Udara di dalam rumah agam Valegro semakin menyesakkan. Meskipun hujan di luar sudah reda, kesejukan yang menyelimuti tempat itu terasa tidak normal. Seperti ada sesuatu yang bersembunyi di dalam bayang-bayang, mengintai setiap pergerakan mereka.
Riven masih berdiri di hadapan cermin yang pecah itu. Tulisan goresan yang muncul entah dari mana masih terpampang jelas:
"Jangan percaya apa yang kau nampak."
Dia menarik nafas dalam, cuba menenangkan fikirannya. Dia bukan jenis yang mudah takut, tetapi sejak menjejakkan kaki ke dalam rumah ini, ada sesuatu yang tidak kena. Dia dapat rasakan bulu romanya sentiasa meremang.
"Detective?"
Seorang pegawai penyiasat, Noah, mendekatinya. Wajahnya serius.
"Kami dah periksa seluruh bilik. Tak ada sebarang kesan pencerobohan. Tak ada sidik jari selain mangsa dan penghuni rumah."
"Tapi mesej ni?" Riven menuding ke arah tulisan di cermin. "Takkan muncul dengan sendiri."
Noah mengetap bibir. "Mungkin kerja seseorang dalam rumah ni."
Riven mengangguk perlahan. "Atau sesuatu."
Noah memandangnya pelik, tetapi tidak bertanya lanjut.
"Bagaimana dengan latar belakang Annelise Carter?"
"Kami dah semak. Dia bekerja di rumah ini sejak setahun lalu. Tak ada rekod jenayah, tak ada musuh yang diketahui. Keluarga Valegro kata dia seorang yang baik dan rajin."
"Jadi, kenapa dia mati?"
Noah menggeleng. "Itu yang kita kena cari tahu."
Riven mengalihkan pandangan ke arah mayat Annelise yang masih tergantung di siling. Sesuatu mengganggu fikirannya. Dia menghampiri tubuh kaku itu dan meneliti tangan mangsa.
"Potong tali tu."
Seorang pegawai forensik segera melaksanakan arahan. Dengan berhati-hati, mereka menurunkan mayat Annelise.
Riven mencangkung di sisi tubuh itu dan mengangkat tangan mangsa perlahan. Dia melihat sesuatu yang membuatkan dahinya berkerut.
Kuku Annelise patah. Seperti dia cuba mencakar sesuatu.
Riven segera meneliti lantai di bawah mayat itu. Jari-jarinya menyentuh kayu yang sejuk sebelum dia perasan sesuatu—goresan samar di permukaan lantai.
Dia menarik lampu suluhnya dan menyuluh dengan lebih dekat. Ada sesuatu yang terukir di situ, sangat halus tetapi jelas.
Satu perkataan.
"Nox."
"Apa maksudnya?" Noah bertanya.
Riven tidak menjawab. Fikirannya ligat berputar.
Nox.
Dia pernah dengar perkataan itu sebelum ini. Dalam bahasa Latin, ia bermaksud "malam" atau "kegelapan". Tapi adakah itu petunjuk sebenar, atau sekadar kebetulan?
"Seseorang cuba tinggalkan mesej sebelum mati." Riven menggumam.
Noah menelan liur. "Tapi siapa yang dia cuba beri amaran?"
Riven mendongak, matanya kembali ke arah cermin yang retak.
"Jangan percaya apa yang kau nampak."
Mungkin, mesej itu bukan untuk sesiapa sahaja.
Mungkin… ia untuk dirinya sendiri.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya bergetar. Dia segera mengeluarkannya dari poket. Satu mesej tanpa nama muncul di skrin.
"Dia sedang memerhati."
Jari Riven menegang di atas skrin. Nafasnya terasa berat.
Dia berpaling ke arah Noah, tetapi sebelum sempat dia bersuara—
BAM!
Bunyi kuat bergema dari tingkat bawah.
Noah terus mencapai pistolnya. "Apa tu?"
Tanpa menjawab, Riven segera berlari menuruni tangga. Pegawai lain turut bergegas mengikutnya.
Sebaik sahaja mereka tiba di ruang tamu, mereka melihatnya.
Pintu utama rumah itu—yang sebelum ini tertutup rapat—ternganga luas, seolah-olah seseorang baru sahaja keluar… atau masuk.
Tetapi tidak ada sesiapa di sana.
Hanya udara sejuk yang menghembus masuk, membawa bersama rasa seram yang semakin mencengkam.
Dan di lantai, tepat di hadapan pintu, ada satu lagi ukiran goresan.
Kali ini, ia lebih jelas.
"Jangan berpaling."
Bersambung…
wait for next episode<3
Share this novel