Luth Ambreen meneruskan pemanduan pulang. Kaki Nureen cuma terseliuh sahaja. Dia mendapat cuti sakit(MC) selama 3 hari.
"Sampai rumah nanti kau rehat je, dokter dah pesan jangan banyak gerak, nanti lambat baik kaki kau tu" pesan Luth. Seperti bapa berpesan pada anaknya
"Ye..orang tahu la, dengar dokter pesan tadi"
"Ubat yang dokter bagi tadi tu..makan" pesan Luth lagi.
"Hmmm, nanti orang makan la..." membebel betul mamat senget ni, getus hati Nureen.
Luth bagi signal kiri, lalu dia memberhentikan kenderaannya ditepi jalan. Tubuh dikalih ke arah gadis itu. Tangan kiri diletakkan dibelakang tempat duduk Nureen.
"Ubat?" tanya Luth sambil telapak tangan kanan ditadah ke arah Nureen.
"Apa?" balas Nureen.
"Ubat? Ubat tadi mana?"
"Dalam beg" jawabnya sebal.
"Keluarkan" arah Luth Ambreen.
Nureen membuka zip beg tangannya lalu dikeluarkan ubat yang diberikan oleh klinik yang merawat kakinya tadi.
Luth mengambil plastik ubat itu. Dikeluarkan isi kandungan plastik itu. Ada tiga peket ubat, bermakna tiga jenis ubat. Luth baca arahan yang tertera pada peket ubat itu.
Daripada setiap jenis ubat itu Luth ambil satu biji.
"Makan". Dihulur ketiga-tiga jenis ubat itu kepada Nureen.
"Suka betul memaksa orang" kata Nureen perlahan. Ubat diatas telapak tangan Luth diambil.
Luth hulur botol air mineral yang telah dibuka tudungnya. "Nah..."
Nureen Safia sambut huluran botol air itu. Ubat dimasukkan ke dalam mulut kemudian air putih menyusuli masuk ke mulutnya. Nureen pandang Luth yang sedang memerhatinya.
"Puas hati?" dijegil lelaki itu.
"Nasib baik kau makan ubat tu, kalau tidak.." Luth tenung wajah cantik manis itu, dibiarkan kata-katanya tergantung disitu, kemudian dia senyum senget.
"Kalau tidak tuan nak buat?" sesuatu sangat senyuman mamat senget ni.
Luth tidak menjawab, dia kalih badannya ke depan semula dan meneruskan pemanduan. Hatinya rasa senang bersama dengan gadis ini. Dia sembunyi senyum.
Nureen pandang telefon bimbitnya, masa menunjukkan pukul 11.50 malam. Pukul berapalah agaknya nak sampai rumah? Dah lah emak dan Aisha Husna tiada dirumah. Harap-harap emak buka lampu siap-siap, lupa pula nak tanya tadi.
Nureen menekan nombor ibunya. "Assalamualaikum mak, lampu rumah dah pasang ke belum?"
Luth pandang Nureen.
"Masa nak keluar tadi, mak pasang lampu luar dengan ruang tamu. Reen dah sampai rumah ke? balik dengan siapa?" bertalu-talu soalan Puan Salmiah.
"Balik dengan bos..mak. Mungkin dalam dua jam lagi Reen sampailah"
"A'ah...ye lah. Kirim salam pada bos kamu tu"
"InsyaALLAH mak. Okey mak AssalamuƔlaikum" talian dimatikan. "Mak saya kirim salam pada tuan"
"WaƔlaikumsalam" jawab Luth. " Mak kau tak ada kat rumah ke?" Luth menekan.
"Tak ada, mak pegi rumah bisan dia petang tadi, bawa sekali anak saya"
"Ooh..pegi rumah mertua kaulah"
"Ehh..bukan"
"Habis...dah bisan mak kau, tentulah mertua kau. Atok & nenek anak kau. Apalah... itu pun aku nak kena bagi tahu, dungu betul lah kau ni"
Nureen terasa hati dengan kata-kata lelaki itu. Nak salahkan dia, tak boleh juga. Lelaki itu tidak tahu apa-apa pasal keluarganya. Dia paling wajah ke luar tingkap. Hatinya sebak mengenangkan Aisha Husna yang telah kehilangan kedua ibu dan ayah sedari kecil.
"Kau nangis?" tanya Luth, apabila dia mendengar esakan halus dari gadis itu. Sapu tangan didalam poket seluarnya ditarikh keluar lalu dihulurkan pada Nureen Safia. Dia pandang wajah gadis itu.
Nureen mengambil sapu tangan yang dihulurkan oleh Luth. Dia mengesat air matanya yang mengalir dipipi gebunya.
"Mereka tu.." Nureen menarik nafas. "Mertua arwah abang saya, bukan mertua saya." perlahan tuturnya. Tetapi didengar oleh Luth. "Saya belum kahwin. Anak kecil yang selalu bersama saya tu...Aisha Husna namanya... anak mereka...anak arwah abang dan arwah kakak ipar saya"
Luth Ambreen terpempam dengan penjelasan Nureen. Dia memberhentikan kenderaan yang mereka naiki. Kebetulan dia baru sahaja membelok kenderaannya memasuki kawasan R&R. Dia hendak solat Isyak.
"Habis tu..lelaki yang aku jumpa dekat mall tu..siapa? bukan suami kau?"
Nureen Safia menggeleng perlahan. "Itu bapa saudara Aisha Husna, lelaki tu adik kepada arwah kakak ipar saya"
Luth mengagguk-anggukkan kepalanya. "Abang dengan kakak ipar kau meninggal..."
"Kemalangan.." jawab Nureen. Dia faham maksud lelaki itu. "Masa kejadian tu.. Aisha Husna berumur satu tahun setengah. Saya terpaksa menolak tawaran belajar di IPTA. Tak sanggup nak biarkan mak sorang-sorang jaga Una. Atas tiket SPM yang saya ada, saya memohon kerja di Megah Holding. Alhamdulillah..rezeki menyebelahi saya dan mungkin berkat memelihara anak yatim piatu, saya dapat kerja disitu. Gaji yang saya terima di Megah Holding itulah saya menyara emak dan Aisha Husna. Dah hampir Lima tahun saya berkhidmat di Megah Holding. Emak dan saya, kami sama-sama menjaga dan membesarkan dia" panjang lebar Nureen ceritakan kisah keluarganya pada Luth Ambreen. Dia sendiri pun tidak tahu, kenapa mudah benar dia membuka sejarah keluarganya pada lelaki itu.
Luth Ambreen menghulurkan air mineral pada Nureen.
Nureen mengambil air itu lalu diteguk perlahan. Lelaki itu macam tahu je dia kehausan.
"Safia..aku nak ke surau, kau okey kan tunggu dalam kereta"
"Okey.. okey..saya okey je"
Luth keluar dari kereta lalu menuju ke arah surau yang tidak jauh dari tempat dia meletakkan kenderaannya. Dia senyum, hatinya rasa lapang.
Nureen Safia melihat pemergian lelaki itu. Safia..hanya Saifuddin iaitu arwah abangnya sahaja yang memanggilnya 'Safia'.
********************
Share this novel