Tetapi dia tidak menyangka akan perbuatan adiknya terhadap Aisyah . Encik kamal mula merasa bersalah . Faris segera berdiri dan menyambut salam Encik Kamal dengan penuh hormat.
" Tahniah, Faris,” ucap Encik Kamal sambil menggenggam erat tangan lelaki itu. “Mulai hari ini, Aisyah amanah kau. Bukan sekadar isteri… dia anak yatim yang selama ini aku jaga macam darah daging sendiri.”
" Faris mengangguk perlahan, wajahnya serius. “Saya faham, paklong . In shaa Allah saya akan jaga dia sebaik mungkin.” Jawab Faris dengan lembut . Aisyah sudah bergenang dengan air mata . Satu-satu yang dia ada adalah Paklong!
Encik Kamal menepuk bahu Faris.
“Paklong tak minta lebih. Cuma satu jadilah tempat dia berlindung. Dia dah cukup lama hidup dalam kehilangan. Jangan tambah luka dalam hidup dia. Bimbing dia dengan sabar, bukan dengan amarah. Bila dia degil, didik dengan kasih. Bila dia lemah, pimpin dengan iman.” Mata Faris sedikit berkaca mendengar nada suara yang penuh makna itu.
" Aisyah ni jenis diam, tapi dia simpan semuanya dalam hati. Jangan biar dia pendam. Bila kau rasa tak faham dia, belajarlah untuk duduk dan dengar.”
" Faris mengangguk lagi, kali ini lebih tegas. “Saya janji, paklong . Saya tak akan abaikan dia.” Faris menoleh, pandangannya jatuh pada Aisyah. Dan dalam diam, dia berikrar dalam hati apa pun yang terjadi, dia akan pertahankan gadis itu. Bukan kerana kasihan, tapi kerana dia kini tanggungjawab dan amanah yang harus dijaga hingga akhir hayat.
Kereta bergerak perlahan meninggalkan perkarangan masjid. Suasana dalam kereta sepi, hanya bunyi enjin dan deruan pendingin hawa menemani. Faris memandu dengan tenang, sekali-sekala mencuri pandang ke arah Aisyah yang duduk di kerusi penumpang, tangan bertaut di riba, matanya memandang ke luar jendela.
Dia masih kelihatan seperti Aisyah yang dulu tenang, sedikit pendiam, tapi hari ini ada sesuatu yang berbeza. Wajahnya berseri, namun di balik senyuman kecil itu, Faris tahu pasti ada debaran yang tak mampu diluah.
"Aisyah okay ?" Soalnya perlahan .
Aisyah mengangguk, namun tidak menoleh. “Okay.”
Saya tak janji semuanya akan indah,” sambung Faris, suaranya tenang. “Tapi saya janji satu… saya takkan biar awak tanggung semuanya sendiri. Saya akan ada, walau awak rasa tak ada sesiapa.”
Air mata Aisyah bergenang di hujung mata. Dia menahan, tapi bibirnya sudah bergetar. “Terima kasih, Faris.” Faris hanya mengangguk perlahan. Dan untuk beberapa saat, sunyi dalam kereta terasa sangat selesa. Bukan kerana mereka tidak tahu mahu bercakap apa, tapi kerana mereka sedang belajar membaca bahasa hati masing-masing tanpa perlu terlalu banyak kata. Dan di dalam hati Aisyah, satu rasa mula tumbuh rasa selamat.
Langit malam menggantung sunyi. Di dalam bilik yang kini menjadi ruang pertama mereka sebagai suami isteri, Aisyah duduk di hujung katil, tangan bermain-main dengan hujung selendang yang masih belum ditanggalkan. Bilik itu sederhana tapi kemas, dengan bau harum mawar putih yang lembut menusuk hidung.
Faris masuk setelah selesai membersihkan diri, berkemeja-T kelabu dan kain pelikat. Dia kelihatan sedikit kekok, tidak seperti seorang detektif yang selalu tenang di lapangan.
" Kalau awak penat, awak boleh tidur dulu,” katanya perlahan, tidak mahu memecahkan suasana yang sudah cukup tegang. Aisyah mengangguk, tapi tidak bergerak. Dia masih menunduk, tangan kini menggenggam erat bantal kecil di sisi. Faris duduk di birai katil, menjaga jarak. Dia tidak mahu Aisyah rasa terpaksa. Dia tahu ini semua terlalu baru, terlalu cepat pernikahan yang bermula bukan dari cinta, tapi dari simpati dan takdir.
" Kalau awak rasa tak selesa, awak boleh cakap,” katanya lagi. “Saya takkan paksa apa-apa malam ni. Atau bila-bila pun.” Aisyah akhirnya menoleh, matanya bertemu dengan pandangan Faris. Wajahnya tenang, tapi dalam mata itu, ada sesuatu yang sukar dijelaskan campuran lega, takut, dan sedikit terharu.
" Faris…” suaranya perlahan, hampir berbisik. “Saya tahu perkahwinan ni bukan macam orang lain. Tapi saya nak cuba… untuk kenal awak . Untuk jadi isteri yang baik.”
Faris tersenyum nipis. “Saya pun nak cuba. Kita tak perlu tergesa-gesa. Kita belajar sama-sama. Mulakan perlahan-lahan.” Aisyah mengangguk lagi. Sunyi antara mereka terasa selesa buat pertama kali. Faris bangun, mengambil selimut tambahan, dan meletakkannya di sebelah Aisyah.
" saya tidur atas lantai dulu malam ni, ya? Bagi awak ruang.” Aisyah tersentak sedikit. “Tak perlu… awak boleh tidur sini. Katil ni luas. Kita tak buat apa-apa pun, kan?” Faris pandang Aisyah lama. Kemudian dia hanya tersenyum, dan perlahan-lahan naik ke katil, masih menjaga jarak. Lampu tidur dipadam. Cahaya malap menyinari separuh wajah Aisyah, dan Faris hanya menatap siling, mendengar degup jantung sendiri. Dan dalam gelap itu, dua jiwa yang asing mula belajar mengenal tenang, mengenal sabar dan mungkin suatu hari nanti, mengenal cinta.
Cahaya matahari pagi mencuri masuk melalui celah langsir berwarna krim. Udara masih dingin, dan bunyi burung bersahutan dari luar jendela. Aisyah perlahan-lahan membuka mata, sedikit bingung sebelum dia teringat dia kini bukan lagi tidur di bilik lamanya. Dia kini isteri orang .
Dia menoleh ke sisi. Faris tiada di atas katil. Hanya kesan lipatan selimut dan bau sabun lelaki yang tertinggal. Aisyah bangun, menyarung selendang nipis dan melangkah keluar perlahan. Suara sudu berlaga pinggan kedengaran dari dapur kecil di ruang seberang.
Dia menjenguk kepala. Faris sedang berdiri di depan cerek, menuang air panas ke dalam dua cawan. Terkejut sedikit melihat Aisyah di situ, dia tersenyum canggung.
" Eh, awak dah bangun. Saya buatkan teh je. Saya tak tahu awak suka apa waktu pagi.” Ujar Faris .
Aisyah tersenyum kecil. “Teh pun cukup. Terima kasih.” Dia melangkah masuk ke dapur perlahan-lahan dan duduk di bangku kecil berhampiran meja. Faris meletakkan secawan teh di hadapannya.
" Tidur okay malam tadi?” Faris bertanya sambil duduk bertentangan.
" Aisyah mengangguk, menyedut sedikit teh yang masih hangat. “Okay… Cuma… pelik sikit. Biasalah, suasana baru.”
Faris ketawa kecil. “Saya pun. Ini pertama kali saya tidur satu bilik dengan orang lain. Saya tidur keras semalam, takut terlanggar awak .”
Aisyah tersenyum kecil. “Terima kasih sebab jaga batas.”
Faris angguk. “Kita masih asing. Saya tak nak buat awak rasa terperangkap. Saya nak awak rasa
selamat.” Mata Aisyah mula berkaca, tapi dia tahan. Dia mengangguk perlahan.
Selamat… itu satu perasaan yang saya dah lama tak rasa.”
Faris diam sebentar, sebelum bersuara perlahan
" saya suami awak , Aisyah . Saya akan cuba melindungi awak dari segala bahaya . " kata Faris dengan suara yang perlahan . Aisyah mengangguk dengan senyuman kecil .
Petang itu langit mendung, seolah-olah menyembunyikan cahaya matahari di sebalik awan tebal. Faris memarkir keretanya di halaman rumah besar milik keluarganya. Rumah itu tersergam indah di pinggir bandar, tetapi tidak pernah benar-benar terasa seperti rumah bukan sejak dia membesar dengan lebih banyak teguran daripada pelukan.
Faris melangkah masuk setelah memberi salam. Pintu dibuka oleh pembantu rumah yang tersenyum sopan. Di ruang tamu, Puan Sabrina sedang duduk dengan secawan teh dan tablet di tangannya, menyemak resepi majlis keluarga minggu hadapan.
"Assalammualaikum , ma ." Faris memberi salam .
