“ROSE!”
Micheal menjerit dengan nafas tercungap-cungap, matanya terbuka luas. Dia keliru, panik, cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran yang terang di bilik rawatan. Bantuan pernafasan terpasang di mulutnya, menyebabkan setiap helaan nafas terasa berat, tapi stabil.
Rose yang baru sahaja melangkah masuk, terkejut mendengar jeritan itu. Dia tersentak sejenak, sebelum wajahnya berubah lega. Air mata terus mengalir melihat abangnya sudah sedar.
“Abang!” Rose berlari ke sisinya, menekan butang panggil untuk memanggil doktor sambil mencengkam tangan abangnya.
“Abang dah sedar! Tuhan, terima kasih!”
Micheal mengerang perlahan, tangannya cuba menanggalkan bantuan pernafasan itu.
“Jangan!” Rose cepat-cepat menghalangnya.
“Abang, jangan tanggalkan tu! Abang perlukan alat tu untuk bernafas.”
Micheal menggeleng, tangan lemah masih cuba melawan. Matanya penuh tanda tanya, menatap Rose dengan kebingungan. Dia cuba bercakap, tetapi suaranya tersekat di kerongkong.
Rose menggenggam tangannya dengan lembut, cuba menenangkannya.
“Abang rehat dulu. Doktor akan datang kejap lagi. Jangan cakap apa-apa, okay? Semua akan baik-baik je.”
Micheal tetap tak puas hati. Dia memandang Rose, matanya merayu seakan bertanya, Kenapa aku macam ni? Apa yang jadi?
“Abang… abang sakit.” Suara Rose lembut, tetapi penuh emosi.
Dia mengelap air matanya.
“Abang kena virus yang doktor kata jarang sangat berlaku. Tapi jangan risau, abang. Doktor tengah buat yang terbaik untuk rawat abang.”
Micheal diam, pandangannya masih keliru. Nafasnya sedikit perlahan, tapi hatinya terus dipenuhi persoalan. Dia cuba menyusun fikiran, mengingati apa yang berlaku sebelum semuanya menjadi gelap.
Pintu bilik terbuka, dan seorang doktor masuk bersama jururawat. Rose berundur sedikit, memberi ruang. Sebelum Micheal sempat berkata apa-apa, doktor memeriksanya dengan cepat tetapi teliti, memastikan keadaan Micheal stabil.
“Encik Micheal, syukur awak dah sedar.” kata doktor itu dengan nada profesional tetapi bersahabat.
“Kami akan terus pantau awak. Untuk sekarang, jangan terlalu banyak bergerak atau bercakap. Biarkan badan awak pulih perlahan-lahan.”
Micheal hanya mengangguk lemah, matanya sesekali melirik ke arah Rose, yang masih berdiri di sisinya, memandang dengan penuh rasa syukur bercampur risau.
“Abang rehat, okay?” bisik Rose perlahan.
“Abang tak sendirian. Saya ada.”
Micheal cuba membuka mulut, ingin berkata sesuatu, tetapi suaranya tidak keluar. Hanya bunyi nafas yang berat melalui bantuan pernafasan. Matanya penuh emosi, menatap Rose dengan air mata yang mula mengalir. Dia kelihatan resah, tidak mampu menyampaikan apa yang terbuku di hatinya.
Rose yang melihat abangnya menangis, mula panik tetapi cuba menenangkan diri.
“Abang, jangan menangis. Saya ada kat sini.” ucapnya lembut sambil mengelap air mata Micheal dengan tisu di tangannya.
“Saya ada melawat Selena tadi. Dia okay je. Jangan risau, abang. Selena baik-baik je kat sana.”
Micheal menggeleng kepala perlahan. Bukan itu yang dia mahu tahu. Dia cuba menggerakkan bibirnya lagi, tetapi tetap tak berjaya.
Rose merenung abangnya dengan kening berkerut, cuba memahami.
“Abang nak tahu pasal Herodes tu ke?” tanyanya, nada suara mula serius.
“Saya dengan Chloe dah pergi hospital tu tadi. Kami tanya staff kat sana. Diorang kata, takde pekerja lelaki nama Herodes. Abang... abang mungkin tersalah tengok kot?”
Micheal menggeleng lagi, kali ini dengan lebih jelas. Matanya tajam, penuh keyakinan. Dia tidak mungkin salah. Dia dengan jelas nampak lelaki itu, tag nama Herodes, walaupun wajah lelaki itu separuh tertutup dengan mask.
Rose menarik nafas panjang, mengeluh sambil mengusap dahi abangnya.
“Kalau lah saya ni ada kuasa boleh baca fikiran abang, kan senang?” katanya cuba bergurau, melepaskan sedikit ketegangan.
Dia ketawa kecil, cuba menceriakan suasana, walaupun senyumnya itu terasa berat. Micheal memandang Rose, cuba mengangkat tangannya yang lemah untuk menyentuh tapak tangan adiknya. Tetapi Rose tidak perasan. Dia sudah berdiri, menyusun selimut yang tersingkap di kaki Micheal.
“Abang kena rehat banyak-banyak, tau.” ujar Rose lembut.
“Saya akan ambil alih kerja abang buat sementara. Kalau susah sangat, saya minta Chloe tolong. Abang jangan risau. Fokus untuk sihat.” Dia tersenyum lagi, senyum itu agak aneh.
Namun Micheal tidak mampu merasa lega. Hatinya masih tak tenang, ada sesuatu yang dia rasa salah. Dia cuba menutup matanya, tetapi mimpi buruk tadi terus menghantui fikirannya. Namun, lama kelamaan, dia akhirnya terlelap kesan daripada ubat suntikan yang jururwat bagi tadi.
-
POV1 - ROSE
Aku membuka laptop di meja kecil ruang tamu, cuba menyambung kerja menulis novel. Tapi perasaan aku tak tentu. Otak kosong. Tangan di atas keyboard, tapi tak satu huruf pun muncul. Gelas kopi ketiga di sebelah aku dah lama habis. Aku tak ada idea. Bila tak ada idea, aku rasa marah. Stress.
Tiba-tiba, ada suara lelaki dari belakang.
“Rose, kenapa marah?”
Aku kenal suara tu. Sangat kenal. Tapi aku malas nak peduli.
“Rose?” Dia panggil lagi.
Aku mendengus kecil, cuba abaikan. Tapi dia tak putus asa.
“Jangan kacau aku fokus, Herodes!” Aku bersuara akhirnya, nada keras.
Dia ketawa kecil, seperti sengaja mahu menyakitkan hati aku.
“Kau cemburu nama aku disebut Selena ke, Rose?” soalnya dengan nada penuh sindiran.
Aku tak balas. Jari jemari aku masih di atas keyboard, tapi tak bergerak.
Dia menghampiri, menyentuh bahu aku dengan tangan dia yang sejuk. Terlalu sejuk.
Aku terus bangun, tinggalkan meja, dan bawa gelas kopi ke dapur. Aku tak nak dia dekat. Tapi dia ikut aku, muncul di sebelah, seperti bayang-bayang yang tak boleh aku elak.
“Aku sayangkan dia, Rose,” katanya perlahan, tapi jelas. “Kau jangan kacau dia.”
Aku berpaling dan menjeling dia dengan mata yang penuh kemarahan. Nafas aku tak teratur.
“Ya! Aku cemburu! Kau puas hati?!”
Dia senyum sinis, seperti dia dah menang. Tapi aku tak berhenti di situ.
“Aku fikir aku boleh lupakan kau, Herodes! Aku cuba, tahu? Tapi kau...kau pula muncul dalam fikiran Selena!”
Dia diam, wajahnya tenang, tapi aku tahu dia mendengar setiap kata aku.
“Macam mana kau boleh ada dalam fikiran Selena, hah?! Siap lagi dia kata kau dan dia dah kahwin! Dia mengandung!” Aku rasa dada aku sesak. Suara aku pecah. Aku tak dapat kawal perasaan lagi.
Aku letakkan gelas di sinki, tangan aku menggigil.
“Kau...” suara aku terhenti seketika. “Kau buat aku rasa...aku gagal, Herodes. Kau buat aku rasa aku tak cukup.”
Air mata aku mula jatuh, dan aku benci bila dia nampak aku macam ni. Tapi dia hanya berdiri di situ, memandang aku dengan tatapan yang tak dapat aku baca.
“Kau tak sepatutnya wujud.” bisik aku, lebih kepada diri sendiri. Tapi aku tahu dia dengar.
Dia ketawa kecil, suara dia bergema di ruang kecil dapur itu.
“Rose, aku tak pergi mana-mana. Aku sentiasa ada, selamanya.”
Aku pejam mata, cuba buang suara dia dari kepala aku. Tapi semakin aku lawan, semakin kuat dia bergema. Herodes...dia seperti bayang-bayang aku yang takkan hilang.
HERODES tinggalkan aku. Dia pergi sebab dia jatuh cinta dengan perempuan yang dia selamatkan. Perempuan itu...Selena. Aku ingat lagi hari itu. Selena cuba bunuh diri, dan Herodes yang kononnya jadi penyelamat.
Lepas kejadian tu, Herodes dah mula jarang layan aku. Aku cuba buat tak peduli pada mulanya, tapi hati aku tak bodoh. Aku tahu. Aku rasa perubahan dia.
Kemuncaknya, dia kantoi. Kahwin dengan perempuan sundal tu. Selena. Bayangkan, aku masih dengan dia waktu tu, tapi dia kahwin senyap-senyap. Aku rasa dunia aku runtuh.
Aku sejujurnya...benci Selena. Tapi dalam hati kecil aku, aku tahu dia tak salah sepenuhnya. Selena tak tahu aku wujud. Tak tahu cerita sebenar. Yang salah, Herodes! Dia yang tipu aku. Dia yang hancurkan aku.
Tapi benci itu...benci yang aku rasa untuk mereka berdua...macam racun yang meresap perlahan dalam jiwa aku. Aku tak dapat lari darinya.
Malam itu, aku duduk seorang diri dalam bilik, merenung dinding. Macam ada bisikan halus dalam kepala aku, berulang-ulang.
"Tamatkan riwayat dia. Hapuskan semua derita kau."
Aku tak tahu dari mana kekuatan itu datang. Tangan aku tiba-tiba mencapai pisau di dapur.
Aku genggam pisau itu. Aku berjalan ke arah Herodes, yang sedang duduk di ruang tamu, sibuk dengan telefonnya. Dia tak perasan aku datang dari belakang.
Tangan aku menggigil, tapi aku teruskan melangkah. Semakin dekat, semakin kuat suara dalam kepala aku.
"Lakukan. Lakukan sekarang."
Aku berdiri di belakangnya. Nafas aku tak teratur. Tangan aku mengangkat pisau itu perlahan-lahan.
Tapi tiba-tiba, air mata aku mengalir. Aku menangis, teresak-esak. Tangan aku lemah. Aku jatuh berlutut di belakangnya, pisau terlepas dari genggaman aku dan masuk tersembunyi di bawah sofa.
Herodes berpaling, terkejut melihat aku di situ. Wajahnya penuh tanda tanya.
Aku hanya mampu menangis. Aku benci dia. Aku benci apa yang dia buat pada aku. Tapi aku...aku tak mampu. Aku tak mampu jadi pembunuh.
Aku menjerit dalam hati. Kenapa aku tak cukup kuat? Kenapa aku tak boleh lupakan dia? Kenapa aku biarkan diri aku rosak macam ni?
Herodes tak berkata apa-apa. Dia hanya memandang aku, sebelum bangun dan berlalu pergi. Aku tertinggal di situ, menangis sendirian. Dengan luka yang tak pernah sembuh.
Share this novel
Aduh..semakin mencabar daya pemikiranku sis, benar² teruji...nnti i tgh cuba utk memahamimu... next plz...tiba² rindu plak kt Selena..abg Micheal tolong adinda plz....kebinggungan...hahaha...
nexx pnasaran gue doank