FAZZIQ menarik kain selimut dan menyelimuti dirinya sehingga ke paras leher.Dia membelakangi Zarul yang berada di katil sebelah.Tiada kata yang terlafaz dari mulut kedua-duanya.Kini dia berasa takut dan tidak selamat apabila sebilik dengan Zarul.Bila-bila masa sahaja lelaki itu boleh bertukar kepada sesuatu yang menakutkan.Wajah Zarul yang aneh mengganggu fikirannya.
"Kau okey ke Ziq?"tanya Zarul prihatin akan rakannya yang seorang itu.
Fazziq mengangguk perlahan tanpa menoleh ke arah Zarul.Sesungguhnya dia tidak kuat untuk berhadapan dengan lelaki itu.Kelopak matanya ditutup rapat-rapat.Hari sudah larut malam.Tanpa dia sedar,dia diulit mimpi.
Tepat pukul 1.00 pagi,Fazziq tersedar.Ada bunyi pelik di belakangnya.Mulutnya bagaikan dikunci,dahinya juga lencun dengan peluh.Entah apa yang sedang berlaku dia sendiri tidak tahu.Adakah Zarul kerasukan sekali lagi?Kekuatannya untuk melihat sendiri keadaan itu sudah terbang bagaikan angin lalu.Seluruh tubuhnya terasa lembik.
Ketika itu,Zarul berjalan perlahan-lahan melintasi katilnya.Cepat-cepat Fazziq memejamkan mata.Zarul berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik dan langsung tidak menoleh ke arahnya.Dalam beberapa minit selepas itu,Zarul memulas tombol pintu dan menghayun langkah ke luar bilik.
Fazziq menuruni katil dengan penuh berhati-hati.Di sebalik pintu,dia mengintai segala gerak-geri rakannya itu.Zarul merenung kabinet televisyen dengan muka selamba.Fazziq mengecilkan mata kerana suasana ruang tamu yang suram.Pantas dia menyembunyikan diri apabila Zarul bergerak ke dapur pula.
Beberapa saat selepas itu,kedengaran Zarul ketawa terkekek-kekek di dapur.Berdiri bulu roma Fazziq.Selepas ini pasti Zarul akan kembali ke bilik.Dia tidak mahu berada sebilik dengan lelaki itu!Dengan rasa cuak,dia beredar keluar dan berjalan menuju ke bilik Aniq dan Isyraf.Tombol pintu dipulas,ia tidak berkunci.Alhamdulillah,ucap hatinya.
"Nak ke mana?"
Fazziq kejung.Zarul menegurnya dari belakang.
"Aku tanya,nak pergi mana?"soal Zarul sekali lagi.
Fazziq mengetap bibir.Perlukah dia menjawab pertanyaan Zarul?Tak,itu bukan Zarul.Perangainya terlalu aneh untuk diklasifikasikan sebagai Zarul.Fikir Fazziq.
Akhirnya dia hanya kaku di hadapan pintu dengan tangan yang masih menggenggam tombol pintu.
"Takut?"tanya Zarul,sinis.
Adrenalin terasa laju berlari.Lutut Fazziq semakin lemah.Ini benar-benar menakutkan.Ya,memang salahnya semua ini berlaku.Jika dia tidak membawa pulang patung berpuaka itu,pasti iblis ini tidak mengekori mereka hingga ke sini.Dia memang bodoh!Berkali-kali dia memarahi diri sendiri tetapi nasi sudah menjadi bubur.
Bunyi langkah kaki Zarul mendebarkan Fazziq.Semakin lama semakin hampir.Dia tidak boleh terus di situ.Tombol pintu dipulas sekuat hatinya dan dia berlari masuk ke dalam bilik.Bunyi hempasan pintu menyedarkan Aniq dan Isyraf dari tidur.Terpisat-pisat mereka memandang Fazziq yang cemas di depan pintu.Tangannya menahan pintu dan tombol pintu berpusing-pusing.
"Kenapa Ziq?"
"Syy..."Fazziq menyuruh Aniq senyap.Mukanya pucat lesi.
"Hah?"
Aniq terpinga-pinga.Begitu juga dengan Isyraf.
"Zarul."bisik Fazziq.
Aniq dan Isyraf terdiam serta-merta.Pasti Zarul dirasuk lagi.Kedua-duanya bingkas bangun dan menuruni katil perlahan-lahan.Kini mereka berdua sudah berdiri di samping Fazziq.Masing-masing memasang telinga dan menunggu apa yang akan dilakukan oleh Zarul.
Zarul melepaskan tombol.Dia memalingkan muka dan merenung bilik Ganesh dan Xiao.Dengan senyuman sinis,dia berjalan ke situ.Pintu yang tidak berkunci ditolak dan terbuka luas.Ganesh dan Xiao yang sedang lena tidur di katil masing-masing dipandang dengan penuh agenda.Derapan tapak kaki kedengaran memecah kesunyian.
Xiao terperanjat besar apabila melihat Zarul sedang menunduk merenung wajahnya yang sedang tidur.Lelaki itu memandangnya dengan muka selamba.Sejalur senyuman penuh psiko mulai muncul di bibirnya sejurus selepas itu.
"Kenapa tak tidur?"tanya Zarul.Konon-konon prihatin.
Xiao menelan liur.Dia memandang Ganesh berkali-kali dengan harapan lelaki itu bangun.Dia melempar bantal kecil ke arah Ganesh.
"Nak aku tolong kejutkan dia?"tanya Zarul lagi.Dia ketawa terkekek-kekek.
Xiao mengengsot ke tepi katil hingga dia jatuh tergolek.Tanpa memikirkan kesakitan di lutut,dia meluru ke katil Ganesh dan mengejutkan lelaki itu.
"Ganesh!Bangun Ganesh!"
"Apa?"
"Bangunlah!"
Atas desakan Xiao,Ganesh akhirnya bangun.Dengan mata separuh terbuka,muka Xiao dipandang sekilas.Apa sajalah si Xiao ni!
"Hai Ganesh,lena tidur?"sapa Zarul.
Sapaan itu menyedarkan Ganesh 100 peratus.Dia melirik jam di dinding.Sudah hampir pukul 2.00 pagi.Simpatinya pada Zarul membuak-buak.Pasti rakannya letih dirasuk berkali-kali seperti ini.Dia khuatir sekiranya badan Zarul tidak mampu bertahan.Iblis ini mahu memusnahkan Zarul dengan memperlakukannya sesuka hati.
Xiao dan Ganesh beralih ke dinding.Bilik yang suram mengehadkan pancaindera.Zarul hanya berdiri sambil memandang tepat ke arah mereka.
Fazziq mendekati pintu.Dia menekap cuping telinganya ke situ untuk mendengar bunyi di luar.Sunyi sekali.Mungkin Zarul sudah tiada.Tidak lama kemudian,bunyi riuh-rendah kedengaran di bilik sebelah.Bunyi kerusi dan buku-buku terjatuh ke lantai.
"Ya ALLAH,bunyi apa tu?"soal Isyraf panik.
Hilang seketika rasa berdenyut di kepala Aniq dan Fazziq dibuatnya.Memang berpuaka!Mereka mengunci mulut beberapa minit.
"Rul!"
Jeritan Xiao membuatkan tiga sekawan itu berlari keluar dari bilik dan meluru ke bilik sebelah.Di situ,Zarul sedang mencekik batang leher Ganesh.Dia menekan dada Ganesh dengan kepala lututnya dan membenamkan kukunya ke leher Ganesh.Lelaki India itu menahan kesakitan.
"Zarul!"tempik Isyraf dan Aniq memegang Zarul dari belakang.Mereka cuba meleraikan cekikan itu.
Ganesh sudah hilang separuh nafas.Jika tidak diselamatkan,nyawanya dalam bahaya.
"Lepas Rul.Sedar Rul!"jerit Aniq dan Isyraf silih berganti.
Mereka cemas melihat keadaan Ganesh yang semakin lemah.Fazziq yang berdiri sambil memandang kejadian itu berlari keluar dan memasang CD bacaan ayat Kursi.Suara pemain CD itu dipasang semaksima mungkin.Hanya itu sahaja cara untuk menghentikan Zarul yang dikawal nafsu iblis.
Ternyata tindakannya tepat.Zarul terkulai ke lantai dengan muka yang lencun dengan peluh.Akhirnya iblis tewas dan keluar dari tubuhnya walaupun untuk sementara.
Ganesh juga begitu.Dia sesak nafas dan mengambil masa beberapa minit untuk pulih kembali.Xiao mengurut-urut dada rakan sebiliknya itu dan membantunya berbaring di atas katil.Zarul pula dipapah ke biliknya dan direhatkan di situ.Empat sahabat itu kemudiannya melepak di ruang tamu sambil melayan trauma masing-masing.
Laci kabinet yang menyimpan patung itu bergerak-gerak.Seolah-olah minta dibukakan kunci.Siang nanti mereka akan menghantar ia ke sana.
ABANG Zul berhenti meneguk air tatkala jendela dapur tiba-tiba terbuka sendiri.Gelas kaca diletak perlahan ke sisi singki.Semasa memegang daun pintu jendela,sempat dia meninjau keadaan di luar.Jam sudah menginjak ke angka 3.00 pagi tetapi dia masih tidak mampu untuk melelapkan mata.Tekak yang kering memaksanya ke dapur untuk segelas air.
Dia mengunci jendela dan bersedia untuk kembali ke bilik.Anak dan isterinya sudah pulang semalam jadi tidaklah dia berseorangan seperti sebelum ini.Dia menjenguk keadaan Ariana di bilik tidurnya.Kanak-kanak itu sedang nyenyak tidur.
Dia tersenyum.Siang nanti dia akan kembali ke dunia ghaib bersama enam pemuda itu.
"Doakan ayah dengan abang-abang selamat pergi dan balik."
FAZZIQ berbaring di sofa dengan mata melihat tepat ke siling.Dia tidak mempunyai keberanian untuk ke bilik kerana Zarul.Dia serik.Belakang kepalanya kembali berdenyut-denyut akibat hentakan kuat malam tadi.Inilah padahnya tidak mendengar kata.Dia memang jenis kepala batu sejak lahir.Yang orang kata jangan buat itulah yang dia buat.Dari kecil hingga besar,perangainya tidak berubah.
"Tak tidur lagi,Ziq?"tegur Xiao.
Fazziq menggeleng lantas duduk bersandar.Mereka bertukar senyuman.
"Kepala kau okey?Kuat kau terhentak malam tadi."
"Aku okey.Ganesh macam mana?"soal Fazziq.
"Dia dah tidur.Aku jugak yang tak dapat tidur."ujar Xiao dengan senyuman pahit.Dia melabuhkan punggung di sebelah Fazziq.
"Sorry."ucap Fazziq perlahan.
Xiao menepuk lembut bahu rakannya.Tidak berkata apa-apa.
Share this novel