"KAMI dah check betul-betul.Memang patung tu dah tak ada dengan kami."ujar Abang Zul bersungguh-sungguh,cuba meyakinkan Haji Hamid.
Haji Hamid memandangnya dengan pandangan yang tidak puas hati.Jika sudah tiada,mengapa ia masih berlegar di rumahnya?Malah mengganggu anak isterinya pula.
"Kamu letak kat tempat yang sama ke macam mana?"
"Fazziq dah kembalikan patung tu kat tempat yang sama Bang Aji tapi lepas tu suasana berubah."cerita Abang Zul.
Roti canai yang berbaki sekeping sudah tidak berusik.
"Tapi patung tu ada balik dengan kami lepas tu."tambah Abang Zul.
"Sebab Fazziq kena rasuk."ujar Haji Hamid membuat kesimpulan.
Abang Zul mengunci mulut.Memang lepas tu Fazziq kerasukan.Nyawa pemuda itu hampir-hampir melayang akibat dibaling dari atas udara.Mujur mereka sempat menyambutnya.
"Lepas tu apa jadi dengan patung tu?"tanya Haji Hamid dengan wajah yang serius.
Hal ini sangat serius.Tidak boleh bergurau.
"Masa Fazziq kena rasuk,patung tu ada dalam tangan dia."jelas Abang Zul seperti yang dipinta.
"Masa dia dah sedar,kami tinggalkan patung tu kat situ."
"Masa kamu semua nak balik,ada banyak gangguan tak?"
"Banyak Bang Aji.Hampir-hampir tak dapat keluar dah hari tu.Pintu keluar tak tahu arah mana.ALLAH."cerita Abang Zul penuh sesal.
Sesal jika tidak dapat pulang bertemu dengan anak isterinya dan terus terkubur di sana.
"ALLAH nak bagi peluang kedua tu."kata Haji Hamid penuh makna.
Abang Zul tersenyum pahit.Dia faham yang tuan haji ini mengingatkannya supaya jangan sesekali kembali ke sana lagi.Dia yang degil kerana masih menjadi perantara walaupun pernah ditimpa tragedi hitam dua tahun lalu.
"Kalau patung tu dah betul-betul dipulangkan,alhamdulillah.Kalau tak,wallahualam.Aku dah tak mahu ada orang bunuh diri,jadi sasau sebab benda macam ni."ujar Haji Hamid sudah serik.
Dia sendiri turut terkena tempiasnya.Baru sekarang keadaan benar-benar pulih.Zara baru pulih sepenuhnya sejak enam bulan yang lepas.
"Kalau ada masa,kamu pergilah jenguk keadaan budak-budak tu Zul."pesan Haji Hamid lagi.
"Insya-ALLAH Bang Aji."
"Zara?"panggil Hajah Sapiah.
Dia meletakkan plastik berisi nasi kotor di atas meja.Dia bergerak ke ruang tamu untuk mencari anaknya.
"Ooo,Zara..."panggilnya berkali-kali.
Mana pulak perginya si Zara ni?Tadi bukan ke dia yang menegur dari ambang dapur?
Bunyi tapak kaki memasuki bilik Zara cepat-cepat menarik perhatian Hajah Sapiah.Dia bergegas ke bilik itu dan menyingkap kain tirai yang menutupi muka pintu.
"Zara..."
Dia terpinga-pinga.Aik?Tak ada?Fikirannya keliru.
"Kenapa mak?"tanya Zara dari belakang.Dia sedang memandang ibunya dengan riak hairan.
Hajah Sapiah memandang anaknya atas ke bawah.Zara lengkap berbaju sekolah.Mukanya berpeluh-peluh.
"Zara ke mana tadi?Mak panggil-panggil tak jawab pun."dia menyoal anaknya.
"Zara baru baliklah mak."balas Zara dengan kening terangkat.
Ada-ada sajalah ibunya ni.Penat di badan pun belum hilang lagi.
"Tadi Zara ada dengan mak kat dapur kan?"tanya Hajah Sapiah seperti orang bodoh.
Zara tergelak.Apalah yang ibunya sedang merepek ni?Hatinya terdetik.
"Zara baru baliklah.Bila masa pulak Zara dengan mak kat dapur?"balas Zara tersenyum dan menggeleng-geleng.
Dia melangkah masuk ke bilik dan meletakkan buku yang dipegang ke birai katil.
"Bukan Zara?"soal Hajah Sapiah dengan muka terkejut.
"Zara baru aje sampai ni."
Meremang bulu roma Hajah Sapiah mendengarnya.Dari semalam dia menerima gangguan-gangguan pelik.Suaminya juga bertingkah seperti orang yang serba salah.Adakah suaminya mengetahui sesuatu?
Anak bongsunya yang sibuk menukar pakaian direnung penuh debaran.Zara belum cukup setahun pulih.Gangguan-gangguan yang melanda sejak semalam benar-benar merisaukan Hajah Sapiah.Jika Zara diserang sakit yang sama seperti dua tahun lepas,dia tidak pasti jika gadis itu boleh bertahan atau tidak.
"Kenapa mak?"soal Zara.Memandang tepat ke arah ibunya.
Hajah Sapiah menggeleng.
"Tak ada apa-apa.Lepas siap tukar pakaian tu,pergi dapur makan."
"Nasi bertaburan atas lantai,mak dah bersihkan?"tanya Zara.
Ketika itu Hajah Sapiah sedang berjalan keluar dari bilik.Bulu roma wanita itu meremang.Bagaimana Zara tahu tentang nasi yang bersepah di lantai?Bukankah dia baru sahaja sampai ke rumah?
"Tadi Zara berdiri kat belakang mak.Mak tak perasan?"soal Zara.Lain macam benar nada suara Zara di pendengarannya.Sinis pun ada.
"Mak nak sambung bersihkan dapur.Nanti turun makan ya."ujar Hajah Sapiah cepat-cepat berlalu ke dapur.Cuba menyembunyikan rasa seram sejuk yang mula melanda.
Hajah Sapiah meluru ke sinki.Dia mendongak memandang ke atas.Kedengaran bunyi tapak kaki Zara berjalan ke hulu ke hilir dalam biliknya.Ya ALLAH,ya TUHANKU,semoga Zara baik-baik sahaja.
Hati Hajah Sapiah tidak tenteram.Suaminya pula belum pulang-pulang.Apa sajalah yang dibualkan dengan Zul sejak tadi!
BERKERUT-KERUT muka Abang Zul mendengar cerita Haji Hamid tentang Zara.Rupa-rupanya banyak lagi yang dia tidak tahu.Ketika Zara dikuasai iblis itu,Zara hampir-hampir menyembelih lehernya sendiri.
"Dua puluh empat jam kena jaga dia.Allahuakbar."cerita Haji Hamid sambil menggeleng.
Tidak sanggup dia jika anak bongsunya menjadi seperti itu buat kali kedua.
Naluri kebapaannya tersentuh apabila darah dagingnya terseksa zahir dan batin kerana benda yang tidak nampak pada pandangan mata kasar.Kadangkala dia hanya mampu melihat penderitaan Zara tanpa mampu menolongnya.
"Semalam aku terdengar bunyi dengusan nafas yang sama macam dulu.Sebab tu aku risau dan call kamu.Nak pastikan kamu semua okey."
"Apa yang Bang Aji rasa?"
"Patung tu ada kat sini bukan kat sana.Iblis tu ada mengikut balik cuma kau orang yang tak perasan."ujar Haji Hamid meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya.Baik dia berterus-terang sahaja.
Abang Zul menelan liur.Jika benar dikata maka dia harus memeriksa keadaan pemuda berenam itu secepat mungkin.Selepas menghabiskan saki-baki air kopi dan roti canai,Abang Zul menghantar Haji Hamid pulang ke rumah.
Dalam perjalanan pulang dari rumah Haji Hamid,dia menghubungi Aniq untuk bertanya khabar.
"Alhamdulillah bang,semua okey.Kenapa ya?"
"Sibuk ke hari ni?Kalau tak,abang nak datang jumpa kau orang sekejap."kata Abang Zul menyatakan niatnya.
"Eh,datanglah bang.Kami semua ada kat rumah ni.Bila abang nak datang?"tanya Aniq.
"Tengah on the way ke sana.Dalam 15 minit sampailah."
"Okey bang.Kami tunggu."ujar Aniq sebelum Abang Zul menamatkan perbualan.
Tidak lama lagi Abang Zul akan sampai.Dia keluar untuk memberitahu rakan-rakannya.
XIAO duduk mengambil angin petang di luar rumah.Dia duduk bertinggung di muka pintu sambil merenung motosikal Fazziq.Sudah lama dia tidak menunggang motosikal kesayangannya.Ah,apa khabar agaknya motosikalnya di Selangor?Daripada cerita ibunya,ia digunakan oleh adiknya untuk pergi dan balik dari sekolah.
"Kenapa tenung motor aku?Nak merempitlah tu."sapa Fazziq dari belakang.
Xiao tersengih macam kerang busuk.
"Aku mana pandai merempit.Lainlah kau,jaguh rempit kampung."seloroh Xiao.
"Bukan ke Ganesh yang kuat merempit masa sekolah dulu?"usik Fazziq.
"Kau ni tak habis-habis mengusik si Ganesh tu.Kalau dia dengar,habislah kau."kata Xiao sambil tergelak.
Fazziq turut ketawa.
"Ganesh mana?"
"Dalam bilik.Tidur kot."jawab Xiao.
Cuaca berangin pada petang itu benar-benar menggamit perasaan.Tiba-tiba mengantuk pula rasanya.
"Geng."sapa Aniq dari belakang.
Fazziq dan Xiao menoleh ke belakang serentak.
"Abang Zul nak jumpa kita.Dia dah on the way ke sini."ujar Aniq.
Selesai memberitahu mereka,dia berlalu mencari yang lain pula.Xiao dan dan Fazziq ditinggalkan terkulat-kulat.
Share this novel