NAZIHAH sedang menunggu teksi di hentian teksi yang berdekatan dengan bangunan Impiana Holdings. Tiba-tiba hujan turun. Dari renyai-renyai bertukar menjadi lebat.
“Hesy, macam mana aku nak balik ni? Hujan bertambah lebat, satu teksi pun aku tak nampak lagi ni! Dahlah paying tertinggal kat dalam ofis!” keluhnya.
Dia menjeling jam di pergelangan tangan kiri, sudah pukul 5.30 petang. Sudah setengah jam dia menunggu di situ. Bukan tak ada rakan-rakan sekerja mahu menumpangkan tapi dia yang menolak. Dia tak mahu menyusahkan mereka. Gegaran di dalam beg tangan mengejutkannya. Tangan diseluk ke dalam mencapai telefon pintar.
“Helo, Zihah… mama ni.” Kedengaran suara di hujung talian.
“Ya, ma…” sahut Nazihah.
“Zihah kat mana tu? Kenapa suara tak clear?”
“Zihah tengah tunggu teksi ni, ma. Kat tempat kerja hujan.”
Nazihah bersuara sedikit kuat cuba melawan bunyi hujan.
“Itulah... mama suruh bawak Toyota Camry, Zihah tak nak. Nak jugak beli kereta secondhand. Lepas tu boleh pulak Zihah mohon praktikal kat syarikat lain. Syarikat arwah ayah kan ada!”
Mama Nazihah mula berleter.
“Mama, Zihah nak cari pengalaman kat syarikat lain dulu. Bila dah habis belajar barulah Zihah tolong mama kat syarikat arwah ayah.”
Sorry, ma… Zihah tak boleh bagitahu mama pasal plan Zihah tu. Kalau mama tahu, mesti mama marah.
“Pasal kereta pulak Zihah tak nak orang lain tahu yang Zihah anak orang berada. Nanti ada orang ambil kesempatan pulak,” sambungnya lagi.
“Ikut suka hati Zihah la. Dah tu, kenapa dah lama tak balik rumah? Tak rindu kat mama ke? Banyak sangat ke kerja kat ofis tu?”
“Sekarang ni busy sikitlah, ma. Nanti Zihah balik eh?” bohongnya lagi.
Memang Zihah busy, ma. Tapi bukan pasal kerja... Zihah busy merangka rancangan Zihah. Tak lama je lagi. Sabar ya, ma?
Tiba-tiba ada Toyota Harier berhenti betul-betul di depannya.
“Ma, nanti kita sembang lagi ya? Assalamualaikum.”
Nazihah mematikan talian.
Cermin kereta diturunkan, Qasyi menjengukkan kepalanya.
“Zihah, apa awak buat kat sini?” jeritnya melawan bunyi hujan.
“Saya tengah tunggu teksi.”
Nazihah melihat ke kanan kalau-kalau teksi lalu di situ. Namun dia hampa apabila masih tiada walau satu teksi pun yang lalu di situ.
“Masuklah, saya hantarkan.”
“Tak apalah, Encik Qasyi. Saya boleh tunggu teksi.”
Dalam hati dia berdoa agar teksi muncul.
“Hujan-hujan macam ni teksi susah nak dapat. Jom saya hantar. Hari pun dah lewat ni.”
Nazihah berfikir sejenak sebelum berlari anak masuk ke dalam
kereta Qasyi.
“Kereta awak mana?” tanya Qasyi apabila hampir pertengahan jalan mereka membisu.
“Kat bengkel.”
Nazihah melemparkan pandangan ke luar tingkap.
“Kenapa awak tak suruh kekasih awak jemput?”
Sengaja Qasyi bertanya begitu.
“Kekasih?”
Nazihah menoleh ke wajah Qasyi. Keningnya dikerutkan.
“Alah, lelaki yang hantar awak pagi kelmarin tu.”
“Ooo, Abang Eshaan? Dia sepupu saya. Dia tak ada kat KL sekarang.”
“Awak tak ada boyfriend ke?”
“Tak ada. Saya malas nak fikir pasal cintan-cintun ni.”
“Zihah, kalau saya kata yang saya suka awak dan nak awak jadi isteri saya, awak terima tak?”
“Maaf, saya tak boleh terima,” jawab Nazihah laju.
Ketika itu kereta Qasyi sudah berhenti di hadapan rumah sewanya.
“Tapi kenapa?” Qasyi tak puas hati.
“Sebab saya tak nak jadi sebahagian dari koleksi awak!”
Tegas jawapan Nazihah.
“Saya suka awak bukan untuk dijadikan koleksi, Zihah… saya dah berubah. Dah buang semua tabiat lama saya tu. Saya nak awak jadi suri di hati saya dan ibu kepada anak-anak saya.”
Qasyi bersungguh-sungguh meyakinkan Nazihah.
Ibu kepada anak-anak dia? Haila, rasa macam nak pengsan aku dengar!
“Maaf, Encik Qasyi… saya tak berminat. Awak cari je orang lain yang lebih layak.”
Usai berkata-kata, Nazihah terus melangkah keluar meredah hujan. Dia pantas membuka pintu pagar.
“Zihah!” Qasyi turut keluar dari kereta.
Nazihah berpaling memandang Qasyi sudah berdiri di belakangnya. Pakaian lelaki itu sudah lencun dibasahi hujan.
“Saya ikhlas sukakan awak dan cintakan awak, Zihah. Please… jadi isteri saya. Saya janji hanya awak seorang je dalam hati saya. Saya janji takkan mempermainkan perasaan. Saya nak hidup dengan awak hingga ke Jannah.”
Qasyi merayu. Dia cuba mencapai tangan Nazihah namun ditepis.
Nazihah pantas melangkah masuk ke dalam. Pintu pagar dikunci semula memandangkan teman serumahnya pulang ke rumah keluarga
masing-masing.
“Dan saya ikhlas menolak lamaran awak, Encik Qasyi! Untuk pengetahuan awak, saya langsung tak ada hati pada awak. Awak baliklah, jangan buang masa kat sini.” jawabnya lalu berpaling untuk melangkah ke pintu rumah.
Tapi kenapa ada terharu dalam hatinya apabila mendengar kata-kata Qasyi tadi?
“Saya takkan balik selagi awak tak terima saya, Zihah!”
Qasyi tetap berdegil. Dia tak percaya gadis itu tak mencintainya.
“Suka hati awaklah. Yang jatuh sakit nanti awak, bukan saya!”
Dia berlalu masuk ke rumah. Jauh di sudut hati ada rasa risau mula menjengah.
Qasyi duduk di batu bersebelahan pagar. Dia nekad tak akan balik selagi Nazihah tak menerimanya. Barulah dia sedar bukan mudah untuk mencairkan hati Nazihah. Nazihah bukan seperti perempuan lain yang mudah cair dengan wajah kacaknya.
Share this novel