Chapter 01

Fantasy Series 137408

Seperti biasa, sebaik sahaja kelas petang selesai, Lutfi Adrian akan menunggu Suraya Sofea di parkir lot berhampiran pondok pengawal. Namun kali ini, Lutfi Adrian turut mengajak majikannya bersama untuk menjemput Suraya di PS.

“Pukul berapa si Aya balik ni…” soal Azhar sambil meneliti jam di pergelangan tangan kirinya.

“Dalam pukul lima lebih, Tengku. Sabar ya, sekejap saja lagi.”

“Aku rasa dia mesti gembira sebab Tengku datang ambil dia hari ni,” ujar Lutfi, menyelitkan sedikit kata manis buat majikannya.

"Hmm..." Azhar mengeluh perlahan.

Sungguh, dia sudah tidak sanggup meninggalkan urusan pejabat terlalu lama.

Baginya, hal bisnes tetap perlu diutamakan.

"Haa, tu pun Aya..." Lutfi terus keluar dari kereta sambil melambai ke arah Suraya.

"Uncleeeeeee!" Suraya menjerit girang lalu berlari mendapatkan Lutfi.

Tanpa berlengah, dia terus memeluk tubuh lelaki itu erat-erat.

"Hi, how was school, sayang?" Lutfi menyisir rambut Suraya dan menyelitkannya ke belakang telinga.

"Funny, Uncle! Uncle nak tahu tak, tadi pagi ramai pelajar baru masuk!" balas Suraya teruja.

"Oh ya...?"

Suraya Sofea mengangguk laju. Matanya bersinar-sinar, mulutnya tidak henti-henti bercerita.

"Ya! Ada sorang tu rambut dia warna perang, pastu cakap pun pelat sikit... dia dari Sabah! Nama dia Zarul Kamarul."

Lutfi Adrian tertawa kecil, terhibur melihat gelagat si kecil yang petah berbicara.

"Comelnya. Aya dah berkawan dengan dia?"

"Of course, Uncle. Aya kan friendly!" jawab Suraya sambil mendongak bangga.

Dari dalam kereta, Azhar hanya memerhati. Bibirnya sedikit terjungkit, walau wajahnya masih tampak dingin seperti biasa. Suara tawa Suraya Sofea mengisi ruang kosong dalam dirinya tanpa dia sedar.

Lutfi Adrian memandang sekilas ke arah Tengku Azhar, kemudian menunduk kepada Suraya Sofea semula.

"Aya, ada seseorang datang ambil Aya hari ni. Nak tahu siapa?"

Suraya Sofea berpaling ke arah kereta, matanya membulat sedikit apabila melihat Tengku Azhar melangkah keluar dari kenderaan mewah itu.

"Papa...?" suaranya hampir berbisik.

Tengku Azhar hanya mengangguk kecil.

Suraya Sofea terdiam, tubuhnya tidak bergerak, hanya matanya yang masih melekat pada wajah lelaki itu.

Lutfi Adrian meletakkan tangan lembut di bahu kecil itu.

"Pergilah, Aya."

Beberapa detik kemudian, Suraya Sofea mula melangkah perlahan ke arah Papanya Tengku Azhar.

Tangannya menggenggam hujung lengan baju sekolah, bibirnya sedikit bergetar.

Tengku Azhar tunduk sedikit, menyambut anak kecil itu dalam dakapannya.

"Maaf, papa lambat datang."

Dan akhirnya, tangan kecil itu membalas pelukan itu erat.

Pelukan itu hangat, tapi kekok. Lama Suraya Sofea memeluk sebelum dia melepaskan diri perlahan-lahan.

"Papa sibuk ya? Sampai lama sangat tak datang jumpa Aya."

Tengku Azhar terdiam.

Pandangan matanya tenggelam dalam mata jernih anaknya itu mata yang sangat mirip dengan seseorang dari masa silamnya.

"Papa minta maaf..." itu saja yang mampu terluah.

Suraya Sofea hanya mengangguk kecil, namun wajahnya sudah hilang ceria seperti tadi. Dia berpaling ke arah Lutfi Adrian dan menghulurkan tangan kecilnya.

"Jom balik, Uncle."

Lutfi Adrian tergamam seketika.

Dia memandang wajah Tengku Azhar lelaki yang selama ini terlalu menjaga jarak dari anak kandungnya sendiri kemudian menunduk dan menggenggam tangan Suraya Sofea.

"Okay sayang, jom."

Tengku Azhar berjalan di belakang mereka. Jarak antara dia dan anaknya seperti bayang yang sentiasa ada, tapi tidak pernah menyatu.

Sesampainya di kereta, Suraya Sofea masuk ke tempat duduk belakang. Tengku Azhar pula mengambil tempat di hadapan bersama Lutfi Adrian.

Sepanjang perjalanan, tiada siapa bersuara.

Sehinggalah Tengku Azhar bertanya, suaranya perlahan.

"Dia... selalu tanya pasal aku ke?"

Lutfi Adrian menoleh sejenak sebelum kembali fokus pada pemanduan.

"Hampir setiap malam."

Tengku Azhar menggenggam erat lututnya, dan untuk pertama kalinya dalam masa yang lama dia terasa benar-benar bersalah.

Lutfi Adrian hanya mampu menghela nafas. Pandangannya tidak lepas dari cermin pandang belakang, memerhati wajah Suraya Sofea yang mula berubah muram.

"Papa... selalu macam ni ke dengan orang lain?" Suraya bertanya perlahan, suaranya hampir tenggelam di antara desiran pendingin hawa.

Tengku Azhar mengalihkan pandang ke depan, malas melayan.

"Orang lain tak penting. Yang penting sekarang ni, kamu belajar elok-elok. Jangan asyik melayan perasaan."

Lutfi Adrian mengetap bibir.

Kata-kata Tengku Azhar seolah-olah menepis segala usaha yang selama ini dia buat demi Suraya.

"Dia cuma nak tahu, Tengku... bukan memberontak." Lutfi bersuara, kali ini sedikit tegas.

Tengku Azhar mendengus perlahan.

"Kau pun satu, jangan ajar dia jadi terlalu lembut. Dunia takkan kesian dengan orang macam tu."

Suraya Sofea menoleh ke luar tingkap, bibirnya digigit halus. Di sudut hatinya, luka lama seperti dikoyak kembali.

Lutfi Adrian tidak bersuara lagi. Dalam diam, dia tahu, tak semua boleh dia lindung. Sesetengah luka, memang si empunya diri saja yang harus hadapi.

Kereta mula membelok masuk ke jalan menuju ke rumah agam milik keluarga Tengku Azhar. Banglo besar itu kelihatan sunyi seperti tuannya sendiri.

"Turun, Aya." suara Azhar memecah kesunyian.

Suraya Sofea melangkah keluar dengan perlahan. Lutfi Adrian menutup pintu belakang sebelum memandang Tengku Azhar buat kali terakhir sebelum mereka masuk ke rumah.

"Kalau terus begini, Tengku akan kehilangan dia... sekali lagi."

Tengku Azhar tidak menjawab. Tapi matanya... kosong.

Dalam rumah agam itu...

Langkah Suraya Sofea bergema di ruang tamu yang luas dan sunyi. Dinding tinggi dihiasi bingkai lukisan klasik, tapi semuanya terasa asing. Tiada rasa 'rumah' di situ.

Dia duduk di hujung sofa, membetulkan lipatan skirt sekolahnya, matanya meliar sekeliling. Lutfi hanya berdiri berhampiran pintu, memerhati dengan penuh bimbang.

Tengku Azhar pula hilang ke tingkat atas tanpa sepatah kata.

“Uncle...” panggil Suraya perlahan.

Lutfi Adrian berpaling, cepat-cepat menghampiri.

“Ya sayang?”

Suraya Sofea menggigit bibir bawah. Ada riak ragu dalam matanya yang bening.

“Kenapa Papa tu... selalu rasa jauh sangat dari Aya?”

Lutfi Adrian berlutut, sejajar dengan pandangan mata bersinar itu. Dia mengusap perlahan tangan Suraya Sofea.

“Sebab... kadang-kadang orang dewasa tak pandai tunjuk sayang.”

Suraya Sofea menggeleng kecil.

“Tapi kenapa dia tak pernah cakap ‘sayang’ pun? Uncle selalu cakap, walaupun Uncle bukan Papa.”

Lutfi Adrian terdiam. Soalan itu terlalu dalam untuk dijawab dengan mudah.

“Dia tengah belajar, Aya. Mungkin lambat, tapi tak bermaksud dia tak rasa.”

Suraya Sofea mengangguk perlahan, tapi wajahnya tetap sugul.

“Kalau dia tak nak Aya... boleh tak Aya duduk je dengan Uncle?”

Kata-kata itu menikam dada Lutfi Adrian. Namun sebelum sempat dia menjawab, suara garau Tengku Azhar memecah ruang.

“Tak payah tanya benda bodoh, Suraya.”

Lutfi Adrian bingkas bangun.

“Tengku!”

Tengku Azhar berdiri di tepi tangga, wajahnya serius dan dingin. Tapi matanya jika diteliti betul-betul ada sesuatu yang menahan pecah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience