ANIQ memberhentikan kereta di tepi jalan.Suasana di sekitar sunyi sepi dan tiada kediaman yang dapat dikesan di situ.Di situ Abang Zul sudah menunggu di luar keretanya.Jam ketika itu baru beranjak ke pukul 9.00 pagi namun cahaya matahari sudah terasa membahang menyentuh kulit.
"Kat sini ke bang?"tanya Fazziq.
Matanya melingas ke sana sini.Dia tidak dapat menyembunyikan keterujaannya.
Abang Zul menggeleng.
"Bukan.Kita kena berjalan ke dalam sikit."jawab Abang Zul.
"Dalam hutan ni?"soal Xiao sambil matanya membulat.
Abang Zul mengiakan.Di belakang mereka terdapat hutan rimba yang mereka harus redah untuk ke satu lokasi khas.Di situ mereka akan bertemu dengan 'pintu masuk' untuk ke sana.Walaupun sudah dua tahun dia tidak melakukan kerja ini tetapi laluan untuk ke sana masih segar di ingatannya.
Ganesh berkerut muka.Lama dia merenung hutan yang dimaksudkan Abang Zul.Dari jauh sudah nampak menakutkan.Seolah-olah ada sesuatu yang akan menerkam ke arah mereka selepas ini.Xiao yang perasan dengan perubahan wajah rakannya menepuk-nepuk lembut belakang lelaki itu.
"Jauh ke bang?"tanya Zarul,berminat ingin tahu.
Perjalanan belum bermula namun peluhnya sudah mengalir di dahi.Memang pagi itu panas sedikit dari pagi sebelumnya.
"Dalam 15 minit kita sampailah."jelas Abang Zul.
Zarul memandang Fazziq.15 minit?Jauh kut?
"Boleh tahan jauh jugak bang."balas Fazziq tersengih-sengih seperti kerang busuk.
Berpeluhlah dia pagi itu.Tak boleh memandu kereta untuk ke sana ke?Fikir Fazziq.
"Kita hanya boleh berjalan kaki untuk ke sana sebab kita tak mahu rosakkan hutan ni."kata Abang Zul seperti dapat membaca fikiran Fazziq.
Pemuda itu tersentak.Bagaimana Abang Zul boleh membaca mindanya sebentar tadi?Lelaki ini memang hebat.
"Apa tunggu lagi?Jom start."arah Zarul yang dari semalam tidak sabar-sabar mahu memulakan aktiviti paranormal.Dia memandang rakan-rakannya.
"Macam mana bang?Boleh ke kita mula sekarang?"soal Xiao.
Abang Zul mengangguk.Selepas mengunci kereta,tujuh orang lelaki itu memulakan perjalanan masuk ke dalam hutan.Semak samun diredah penuh sabar.Sesekali ranting kayu menampar wajah tetapi perjalanan tetap diteruskan.
Peluh menitik-nitik di dagu Zarul.Sejak sampai di situ wajahnya lencun dengan peluh.Entah mengapa pagi itu dirasakan begitu membahang.Mungkin kerana mereka berada di situ.Sepatutnya suasana di situ bertiup dingin kerana kedudukan geografinya yang dilitupi pepohonan menghijau.Sapu tangan Zarul sudah lembap dengan peluh.
"Weh,kau tak rasa panas ke?"soal Zarul sambil menyenggol lengan Aniq.
"Tak adalah panas sangat.Kau okey ke tak ni?"soal Aniq,risau.
Zarul bagaikan tenggelam di dalam lautan peluhnya sendiri.Wajahnya juga pucat semacam.
"Aku okey cuma panas sikit."balas Zarul sambil mengipas-ngipas wajahnya dengan tangan.
Memang gila betul peluhnya pagi itu.T-shirt yang dipakainya juga sudah basah sana sini.
Belum sempat Aniq membuka mulut,Abang Zul memberi arahan supaya mereka berhenti.Langkah mereka segera diberhentikan.Kini mereka sedang menghadap ke kawasan yang agak lapang namun tiada apa yang dapat dilihat di situ kecuali dadaun yang menghijau.
"Kita dah berdiri kat depan pintu masuk."beritahu Abang Zul,separuh dengar.Setiap tutur katanya dilafaz dengan berhati-hati.
Enam sekawan itu terkulat-kulat.Pintu masuk?Di sekeliling ada hutan sahaja.Di mana pula pintu masuk seperti yang didakwa Abang Zul?Mereka tidak dapat mengesan sebarang laluan khas untuk ke dunia ghaib.Isyraf mencuit lengan Abang Zul.
"Mana pintunya bang?"
"Kat depan ni."jawab Abang Zul.
Mereka agak pening dengan jawapan itu.Semuanya mengunci mulut.Tidak mahu bercakap banyak kerana lelaki itu lebih tahu apa yang patut dilakukan selepas ini.Hampir mereka terlupa,Abang Zul sudah melakukan kerja ini selama bertahun-tahun.
"Sebelum kita masuk ke sana,abang nak tegaskan sekali lagi,jangan kutip atau usik apa-apa.Jaga mulut dan perbanyakkan zikir.Kita ke sana dalam dua jam aje."
Pesanan Abang Zul difahami dengan mudah.Mereka tidak akan mengusik apa-apa ketika di sana.Abang Zul orang yang berpengalaman.Pasti ada kesan buruk jika mereka cuba-cuba mengingkari peringatan lelaki ini.
"Abang harap tak ada di antara kita yang lemah semangat.Kalau ternampak,terdengar atau tercium apa-apa,jangan sesekali tegur."pesan Abang Zul lagi.
Mereka mengangguk-angguk bagaikan burung belatuk.Bertubi-tubi pesanan Abang Zul pada pagi itu.Senyuman yang selalu terukir di bibirnya juga tampak tawar sahaja.Hari itu,dia benar-benar serius dan tiada ruang untuk bergurau seperti semalam.
Abang Zul memusingkan tubuh dan menghadap kawasan yang terbentang di hadapan mereka.Dia menadahkan tangannya dan mulutnya terkumat-kamit membaca doa.Dia memohon kepada ALLAH supaya perjalanan mereka selamat dari mula hingga ke akhir perjalanan.Entah mengapa hatinya tidak sedap hari itu.Mungki kerana dia sudah meninggalkan kerja ini selama dua tahun.
"Amin..."ucap mereka semua,mengaminkan doa Abang Zul kecuali Ganesh dan Xiao.Dua sahabat itu hanya menunduk dan berdoa dengan cara mereka sendiri.
Zarul mengelap peluh dengan sapu tangan yang sudah basah.Panas betul pagi itu.Dia menoleh dan memandang rakan-rakannya seorang demi seorang.Lelaki-lelaki ini nampak tenang dan wajah mereka tidak dibasahi peluh sepertinya.Dia seorang sahajakah yang berpeluh-peluh begini?Atau dia sudah tersalah makan ke sebelum ini?Fikir Zarul sendiri.
"Pintu dah terbuka.Mari masuk."arah Abang Zul sejurus selepas itu.
Dia mengundur sedikit ke belakang dan memberi isyarat supaya menyusul selepas dia masuk ke dalam terlebih dahulu.
"Kat mana bang?"tanya Ganesh.Dia tidak nampak mana-mana objek yang boleh dikenal pasti sebagai pintu masuk.
Mata Xiao melilau,kepalanya tertoleh ke depan dan belakang.Entah di mana laluan masuk yang dimaksudkan Abang Zul.
Abang Zul hanya tersenyum.Jarinya menuding ke hadapan.
"Kau orang tak nampak tapi memang ada."ujar Abang Zul lagi.
Ganesh menelan liur.Akhirnya mereka benar-benar akan melakukan aktiviti ini.Disebabkan tidak mahu dilabel sebagai pengecut,dia terus bersetuju untuk ke sini.Dia berharap tindakannya betul dan tiada penyesalan yang akan menyusul di kemudian hari.
Fazziq tersengih-sengih.Dia teruja untuk melihat sendiri dunia makhluk ghaib yang selama ini terlindung dari pandangan matanya.Maka hijab mereka akan terselak selepas ini.
"Sekarang berdiri di belakang abang dan ikut abang masuk okey?"arah Abang Zul,tidak mahu melengah-lengahkan masa lagi.
Abang Zul ghaib selepas bergerak dua langkah ke hadapan.Semua tersentak.Memang benar ada laluan ghaib!Fazziq yang sememangnya teruja pantas menyusul selepas itu dan diikuti oleh rakan-rakannya yang lain kecuali Ganesh.Lelaki itu kelihatan teragak-agak untuk mendekati pintu tersebut.
"Ganesh jom."ajak Xiao.Dia sudah bergerak ke hadapan dan hanya menunggu masa untuk melangkah.
Ganesh tiada pilihan yang lain kecuali beriringan masuk ke situ bersama Xiao.Dia berusaha menyenangkan hati yang dilanda keresahan.
Kau akan baik-baik sahaja Ganesh,jangan risau.Getus hatinya perlahan.
Share this novel
so horror