Get the app for full experience
Beberapa hari selepas bengkel puisi, langit Kuala Lumpur seolah-olah turut larut dalam perasaan yang belum selesai. Hujan turun renyai, membasahi bumi dan hati yang mula belajar tentang rindu.
Rayqal duduk di meja kopi sebuah kafe kecil, tidak jauh dari universiti. Di hadapannya, dua cawan kopi panas dan sebuah buku puisi miliknya yang belum siap disusun.
Pintu kaca berbunyi. Ana melangkah masuk, mengibas hujan dari tudungnya. Senyumannya masih sama yang menenangkan.
"Maaf lambat. Hujan tahan saya," katanya sambil duduk.
"Hujan memang suka jadi alasan yang indah," balas Rayqal sambil menyuakan cawan kopi kepadanya.
Mereka berbual seperti biasa. Tapi hari itu, ada sesuatu yang lain. Mungkin pada pandangan mata yang lebih lama bersatu, atau pada diam yang tidak lagi janggal.
"Rayqal, kenapa awak selalu menulis tentang kehilangan?"
Soalan itu membuatkan lelaki itu diam sejenak. Dia memandang ke luar tingkap, ke titisan hujan yang jatuh perlahan.
"Kerana kehilangan mengajar saya tentang menghargai. Dan puisi… adalah cara saya berterima kasih pada apa yang pernah saya ada."
Ana mengangguk perlahan. "Saya harap satu hari nanti, saya pun akan ada dalam salah satu puisi awak. Bukan sebagai kehilangan. Tapi sebagai yang tinggal."
Rayqal memandang Ana, lama. Kata-katanya tidak dijawab, hanya disimpan dalam dada. Tapi dalam diam itu, ada janji yang sudah mula ditulis – bukan di atas kertas, tapi dalam hati.