ANIQ menyenggol Isyraf sebaik sahaja tiba di kawasan berhutan.Suasana tidak secerah tadi.Mereka bersilih ganti mendongak memandang langit.Awan kelabu berarak di sana.Angin juga menderu lebih kuat dan aktif sekali menampar kulit mereka.
"Berdiri bulu roma aku."bisik Aniq.
Isyraf mengangguk.Secara jujurnya dia juga berasa perkara yang sama.Bulu romanya berdiri tegak sejurus kakinya memijak tanah itu.Suasana di sekitar diperhatikan.Banyak pokok bersaiz tiga pemeluk dan dedaun kering.Tanah yang sedang menampung mereka dilitupi dengan dedaun kering berwarna coklat keemasan.Tidak ubah seperti di musim luruh.
Tiada apapun yang kelihatan menakutkan di situ.Ya,suasananya boleh dikatakan indah,namun ada satu rasa yang sukar untuk mereka ungkapkan.Ia berlegar-legar di sekeliling dan semakin lama semakin merimaskan.
Abang Zul tidak berkata apa-apa selama beberapa minit.Dia hanya memerhati reaksi para pemuda itu.Membiarkan mereka merasai momen-momen aneh kerana selepas ini mungkin tiada ekspedisi mistik yang kedua buat mereka.
"Serius...rasa semacam aje."kata Fazziq separuh berbisik.
Dia yang hanya memakai t-shirt berlengan pendek memeluk tubuhnya.Jika berada lebih lama di situ,mungkin dia akan menggigil.
"Sebelum ni tempat ni memang ada ke setiap kali abang bawa orang?"tanya Ganesh.Syukur,dia tidak menemui apa-apa yang pelik di situ.
"Ada."balas Abang Zul pendek.
Ganesh mengangguk-angguk.Matanya melingas memandang ke sekitar.Nampak tenang tetapi mengapa bulu roma mereka merinding sejak tadi?Hatinya terdetik.
"Abang akan cerita lepas kita keluar dari sini."kata Abang Zul dengan sejalur senyuman pahit.
Dia tidak mahu bercerita di situ kerana ia bukanlah tempat yang sesuai.Jika boleh dia tidak mahu menyentuh tentang jin atau roh ketika di dunia itu.
"ALLAH!"jerit Zarul lalu terduduk.Jean hitam yang tersarung di kakinya habis dicemari tanah.
Rakan-rakannya panik.
"Kenapa ni Rul?"tanya Aniq dan Isyraf sambil berlari mendapatkan Zarul.
Zarul memegang lehernya.Pedihnya tidak terkata.
Abang Zul membuka sapu tangan yang membaluti leher Zarul dan terkedu tatkala melihat leher pemuda itu merah dan berdarah.
"Ya ALLAH!"ucap Aniq dan Isyraf serentak.
Manakala Fazziq pula sekadar berdiri di sisi Zarul dengan mata yang terbeliak.
"Macam ada kesan kuku."ujar Xiao sambil menghalakan jarinya ke leher Zarul.
Mereka semua membesarkan mata.Ya,memang benar.Ada kesan kuku di leher Zarul.Seolah-olah kesan cakaran dari kuku binatang buas.
Abang Zul menyentuh kulit Zarul yang cedera dengan jari-jemarinya.Ada tiga kesan kuku yang terlukis di situ.Ia tidak wujud pun sebelum ini.Patutlah kesakitan Zarul semakin kuat.Di hujung kesan cakaran itu ada kesan darah.Sama ada darah Zarul atau darah dari kuku makhluk yang tidak diketahui asal usulnya itu.
"Elok kita balik."ujar Abang Zul pendek sahaja.
Dia membantu Zarul bangun dan memapah lelaki itu yang sedang berlawan dengan kesakitannya.
"Bang,"panggil Isyraf tiba-tiba mencuit lengan Abang Zul.
"Kenapa?"
"Saya rasa macam ada orang mengintai kitalah."bisik Isyraf.
Abang Zul mengetap bibir.Orang mana selain mereka?Dia pasti hanya dia yang tahu jalan masuk ke dunia itu.
"Macam mana rupa dia?"bisik Abang Zul juga.
"Tinggi lampai,kulit cerah rasanya."
Abang Zul terdiam.Kepalanya menoleh perlahan ke deretan pokok yang megah di kiri kanan mereka.Matanya tertancap pada sesusuk tubuh tinggi lamapi yang berdiri di balik pokok yang terletak hanya di sisi kiri Xiao dan Ganesh.
"Tak apa,kita keluar dari tempat ni dulu."arah Abang Zul sambil memapah Zarul.
Perkara seperti ini tidak wajar dibincangkan di situ.Khuatir akan mengundang bahaya.
"Biar kami aje yang papah Zarul."usul Ganesh dan Xiao.
Cepat-cepat mereka memapah Zarul pergi dari kawasan itu.Tidak betah mahu berlama-lama di lokasi yang penuh misteri itu.
Fazziq,Aniq dan Isyraf menyusul dari belakang kecuali Abang Zul.Lelaki itu masih terpacak di situ sambil merenung tepat ke arah susuk tubuh tinggi lampai yang bersembunyi di belakang pokok.Tingginya memang melangkaui ketinggian manusia normal.
Kemudian,mata Abang Zul beralih ke bawah pokok.Kain putih lusuh yang dikotori tanah berjela menyentuh bumi.Dia tahu ia milik makhluk itu.Sempat Abang Zul membaca ayat kursi sebelum beredar dan menyertai yang lain.
"ABANG Zul mana?"soal Xiao yang sudah termengah-mengah.
Saiz tubuh badannya yang kecil kurus memang tidak mampu memapah Zarul seorang diri.Mujur ada Ganesh.
"Ikut abang."arah Abang Zul secara tiba-tiba.Dia muncul dari belakang beberapa saat selepas itu.Wajahnya kelihatan tenang.
"Kita kena lalu rumah lama tadi ke bang?"tanya Aniq.
Abang Zul mengangguk.Memang rumah kayu lama yang hampir runtuh itu satu-satunya laluan utama untuk masuk dan keluar dari dunia mistik.Suka atau tidak setiap yang masuk ke situ harus melaluinya.
Ganesh mula lemah semangat.Selepas ini mereka akan melintasi pokok besar itu lagi.Renungan kosong tanpa nyawa dari mata lelaki yang tergantung itu masih kuat menghantui fikitannya.Masihkah dia di situ?
Fazziq hanya mengekori dari belakang tanpa banyak bicara.Sebenarnya dia belum puas meneroka dunia itu tetapi keselamatan Zarul lebih penting.Jika dia tahu rakannya itu seorang yang lemah semangat pasti Zarul tidak dibenarkan menyertai aktiviti paranormal ini.Sepatutnya mereka ada setengah jam lagi sebelum beredar.
Matanya sekali lagi terpegun ketika melintasi kedai yang dia masuk sebentar tadi.Rak berwarna coklat yang menempatkan patung-patung aneh tetap menarik perhatiannya.
Ingin sahaja dia menempatkan mereka di atas meja belajarnya.Sejurus kemudian,senyuman sinis terbit di mulutnya.
"Ziq,cepat!Apa yang kau buat tu?"
Fazziq mempercepatkan langkah selepas disergah oleh rakan-rakannya.Rakan-rakannya langsung tidak sporting!Nasib baiklah dia sempat meninjau ruangan dalaman kedai itu tadi.Jika tidak pasti perjalanannya sia-sia.
Zarul menurunkan lengannya di bahu Xiao dan Ganesh.Kesakitan yang dirasai mulai berkurangan.Sakitnya masih ada cuma tidak seteruk tadi.
"Kau okey tak ni?"soal Isyraf.
Mereka semua mula mengerumuni Zarul.
"Alhamdulillah okey sikit.Sorry,sebab menyusahkan kau orang."ujar Zarul berasa bersalah.
Tidak sangka juga dia diserang oleh tamlaran ghaib sejurus selepas mereka memasuki dunia ini.
Abang Zul akhirnya mampu menarik nafas lega selepas melihat kulit wajah Zarul yang kembali merah.Sudah tidak pucat lagi.Leher Zarul dibalut dengan sapu tangan sekali lagi.Ia akan melindungi kulit Zarul yang cedera.Apa-apa pun dia akan membawa pemuda ini ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Awak boleh berjalan sendiri?"tanya Abang Zul sambil memandang Zarul.
Zarul mengangguk.
"Jom teruskan perjalanan.Masa pun dah tak banyak dah ni."tambah Abang Zul.
Dia dapat merasai aura yang tidak baik sedang berlegar-legar di sekitar mereka.Sudah tiba masanya untuk mereka pulang ke dunia mereka.Khuatir jika berada di situ lebih lama akan mengundang malapetaka.
Kebimbangan Ganesh menjadi kenyataan.Lelaki kurus melengkung masih ada di pokok besar namun dia sudah tidak lagi tergantung secara terbalik.Sebaliknya terpacak berdiri di sebelah pokok dengan mata yang terbeliak.Matanya masih merenung tepat ke arah mereka.
Berderau darah Ganesh.Pandangannya beralih ke sisi yang lain.Dia tidak akan membodohkan diri dengan memandang ke arah lelaki kurus itu.Lagipun Abang Zul sudah berpesan supaya mengabaikan apa yang dilihat,didengari dan dihidu.Kalau boleh,berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku.
Tidak seperti tadi,kali ini hijab Abang Zul terselak luas.Dia turut melihat apa yang dilihat Ganesh.Seingatnya dia pernah ternampak lelaki kurus ini beberapa tahun yang lalu.Dia bukanlah manusia.
Mereka mesti keluar dari situ sesegera mungkin.Cuping telinga mereka bergerak-gerak ketika melintasi pokok itu.Ada bunyi-bunyian aneh yang mengisi kesunyian dunia itu.Debaran di dada semakin membunuh.
Fazziq memekakkan telinga ketika ada bisikan halus yang berbisik di telinganya.Suara halus itu tajam sekali menusuk ke telinga.Dia menyahut cabaran Abang Zul supaya tidak mengendahkan apa-apa yang menganggu.Biarlah 'mereka' mengganggunya tetapi dia tidak akan sesekali menzahirkan ketakutannya.Biarlah ketakutannya tersembunyi lubuk perasaan yang paling dalam.
Setelah melepasi pokok besar,mereka tiba di kawasan yang dihiasi kereta-kereta yang melata dia atas jalan.Jika sebelum ini pintu dan jendelanya terkunci tetapi kali ini pintu keretanya terbuka luas.Seperti ada orang lain yang membukanya sebelum ini.
"Abaikan."kata Abang Zul tegas.
Mendengar arahan Abang Zul sekali gus membantutkan niat Fazziq untuk mendekati kereta berwarna merah yang dalamnya ada patung kecil.Fazziq menjauhi kereta itu tatkala melihat tajamnya renungan mata Abang Zul.Dia mempercepatkan langkah.
"Eh?"Terpacul perkataan itu dari mulut Isyraf.Dia mendongak ke langit.
"Bang."panggil Aniq pula.Dia turut terdongak ke atas.
Kini kesemuanya mendongak ke langit.Ada warna jingga kemerahan sedang memayungi mereka yang berada di bawah.Suasana yang terang secara automatik bertukar kelam.Rasa cemas mula menguasai diri masing-masing kecuali Abang Zul.Dia masih tenang walaupun sesekali bulu keningnya berkerut-kerut.
"Petanda apa ni?"bisik Aniq.Matanya memandang Abang Zul tidak berkelip.Dia mahukan penjelasan dari lelaki ini dengan kadar segera.
Abang Zul menggeleng.Dia mengukir senyuman manis untuk menghilangkan rasa panik dalam hati para pemuda berusia 20 tahun ini.Sudah menjadi tugasnya untuk membawa mereka keluar hidup-hidup.
"Kita teruskan perjalanan."usulnya.
Perjalanan diteruskan tanpa bantahan.Ada banyak perkara yang ingin mereka tanya tetapi buat masa ini mereka akan meneruskan langkah kaki dan keluar dari dunia ini.Risau juga jika langit di atas tiba-tiba menangis air mata darah.Lihat daripada warnanya,ada kemungkinan ia boleh berlaku kerana di dunia seperti ini,tiada apa yang mustahil.
Semakin lama suasana menjadi semakin suram.Penglihatan mulai terbatas.
"Berdiri rapat-rapat.Jangan sesekali terpisah dari kawan-kawan!"Serius sekali nada suara Abang Zul.
Adakah ia petanda yang tidak bagus?Debaran kian terasa menghentam dada.Tidak pernah Abang Zul meninggikan suaranya sebelum ini.Pasti ada sesuatu yang menggerunkan bakal berlaku selepas ini.
Secara jujurnya,Abang Zul juga tidak pasti mengapa perkara-perkara aneh mulai muncul satu per satu.Apa yang dia tahu,dia harus membawa anak-anak muda ini keluar secepat mungkin.Walaupun kejadian-kejadian seperti ini jarang sekali berlaku tetapi dia pasti ia memberi petanda yang tidak baik.
Ganesh berbalas renungan dengan rakannya,Xiao.Mereka tahu kebimbangan yang sedang merusuh di dalam hati lelaki ini.Dia terpaksa berlagak tenang supaya mereka tidak cemas.Apa-apa pun mereka harus berterima kasih dengan Abang Zul kerana tidak cepat melatah.
Suasana kian kemerahan.Mereka menajamkan pandangan supaya tidak tersadung atau terlanggar apa-apa.Fazziq yang berjalan di sebelah Zarul sesekali menoleh ke arah rakannya itu.Perasaannya sedikit terganggu setiap kali dia mengalihkan pandangannya daripada Zarul.
Zarul bagai mengejeknya setiap kali dia melarikan pandangannya.
Share this novel