"Selamat berpuasa semua" ucap Cikgu Norizah kepada semua anak murid 5 Putranya sebelum melangkah keluar dari kelas.
Sebaik sahaja subjek matematik itu tamat, mereka satu kelas mula mengemas barang untuk pulang ke rumah.
"Malam ni terawih dekat surau biasa lah"
Kedengaran suara Affiq mengajak teman-temannya untuk menunaikan solat terawih yang pertama.
Esok ialah hari pertama berpuasa untuk semua umat Islam di Malaysia. Semua orang kelihatan teruja untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia itu.
Termasuklah dengan Raihana.
"Kau terawih tak malam ni? Ke malas?" tanya Raihana kepada Haq yang sedang memasukkan buku-bukunya ke dalam beg sekolah.
"Look who's talking. Aku tengok macam kau je orang yang jenis malas nak terawih. Aku tak pernah miss solat terawih setiap tahun okey" jawab Haq. Dia menarik zip beg sekolahnya lalu disandangnya ke belakang.
"Orang yang betul-betul buat ibadah, tak akan cerita dekat orang lain, Ustaz Syed Haq" kata Raihana sambil tersenyum sinis sebelum berjalan menuju ke pintu hadapan kelas untuk pulang.
Haq tergelak tidak puas hati. Hey, perempuan ni! Dia berjalan mengikuti Raihana daripada belakang.
"At least I'm doing it. You?" Haq cuba untuk mempertahankan dirinya.
Kakinya cuba untuk berjalan seiring dengan Raihana yang berjalan dengan laju itu.
"Kau tak perlu tahu. Itu urusan aku dengan Allah" sindir Raihana tanpa memandang Haq di sebelahnya.
"You know what? I'm done talking with you. Bye!" kata Haq kemudian berjalan ke arah yang bertentangan dengan Raihana.
Raihana ketawa kecil apabila melihat Haq meninggalkannya. Lama rasanya dia tidak bergaduh dengan Haq sejak dia cuti kerana demam.
"Marah lah tu" kata Raihana, perlahan.
•
"Sha! Cepat lah! Nanti ramai orang" jerit Raihana dari tingkat bawah rumah.
Kedua-dua abangnya sudah berada di dalam kereta dan sedang menunggu Raihana dan Raisha.
"Ya!" kata Raisha sambil menuruni tangga dan terus menuju ke pintu rumah.
Raihana hanya menahan sabar melihat adik perempuannya itu dan mengunci pintu rumah sebelum masuk ke dalam kereta.
Tidak lama selepas itu, kereta yang dipandu oleh Rafiqi meluncur keluar dari depan rumah dan berlalu pergi.
Selepas 10 minit perjalanan, kereta Rafiqi menyusur masuk ke dalam kawasan tempat letak kereta di Surau Al-Rahman.
Kelihatan ramai orang sudah mula memenuhi surau itu untuk menunaikan solat sunat terawih yang pertama sebelum bermulanya hari pertama Ramadhan esok.
"Eh, kenapa kita solat dekat sini? Bukan ke selalu kita solat terawih dekat surau selalu tu?" tanya Raisha apabila melihat surau yang lain daripada surau yang selalu dia datang.
"Surau tu tengah renovate. Dalam dua minggu lagi dah siap kot. Sementara tu, kita solat dekat sini lah dulu" jawab Rafiqi sambil mematikan enjin kereta.
Mereka berempat keluar dari kereta dan melangkah masuk ke dalam surau. Sebelum Rafiqi masuk ke dalam surau, dia sempat meninggalkan pesanan kepada Raihana.
"Nanti dah habis, tunggu Abang Long dekat kereta"
Raihana hanya mengangguk tanda faham dan melangkah masuk ke kawasan jemaah wanita bersama dengan Raisha.
Rafiqi juga turut masuk ke kawasan jemaah lelaki selepas Raihana dan Raisha hilang daripada pandangan.
Raihana menghela nafas lega apabila melihat masih banyak saf yang kosong di tempat jemaah wanita.
Dia dan Raisha mengambil tempat di saf yang berada di hadapan sekali dan duduk sambil menunggu azan Isyak untuk berkumandang.
Sebaik sahaja iqamat dikumandangkan, semua jemaah berdiri dan mula merapatkan saf dan bersiap sedia untuk menunaikan solat fardu Isyak.
"Amin" Imam mengaminkan doa yang dibacanya selepas selesai solat Isyak pada hari itu.
Kemudian jemaah yang ingin menunaikan solat sunat selepas solat fardu Isyak diberi masa untuk menunaikan solat sebelum solat terawih bermula.
10 minit kemudian, kedengaran suara seorang jemaah lelaki membacakan selawat sebelum solat terawih dengan menggunakan mikrofon.
“Subhanallah Walhamdulillah Wa Laa ilaaha illallaah Wallahu Akbar, Walaa Haula Walaa Quwwata illaa Billa Hil Aliyyil ‘Azim”
Saat telinga Raihana mendengar suara jemaah lelaki tersebut, hatinya seperti berhenti daripada berdetak. Dia terpana.
