RUMAH kayu yang hanya menanti rebah kelihatan semakin jauh di belakang.Lelaki-lelaki yang memapah Zarul sudah kelelahan.Perjalanan untuk keluar masih berbaki beberapa meter sahaja lagi.Satu meter terasa seperti 10 kilometer.
Akhirnya kaki berhenti melangkah dan mereka semua berdiri tercongok di hadapan pokok-pokok yang usianya telah mencecah ratusan tahun.
"Ikut belakang abang."ujar Abang Zul seraya mara ke hadapan dan menghilang di balik ruang dimensi.
Zarul sudah tidak segalak tadi.Dia juga semakin lemah tatkala kakinya menjejak alam nyata.Akhirnya dia terjelepok rebah di riba Aniq.Tenaga yang tinggal sudah tidak mampu membuatnya berdiri di atas bumi lagi.
"Bawa dia ke kereta abang."arah Abang Zul.
"Kita nak ke mana lepas ni bang?"soal Xiao panik.
"Kita ke rumah Haji Hamid."balas Abang Zul tanpa memandang si penanya.
Xiao mengangguk bagaikan burung belatuk.Zarul dipapah rakan-rakannya hingga ke kereta Abang Zul.Lelaki itu akan membawa mereka ke rumah Haji Hamid yang terkenal dengan cara perubatan islamnya.Abang Zul risau dengan keadaan mental dan fizikal Zarul selepas dirasuk.Khuatir jika apa yang merasuk akan mengekori dan tidak mahu meninggalkan tubuh pemuda itu.
Xiao duduk di belakang dengan Zarul yang masih pengsan manakala Isyraf di hadapan bersama Abang Zul.Jika ada apa-apa yang berlaku,Xiao ada untuk mengawal keadaan.
Mata Xiao tidak lekang daripada memandang Zarul yang tersandar di kerusi.Hatinya berdebar hebat dan entah mengapa rasa seramnya semakin menjadi-jadi.Zarul kelihatan tenang tetapi apa-apa pun boleh berlaku bukan?Hatinya terdetik.
Angin di luar pula berhembus kuat menampar-nampar muka Xiao.Dia terasa sejuk.
"Jauh lagi ke bang?"tanya Xiao.Dia sebenarnya sudah tidak sanggup lagi duduk berdua-duaan dengan Zarul.Seram!
"Dalam 10 minit lagi kita sampailah."
Jawapan Abang Zul melemahkan semangat Xiao.10 minit lagi?Seminit pun lagi dia tidak sanggup inikan pula 10 minit!Namun dia terpaksa.Besar harapannya supaya rakannya ini tidak sedar dan bertindak yang bukan-bukan.
"Psst..."
Jantung Xiao bagaikan terhenti.Peluh jantannya merenik jatuh dari dahinya.
"Pandanglah aku..."
Gila.Ini bukan suara Zarul...getus hatinya.
"Psst..."
Semakin galak pula suara ini mengusiknya.Suara aneh berlapis-lapis ini datangnya dari arah Zarul.Xiao bagaikan mahu melompat keluar dari kereta.Mahu berpaling pun dia tidak berani.Bagaimana jika wajah Zarul sudah bertukar seperti muka jembalang?
"Takut?"soal suara itu lagi.
Xiao memejamkan mata dan mendorongkan tubuhnya ke hadapan.
"Abang Zul tolong drive laju sikit boleh?"tanya Xiao.
Abang Zul automatik memandang ke cermin hadapan dan melihat refleksi Zarul yang tersandar di belakang.Tiada apa-apa yang pelik sedang berlaku namun dia dapat mengesan ketakutan yang terkandung dalam nada suara pemuda cina ini.
Abang Zul faham ketakutan yang dialami Xiao walaupun pada pandangan mata kasar Zarul masih pengsan tidak sedarkan diri.Tubuh Xiao yang menggigil turut dirasai kerana dia bersandar ke kerusi pemandu.Dia tidak berani memandang Zarul.
Sementara itu,Aniq memandu kereta betul-betul di belakang kereta Abang Zul.Dia dapat melihat dengan jelas bagaimana sinisnya renungan Zarul ke arah mereka.Manakala Xiao pula terdorong ke hadapan dan hampir mencium kerusi pemandu.
"Ya ALLAH,seramnya cara dia pandang kita."ujar Fazziq melarikan matanya dari kereta Abang Zul.
Zarul menjeling ke arah mereka sejak tadi.Nampaknya dia hanya pengsan seketika sahaja.
"Jangan pandang mata dia.Buat-buat tak nampak sudah."pesan Aniq.Tangannya turut menggeletar.Sesekali dia menggenggam stereng kereta dengan erat.
Ganesh yang berseorangan di tempat duduk belakang berasa tidak sedap hati.Entah mengapa seolah-olah ada seseorang yang sedang duduk di sebelahnya.Lama dia merenung tempat duduk di sebelahnya itu.Kosong tidak berpenghuni.Aura aneh yang bersarang di hati kian kuat berbanding ketika di dunia sebelah sana.
"Aku tak sedap hatilah."gumam Ganesh sendiri namun didengari rakan-rakannya.
Fazziq memalingkan mukanya ke belakang dan merenung Ganesh yang nampak resah.Pandangan lelaki bercermin mata itu tertancap tepat ke kusyen di sebelahnya.Bagaikan melihat hantu sahaja gayanya.
"Kau okey tak?"
Ganesh menggeleng.Soalan Fazziq dia balas sepantas kilat.Dia tidak okey!Sejak mula lagi perasaannya langsung tidak okey.
"Kau nampak tu?Dari tadi lagi duk perhatikan kereta kita."ujar Fazziq dengan jari telunjuknya terhala ke hadapan.
Seram betul cara Zarul merenung ke arah mereka.Macam mahu membaham mereka hidup-hidup.
"Kau ada usik apa-apa tak Ziq?"tanya Ganesh tiba-tiba.
Fazziq terdiam.Apa pula yang dimaksudkan Ganesh?Usik apa?Hatinya terdetik.
"Baik kau mengaku Fazziq.Kau jangan main-main Ziq!"tuduh Ganesh bertubi-tubi.
Fazziq mengetap bibir.
"Usik apa pula ni?Kau jangan nak tuduh-tuduh aku sembarangan Gan!"
"Aku kenal sangatlah dengan kau Ziq,tak usah nak berdalihlah!"
"Sedap mulut kau aje nak tuduh-tuduh aku ya!"bidas Fazziq.
Aniq mengeluh.Mereka berdua mahu bertikam lidah pula.Nak memandu kereta pun tidak senang!Rungut hati Aniq.
"Sudah-sudahlah tu!"tegur Aniq.
Fazziq dan Ganesh serta-merta berhenti bertekak.Aniq akhirnya bersuara bengang.Sempat dia memandang Fazziq secara sepintas lalu.Sudahlah Zarul dari tadi asyik memandang ke arah mereka dari dalam kereta Abang Zul.Mahu sahaja dia memecut,memintas dan memandu di hadapan kereta itu.
"Jaga kau Ganesh!"ujar Fazziq.
"Sudah!"marah Aniq sekali lagi.
Fazziq mengembalikan pandangannya ke hadapan.Mulutnya mencebik tanda tidak puas hati dengan sikap Ganesh yang menuduhnya melulu.Ah!Wajah sinis lagi menakutkan Zarul kembali menghantuinya.Masih kerasukankah rakannya itu?
Tidak lama kemudian,kereta Abang Zul membelok ke kanan.Masuk ke simpang kecil dan melalui beberapa buah rumah sebelum sampai ke rumah Haji Hamid.
Haji Hamid sudah menunggu kedatangan mereka di beranda rumahnya.
"Assalamualaikum Bang Aji."ucap Abang Zul sambil bersalaman dengan Haji Hamid.
Dia kelihatan serba salah.Selepas dua tahun dia kembali membawa seseorang ke situ untuk dirawat.
"Waalaikumussalam Li.Kamu bawa siapa pulak kali ni?"
"Ada seorang ni Bang Aji.Harap Bang Aji boleh tolong tengokkan keadaan dia macam mana."beritahu Abang Zul sambil memandang ke keretanya yang diparkir di perkarangan rumah kampung Haji Hamid.
"Bawa dia masuk."arah Haji Hamid lalu beredar masuk dan mengambil posisi di ruang tamu.
Fazziq dan Ganesh mengintai Zarul dari jauh.Lelaki itu sedang tersandar di kusyen tempat duduk belakang dengan mata yang tertutup rapat.
"Sejak dari tadi dia tak sedar-sedar dari pengsan.Risau jugak aku."ujar Isyraf.
Kepala Fazziq dan Ganesh bergerak serentak.Kedua-duanya memandang Isyraf penuh tanda tanya.Kenyataan yang baru keluar dari mulut lelaki itu benar-benar memeranjatkan mereka.
"Dia pengsan dari tadi ke?"tanya Fazziq.
"Haah,kenapa?"soal Isyraf kembali.
"Tapi tadi..."Kata-kata Fazziq tergantung di situ.
"Kenapa?"soal Isyraf yang tidak berkelip matanya memandang Fazziq.
"Dia duk jeling kita orang sepanjang perjalanan ke sini.Lain macam pulak tu jelingan dia,seram aku!"jawab Fazziq.
Isyraf pantas mengalihkan pandangan ke muka Ganesh.Lelaki berbangsa India itu mengangguk-angguk tanda mengiakan kata-kata Fazziq.Isyraf menelan liur.
"Biar betul?Bila masa pulak si Zarul ni jeling kau orang kalau dia pengsan sampai sekarang?"
"Dah tadi tu siapa?"soal Ganesh gugup.
Masih terbayang-bayang bagaimana sinisnya air muka Zarul tadi.Okey,sebenarnya dia sudah dapat membuat kesimpulannya.
"Tu bukan Zarul.Sudah,mari tolong abang bawa dia ke dalam."sampuk Abang Zul dari belakang.
Dia kemudiannya membuka pintu kereta dan memberi laluan kepada Isyraf dan Ganesh memapah Zarul masuk ke rumah Haji Hamid.
Di situ,Haji Hamid sedang menunggu dengan sebotol air bacaan Yassin.
Lama Fazziq merenung kusyen tempat duduk belakang itu.Di situ Zarul duduk tersandar di sepanjang perjalanan.Tidak lama kemudian,Xiao datang menyapa.
"Apa yang kau fikir?"
"Masa kau duduk sebelah Zarul tadi,kau tak rasa apa-apa ke?"
"Hmm..."Hanya itu yang terlafaz dari mulut Xiao.Serba salah pula dia mahu membuka cerita sebenar.Dia khuatir jika akan menakutkan Fazziq pula.
"Hei,kau orang tak mahu masuk ke?"panggil Ganesh dari beranda.
Hairan melihat kedua-dua lelaki itu yang terpacak merenung ke kereta Abang Zul.Sesi rawatan sudah mahu bermula,Fazziq dan Xiao tidak mahu turut sertakah?Fikir Ganesh.
"Lepas ni kita orang masuk."balas Xiao dengan segaris senyuman pahit.
"Cepat tau."pesan Ganesh lalu beredar masuk ke dalam rumah.
Bunyi sesuatu yang jatuh tergolek di atas bumbung kereta memeranjatkan Fazziq dan Xiao.Puas diperiksa,namun sehelai daun kering pun tiada di atas bumbung.Okey,ini memang seram.
"Jom masuk."ajak Xiao sambil mata melingas memandang ke sekeliling.
Secara tiba-tiba pula kawasan di sekitar rumah Haji Hamid menerbitkan aura yang menakutkan.Langit yang mendung menambahkan lagi rasa gerun dalam hati masing-masing.
Fazziq menyusul dari belakang dan mempercepatkan langkahnya apabila terasa seperti sesuatu sedang menuju ke arahnya.
Share this novel