Chapter 03

Fantasy Series 137408

Pintu bilik perpustakaan perlahan-lahan dibuka dari luar. Lutfi Adrian muncul di sebalik daun pintu, matanya mencari-cari kelibat Suraya Sofea.

"Hey, princess..." Lutfi melangkah perlahan ke arah Suraya.

"Ehem. Hey, Uncle." Suraya membalas dengan senyuman hambar, tidak langsung memandangnya.

“Tak habis lagi ke kerja sekolah tu?.Nak Uncle tolong apa-apa tak?” Lutfi mengusap lembut rambut panjang Suraya.

“Tak habis lagi, tapi tinggal sikit je ni…”

“Uncle…”

“Ya, sayang?”

“Erm... Papa dah balik ke, Uncle?”

“Belum. Tapi mungkin kejap lagi Papa balik.” Ayat itu sudah bertahun digunakannya untuk memujuk gadis itu. Dan kini, ia seolah sudah hilang makna pada Suraya.

“Oh, baiklah…”

TOK

TOK

TOK

“Masuk,” arah Lutfi.

Beberapa orang bibik perempuan melangkah masuk membawa dua dulang hidangan.

“Kenapa bawa ke sini? Siapa suruh?” Suraya bangun dan menuju ke arah mereka.

“Uncle yang suruh diorang bawa ke sini,” balas Lutfi tenang.

”Uncle risaukan awak. Takut awak sakit.”.Dia menarik lembut tangan Suraya, mengajaknya duduk di sofa panjang.

“Hmm… Tapi Aya tak lapar lagi,” suara Suraya hampir berbisik. Wajahnya jelas muram dan tidak bermaya.

“Makanlah sikit, sayang. Papa awak mungkin lambat lagi nak balik.”

Lutfi Adrian menyendukkan nasi ke dalam pinggan, lalu menghulurkannya kepada Suraya Sofea.

“Terima kasih, Uncle…” Suraya menerima pinggan itu, tersenyum nipis senipis kulit bawang.

Lutfi Adrian mengeluh perlahan, tanpa pengetahuan Suraya Sofea dalam hati, dia tekad untuk tidak menyakiti gadis itu lagi. Baginya, Tengku Azhar sudah keterlaluan.

Langit petang mula gelap, hanya cahaya lampu meja menari di dinding perpustakaan yang sunyi.

Suraya Sofea menyudu nasi perlahan-lahan. Setiap kunyahan terasa kosonghanya untuk memuaskan hati Lutfi Adrian yang duduk bersebelahan, memerhatikannya.

“Uncle…” suara Suraya kedengaran perlahan.

”Uncle tak rasa semua ni pelik?”

“Pelik?” Lutfi berpaling, cuba menebak maksud di sebalik kata-kata itu.

“Uncle jaga Aya, teman Aya, risau pasal Aya... Tapi Papa?” Suaranya tersekat.

“Papa makin jauh.”

Lutfi Adrian diam. Kata-kata itu menikam jantungnya sendiri.

“Papa sibuk, sayang…”

“Itu alasan yang Uncle sendiri dah ulang dari dulu. Tapi Uncle tahu, kan? Papa tak balik bukan sebab kerja je.”

Lutfi Adrian terdiam.

Dia tahu Suraya Sofea semakin bijak membaca situasi. Bukan lagi gadis kecil yang boleh dipujuk dengan coklat dan dongeng rekaan.

“Azhar bukan bapa yang kau layak dapat…” bisik Lutfi dalam hati.

Tiba-tiba bunyi enjin kereta di luar mengejutkan mereka. Lutfi Adrian menoleh ke tingkap. Sebuah Mercedes hitam berhenti di laman.

Suraya Sofea meletakkan pinggan di atas meja perlahan-lahan.

Wajahnya tegang.

“Itu Papa…”

Lutfi Adrian bangkit. Matanya tidak lepas dari kereta di luar nafasnya ditarik panjang.

“Uncle, boleh Aya yang bercakap dulu?” tanya Suraya, matanya berkaca.

Lutfi Adrian mengangguk.

“Aya kena kuat, sayang…”

Pintu utama dibuka dari arah bawah bunyi derapan langkah kasar memenuhi ruang.

Tengku Azhar sudah pulang.

Langkah Tengku Azhar bergema naik ke tingkat atas nada kasut kulitnya menghentak lantai kayu, seiring dengan debar di dada Suraya Sofea.

Lutfi Adrian hanya berdiri di tepi rak buku, matanya tajam memerhati. Ada sesuatu dalam dirinya yang ingin melindungi, tetapi tahu tempatnya bukan untuk masuk campur... belum lagi.

Pintu perpustakaan terbuka tanpa ketukan.

Tengku Azhar muncul.

Jas hitamnya masih dipakai, dengan tali leher yang longgar. Wajahnya dingin, mata letih namun bukan kerana kerja.

Suraya Sofea berdiri.

Dia tidak mahu menyambut dengan senyuman.

Tidak kali ini.

“Suraya,” suara Azhar berat, hampir kelam.

“Papa,” jawab Suraya pendek, tegas.

Tengku Azhar mengerling ke arah dulang makanan di meja.

“Makan sini?” Soalnya tanpa nada ingin tahu pun.

“Uncle yang suruh. Dia risaukan Aya,” balas Suraya pantas, memandang tepat ke mata lelaki yang dipanggil ayah itu.

Tengku Azhar mendengus kecil.

“Kamu makin pandai jawab sekarang.”

“Bila Papa dah lama tak tanya, orang belajar jawab sendiri.”

Tercetus sunyi yang menyesakkan. Bahkan udara pun seakan berat.

Lutfi Adrian menggenggam jari-jarinya di belakang badan. Tengku Azhar melontar pandang ke arahnya.

“Kau buat apa dalam perpustakaan dengan anak aku malam-malam macam ni?”

Lutfi Adrian tidak gentar.

“Menemankan anak kau yang kau sendiri tak sempat nak tengok sepanjang minggu.”

Tengku Azhar melangkah masuk sepenuhnya ke dalam bilik.

“Jangan ajar aku jadi bapa.”

“Kalau aku tak ajar, siapa lagi?” balas Lutfi tenang, tapi tajam.

“Berhenti!” Suara Suraya tiba-tiba meninggi.

Dia tidak sanggup jadi punca dua lelaki dewasa itu bertikam lidah.

Wajahnya sudah merah.

Matanya berair.

“Aya cuma nak Papa balik... bukan badan Papa. Tapi hati Papa. Rumah ni bukan hotel, Papa…”

Tengku Azhar diam. Untuk kali pertama, wajah keras itu goyah.

“Kalau Papa tak nak jadi ayah, cakap sekarang. Biar Aya berhenti tunggu.”

Tengku Azhar mengetap rahang. Mata hitamnya merenung Suraya Sofea anaknya yang kini berdiri berani di hadapannya.

Suara anak gadis itu tidak lagi manja seperti dulu ia sarat dengan luka dan kecewa yang dipendam terlalu lama.

“Aya…” Nada Azhar melembut, namun sukar.

“Aya penat, Papa,” potong Suraya sebelum sempat dia teruskan.

“Penat menunggu sesuatu yang takkan datang.”

Tengku Azhar terkedu.

“Dah lama Aya faham... Papa bukan macam dulu. Papa sibuk... dengan hidup yang Aya tak pernah dijemput masuk.” Suaranya makin bergetar.

“Tapi tolong jangan pura-pura lagi. Kalau sayang tu dah hilang, lepaskan. Jangan ikat Aya dengan janji yang Papa tak pernah tunaikan.” Dia berpaling, air mata tumpah juga akhirnya.

“Aya minta diri.” Langkah Suraya keluar dari perpustakaan meninggalkan dua lelaki yang diam membisu.

Lutfi Adrian memerhati Tengku Azhar. Wajah lelaki itu kosong, namun ada riak yang jarang ditunjukkan keliru, mungkin juga kesal.

“Kau puas hati?” tanya Azhar, perlahan, tanpa menoleh.

“Aku tak pernah nak menang, Azhar,” balas Lutfi, tenang.

“Aku cuma nak kau nampak apa yang kau hilang sebelum semuanya terlambat.”

Tengku Azhar menyandarkan diri pada kerusi, wajah ditutup dengan tangan.

“Aku tak tahu nak jadi bapa macam mana lagi, Luth... Aku sendiri hilang arah sejak Suraya pergi.”

Lutfi Adrian duduk bertentangan dengannya.

“Suraya bukan Suraya Munirah Tengku. Tapi dia anak kau dan dia perlukan kau.”

Tengku Azhar diam lama. Dalam diamnya, ada perang yang belum selesai.

Lutfi Adrian menyambung, perlahan.

“Kalau kau tak boleh beri dia kasih seorang ayah, biar aku yang jaga dia. Tapi aku harap kau akan bangkit semula... sebagai ayahnya. Bukan sekadar nama di surat lahir.”

Tengku Azhar mendongak. Mata mereka bertemu.

Dan di situ, buat pertama kalinya, tidak ada kebencian. Hanya keletihan... dan rasa bersalah yang selama ini ditolak jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience