Bab 1: Rumah Depan Tu... Ada Manusia Ke?

Family Completed 152

Cuaca pagi itu panas membahang. Matahari seakan baru lepas keluar dari bilik sauna. Tapi peliknya, tiga jejaka bujang yang tinggal di rumah hujung lot itu masih sempat berjoging keliling taman, baju sukan mereka lencun dek peluh, tapi wajah masing-masing masih segar macam baru keluar dari majalah fesyen lelaki.

Tiga jejaka, tiga kereta, satu rumah.

Ray, nama penuhnya Fawwaz Rayyan - seorang doktor di hospital swasta yang terkenal dengan pesonanya yang tenang dan suara yang boleh buat pesakit tekanan darah tinggi jadi stabil.

Ariq, atau Ariq Mikhail - jurutera mekanikal yang mulutnya petah, selalu jadi punca rumah mereka riuh pagi-pagi.

Dan Ayd, Zareeq Ayden - peguam muda yang berprinsip, bijak berdebat, tapi selalu kalah bila kena basuh baju sendiri.

Mereka bertiga baru saja sampai di hadapan rumah setelah hampir sejam berjoging. Peluh masih meleleh di dahi, tapi masing-masing steady macam baru balik dari gym ber-aircond.

Ariq menyandar ke tiang pagar sambil meneguk air mineral.

"Aku tengok rumah depan kita ni... motor ada tiga, tapi bayang orang tak pernah nampak. Macam rumah orang tinggal. Korang perasan tak, Ayd? Ray?"

Ray hanya angguk perlahan, sementara Ayd menjongket kening.

"Mungkin kerja syif malam. Atau vampire. Siang tidur, malam keluar," Ayd berseloroh.

Tiba-tiba...

Krikk...

Bunyi pintu pagar rumah depan mereka dikuak perlahan. Serentak tiga-tiga lelaki itu menoleh.

Keluar dari rumah itu seorang gadis, bertudung bawal kelabu yang labuh menutup dada, berbaju lengan panjang longgar, dan berkain batik. Langkahnya tenang, wajahnya polos tanpa solekan, tapi cukup manis hingga Ariq nyaris tersembur air mineral.

Ray perlahankan tegukan airnya, mata tak berkelip.

Ayd berdiri tegak macam kena 'pause'.

Gadis itu, Eryna Sofia - dipanggil Ryn oleh rakan serumahnya - sedang berjalan ke luar pagar rumahnya. Tudungnya dilipat kemas, rambut langsung tak kelihatan, penampilannya sederhana tapi ada aura tersendiri. Dia memegang telefon sambil memandang ke arah jalan - menunggu rider yang lambat bagaikan naik bas dari Johor.

Tanpa sedar, tiga pasang mata dari rumah hadapan sedang mengadakan mesyuarat tergempar.

"Kalau ini rupa orang rumah depan, aku rela tunggu dua tahun lagi untuk bercinta," bisik Ariq perlahan.

Ray diam, tapi tersenyum sipi. Ayd pula hanya menggeleng sambil bersuara perlahan,
"Cantik sopan dia tu, bukan biasa-biasa."

Sementara itu di dalam rumah Ryn...

Vanessa Veronica, atau VV, telah bangun dari tidur. Tudung sarung biru laut dah sedia tersangkut di hujung katil - dia memang jenis pakai tudung sebaik keluar bilik, walau rumah semua perempuan.

Dari dalam bilik, VV jenguk tingkap perlahan-lahan.

"Ryn keluar tunggu makanan kot. Tapi... eh, kenapa tiga-tiga mamat rumah depan tu tengah tengok dia semacam?"

Hana Marissa, sedang berbaring dalam selimut tebal, bersuara garau ala bangun tidur,
"Weh, VV... aku dengar bunyi nasi lemak. Ryn order share ke sorang?"

"Kau tanya dia sendiri nanti... Tapi aku rasa mamat engineer depan rumah tu tengah crush dekat Ryn dah tu," bisik VV sambil muncung ke arah Ayden yang masih menyandar di pagar sambil buat-buat tak tengok tapi mata asyik tenung.

Maka pagi itu menjadi titik mula - di antara dua rumah, enam jiwa, dan mungkin... enam hati yang bakal saling menguji.

Ryn berjalan tenang menuju ke pagar, tudung kelabunya beralun ditiup angin pagi. Dengan tangan kanan dia genggam telefon, tangan kiri seluk poket kain batik - semata-mata nak pastikan duit tak terbang.

Sebuah motosikal berhenti perlahan di hadapan pagar. Grab rider menghulur plastik berisi makanan. Ryn tersenyum sopan.

"Terima kasih, bang. Ini bayaran dia. Yang teh ais satu lagi tu letak luar je, ya. Tak muat tangan nak bawa semua."

Rider angguk sambil balas senyum, lalu berlalu pergi.

Sebaik Ryn berpaling nak masuk semula ke dalam pagar tetiba ada suara kedengaran...

"Kadang-kadang... ada bunga yang tak perlu mekar sangat pun, dah cukup buat taman depan rumah ni rasa hidup."

Tersentap langkah Ryn. Dia menoleh sedikit, buat-buat tengok jalan. Tapi sempat dia perasan suara tu datang dari arah jejaka yang berdiri di sebelah tiang pagar rumah depan. Ray. Yang tadi diam dan tenang, tapi sekarang... bagi ayat macam puisi petang Khamis.

Ariq bersandar tangan ke kepala, nak sorok senyum yang makin lebar. Ayd pula sudah tunduk, berpura-pura ikat tali kasut walaupun dia pakai selipar.

Ryn tak menjawab, cuma senyum sipi. Langkahnya makin laju ke dalam pagar, pipi dah mula hangat.

"Woi, sado depan rumah tu mula dah berpantun."
Suara dari dalam rumah kedengaran. Pintu utama dibuka serentak.

Keluar seorang gadis bertudung peach lembut, berseluar palazzo dan t-shirt lengan panjang. Wajahnya kelihatan masih segar lepas mandi. Hana Marissa.

"Ryn, teh ais aku mana?"
Dia menjenguk dari tangga depan rumah sambil gosok mata.

Tak sempat Ryn nak jawab, muncul pula gadis terakhir - Vanessa Veronica, VV - bertudung bawal hitam polos, t-shirt oversized dan kain lipat. Dia jinjit bantal kecil di tangan sambil jalan ke luar macam zombie comel.

"Aku mimpi kita dapat nasi lemak free tadi... rupanya real. Grab sampai ke?"

Tiga sahabat. Tiga karakter. Satu misi: kenyang sebelum tengah hari.

Dan dari seberang jalan, tiga jejaka itu... masih terpaku.

Ray tenung Ryn sekejap sebelum masuk rumah, Ariq pula hampir tersembur air bila pandang Hana yang bermuka blur baru bangun. Ayd, buat-buat tengah check jam tangan tapi matanya sebenarnya dah 'lock' ke arah VV yang duduk bersila di anak tangga sambil buka plastik makanan.

"Aku rasa... rumah depan kita ni tak sunyi lagi dah lepas ni," Ariq bersuara sambil senyum nakal.

"Tak sunyi, tapi mungkin makin bergegar," balas Ayd, menguis dagunya perlahan.

Ray hanya senyum kecil. Dalam hati, dia tahu - pagi ini bukan pagi biasa. Dan gadis bertudung kelabu itu... bukan sekadar jiran biasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience