SELEPAS makan malam, Qaleef masuk ke biliknya. Dia mencapai telefon pintar lantas mencari nama Mar. Selepas menyentuh ikon dail, dia menunggu seketika.
“Assalamualaikum, Mar. Awak busy ke? Saya nak tanya sesuatu kat awak ni.”
“Waalaikumussalam. Saya kat kafe hospital ni. Awak nak tany apa?” tanya Mardhiah di hujung talian.
“Awak kenal Aina Nazihah tak?”
“Aina Nazihah? Macam familiar je nama tu. Kejap, saya nak ingat balik.” Mardhiah diam seketika.
“Haaa… saya dah ingat! Dia budak akaun tahun akhir. Kenapa dengan dia?”
“Betullah dia. Tadi dia datang jumpa saya. Dia nak buat praktikal kat syarikat papa tapi dia suruh saya pujuk papa supaya pilih dia. Awak rasa macam mana? Patut ke saya tolong dia?”
Qaleef meminta pendapat.
“Saya tengok dia okey tapi dia tu macam pendiam sikit dan... dia merupakan pelajar terbaik akaun tau. Saya yakin papa awak akan setuju punya. Awak nak tahu sesuatu tak?”
“Apa dia?”
“Pernah sekali tu dia jumpa saya, dia asyik tanya pasal awak je. Patutlah dia asyik tanya, rupa-rupanya dia nak minta tolong awak. Saya pulak dah rasa semacam je masa tu. Hahaha...” cerita Mardhiah.
“Uiks, jealous ke?”
“Mahunya tak jealous, tiba-tiba je ada perempuan yang sibuk sangat nak tahu pasal latar belakang awak. Nasib baiklah saya tak sembur dia. Awak tolonglah dia ya?”
“Kalau awak dah kata macam tu kenalah saya pujuk papa bersungguh-sungguh ni. Mak awak macam mana? Dah okey ke? Bila boleh keluar wad?”
“Alhamdulillah, mak saya dah okey sikit. Mak saya tu memang degil. Orang cakap jangan makan durian, dia makan jugak. Mana darah tinggi tu tak naik. Insya-Allah, lusa mak saya dah boleh keluar. Nanti bila saya dah balik kolej saya pulangkan kereta awak.”
“Saya tak kisah pun pasal kereta tu yang penting awak selamat balik ke sini.”
“Thanks, awak. Okeylah, saya dah nak naik ke wad mak saya ni. All the best. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Take care eh.”
Selepas mematikan talian, Qaleef melangkah keluar dari biliknya. Kaki dibawa ke bilik Dato’ Johan. Pintu bilik papanya diketuk dan dipulas tombol. Dia menjengukkan kepala ke dalam.
“Papa dah nak tidur ke?”
Dato’ Johan yang sedang membaca buku di atas katil segera menutup bukunya. Dia menggamit Qaleef agar duduk di sisinya.
“Kenapa tak tidur lagi ni? Mesti ada sesuatu yang Qaleef nak bincang, kan?
Cakap dengan papa apa yang penting sangat ni sampai tak boleh nak tunggu esok?” tanyanya sebaik saja Qaleef duduk di sisinya.
“Ermm... kat syarikat papa tu ada buat praktikal untuk pelajar, kan?”
“Memang ada.”
Dato’ Johan meletakkan cermin matanya di meja lampu.
“Kenapa tanya? Bukan praktikal Qaleef lagi setahun ke?”
Dia pelik.
“Haah lagi setahun. Pa, nanti boleh tak papa terima permohonan pelajar yang bernama Aina Nazihah?”
“Kenapa papa kena terima permohonan dia?” Dato’ Johan mengerut dahi.
“Dia kawan Qaleef. Dia nak sangat buat praktikal kat syarikat papa. Dia kata papa idola dia. Boleh eh, pa?” rayu Qaleef.
“Nantilah papa fikirkan…”
“Alah, pa… bolehlah. Mar kata Nazihah tu pelajar terbaik akaun. Qaleef dah janji nak tolong dia,” pujuk Qaleef sambil menggoyang tangan papanya.
“Mar tu bakal menantu papa ya?” usik Dato’ Johan sambal tersenyum.
Wajah Qaleef mula memerah.
“Papa ni janganlah tukar topik. Boleh eh, pa? Papa jugak yang kata kalau dah berjanji tak elok mungkir janji, kan?”
“Yalah… yalah… papa tolong. Tapi lain kali jangan berjanji lagi dengan kawan tau. Papa bukan apa, takut nanti orang kata papa ni pilih kasih pulak.”
“Thanks, pa. Qaleef nak pergi sambung buat assignment. Nite, pa...”
Dia menyalami tangan Dato’ Johan sebelum melangkah keluar bilik. Telefon pintar di meja lampu dicapai. Dia menaip sesuatu untuk dihantar kepada Nazihah.
Assalamualaikum. Saya dah berbincang dengan papa saya. Dia dah setuju untuk terima permohonan awak.
Usai menaip, dia menyentuh ikon send. Beberapa minit kemudian telefon pintarnya berbunyi menandakan satu SMS diterima.
Waalaikumussalam. Thanks a lots, Qaleef. Saya akan ingat budi awak. Nite
Selepas membaca mesej itu, Qaleef bergerak ke meja belajar.
Share this novel