Selama dia hidup, dia tidak pernah merasakan perasaan seperti itu.
Tidak semena-mena jantungnya berdegup laju dek kerana terpegun dengan kemerduan suara jemaah lelaki yang daripada suaranya seperti suara seorang remaja lelaki.
Raihana tidak sangka wujud seorang remaja lelaki yang bersuara merdu mengalunkan selawat itu.
Dia termenung buat seketika sehingga tidak sedar yang jemaah perempuan lain sudah berdiri dan bersedia untuk solat terawih.
"Kakak, bangun lah!" Raisha menepuk bahu Raihana yang sedang termenung itu.
Raihana tersentak daripada lamunannya dan terus berdiri.
"Astaghfirullahalazim, ya Allah. Sedar Raihana!" bisik hatinya sebelum imam yang mengetuai solat terawih itu mengangkat takbir.
Setiap kali selesai solat terawih dua rakaat, pasti Raihana tidak sabar untuk mendengar jemaah lelaki itu membaca selawat sebelum solat terawih sehinggalah solat sunat witir selesai dilaksanakan pada malam itu.
Selepas bersalaman dengan beberapa orang jemaah wanita, Raihana menarik tangan Raisha untuk keluar dari kawasan jemaah wanita itu dengan segera.
"Kakak, sabar lah. Sha tak tanggal telekung lagi ni" kata Raisha sebelum dia menanggalkan telekungnya dan memakai tudung. Selepas itu, mereka berdua keluar.
Raihana beranggapan manalah tahu dia dapat melihat wajah remaja lelaki tersebut.
Tetapi hampa kerana dia tahu walau bagaimana cara sekalipun dia mencari, dia pasti tidak akan jumpa kerana dia sendiri tidak nampak akan lelaki itu semasa dia membaca selawat kerana kawasan jemaah wanita dan jemaah lelaki dipisahkan oleh langsir.
Semasa kepala Raihana sedang masih lagi cuba mencari lelaki tersebut, bahunya dipukul dari belakang.
"Oi! Apa yang kau tercari-cari tu?" tanya Ridwan.
Raihana terkejut yang amat apabila bahunya dipukul dari belakang dan apabila mengetahui itu ialah abangnya, dia merasakan seperti ingin meluku kepala Ridwan.
"Tak ada apa lah! Ish!" Raihana berjalan menuju ke arah kereta dan meninggalkan mereka bertiga di situ.
"Sha, kakak Sha tu dah kenapa?" tanya Ridwan kepada Raisha.
"Entah lah dia. Daripada sebelum solat terawih tadi dia jadi pelik" cerita Raisha.
"Tak nak moreh dulu ke?" tanya Rafiqi. Dia menunjukkan ke arah meja yang tersedia di hadapan surau itu.
Kelihatan ramai orang yang beratur untuk mengambil makanan. Daripada apa yang dilihatnya, moreh pada malam itu ialah bubur pulut hitam.
"Sha, pergi tanya kakak tu tak nak moreh ke?" arah Ridwan.
Raisha mengangguk kepalanya sebelum berjalan menuju ke arah Raihana yang berada di kereta.
"Kakak, Abang Long suruh moreh dulu. Lepas tu baru balik" Sengaja Raisha mengatakan yang Rafiqi memberi arahan kerana dia tahu Raihana pasti akan mengikutnya jikalau dia menyebut nama Abang Long.
"Okey" Raihana berjalan semula ke arah surau.
"Kau dah kenapa melulu terus pergi dekat kereta? Baru first day terawih dah gila" kata Ridwan kepada Raihana yang sudah berada di situ.
"Diam lah kau" Raihana memandang Ridwan dengan pandangan tajam.
"Sudah. Ini surau, jangan kau orang nak bergaduh pulak dekat sini" Rafiqi menenangkan situasi antara Raihana dengan Ridwan.
Jikalau dibiar dua orang itu, silap-silap boleh bertikam lidah.
Raihana mendengar kata Rafiqi dan mengajak Raisha untuk turut beratur di barisan yang mengambil bubur pulut hitam itu.
Tanpa Raihana sedar, remaja lelaki yang dicari-carinya daripada tadi berjalan dan lalu di belakangnya untuk pulang ke rumah.
Hati Raihana merasakan sesuatu tetapi dia memilih untuk melihat ke belakang kerana menganggap tiada apa-apa berlaku dan terus beratur.
•
"Er, Abang Long. Esok kita solat terawih dekat surau tadi lagi kan?" tanya Raihana secara teragak-agak dari tempat duduk belakang.
"Ye lah. Kenapa Hana tanya?" jawab Rafiqi sambil memandu kereta.
"Tak ada apa. Hana saja tanya" Raihana pantas menjawab kemudian memandang ke luar tingkap kereta.
Dia cuba untuk menyembunyikan rasa terujanya apabila mendengar jawapan Rafiqi.
"Harap-harap dia baca selawat tu lagi esok" bisik hati Raihana.
terima kasih sebab sudi baca dan maaf atas kekurangan.
Share this novel