“AMIN... amin… ya rabbal alamin...”
Usai mengaminkan doa, Qasyi berpaling ke belakang menyalami tangan papanya. Tangan inilah yang telah membesarkan dia dan adiknya selepas mamanya meninggalkan mereka. Lelaki inilah papa dan lelaki ini jugalah mama yang tak jemu melayan kerenahnya dan Qaleef.
Dato’ Johan mengusap lembut belakang badan anak sulungnya. Selepas itu giliran Qaleef pula menyalami tangannya. Dia berehat sebentar di bilik solat sebaik saja anak-anaknya melangkah keluar. Kini dia sudah mampu tersenyum bangga melihat kejayaannya membesarkan anak-anak lelakinya tanpa kasih sayang seorang ibu. Dia sentiasa bersama dengan anak-anaknya dalam apa keadaan sekalipun. Dia tak mahu anak-anaknya bersedih mengenangkan bekas isterinya yang tak bertanggungjawab itu.
Cuma satu yang amat dia bimbangkan. Perangai Qasyi yang sentiasa
bertukar-tukar perempuan seperti menukar baju. Dia sentiasa berdoa agar suatu hari nanti muncul seorang perempuan yang dapat memecahkan banteng pertahanan Qasyi yang tak percaya pada perkahwinan. Sudah puas dia memujuk anak sulungnya supaya berkahwin tapi jawapan yang diberikan lelaki itu tetap sama.
“Papa dan mama pun kahwin atas dasar cinta jugak tapi tetap berpisah, kan?”
Dato’ Johan mengeluh perlahan. Dia sudah tak tahu mahu memujuk bagaimana lagi. Dia teringin melihat anak-anaknya berumah tangga sebelum matanya tertutup rapat. Fikirannya mula melayang pada peristiwa malam kelmarin.
Qasyi tergesa-gesa turun dari tangga. Untuk sampai ke pintu keluar, dia perlu melintasi ruang tamu. Perlahan-lahan dia berjalan menuju ke pintu keluar.
“Along nak pergi mana tu? Tak makan malam dulu ke?” soal Dato’ Johan yang ketika itu sedang menonton Buletin Utama di ruang tamu.
“Along dah lambat ni, pa. Nak keluar jumpa Cassandra.”
Qasyi menyarungkan kasutnya.
“Aik, Cassandra pulak? Semalam Kay, hari tu Zetty minggu lepas Krist apa entah namanya. Kristian ke apa entah.”
Tergeliat lidah Dato’ Johan mahu menyebut nama-nama koleksi kekasih Qasyi. Nama bukan main lagi!
“Kristina la, pa… bukan Kristian.”
Qaleef membetulkan.
Qasyi tersengih mendengar bicara papanya.
“Okeylah, papa, Qaleef… along pergi dulu. Assalamualaikum.”
“Dato’, sarapannya udah siap dihidang.”
Suara Salmah memecahkan lamunan Dato’ Johan.
“Yalah. Bibik pergi panggil Qasyi dengan Qaleef sekali,” arahnya.
“Qasyi sama Qaleef udah ada di bawah nungguin Dato’.”
“Kejap lagi saya turun.”
Sebaik saja Salmah menutup pintu bilik solat, Dato’ Johan bangkit dan melangkah ke biliknya untuk menyalin pakaian.
Share this novel