Bab 40

Thriller Series 1109

DANIELLA menyenggol lengan teman lelakinya.Dia nampak refleksi dalam cermin sisi di salah sebuah kereta.Imej seorang wanita berwajah pucat biru.Seolah-olah sedang menilik wajahnya di cermin sisi.Sedangkan tiada sesiapa pun di kawasan itu selain mereka berenam.Meremang bulu romanya.

"Ada jembalang."tegurnya secara tidak sengaja.

Daniel menepuk lembut mulut Daniella.Gadis itu tertegur benda yang tidak sepatutnya ditegur.Buat-buat tidak tahu bak kata Abang Zul.

Daniella menekup mulut.Dia tidak sengaja!Matanya beralih ke muka Abang Zul pula.Lelaki itu tidak memandang ke arahnya kerana sedang sibuk dengan Iman yang diserang rasa sakit sekali lagi.Lagipun bisikan Daniella sangat perlahan.Hanya jelas kedengaran di telinga Daniel.

"Saya okey bang."

Ayat yang sama diulang oleh Iman.Memang sakit tetapi selagi dapat bertahan,dia akan cuba bertahan.Masa sudah semakin suntuk.Pulang nanti,dia akan berehat sepuas-puasnya di hotel.

"Kau ni asyik cakap okey je dari tadi.Tengoklah muka kau dah pucat semacam!"bebel Daniel.Mana dengan emosi tidak menentu Alisya lagi.Serabut kepalanya!

"Syy..."Abang Zul meletakkan jari telunjuknya ke bibir.

Ada bunyi sesuatu yang datangnya dari arah hadapan.Bebelan Daniel terhenti serta-merta.

Abang Zul menajamkan pandangannya selepas membaca ayat Kursi.Ada seorang wanita setinggi kira-kira 190 sentimeter sedang berdiri di tepi salah sebuah kereta.Tubuhnya putih membiru.Matanya terjerlus ke dalam sehingga tidak menampakkan biji matanya.

Wanita itulah yang dilihat Daniella tadi.Dia muncul selepas ditegur.

"Berundur."arah Abang Zul.

Dia mendepangkan kedua-dua belah tangannya dan menggerak-gerakkannya sebagai isyarat berundur ke belakang.

"Ada apa bang?"soal Sophian masih tidak berganjak.

"Patah balik.Patah balik."

Sungguh jelas arahan yang diberikan Abang Zul itu.Dia tidak mahu menyebut apa yang sedang dilihatnya dan hanya memberi isyarat melalui renungan mata.Ada sesuatu di hadapan dan mereka perlu patah balik masa itu juga.

"Alisya mana?"soal Sophian panik.

Alisya tiada di sisinya!Kekecohan berlaku di kalangan mereka buat beberapa minit.Kelibat Alisya tidak kelihatan di mana-mana.Adakah dia disorok oleh makhluk ghaib di situ?

Masalah!Mereka perlu keluar dari situ secepat mungkin dan sekarang Alisya pula yang hilang entah ke mana.Buat pertama kali sebagai seorang perantara,otaknya berserabut.Tunggang-langgang rancangan mereka pada hari itu.

Daniella menjerit apabila kakinya dipegang seseorang.Tangan itu sejuk.Sedingin ais.

"Macam mana ni bang?Alisya dah hilang!"tanya Sophian seperti mahu menangis.Tadi elok sahaja gadis itu berdiri di sisinya.Alih-alih hilang pula.

Abang Zul tiada pilihan lain selain mengetuai mereka dalam misi mencari Alisya.Dia akan menjejak Alisya sampai dapat dan tidak akan sesekali membiarkan gadis itu terperangkap dalam dunia ini.Dunia hitam yang penuh dengan kejahatan.

"Argh!"

"Alisya!"tempik Sophian mencari kekasihnya.

Itu suara Alisya!Abang Zul bersama yang lain berlari di belakang Sophian.Mereka menuju ke sebatang pokok besar yang terletak di tengah-tengah padang jarak padang tekukur.Padang itu tanahnya merekah seperti ketandusan air selama puluhan tahun.

"Argh!"

Suara Alisya datangnya dari pokok ini.

Abang Zul bingung.Alisya tidak kelihatan di mana-mana.Di mana dia?

"Alisya!"jerit Sophian.

Semua yang berada di situ memanggil-manggil gadis kecil molek itu dengan panik.Sejurus selepas itu,Alisya muncul terapung di hadapan pokok besar.Kepalanya terkulai ke bawah.Pengsan tidak sedarkan diri.

"Macam mana ni Abang Zul?"tanya Sophian.

Takkan mahu membiarkan sahaja Alisya begitu.Hari pula semakin lewat dan mereka tidak tahu apa nasib mereka jika langit bertukar gelap.Fikir Sophian.

"Kita akan turunkan dia."ujar Abang Zul nekad.

Sejujurnya dia sendiri tidak pasti bagaimana mahu menurunkan Alisya dari situ.Dia tahu ada tangan ghaib yang sedang memegang tangan gadis itu.

"Apa abang akan buat?"desak Sophian mengasak dengan soalan kedua.

"Tiada yang lebih berkuasa di atas muka bumi ni kecuali ALLAH."Itu jawapan Abang Zul dan ia berjaya mendiamkan Sophian.

Selepas beberapa saat dia membaca ayat-ayat suci al-Quran,Alisya mula bergerak-gerak.Dia menggeliat-liat dan menjerit-jerit.Dalam masa yang sama,Abang Zul khuatir jika gadis itu akan jatuh ke tanah dengan kuat.Alisya berada jauh di atas udara.Dia menyuruh yang lain supaya bersedia untuk menyambut Alisya jika dia jatuh.

Seperti yang dijangkakan,Alisya dilempar jatuh ke bawah dan nasibnya baik kerana sempat disambut rakan-rakannya.Setelah jatuh,dia mulai sedar.Matanya digosok-gosok kasar.Dia mula meronta-ronta dan perasaan amarahnya membuak-buak.

"Aku masih adalah bodoh!"

Suara Alisya keras dan menakutkan.Daniella menangis melihat rakan baiknya dirasuk.Patutlah gadis itu serba tidak kena dan merasakan dirinya diekori sesuatu.

"Pegang dia!"arah Abang Zul.

Sophian,Daniel dan Iman menahan Alisya dari terlepas.Sophian tersentak apabila mukanya diludah Alisya.

"Kehkehkeh..."Alisya ketawa mengejek.Dia puas hati melihat Sophian diludah begitu.

Sophian bertentang mata dengan Alisya.Jantungnya berdegup laju.Mata Alisya sinis dan penuh agenda.Itu memang bukan kekasih yang dikenalinya.Pandangan Alisya sekarang tajam dan sinis.Seperti iblis!

"Lepaskan aku bodoh!"jerit Alisya sambil meronta-ronta.

Hampir sahaja tiga lelaki itu terlepas pegangan mereka dari tubuh gadis itu.Tenaganya seorang bagaikan tenaga empat lelaki dewasa.

Tiga pemuda itu termengah-mengah.Walaupun kepenatan tetapi pegangan tetap dikemaskan.Sementara itu,Abang Zul duduk melutut di hadapan dan cuba merawat Alisya.Dia cuba mengusir iblis itu daripada terus merasuk Alisya.

"Keluar!"usir Abang Zul.

Alisya ketawa berdekah-dekah.Bergema seluruh alam itu.Naik habis bulu roma mereka.

"Aku kata keluar!"Suara Abang Zul juga semakin lantang.

Alisya menunduk buat beberapa saat dan meludah Abang Zul selepas itu.Namun Abang Zul kekal tenang.Dia tidak akan mengalah.

"Aku maok diam sitok.Sampeinya mampus!Mun kau berani,bunuhlah aku!"tutur Alisya dalam bahasa Melayu Sarawak.

"Apa yang dia cakap bang?"tanya Iman.

"Dia nak tinggal dalam tubuh Alisya sampai Alisya mati."

Terjemahan itu membuatkan mereka bertambah panik.Tangisan Daniella semakin kuat.Dia tidak sanggup melihat Alisya terseksa seperti itu.Hanya berdiri di belakang Abang Zul dengan air mata yang berjujuran di pipi.

"Lekak nya tok mampus,kitak orang gik aku suruh mampus!"jerit Alisya penuh dendam.Dia menjelir-jelirkan lidahnya seperti ular.

Sekali lagi mereka memerlukan terjemahan daripada Abang Zul.

"Lepas dia bunuh Alisya,dia akan bunuh kita."jelas Abang Zul,perlahan.

"Bawa mengucap Alisya."pinta Sophian.Dia mula menangis.Tidak pasti jika gadis itu akan selamat atau tidak.

Alisya berhenti meronta.Matanya merenung Iman dan mulutnya tersenyum manis.Iman berdebar-debar.

"Kau..."

Iman menelan liur.

"Mati..."

Pegangan Iman terlepas dari kaki Alisya.Mengapa Alisya menyebut mati ketika memandangnya?

Alisya ketawa geli hati.Mengilai seperti pontianak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience