"YA,memang salah saya."akui Daniella akan kesilapannya.
Tidak pernah lagi Daniel semarah ini.Mungkin kerana dia hampir-hampir diserang iblis itu tadi.Daniel marah dia kerana sayang.
Daniel membisu.Berasa bersalah kerana memarahi Daniella.Dia berasa fobia dengan apa yang hampir-hampir berlaku ke atas diri Daniella tadi.Beberapa bulan dari sekarang,gadis itu akan menjadi miliknya yang sah.Akan menjadi isterinya yang sah.
Abang Zul memasuki simpang untuk ke rumah Haji Hamid.Syukur,orang tua itu ada di rumah.Selalunya petang-petang begitu dia akan berada di kebun atau surau.
Haji Hamid muncul beberapa minit kemudian.Ketika itu dia berada di belakang rumah untuk menebas rumput yang sudah panjang.Di pinggangnya tersisip sebilah parang.Mukanya terzahir riak hairan.Selalunya Zul akan menelefonnya terlebih dahulu jika dia mahu datang.
Abang Zul bergegas keluar dari kereta dan pergi mendapatkan Haji Hamid.
"Minta maaf ganggu Bang Aji waktu-waktu macam ni."
"Ada apa Zul?"tanya Haji Hamid hairan.
"Saya nak minta tolong Bang Aji ubatkan dua orang ni."ujar Abang Zul sambil menunjuk ke arah kereta.
Daniella memapah Alisya keluar.Gadis itu masih menangis teresak-esak.Matanya sudah merah kerana menangis sejak tadi.Iman pula menyusul dari belakang.Mukanya pucat lesi.
Haji Hamid memandang Alisya dan Iman dengan kening berkerut.Tengok pun dia sudah tahu bagaimana teruknya mereka diganggu.Dia mengangguk sekali dan naik ke atas.Mengambil air kosong di dapur untuk dijadikan sebagai air penawar.Abang Zul ada memberitahunya sebelum ini yang dia akan membawa beberapa orang dari Kuala Lumpur untuk ke sana.Setiap kali mahu ke sana,Abang Zul akan mendapatkan nasihatnya terlebih dahulu.
Selama ini tiada masalah.Semuanya telah berjalan dengan lancar.Tiada gangguan pelik yang berlaku tetapi dia berasa pelik mengapa kali ini ia tidak selancar perjalanan-perjalanan yang dulu.
Haji Hamid mencapai botol mineral berisi air.Sengaja dia membeli berkotak-kotak air mineral supaya senang dia menjadikan air Yasin dan air penawar.
"Tap!"
Bunyi sesuatu mengetuk cermin jendela dapur tidak dipedulikan Haji Hamid.Benda biasa setiap kali dia merawat orang yang dirasuk atau histeria.
Alisya disandarkan ke kerusi.Haji Hamid baru selesai membaca Yasin ke air mineral itu.Dia memohon Daniella menyapukannya ke wajah Alisya.Tangisan gadis itu berhenti tidak lama kemudian.Dengan mata bengkak,dia memandang Haji Hamid.
"Saya kat mana ni?"tanya Alisya penuh kehairanan.
Matanya melingas memandang ke setiap sudut rumah Haji Hamid.
"Rumah Tuan Haji Hamid."jawab Sophian.
Dia sedang duduk bersila di atas lantai,hampir dengan kerusi yang diduduki Alisya.
"Haji Hamid?"soal Alisya dengan wajah yang berkerut.
Siapa Haji Hamid?
"Tuan haji yang rawat kau Alisya.Kau kena rasuk masa kat sana."ujar Daniella pula.Alhamdulillah,rakannya sudah sedar sepenuhnya.Sudah tidak menangis lagi.
"Bawa balik tiga botol air Yasin ni.Minum air ni lepas selawat tiga kali setiap malam waktu Maghrib.Nak basuh muka dengan air ni pun boleh."ujar Haji Hamid memberi penerangan sambil menolak tiga botol air mineral mendekati Sophian.
Dia tahu Sophian teman lelaki Alisya kerana Abang Zul yang menjelaskan padanya tadi.
"Insya-ALLAH tuan haji."balas Sophian sambil mengangguk faham.
Alisya mengatur-atur tudungnya yang senget.Sememangnya dia sudah pulih dan sudah berpijak di bumi yang nyata.Sudah tidak bingung seperti tadi.
"Terima kasih tuan haji."ujar Alisya segan.
Cepat-cepat dia mengatur duduk di lantai kerana semua ada di situ.
Haji Hamid hanya tersenyum.Kemudian memandang lama ke arah lelaki yang mempunyai iras wajah Cina iaitu Iman.Bukankah pemuda ini pun perlu dirawat?
"Oh ya Bang Aji.Nilah Iman.Leher dia cedera masa kat sana."beritahu Abang Zul cepat-cepat memperkenalkan Iman pada Haji Hamid.
Haji Hamid menyuruh Iman duduk berhadapan dengannya.
"Buka balutan tu."arahnya lagi.
Iman menurut sahaja.Dia membuka sapu tangan milik Abang Zul dengan berhati-hati.Memang perit jika tersentuh.Haji Hamid merenung kesan merah keunguan di tengkuk Iman.
"Ada apa Bang Aji?"soal Abang Zul tidak sabar.
Haji Hamid menyentuh kesan merah itu dengan jari.Iman mengerang kesakitan.
"Rasa ditampar ke macam mana?"soal Haji Hamid.
Iman mengangguk.
"Rasa sakitnya macam mana?"
"Pedih menyucuk-nyucuk tuan haji.Macam kena cucuk dengan jarum pun ada."balas Iman dengan muka menahan pedih.
Yang lain hanya mendengar sahaja.Memberi ruang untuk Haji Hamid dan Iman berkomunikasi.
"Zul,tolong ambil air penawar kat dapur."arah Haji Hamid meminta bantuan Abang Zul.
Abang Zul terus bangun dan bergegas ke dapur.Sampai sahaja di dapur,dia terhidu bau yang sangat busuk.Bangkai tikus atau cicak agaknya.Air penawar yang berada di atas kabinet dapur dia sambar lalu membawanya ke ruang tamu.Botol itu bertukar tangan.
"Duduk mengiring."arah Haji Hamid sambil memegang lengan Iman dan membantunya berada dalam posisi mengiring.
Lama dia membelek leher pemuda itu.Ia sudah mula membiru.Maknanya kecederaan ini semakin teruk.Beberapa kali Iman mengelak dari disentuh Haji Hamid.
"Bismillahirrahmanirrahim..."Haji Hamid mula merawat Iman.
Air Yasin dicurah sedikit ke atas tapak tangan dan disapu ke leher pemuda itu.Berkerut-kerut muka Iman.
"Kesan ni kalau dibiar tak berubat secara Islam,memang akan jadi makin teruk."jelas Haji Hamid apabila sudah selesai merawat Iman.Dia meletakkan air penawar ke sisi dan mengatur duduknya.
"Bang Aji rasa apa puncanya?"tanya Abang Zul.
Sejak tadi dia tidak berkata apa-apa kerana tidak mahu mengganggu Haji Hamid dan Iman.
"Benda tu marah kat Iman."kata Haji Hamid.
Iman menelan liur.Marah?
"Apa yang saya dah buat sampai dia marah kat saya?"tanya Iman dengan muka takut.
Kenapa dalam ramai-ramai,benda tu marah dengan aku pulak?
"Sebab kau tak ada awek kot."usik Daniel.
Sophian dan Daniella menahan gelak.Sempat pula Daniel membuat lawak.Dalam waktu serius pulak tu.Iman mengetap bibir.Tak guna punya kawan!Rungut hatinya.
"Ada kamu terpijak apa-apa kat sana?Maksudnya macam botol atau objek lain."tanya Haji Hamid.
Iman mengambil masa untuk berfikir.Cuba mengimbas kembali apa yang berlaku di sana.Dia memejamkan mata.Mengapa susah benar untuk dia mengingati apa yang terjadi?
"Saya tak ingat tuan haji."ujarnya.Sampai sakit kepala memikirkannya tetapi keputusannya tetap sama,bingung.
Haji Hamid mengangguk.
"Tak apa.Kalau ingat,boleh bagi tahu saya atau Zul."
"Insya-ALLAH."ucap Iman.Perlahan sahaja suaranya.
Secara jujurnya,dia berasa tidak sedap badan.Tubuhnya terasa berat sahaja tetapi dia tidak memberitahu Haji Hamid tentang ini.Tidak mahu perkara ini berlanjutan.Apa yang dia mahu sekarang ialah berehat dengan secukupnya.
Share this novel