Bab 21

Thriller Series 1109

SELEPAS subuh,mereka bersedia di ruang tamu.Fazziq dan Xiao berjaga hingga ke pagi kerana tidak mengantuk.Tubuh dan fikiran mereka terasa lesu.Semua menanti panggilan telefon dari Abang Zul.Patung itu diletakkan siap-siap di dalam kotak besi kecil dan ia diselit dalam beg sandang Fazziq.

Zarul kelihatan normal pada pagi itu.Dia tidak ingat apa yang telah dilakukannya pada Ganesh dinihari tadi.Rakan-rakannya mengambil keputusan untuk tidak memberitahunya kerana khuatir Zarul akan dihantui perasaan bersalah.

Cuma yang menjadi kehairanannya ialah jari-jemarinya yang terasa sakit.

"Kenapa Rul?"tanya Isyraf.

"jari-jemari aku ni sakit.Tak tahu kenapa."balas Zarul.Mukanya berkerut-kerut.

Rakan-rakan yang lain berbalas pandangan.Tangan Zarul sakit kerana mencekik Ganesh dengan kuat pagi tadi.

Ganesh yang berada di dapur menyentuh lehernya.Masih berbekas rasa perit akibat dicekik Zarul.Namun dia tidak menyalahkan Zarul kerana ia bukan dari kehendak lelaki itu sendiri.Zarul dikawal oleh satu nafsu aneh dan ganas.Tentang Fazziq,dia masih marah dengan lelaki nakal itu.Jika tidak kerana Fazziq,tidaklah semua ini berlaku.Sekarang tidak pasal-pasal mereka kena kembali ke sana untuk mengembalikan patung kayu itu.

Dia kembali ke ruang tamu dan mengelak sebarang eye contact dengan Fazziq.Kemarahannya masih membara.Dia juga tidak ingin bertengkar jadi lebih baik dia mendiamkan diri dan mengelak sebarang bentuk komunikasi dengan Fazziq.

Fazziq perasan dengan perubahan dengan sikap Ganesh.Dia tahu Ganesh marah padanya dan tidak mahu bertegur sapa dengannya lagi selepas apa yang telah dia lakukan.Ya,ini semua salahnya dan Ganesh memang berhak untuk berasa marah.

Telefon bimbit Aniq berbunyi.Abang Zul yang menelefon.

"Waalaikumussalam bang.Ya,semua dah siap.Okey bang."

Talian diputuskan.Aniq memandang rakan-rakannya.

"Dalam lima minit lagi Abang Zul sampai.Patung tu mana?"soal Aniq.

"Ada dalam beg aku."jawab Fazziq.

Aniq mengangguk puas hati.Mudah-mudahan semuanya akan berjalan dengan lancar.Semoga apa yang sedang mengganggu ketenteraman mereka ini akan berhenti dari terus menghantui mereka.Dia sudah tidak sanggup lagi.

"Jom tunggu kat luar.Kunci rumah siap-siap."usul Xiao.

Mereka bersetuju dan menunggu kedatangan Abang Zul di luar sahaja.

Abang Zul hampir-hampir melanggar tong sampah besar selepas terdengar bisikan aneh di telinganya.Bisikan itu kedengaran marah dan mengugut membunuhnya dengan enam pemuda itu.

"Auzubillahiminasyaitanirrojim..."ucap Abang Zul.Dia segera beristighfar selepas berjaya mengelak tong sampah itu.

Dia menekan minyak dan memecut masuk ke simpang di mana rumah sewa enam pemuda itu berada.Dari jauh sudah kelihatan enam sekawan itu di luar.Dia memberhentikan kereta namun enjin tidak dimatikan.

Fazziq menyusup masuk ke dalam kereta dan mengambil posisi di sebelah pemandu.Manakala Zarul dan Xiao pula duduk di belakang.Aniq memandu keretanya sambil ditemani oleh Isyraf dan Ganesh.

"Dah ada?"tanya Abang Zul tentang patung itu.

Fazziq mengintai ke dalam beg dan mengangguk.

"Ada bang."ujar Fazziq.

Sebelum menyambung perjalanan,Abang Zul sempat melirik Zarul melalui cermin hadapan kereta.Pemuda itu kelihatan tenang dan sedang membuang pandang ke luar tingkap.Abang Zul membaca ayat suci dan memohon perlindungan dari Yang Maha Esa.Memohon supaya dilindungi perjalanan pergi dan balik.

Perjalanan dimulai dengan bacaan bismillah.Aniq mengekori dari belakang.Ganesh yang duduk di belakang memerhati segala gerak-geri Zarul.Sebagai langkah berjaga-jaga walaupun lelaki itu tidak berada dalam satu kereta dengannya.

"Kau macam mana Ganesh?Okey ke tak ni?"tanya Aniq.

"Aku okey.Kau pulak?"tanya Ganesh kembali.

Aniq turut mengalami kecederaan selepas pengsan.Kepala dan tubuhnya terhentak kuat pada lantai simen.Sama seperti Fazziq yang terhentak ke dinding sehingga membuatnya dalam kesakitan yang amat sangat.

"Alhamdulillah walaupun masih pening-pening sikit."balas Aniq seraya menggosok-gosok dahi.

"Kalau masih pening,bagi aku drive."usul Isyraf sambil memegang stereng.Mukanya kaget.

Mahu ke longkang nanti kalau Aniq memandu dalam keadaan pening-pening lalat.Aniq tergelak.

"Aku okey!Jangan bimbanglah.Takkan ke longkang punya."ujar Aniq bagaikan tahu sahaja apa yang terlintas di kepala Isyraf.

Isyraf tersengih seperti kerang busuk.

"Entah kenapa aku tak sedap hati."ujar Ganesh secara tiba-tiba.

Isyraf dan Aniq terdiam.

"Aku harap Zarul tak mengamuk."sambung Ganesh lagi.

Aniq dan Isyraf menelan liur.Ada benar kata-kata Ganesh.Tidak mustahil Zarul akan mengamuk kerana keadaannya yang boleh dirasuk pada bila-bila masa.Selepas mengembalikan patung itu ke sana,mereka akan menghantar Zarul ke rumah Haji Hamid sekali lagi untuk dirawat.Haji Hamid akan merawat Zarul dengan kaedah perubatan Islam.

Selepas 30 minit,Zarul tiba-tiba menyanyi-nyanyi di belakang.Xiao dan Fazziq mula risau.Abang Zul pula tenang tetapi mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran.Zarul mengetuk-ngetuk cermin tingkap dengan gembira.Sambil menyanyi sambil jari-jemarinya menari di tingkap kereta.

Xiao mengengsot menjauhi Zarul.Duduknya sehingga mencium pintu kereta.

"Kenapa takut?Aku bukannya hantu."sindir Zarul.

Fazziq memandang Xiao dari cermin sisi.Lelaki cina itu sudah pucat lesi kerana ketakutan.Seperti jangkaan Ganesh,Zarul dirasuk sekali lagi ketika dalam perjalanan.Mungkin kerana makhluk yang menghuni tubuh Zarul tidak mahu dihantar pulang.

Zarul mengengsot mendekati Xiao yang menggigil.Dia tergelak dan menghampiri Xiao.

"Apa yang kau takutkan sangat ni kawan?Aku kawan kau kot."ujar Zarul.

Xiao memusingkan muka ke tingkap.Dia tidak sanggup memandang wajah Zarul yang kelihatan menakutkan itu.Dia memejamkan mata selepas tangan Zarul memeluk bahunya.

"Okey,aku mengaku.Aku hantu."bisik Zarul ke telinga Xiao.

Kemudian dia ketawa terkekeh-kekeh.Lucu benar baginya.Semakin Xiao takut semakin galak dia mengusik perasaan lelaki itu.

"Zarul."panggil Abang Zul.

Zarul memandang ke hadapan dan merenung Abang Zul dengan wajah bengis.

"Jangan ganggu Xiao.Duduk elok-elok."pesan Abang Zul.

Zarul mendengus sambil menjeling Abang Zul yang tenang memandu.Dia memeluk bahu Xiao lebih erat dan ketawa berdekah-dekah.Sesekali bunyinya seperti mengilai.Meremang habis bulu roma Xiao dan Fazziq dibuatnya.

"Zarul."panggil Abang Zul sekali lagi.

"Peduli apa aku?Aku nak duduk ke,nak terlungkup ke nak bagi kau orang mampus ke!"jerkah Zarul.

Fazziq cemas.Dia memandang Abang Zul.Lelaki berusia 30-an ini tetap tenang dan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci.Pemanduannya langsung tidak terganggu.Abang Zul memang hebat kerana berjaya mengawal perasaannya walaupun di saat genting seperti ini.

"Kau yang bawa aku ke sini,lepas tu sesuka hati nak hantar aku balik?"marah Zarul sambil memandang dan menendang-nendang tempat duduk Fazziq.

"Ni kawan kau si Zarul,aku akan gunakan dia sampai dia mampus!"

"Astaghfirullah..."ujar Abang Zul mengucap panjang.

Memang benar,jika makhluk ini tidak diusir keluar dari tubuh Zarul,nyawa Zarul akan terancam.Ia sedang menghuni tubuh Zarul dan ini bermakna Zarul yang sebenar semakin lama semakin lemah.

"Macam mana ni bang?Boleh pergi ke dalam keadaan macam ni?"

Abang Zul memahami soalan Fazziq.Zarul sedang dirasuk,pasti aktiviti mereka terjejas.Tanpa menjawab soalan Fazziq,dia menekan minyak dan memecut laju meninggalkan kereta Aniq di belakang.

"Pecut bro!"kata Isyraf setelah melihat Abang Zul yang memecut tiba-tiba.

Aniq turut sama memecut dan dapat mengepung kereta Abang Zul.Dari belakang,mereka dapat membuat kesimpulan mungkin Zarul sedang dirasuk.Nampak dengan jelas keadaan Xiao dan Zarul.

"Ya ALLAH..."Hanya itu yang terlafaz dari mulut Aniq dan Isyraf.

"Aku dah cakap dah."kata Ganesh kesal.

Pasti Xiao,Fazziq dan Abang Zul dalam ketakutan.

"Habis tu macam mana ni?"tanya Isyraf bingung.

Bagaimana mahu meneruskan misi menghantar patung itu jika Zarul sedang mengamuk sakan?

"Abang Zul ada.Insya-ALLAH tak ada apa-apa."ujar Aniq percaya dengan Abang Zul.Dia yakin Abang Zul dapat mengawal keadaan.

Abang Zul memberhentikan kereta di bahu jalan.Tindakannya diikuti Aniq.Selepas itu,mereka bertiga bergegas keluar untuk melihat keadaan Abang Zul dengan yang lain.

"Bang."panggil Aniq sambil memandang Abang Zul yang baru keluar dari kereta dengan resah.

Abang Zul hanya tersenyum.

"Tak apa."ujar Abang Zul.

Pintu kereta belakang dibuka.Zarul masih memeluk bahu Xiao dengan kemas.Langsung tidak mahu melepaskan lelaki itu.

"Rul,lepaskan Xiao."pujuk Abang Zul.

Zarul memandang wajah-wajah mereka seorang demi seorang.Matanya memang sinis dan penuh dengan kebencian.

"Kau sayangkan aku tak Xiao?"tanya Zarul.

"Lepaskan aku Rul."

"Kalau aku tak mahu lepaskan kau,kau marah kat aku tak?"

"Jangan macam ni Rul.Please lepaskan aku."rayu Xiao.Bahunya sakit dan seperti mahu patah sahaja.Lengan Zarul memeluknya erat.Semakin lama semakin kuat.

"Siapa Rul?Hah?"

"Kau..."

"Aku bukan Zarul.Aku jembalang!"ujar Zarul lalu ketawa geli hati.Hilaiannya bergema memenuhi alam semesta.

Keadaan di sekeliling sunyi sepi.Rakan-rakan yang lain tergamam.Suara Zarul bertukar parau.Memang itu bukan suara Zarul yang sebenar.Sesekali ia berlapis-lapis di antara suara lelaki dan perempuan.

"Jangan macam ni Rul.Lepaskan aku."pujuk Xiao cuba untuk meloloskan diri tetapi gagal.

Tenaga Zarul seperti empat orang lelaki dewasa.Dia memang tidak mampu untuk melawannya.

"Nak ikut aku tak?"soal Zarul dengan muka seronok.

"Pergi mana?"tanya Abang Zul.

"Pergi mati."

Abang Zul mengeluh.Muka Xiao sudah merah padam.Kesakitan kerana diperlakukan begitu oleh Zarul.

"Fazziq."panggil Abang Zul sambil menoleh ke arah Fazziq.

"Bak sini patung tu."pintanya.Dia menghulurkan tangan.

Fazziq cepat-cepat membuka begnya dan menarik keluar kotak besi yang berisi patung itu.Dia menyerahkannya kepada Abang Zul.

"Bismillah.."ucap Abang Zul sambil membuka kotak dan menghembus ke arahnya selepas membaca ayat Kursi.

Zarul menggelepar kepanasan di dalam kereta.Peluang itu digunakan Xiao untuk membuka pintu dan meluru keluar.Dia dibantu oleh Ganesh yang memang sedia berdiri di sisi pintu kereta.Dia bertahan pada Ganesh sambil memegang bahu kiri yang sakit.

"Berhentilah bodoh!"jerit Zarul menyumpah seranah di dalam kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience