BAB 23

Romance Completed 21305

Hari ini aku sendirian saja di rumah. Aku terpaksa meminta cuti sakit memandangkan perutku semakin kuat memulas. Aku sudah mula mual-mual dan muntah-muntah. Badanku sungguh lesu. Mungkin tanda-tanda mengandung semakin menampakkan diri. Entah berapa kali aku berulang alik ke bilik air untuk memuntahkan segala isi perutku.

Seleraku benar-benar mati. Waktu ini Hafiz dan Kak Tiha pergi ke bandar sekejap untuk membeli bahan-bahan untuk memasak. Kalau ikutkan hati, memang aku mahu ikut tapi kerana kudratku yang sungguh lemah membuatkan aku membatalkan niatku. Hafiz pun meminta aku berehat sahaja di rumah.

Sedang aku asyik mengelamun, tiba-tiba kedengaran sayup-sayup orang mengetuk pintu. Kuat. Mungkin Hafiz dan Kak Tiha dah balik. Aku segera turun ke tingkat bawah rumahku untuk menuju ke muka pintu utama. Perlahan-lahan aku membuka kunci dan pintu namun belum sempat aku membukanya sepenuhnya, tiba-tiba pintu itu ditolak kasar sehingga membuatkan aku jatuh tersungkur di belakang.

Aku panik. Kelihatan beberapa orang lelaki berbaju hitam dan bertopeng sedang meluru laju ke arahku. Aku cuba bangkit untuk melawan namun kudratku yang begitu lemah menghalang aku untuk berbuat demikian. Lelaki itu cepat-cepat mencengkamku kuat. Aku meronta kuat. Aku cuba merentap kasar pegangan mereka namun tidak berjaya.

“Hoi, lepaskan aku! Korang siapa?!”

Teriakku. Aku cuba menendang lutut salah seorang dari mereka.

“Diamlah!!”

Jerit salah seorang dari lelaki itu. Dia menghentak kasar kepalaku beberapa kali. Tubuhku disepak kuat. Mataku terasa berpinar-pinar. Kepalaku berpusing. Tubuhku terasa sakit sangat. Bahu kiriku yang ada parut kesan tembakan dulu mula terasa sengal dan pedih. Ada titisan darah mula mengalir dari celah gigi dan hidungku.

“Tolonglah lepaskan aku! Abang Hafiz..tolong!”

Jeritku lagi namun kali ini suaraku sekadar bergema di kerongkong. Tubuhku semakin lemah. Tiba-tiba aku merasakan tubuhku didukung kasar dan dibawa ke arah sebuah van yang sudah menunggu di luar pagar rumah. Kepalaku semakin berat dan berat. Kemudian, aku tidak tahu apa berlaku seterusnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience