BAB 22: DUNIA SI DIA

Romance Completed 4375

Keesokan paginya, Micheal dan Rose sampai di rumah Selena tepat jam sepuluh. Rumah itu nampak biasa dari luar, tapi bila pintu dibuka oleh ayah Selena, suasana dalam rumah terus buat mereka rasa tak sedap hati.

Barang-barang bersepah atas lantai—ada pasu pecah, bantal berterabur, dan kerusi makan senget sebelah. Ibu Selena duduk di sofa dengan muka kusut, mata bengkak macam baru lepas menangis. Ayah Selena nampak segan, tapi dia cuba senyum.

“Maaf, rumah ni serabut sikit... pagi tadi Selena mengamuk.” kata ayah Selena, suara perlahan.

Rose dan Micheal pandang satu sama lain. Mereka masuk perlahan-lahan, duduk di ruang tamu yang sempit. Rose cuba kemaskan bantal yang bersepah atas lantai, tapi Micheal terus fokus pada ayah Selena.

“Selena kenapa, pak cik?” Micheal tanya, suara lembut tapi serius.

Ayah Selena duduk, tarik nafas panjang.

“Dia cakap nak kahwin dengan... Herodes.” Dia pandang Micheal dengan wajah penuh beban.

“Kami ingat dia gurau. Tapi bila kami kata tak boleh... dia mula marah. Dia jerit, baling barang. Isteri saya cuba tenangkan dia, tapi dia tetap tak nak dengar.”

Rose telan air liur, cuba hadam situasi. Dia nampak ibu Selena tunduk sambil lap air mata dengan kain yang ada di bahunya itu.

“Kami tak tahu nak buat apa,” sambung ayah Selena, suara tersekat-sekat. “Dia nampak macam dah sihat sebelum ni. Tapi tiba-tiba, dia... dia jadi macam ni lagi.”

Micheal mengeluh perlahan, cuba susun kata. Dia pandang ibu bapa Selena, cuba yakinkan mereka.

“Pak cik, mak cik, saya faham ni semua susah untuk diterima. Saya datang hari ni sebab saya pun nak selesaikan hal ni. Selena pernah cakap benda ni pada saya.”

Ibu Selena angkat muka, matanya merah.

“Awak... awak serius ke nak kahwin dengan dia?”

Micheal cepat-cepat geleng.

“Tak, mak cik. Saya minta maaf kalau Selena salah faham. Saya cuma cuba bantu dia, tu je. Tapi sekarang, saya rasa dia dah terlalu terikat dengan watak yang saya mainkan—Herodes.”

Ayah Selena tarik nafas panjang, cuba bertenang.

“Awak rasa macam mana kita boleh betulkan ni? Saya risau dia makin teruk.”

Micheal pandang Rose sekejap, kemudian dia pandang semula ke arah ibu bapa Selena.

“Kita kena buat dia faham perlahan-lahan. Saya tahu ini tak mudah, tapi kalau kita tolak terlalu kasar, dia mungkin akan bertindak lagi. Saya akan cuba cakap dengan dia.”

Rose tiba-tiba mencelah.

“Pak cik, mak cik... kami nak Selena sembuh sepenuhnya. Kami ada niat baik. Tapi boleh tak... kali ni pak cik dengan mak cik jangan terus tolak atau tegur dia? Mungkin kita ikut dulu rentak dia, biar abang saya... yang cuba tenangkan dia.”

Ibu Selena hanya mengangguk perlahan, tapi wajahnya penuh kerisauan. Micheal tunduk, cuba simpan rasa bersalah yang semakin menyesakkan dada.

Dia tahu, ini semua bukan salah Selena sepenuhnya. Tapi sekarang, tanggungjawab untuk perbetulkan keadaan terletak di bahunya.

Micheal berdiri di depan pintu bilik Selena. Dia ketuk perlahan, tapi tak ada jawapan. Ibu Selena, yang berdiri di sebelahnya, menolak pintu sedikit dan menjenguk ke dalam. Lepas beberapa saat, dia angguk perlahan.

“Masuklah. Dia tak apa-apa, cuma masih sedih.” kata ibu Selena sebelum undur ke belakang.

Micheal melangkah masuk, pintu dibiarkan terbuka sedikit. Dia lihat Selena duduk bersila di lantai, menghadap tingkap. Earphone terpasang di telinga, kepala perlahan-lahan ikut rentak lagu yang didengarnya.

“Selena.” Micheal duduk di sebelah dia sambil tersenyum kecil.

Selena tersentak, cepat-cepat tanggalkan earphone. Bila dia nampak Micheal, wajah yang tadi suram terus berubah ceria. Dia memeluk Micheal erat.

“Herodes! Aku rindu sangat!”

Micheal senyum kelat, perlahan-lahan melepaskan pelukan itu.

“Aku ada sini sekarang. Sabar, ok?”

Selena angguk dengan mata bersinar, tapi tiba-tiba dia jeling ke arah pintu. Rose dan ibu Selena nampak intai dari celah pintu. Selena merungut kecil.

“Mak! Tutup pintu tu! Bagi kami privasi!” suara Selena naik, tak puas hati.

Micheal cepat-cepat angkat tangan, cuba tenangkan keadaan.

“Eh, tak apa, Selena. Biar je pintu terbuka. Tak elok kalau kita berdua-duaan dalam bilik, kan?”

Mendengar itu, Selena tiba-tiba berubah. Dia berdiri, tarik nafas panjang, dan mula bercakap dengan nada tinggi.

“Aku dah besar! Aku tahu apa aku buat! Aku cuma nak bercakap dengan kau, Herodes. Kenapa susah sangat nak faham?!”

Ibu Selena pandang Micheal, seolah minta izin. Micheal tarik nafas panjang, akhirnya dia angguk perlahan. Pintu ditutup.

Selena tersenyum puas, kembali duduk di sebelah Micheal.

“Kan senang macam ni?”

Dia peluk Micheal sekali lagi, lebih erat kali ini. Micheal terdiam, rasa serba salah. Dia tahu Selena masih anggap dia Herodes, bukan Micheal, dan itu buat dia rasa bersalah. Tapi sebelum dia sempat berkata apa-apa, Selena tiba-tiba mencium pipinya.

“Selena!” Micheal tersentak, wajahnya merah padam. Dia pegang pipinya yang masih terasa hangat.

Selena hanya ketawa kecil.

“Kenapa? Malu ke? Kali pertama ke kena cium?”

Micheal kaku. Memang, seumur hidupnya, itu kali pertama seorang perempuan mencium pipinya. Dia terkelu, tak tahu nak jawab apa.

Selena tengok Micheal dengan wajah penuh manja.

“Herodes... aku tahu kau sayang aku. Jangan risau, aku akan jaga kau. Kita akan bahagia.”

Micheal hanya mampu senyum kelat, hati dia berperang hebat.

Di ruang tamu, Rose duduk bersama ibu bapa Selena. Bau kopi O panas memenuhi udara, cawan mereka terhidang di atas meja bersama sepiring kecil roti kosong. Rose mengambil sekeping roti, mencelup ke dalam kopi sebelum menggigitnya.

“Maaf ya, Rose.” kata ibu Selena perlahan, wajahnya penuh rasa bersalah.

“Auntie tak sempat nak masak apa-apa. Selena tadi... buat huru-hara dapur. Kami pun tak ada selera nak makan.”

Rose angkat tangan, cepat-cepat geleng sambil senyum.

“Eh, takpe auntie, uncle. Saya ok je. Lagipun, saya memang tengah diet.” Dia ketawa kecil, cuba menceriakan suasana.

Ibu Selena tersenyum nipis, tapi wajahnya masih jelas mempamerkan kebimbangan. Dia pandang suaminya, yang duduk di sebelah sambil mengacau kopi tanpa minat. Rose rasa sayu tengok keadaan itu—dua orang ibu bapa yang nampak letih, tapi masih bertahan demi anak tunggal mereka.

“Auntie, uncle, jangan risau sangat, ya?” kata Rose, suaranya lembut tapi penuh yakin.

“Setiap apa yang jadi ni mesti ada hikmah. Kita cuma kena sabar, tunggu, dan percaya. Micheal akan cuba yang terbaik untuk tolong Selena.”

Ibu Selena tarik nafas panjang. Matanya berkaca, tapi dia cuba tahan air mata.

“Selena... dia satu-satunya anak kami. Kami cuma nak dia bahagia, nak tengok dia berjaya. Tapi sekarang...” Suaranya tersekat.

Rose letak roti di pinggan, memandang ibu Selena dengan mata penuh empati.

“Auntie, uncle... semua orang ada ujian masing-masing. Saya tahu benda ni berat, tapi percayalah, Tuhan tak akan bagi kita lebih daripada yang kita mampu tanggung. Yang penting, kita ada usaha, doa, dan percaya pada Dia. Micheal pun ada di sini sebab dia nak tolong Selena. Kita sama-sama doakan yang terbaik, ya?”

Ibu Selena mengangguk perlahan, sambil mengesat mata dengan sehelai kain yang sudah lusuh. Ayah Selena, yang tadi diam, akhirnya bersuara.

“Terima kasih, Rose. Kami lega sekurang-kurangnya ada orang yang faham situasi kami.” katanya sambil menepuk bahu isterinya.

Rose senyum lebar.

“Tak apa, uncle. Kita ni seperti satu keluarga. Kalau bukan kita yang tolong satu sama lain, siapa lagi? Lagipun, Micheal memang jenis tak suka tengok orang susah. Dia mesti takkan putus asa dengan Selena.”

Ibu Selena tersenyum kecil. Suasana di ruang tamu sedikit lega, walaupun cabaran di depan masih besar. Dalam hati Rose, dia berdoa supaya Micheal kuat hadapi semuanya—dan supaya Selena dapat kembali ke landasan yang betul, untuk kebaikan semua orang yang sayangkan dia.

Micheal berdiri di sudut bilik, menyusun bunga yang dia bawa untuk Selena ke dalam pasu. Jari-jarinya berhati-hati, memastikan setiap tangkai bunga berdiri sempurna. Dia tak mahu kelihatan kekok, tapi kehadiran Selena yang duduk di tepi katil sambil merenungnya buat dia tak senang duduk.

Selena tersengih kecil, dagu bertongkat di lutut. Pandangannya lekat pada Micheal.

"Herodes... kau ni memang tampan lah." Dia ketawa kecil.

Micheal tersentak sedikit, hampir terjatuh sekuntum bunga di tangannya. Wajahnya merah seketika, masih teringat pada ciuman Selena di pipinya tadi. Dia cuba berlagak tenang sambil menyusun bunga terakhir.

“Dah siap.” katanya pendek, sebelum bangun dan mengelap tangannya pada seluarnya.

“Selena, kau lapar? Nak makan apa-apa?”

Selena geleng kepala sambil tersenyum manja.

“Tak. Tengok muka kau pun aku dah kenyang.”

Micheal terkedu, tak tahu nak jawab apa. Dia hanya mampu menggaru belakang kepala, cuba hilangkan rasa segan.

“Err... Kalau macam tu, lain kali aku datang lagi, ya?”

Selena angguk laju. Tapi sebelum Micheal sempat melangkah keluar, Selena bangun dan terus memeluknya erat. Tubuh mereka bersentuhan, dan Micheal rasa jantungnya berdetak lebih kencang daripada biasa.

“Selena...” suara Micheal perlahan, cuba kendurkan pelukan itu, tapi Selena tak lepaskan. Sebaliknya, dia bersuara lembut, hampir seperti berbisik.

“Kau tahu tak, dulu aku dan Hector suka buat macam ni? Kami berpelukan, menari, dan kadang-kadang...”

Selena berhenti sejenak, kemudian sambung dengan suara yang lebih perlahan, “bercumbuan. Walaupun cuma dalam angan-angan, aku rasa... indah sangat.”

Micheal terdiam, tubuhnya terasa kaku. Dia tarik nafas panjang, cuba mencari kata-kata yang sesuai, tapi Selena sudah mendongak, menatap wajahnya dengan mata yang penuh harapan.

“Herodes...” Selena memanggil perlahan. “Kau tak nak ke buat macam tu dengan aku?”

Micheal terkejut. Soalan itu menusuk terus ke dadanya. Dia tak tahu nak jawab apa, mulutnya terkunci. Wajah Selena begitu dekat, penuh keikhlasan, tapi dia tahu ini salah. Dia bukan Herodes. Dia bukan lelaki yang Selena anggap sebagai cinta sejati dalam dunianya yang pernah terganggu.

“Selena...” Micheal akhirnya bersuara, nadanya berat. “Kita... kita tak boleh macam tu. Kau kena faham.”

Selena diam, keningnya sedikit berkerut.

“Kenapa tak boleh? Kau tak sayang aku ke?”

Micheal telan liur, cuba menyembunyikan rasa bersalah yang semakin menyesakkan dada. Dia tahu, jawapan apa pun yang dia beri, akan sukar diterima oleh Selena. Tapi dia juga tahu, dia tak boleh terus membiarkan Selena hanyut dalam fantasi ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience