Chapter 12

Romance Completed 16002

BAB 12

“Batalkan pernikahan itu.’’ Suara Afiq yang datang memeranjatkan Rizal. Matanya tajam memandang abangnya itu. Dengan menggunakan tongkat itu, dia berjalan ke arah Rizal.
“Abang tolong jangan nak bertindak bodoh. Batalkan pernikahan ni.’’ Desak Afiq lagi. Dia tahu ini semua adalah kehendak Aliya. Tapi kenapa harus abangnya?

Rizal hanya membisu. Siapa yang berkehendakan pernikahan yang akan berlangsung esok hari. Pernikahan yang berdasarkan surat perjanjian. Meskipun pada awalnya dia memang merasakan surat perjanjian yang dibuat itu adalah satu kerja bodoh tapi hanya itu satu-satunya yang dapat dia lakukan. Dia percayakan kata-kata Aliya seperti yang terkandung dalam surat perjanjian itu bahawa Aliya tidak akan menuntut sebarang haknya sebagai isteri jika dia setuju menikahinya. Rizal mengeluh lemah.

“Majlis hanya akan berlangsung esok. Abang tak nak malukan keluarga diataskan kelakuan kau Fiq. Abang tak mahu mama dengan papa tahu sebab pernikahan ni.’’ Kata Rizal bangun dari tempat duduknya. Pantas Afiq menarik lenggannya.
“Aku sayangkan Liya, bang.’’ Katanya sambil memandang Rizal. Berharap agar Rizal mengerti perasaannya tatkala itu. Dia cintakan Aliya.
“Kalau kau sayangkan dia, sepatutnya dari awal kau tak buat dia macam ni.’’ Balas Rizal lalu merentap tangan adik lelakinya itu. Langkahnya terus berlalu. Afiq terkedu. Hatinya meruntun sakit.

SEPANJANG berlangsungnya majlis, aku hanya mampu menangis dalam hati. Terasa separuh nyawaku telah hilang bersama akad nikah yang dilafazkan Rizal tadi kepada adikku sendiri. Sungguh, ia amat menyakitkan. Sehingga mereka disandingkan di atas pelamin pun aku masih berharap ini semua adalah mimpi. Aku berharap aku akan tersedar dari mimpi ngeri ini tapi hakikatnya, ia adalah kenyataan yang terpaksa aku hadapi. Dia yang aku cintai kini telah sah menjadi milik saudaraku sendiri. Ia adalah kenyataan yang amat menyakitkan. Andai dapat aku mengundurkan waktu, aku tidak mahu menyintai dia dari awal. Tapi sayangnya, sejak dulu sehingga kami meningkat dewasa hanya dia yang sentiasa menghuni hati. Bahkan sewaktu dia datang mengusik hati ini, begitu mudah dia menjajahi sekeping hati milikku sedangkan insan lain tidak mampu.

Malam pertama pasangan pengantin tidur di rumah kami. Aku tidak mampu melelapkan mata walaupun sesaat. Sudah puas aku memujuk mataku agar melelapkan walaupun untuk seketika. Hampa semuanya. Akhirnya aku bangun dari pembaringan. Melihat jam di atas meja disisi tepat pukul 3 pagi. Aku mengeluh lagi. Perlahan-lahan aku melangkah ke luar pintu. Mataku terus tertancap pada bilik pengantin yang sudah gelap-gelita. Mungkin sudah hanyut dibuai mimpi malam pertama. Hatiku menangis lagi. Tiba sahaja langkah kakiku di dapur, aku melihat Rizal. Sedang membuka peti ais sambil mengambil jus oren yang berada di dalamnya. Jantung seakan berhenti berdenyut. Sebaik dia menutup peti ais, aku terus menoleh untuk kembali ke bilik semula tapi namaku dipanggil.

“Tak boleh nak tidur jugak?’’ katanya lagi. Aku terkedu. Jugak? Apa maknanya? Adakah dia cuba mengatkan bahawa dia pun tidak dapat melelapkan mata? Aku pantas menggeleng. Tidak mahu termakan kata-kata Rizal lagi. Dia hanya manis berkata-kata, pada hakikatnya dia tidak jujur.
“Tak lah, saya bukan tak boleh tidur, cuma..’’ aku berhenti seketika.
“Cuma haus!’’ tanganku terus mencapai gelas jus oren yang berada ditangannya. Sekali teguk, habis licin. Melihat senyuman Rizal membuatkan aku terkedu. Kenapa aku boleh ambil gelasnya ni? Ahh.. aku malu tiba-tiba.
“Maaf,’’ kataku spontan sambil menghulurkan gelas itu kepadanya kembali.
“Untuk Anis, usahkan berkongsi gelas. Berkongsi bilik pun Rizal sanggup.’’ Kata-katanya membuatkan aku sekali lagi terkedu. Hatiku terasa pedih tiba-tiba biarpun itu hanya usikan. Aku terus ingin berlalu tapi tanganku diraih.

“Anissa, tolong jangan tinggalkan Rizal.’’ Bisiknya perlahan. Aku terkesima mendengarnya. Biarpun perlahan tapi menusuk terus ke dalam jiwa. Kenapa harus dia buat hatiku berdebar-debar dengan setiap patah bicaranya? Kenapa dengan dia? Kenapa harus dia menyentuh hati ini lagi sedangkan dia tahu dia kini sah bergelar suami orang. Aku menggeleng lemah. Mengingatkan hati bahawa lelaki ini adalah suami adikku. Harus sedar siapa aku dan siapa dia. Tanganku terus merentap tangannya.

“Kalau betul Rizal mahukan Anis bahagia, bahagiakan Aliya. Cintailah dia sebagai isteri. Lupakan Anissa.’’ Tutur aku perlahan. Dia menunduk seketika. Mungkin sedar akan khilafnya sebentar tadi.

“Rizal akan cuba bahagiakan Aliya seperti yang Anissa mahu. Tapi untuk menyintai, cukuplah seorang. Tiada siapa yang dapat mengisi ruang itu dihati Rizal selain Anissa.’’ Balasnya. Aku hanya diam membisu mendengarnya. Sebelum ada takungan air di kolam mata ini, aku memilih untuk terus pergi.

Masuk sahaja ke dalam bilik. Kata-katanya tadi seakan pita rakaman yang diputar berkali-kali ditelingaku.

“Rizal akan cuba bahagiakan Aliya seperti yang Anissa mahu. Tapi untuk menyintai, cukuplah seorang. Tiada siapa yang dapat mengisi ruang itu dihati Rizal selain Anissa.’’

Aku terus menekup telinga. Aku memasang radio agar dapat mengusir kata-katanya tadi tapi entah kenapa lagu yang disajikan pun seakan mahu menghukum aku. lagu Ketentuan yang dinyanyikan oleh Ramlah Ram itu sedikit sebanyak membuatku sedar.

Tak semudah kau sangka

Melepaskan kau pergi

Hati yang meronta, hampa kecewa

Ke tekad sembunyikannya dari pandanganmu

Aku rela begini

Berakhirnya di sini

Dari bersamamu terus berpura

Setelah cinta tiada lagi di hatimu

Ku hapuskan airmata

Dari mengiringi

Kesengsaraan mengharung perpisahan ini

Ku pujuk jiwa nestapa

Pendamkanlah duka

Pasrah pada lara ketentuan ini

Tak semudah kau rasa

Melepaskan kau pergi

Hati yang terluka dikunjung jua

Kerinduan yang tidak tertanggung…

Terhadapmu

Sesungguhnya

Ku tahu betapa sukar untukku

Menempuh hidup

Walau sehari tanpamu

Ku tersiksa

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience