"Mak..Luth nak tumpang solat asar sekejap" kata Luth pada ibu mertuanya.
"Haa.. Nureen..suami kamu nak solat tu, bawa dia masuk bilik kamu"
"Apa mak?" terkejut dia apabila emaknya menyuruh dia membawa Luth masuk ke biliknya. Tak pernah lagi dia membawa lelaki masuk ke biliknya. Janggal rasanya.
"Suami kamu tu nak solat asar, bawa la masuk bilik kamu, tak kan nak masuk bilik emak pulak" bidas Puan Salmiah.
Nureen pandang emaknya kemudian dia pandang Luth.
"Apa lagi tu, cepatlah suami kamu nak solat asar"
Luth disebelah menahan tawa dengan gelagat isterinya. Takut la tu nak bawa aku masuk bilik dia, omel Luth.
"Mana satu biliknya mak?" tanya Luth berseloroh.
Ishh..dia ni kan kalau satu hari tak porak perandakan hidup aku, tak sah agaknya. Mulutnya diherotkan ke kanan dan ke kiri. "Jom!.." katanya sebal.
"Reennn...tak baik buat suami macam tu" tegur Puan Salmiah.
*******************
Share this novel