BAB 28: LOST SWAN

Romance Completed 4375

Selena berlari keluar dari rumah, nafasnya tercungap-cungap. Darah masih mengalir dari tapak tangannya, membasahi jalan yang dilaluinya. Dalam kepanikan, dia terlanggar seseorang. Dia mendongak, matanya membulat melihat wajah Micheal yang kelihatan risau.

“Selena? Kenapa ni? Kenapa ada darah?” tanya Micheal, nadanya cemas.

Dia cepat-cepat memegang pergelangan tangan Selena, tak mahu gadis itu lari lagi. Matanya merenung ke arah rumah, meninjau keadaan sambil menggenggam tangan Selena dengan kuat tapi lembut.

Selena diam, bibirnya bergetar, tak mampu berkata apa-apa. Air mata mengalir deras di pipinya. Micheal mengeluh perlahan, tangannya masih erat memegang Selena, seolah-olah takut dia akan lenyap.

Rose tiba-tiba muncul di muka pintu, wajahnya penuh kerisauan.

“Abang! Jordan cedera... tapi aku dah call ambulans,” katanya dengan nada tegas, cuba menahan emosinya.

Micheal angguk, tanda dia faham situasi yang sedang berlaku. Matanya kembali tertumpu kepada Selena yang masih tunduk, memeluk dirinya sendiri.

“Jom duduk sini.” ajak Micheal sambil menarik Selena perlahan ke arah balkoni kecil di depan rumah.

Selena menurut tanpa melawan, tangannya yang luka terasa semakin perih. Dia duduk, tubuhnya menggigil sedikit, dan tangisannya makin teresak.

“Please, jangan marah...” bisiknya, suaranya hampir tak kedengaran.

Luka di tangannya semakin berdenyut, tapi rasa bersalah dalam hatinya lebih menyakitkan.

Micheal menghela nafas panjang.

“Aku tak marah kau, Selena. Jangan risau.” Dia mengeluarkan sapu tangan putih biru dari poket seluarnya, lipatannya masih kemas. “Meh sini tangan tu.”

Selena angkat tangan perlahan-lahan, matanya hanya menatap gerakan Micheal yang penuh perhatian. Dengan berhati-hati, Micheal membalut luka di tangannya, memastikan darah berhenti mengalir. Selena memerhatikan sahaja, rasa hangat muncul di hatinya melihat bagaimana Micheal merawatnya dengan sabar.

“Lepas ni, jangan buat lagi, tau?” Micheal memandang Selena, senyuman nipis di wajahnya.

Mata mereka bertemu seketika, dan Selena hanya mampu mengangguk perlahan. Tanpa berkata apa-apa lagi, Micheal menarik Selena ke dalam pelukannya, merapatkan tubuh kecilnya ke dadanya yang bidang. Selena terkedu seketika, tapi akhirnya dia membenamkan wajahnya di dada Micheal, membiarkan air matanya terus mengalir.

“Tak apa... semuanya akan okay.” bisik Micheal perlahan, sambil mengusap perlahan rambut Selena.

Micheal masih memeluk Selena, tangan kanannya perlahan-lahan menepuk bahu gadis itu yang kelihatan sedikit tenang. Mata Selena terpejam, mungkin cuba mencari rasa damai dalam kehangatan itu. Namun, detik itu terhenti apabila Micheal melihat dua lelaki berpakaian seragam biru dari hospital mental muncul dari sudut pandangannya. Mata mereka bertemu, ada komunikasi yang terjalin tanpa perlu kata-kata.

“Selena,” Micheal memulakan dengan nada yang lembut tetapi tegas. “Kalau kau ikut cakap aku, kau akan lebih selamat. Tenang je, okay?”

Selena membuka mata, memandang Micheal dengan penuh kepercayaan.

“Okay, Micheal. Aku ikut cakap kau,” jawabnya dengan anggukan kecil.

Micheal menarik nafas panjang sambil menoleh ke arah dua lelaki itu yang semakin mendekat. Langkah mereka perlahan, penuh hati-hati. Namun, sebaik sahaja Selena menyedari kehadiran mereka, ekspresinya berubah drastik. Dia bingkas bangun daripada duduknya, wajahnya penuh ketakutan.

“Apa ni, Micheal?!” suara Selena mula bergetar. Dia menatap Micheal, kemudian memandang dua lelaki itu. Dia tahu siapa mereka.
“Sampai hati kau buat aku macam ni, sial!” jeritnya, nadanya semakin tinggi.

“Selena, dengar aku...” Micheal cuba memujuk, tetapi Selena tak memberi ruang.

“Aku percayakan kau! SIAL! Aku tak gila, faham tak? Jangan dekat aku! Jangan sentuh aku!” tangannya melambai liar, cuba menepis sebarang sentuhan.

Dua pekerja itu cuba menahan Selena, memegang kedua lengannya dengan cermat tetapi kukuh. Namun, Selena melawan. Jeritannya menggema, tangisannya bercampur raungan, seakan-akan seluruh dunianya hancur.

“Lepaskan aku! Aku tak gila! Jangan bawa aku pergi!” jeritnya berulang kali, sampai suara seraknya kedengaran.

Micheal diam, berdiri di tempatnya dengan wajah penuh kesedihan. Tangannya yang tadi memeluk Selena kini menggenggam erat, menahan dirinya daripada berbuat sesuatu yang emosional. Dia tahu, ini bukan keputusan yang mudah. Dia tahu ini yang terbaik untuk Selena, walaupun perasaannya sendiri hancur melihat gadis itu memberontak seperti itu.

“Maafkan aku, Selena.” bisiknya perlahan, hampir tidak didengar oleh sesiapa pun. Matanya berkaca, tetapi dia berpaling, tak sanggup melihat Selena yang terus meronta sambil menangis.

Rose muncul di belakang Micheal, memegang lengannya.

“Abang... abang okey ke?” tanya Rose perlahan, wajahnya sama-sama cemas.

Micheal menggeleng perlahan, menutup wajah dengan tangan.

“Tak, Rose. Abang tak okey.” Suaranya pecah, menggambarkan beban yang dia tanggung.

Sementara itu, dua pekerja itu berjaya membawa Selena pergi ke arah van yang menunggu di luar. Selena masih menjerit, memanggil nama Micheal dengan suara penuh luka.

“Micheal! Jangan biar diorang bawa aku pergi! Micheal! Aku tak gila, Micheal!”

Namun, Micheal tetap tak menoleh, walaupun hatinya seperti ditikam seribu kali.

Don't make me sad, don't make me cry
Sometimes love is not enough, and the road gets tough
I don't know why
Choose your last words, this is the last time
'Cause you and I, we were born to die.

-

MICHEAL duduk di bangku panjang dalam gereja yang sunyi, hanya diterangi oleh cahaya lilin di altar. Paderi John mendekatinya, membawa aura tenang yang biasa Micheal kagumi. Paderi itu duduk di sebelah Micheal, membiarkan keheningan beberapa saat sebelum bersuara.

"Kenapa wajah kamu nampak berat, Micheal? Apa yang mengganggu hati kamu?" soal Paderi John perlahan, matanya tajam tapi lembut.

Micheal menarik nafas panjang, lalu mengeluh.

"Saya rasa... saya buat keputusan yang betul, Paderi. Tapi hati saya... hati saya tak tenang. Selena... dia... saya tak tahu sama ada tindakan saya menghantar dia ke sana, baik untuk dia atau sebenarnya lebih menyakitkan dia. Saya rasa bersalah."

Paderi John mengangguk perlahan, memberi ruang Micheal untuk terus meluahkan.

"Dan satu lagi," sambung Micheal, pandangannya terarah ke lantai marmar, "saya tak boleh lari daripada rasa ini. Saya rasa... ada sesuatu antara saya dengan Selena, tapi saya takut. Saya takut perasaan ini salah. Saya nak jadi seseorang yang berdedikasi kepada Tuhan, tapi..." Suaranya tersekat.

Paderi John tersenyum kecil, menepuk bahu Micheal.

"Micheal, mendekati Tuhan tidak pernah bermaksud menjauhkan diri daripada manusia. Tuhan sendiri adalah cinta, dan cinta tak pernah salah, tak kira dalam bentuk apa pun."

Micheal mengerutkan dahi.

"Tapi kalau saya memilih cinta manusia, itu bermakna saya melepaskan jalan untuk menjadi seorang paderi, kan? Itu bukan pengkhianatan ke?"

"Pengkhianatan?" Paderi John ketawa kecil.

"Bukan begitu, Micheal. Kalau hati kamu diisi cinta untuk seseorang, ia datang daripada Tuhan juga. Menjadi paderi bukan tentang melawan cinta; ia tentang hidup dalam panggilan yang kamu rasa paling tulus. Kalau hati kamu lebih cenderung kepada Selena, maka itu tanda bahawa panggilan kamu mungkin bukan di sini, tapi di tempat lain—tempat di mana kamu boleh mencintai sepenuhnya, tanpa rasa bersalah."

Micheal termenung sejenak.

"Tapi, Paderi, bagaimana kalau cinta itu membawa lebih banyak luka daripada kebahagiaan? Selena... dia tak sempurna. Dia hancur."

"Semua cinta akan menguji kita, Micheal," balas Paderi John dengan suara penuh makna.

"Tapi kalau kamu benar-benar cinta, kamu akan sanggup menanggung luka itu. Apa yang penting, kamu jujur dengan diri kamu. Jangan gunakan jalan ini sebagai tempat untuk melarikan diri daripada perasaan kamu. Kalau kamu memilih menjadi paderi, pastikan hati kamu benar-benar kosong untuk Tuhan, bukan penuh dengan bayangan orang lain."