Puan Sabrina mengangkat kepala sedikit, bibirnya meleret senyuman hambar. “Waalaikumussalam. Kamu datang seorang?” .
" Faris mengangguk, menanggalkan kasut dan berjalan masuk. “Aisyah tak ikut. Dia letih sikit.” Faris berbohong , walhal dia yang tidak membenarkan Aisyah datang , bukan apa dia tidak mahu hati Aisyah terluka dengan perlakuan mamanya nanti .
Puan Sabrina menghela nafas perlahan, lalu meletakkan cawan teh di atas piring. Baguslah. Mama memang nak cakap dengan kamu pasal dia.”
Faris mengerutkan dahi sedikit . " kenapa mama ?
Puan Sabrina duduk tegak, gaya tubuhnya seperti seseorang yang sudah bersedia menyampaikan sesuatu yang dia rasa ‘perlu’ walaupun tidak menyenangkan.
" Mama harap kamu faham… rumah ni, bukan tempat yang sesuai untuk Aisyah. Dia bukan macam kita. Cara dia, latar belakang dia semua terlalu berbeza.”
Faris diam. Jantungnya terasa seperti diketuk perlahan.
" Mama bukan nak pandang rendah,” sambung Puan Sabrina. “Tapi Aisyah tu anak yatim. Dia dibesarkan dengan cara yang lain. Ma tak nak tetamu datang, keluarga kita datang, dan… ada mulut yang mula mengata. Mama nak jaga maruah keluarga.” Faris menahan nafas. Matanya tajam merenung wajah ibunya.
" Jadi Mama nak Ris datang sorang je setiap kali balik sini? Tinggalkan isteri saya macam tu?”
" Untuk sementara waktu,” jawab Puan Sabrina, tenang tapi tegas. “Sampai keadaan sesuai. Sampai Aisyah pandai bawa diri. Kamu tahu sendiri, dia bukan jenis yang pandai bergaul.”
" Faris menggeleng perlahan, hatinya disiat rasa kecewa. “Ma… Aisyah tu isteri Faris . Dia tak minta dilayan macam puteri. Dia cuma nak diterima.” Puan Sabrina terdiam, dan Faris melangkah keluar tanpa menoleh lagi. Di dalam kereta, dia termenung lama. Tangan di stereng, mata memandang jauh ke jalan yang sunyi. Dan dalam hati, dia tahu ujian sebenar rumahtangga mereka… baru sahaja bermula.
Langkah Faris perlahan menapak masuk ke dalam rumah setelah seharian berada di rumah mamanya, Puan Sabrina. Sinar lampu malap di ruang tamu menyambutnya, tenang dan damai. Hujan rintik-rintik di luar tingkap menambah suasana syahdu malam itu. Matanya segera tertancap pada sosok kecil yang terbaring di atas sofa . Dia tidur dalam posisi mengerekot, sehelai selimut nipis menutupi tubuhnya. Beberapa helaian rambut terurai di pipi, dan dadanya naik turun perlahan mengikut rentak nafas. Di tangan Aisyah, masih tergenggam buku agama yang entah bila dibacanya sebelum terlena.
Faris berdiri lama memandang. Entah mengapa, malam ini hatinya terasa lain. Ada satu debar halus mengetuk di dada. Aisyah tampak begitu polos. Tenang. Dan… indah.
Dia melangkah perlahan, duduk berhampiran sofa. Tangannya tergerak untuk menyelak rambut Aisyah yang menutupi wajah. Sentuhan itu ringan, namun cukup untuk membuat Aisyah bergerak sedikit, hampir menggeliat.
" Sayang…” kata itu terlepas perlahan dari bibir Faris, tanpa sedar. Faris menggenggam tangannya sendiri, menahan rasa yang mula menyelinap — rasa yang selama ini dia nafikan. Dulu dia kahwini Aisyah kerana simpati, kerana tanggungjawab. Tapi kini… dia sedar, dia mula melihat Aisyah bukan sebagai beban, tapi sebagai wanita.Wanita yang sabar.
Yang tak pernah membantah.
Yang sentiasa senyum meski dilukai.
Dan dalam lena yang tidak sedar itu, Aisyah membuat Faris jatuh cinta perlahan-lahan, Faris membetulkan selimut Aisyah, kemudian bangun dan menuju ke bilik, namun dia berpaling sekali lagi.
"Aku janji… aku akan mula belajar jadi suami yang mencintai, bukan sekadar melindungi.”Langkahnya menghilang ke dalam gelap, namun hatinya kini cerah dengan satu perasaan yang baru: cinta.
Share this novel