Solat Maghrib itu aku lakukan dengan perasaan yang sungguh janggal. Namun, berkat pertolongan dan ajaran dari Kak Tiha, sedikit sebanyak aku dapat mempelajari asas tertib solat yang betul. Kak Tiha mengajak aku solat berjemaah bersama-sama Hafiz. Katanya Hafiz sebagai imam, kami sebagai makmun.
Sepanjang solat berjemaah itu, hatiku sering terusik setiap kali mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran yang meniti di bibir Hafiz. Dia begitu fasih mengungkapkan setiap ayat-ayat al-Quran dengan mendayu-dayu. Walaupun aku tidak mengerti maksudnya namun mendengarnya saja pun membuatkan jiwaku sungguh tenang. Tidak pernah aku berasa setenang ini. Air mataku hampir menitis apabila mengingatkan betapa jauhnya aku dengan Allah selama ini. Bayangkan sejak aku kecil hingga dewasa, tidak pernah sekalipun ada orang mengajarku tentang solat dan Islam. Hidupku bergelumang dengan kejahatan dan kemaksiatan.
Pendek kata, hari-hari yang aku belajar cuma cara-cara untuk mengembangkan sayap perniagaan haram Abang Bob. Zaman kanak-kanakku pula disia-siakan oleh ayahku yang tidak berhati perut! Kerana ayah, masa depan aku hancur lebur. Kerana ayah, maruah aku hilang entah ke mana.
Usai solat Maghrib, Hafiz memberi sedikit tazkirah untuk aku dan Kak Tiha. Tazkirahnya lebih menyentuh soal ketuhanan, kisah rasul-rasul dan akidah Islam yang selama ini tidak pernah aku tahu. Hafiz juga menyentuh soal taubat nasuha. Hatiku cukup tersentuh. Tanpa kusedari ada manik jernih sedang mengalir di pipiku. Sungguh aku rasa sebak apabila mengingatkan dosa-dosaku yang terlalu banyak. Adakah Allah akan menerima taubat hamba yang hina sepertiku? Ya Allah, aku sudah banyak melakukan dosa. Selama ini aku berada dalam kesesatan yang nyata, jauh dari sinar hidayahMu Ya Allah. Aku leka dengan kesenangan dan kebahagiaan duniawi yang langsung tidak memberi erti apa-apa kepada manusia, malah kelekaan itulah yang akan menjerat diriku dalam lembah api neraka di akhirat kelak. Bila mengingatkan soal balasan di akhirat, aku semakin sebak. Ya Allah, tolonglah ampuni segala dosaku. Akulah hambaMu yang hina Ya Allah……Aku merintih pilu.
Share this novel