Micheal mengangguk perlahan. Nasihat itu ringkas, tapi menikam jiwanya. Buat pertama kalinya, dia merasakan bahawa cinta dan panggilannya bukan musuh, tetapi dua jalan berbeza yang memerlukan ketulusan hati.

-

LANGKAH Micheal dan Rose terhenti serentak di luar bilik. Melalui tingkap kecil di pintu, mereka melihat seorang wanita cantik duduk di sisi katil Jordan. Wanita itu, dengan rambut panjang terurai dan senyuman menawan, sedang menyuapkan sesuatu kepada Jordan. Suara tawa kecil lelaki itu kedengaran, santai dan mesra.

Rose menjeling Micheal.

"Siapa tu?" bisiknya, kening terangkat penuh tanda tanya.

Micheal hanya menggeleng, matanya masih terpaku pada pemandangan di depan.

"Entah... abang pun tak tahu." Namun, dalam nada suaranya, jelas ada sedikit rasa tak sedap hati.

Tanpa banyak fikir, Micheal membuka pintu dengan perlahan dan melangkah masuk, membawa bakul buah-buahan di tangan dan Rose dengan sejambak bunga matahari.

"Hai, Jordan." sapa Rose, sengaja meninggi suara sedikit, cukup untuk menarik perhatian.

Jordan yang sedang tertawa dengan wanita itu tersentak, wajahnya berubah serta-merta.

"Micheal... Rose..." katanya, suaranya sedikit goyah.

Wanita cantik itu, yang dikenalkan sebagai Britney, menoleh ke arah mereka dengan senyuman sopan.

Rose berdiri di belakang Micheal, tangan bersilang.

"Oh, tak sangka pula kau ada tetamu lain." katanya sinis, matanya mencuri pandang ke arah Britney yang kelihatan tak tergugat langsung.

Jordan cuba memadam rasa gelisahnya dengan satu senyuman tawar.

"Britney ni... kawan lama." jelasnya. "Dia datang jenguk sekejap."

Micheal dan Rose mengangguk perlahan serentak, meletakkan bunga dan buah-buahan di meja kecil di sisi katil.

"Baguslah ada orang jaga kau. Nampak macam kau gembira." kata Micheal pula, tetapi matanya tetap memerhati setiap reaksi Jordan.

Jordan, seolah-olah tak tahan dengan tekanan, menoleh ke arah Britney.

"Brit, boleh tak bagi kami masa sekejap? Nak borak hal keluarga."

Britney hanya angguk dengan elegan, seperti tiada apa yang berlaku. Sebelum keluar, dia sempat membongkok sedikit untuk mencium pipi Jordan, membuatkan mata Rose dan Micheal sedikit membesar.

Britney melangkah keluar tanpa berkata apa-apa, meninggalkan suasana tegang dalam bilik itu. Micheal menghela nafas panjang sambil menatap Jordan yang kelihatan serba salah.

"Kawan lama, ya?" tanya Micheal, nada suaranya perlahan tapi ada maksud tersirat.

Jordan hanya menggaru belakang kepala, tak tahu nak jawab apa.

"Dia datang nak bagi semangat... tak lebih dari tu." Tapi kata-katanya seolah-olah tak cukup untuk meyakinkan sesiapa.

Rose menjeling tajam.

"Bagi semangat? Hm, semangat apa? Sampai cium pipi bagai. Kawan lama memang macam tu ke?" sindirnya sambil melabuhkan punggung di kerusi dekat tingkap.

Jordan menarik nafas panjang, tangan kanannya menyentuh tempat luka di tepi pinggang, seolah-olah nak alihkan perhatian.

"Aku tak ada niat buruk, Micheal, Rose. Britney cuma kawan yang kebetulan datang. Itu je." Tapi matanya yang melarikan pandangannya menunjukkan dia lebih tahu daripada apa yang dia luahkan.

Micheal diam seketika sebelum berkata lagi.

"Jordan, kau tunang Selena. Kau tahu apa yang dia tengah lalui sekarang. Kalau kau nak teruskan dengan 'kawan lama' ni, kau kena fikir apa yang kau nak sebenarnya. Jangan buat Selena jadi mangsa."

Jordan tak mampu balas. Suasana sunyi, cuma bunyi bising sayup-sayup dari luar bilik yang kedengaran.

"Lost Swan" adalah pernyataan tentang kehilangan arah, keindahan yang tercedera, dan perjalanan menuju pemulihan atau pengakhiran.

Share this novel

Erna Md Nordin
2024-12-03 10:40:24 

sedih..sesedih hatiku saat ini...next plz..Micheal selamatkn Selena plz...

DHIA AMIRA.
2024-12-02 08:12:07 

sedih pulak part ni

DHIA AMIRA.
2024-12-02 08:11:57 

nezx


NovelPlus Premium

The best ads free experience