“MORNING, boss…” ucap Shazwina sebaik saja dia masuk ke bilik pejabat Qasyi bersama dengan diari hitam di tangan.
“Morning… my timetable please…”
Qasyi bersandar di kerusi kulit.
Shazwina mula membuka diari hitam yang tercatat segala jadual harian Qasyi.
“Hari ni bos cuma ada meeting dengan Encik Fakrullah pukul 2.30 petang. Pukul 4 pulak meeting dengan Encik Akhbar. That's all for today.”
Dia menutup diari itu.
“Ada apa-apa cerita ke masa saya outstation?”
“Tak ada. Bos nak minum air apa?” tanya Shazwina yang sudah bersedia untuk bangun.
“A coffee, please. Thanks.”
Qasyi mula memberi tumpuan pada kerja.
Shazwina melangkah. Sebaik sampai di muka pintu dia berpaling semula.
“Lupa pulak nak bagitahu…”
“Apa dia?” tanya Qasyi tanpa memandang wajah Shazwina.
Dia tekun melihat isi kandungan fail di atas meja.
“Minggu lepas ada pelajar perempuan lapor diri untuk praktikal.”
Terus terhenti kerja Qasyi apabila mendengar apa yang diberitahu oleh Shazwina. Nak-nak lagi kalau pelajar praktikal itu adalah perempuan. Dia mengangkat muka memandang setiausahanya.
“Suruh dia masuk jumpa saya.”
Matanya sudah bersinar-sinar. Terasa aura semangat lain macam mula meresap masuk ke dalam badan.
“Okey, bos.” Shazwina terus berlalu keluar.
Beberapa minit kemudian pintu bilik Qasyi terkuak.
“Silakan masuk.”
Shazwina mempersilakan Nazihah masuk. Selepas meletakkan minuman, dia segera keluar.
Nazihah masih bediri kaku di depan meja Qasyi.
“Duduklah.”
Qasyi masih belum mengangkat muka dari kerjanya.
Perlahan-lahan Nazihah melabuhkan duduk di kerusi di depan Qasyi. Dia menjeling sekitar bilik itu. Bilik itu sangat luas. Terdapat set sofa di penjuru bilik. Gambar keluarga juga tergantung cantik. Mana gambar isteri Uncle Johan? Dia meliarkan lagi pandangannya. Memang tak ada gambar isteri Dato’ Johan di dalam bilik itu. Kemudian dia memandang Qasyi yang masih leka dengan kerjanya.
Qasyi mengangkat muka. Matanya terpaku memandang wajah putih bersih di depannya. Degupan jantungnya mula menari kencang. Entah kuasa apa yang memaksa dia untuk terus merenung gadis itu.
“Ehem... ehem...”
Nazihah berdeham apabila mata Qasyi tak beralih dari melihatnya. Dia terasa segan. Tak pernah dia direnung sebegitu rupa. Dia tahu wajahnya pasti sudah merona merah. Kalaulah dia bukan berada di ofis, dah lama dia sepak kaki lelaki itu. Pandang macam tak pernah tengok orang!
Qasyi tersentak.
“Sorry. Nama awak apa?” soalnya cuba menutup malu.
“Aina Nazihah.” Jawab Nazihah dua patah.
“Cantik nama. Secantik orangnya,” puji Qasyi.
Wajah Nazihah semakin memerah.
Terima kasih,” ucapnya. Ooo…nilah Qasyi Umair si buaya darat tu eh? Nampak lagi handsome dari dalam paper. Sejibik macam muka Uncle Johan.
“Kenapa awak pilih syarikat ni?”
Qasyi menongkat dagu. Nazihah sudah mengagak soalan ini yang akan ditanya.
“Saya pilih syarikat ni sebab Dato’ Johan idola saya. Saya kagum dengan semangat Dato’ Johan.”
Dia mengulang jawapan yang pernah diberikan kepada Qaleef.
“Okey ke kerja kat sini?”
“Okey… pekerja-pekerja kat sini semua baik. Tak sombong. Banyak yang saya belajar kat sini,” jawab Nazihah jujur.
“Awak dah kahwin?”
Tersungging senyuman nakal di bibir Qasyi.
Nazihah terkejut. Dia menggelengkan kepalanya.
“Bertunang?”
Nazihah menggeleng lagi.
“Kekasih?”
Pun Nazihah menggeleng.
“Ada peluanglah ni?” ujar Qasyi perlahan.
“Apa dia, encik?” soal Nazihah kurang jelas.
“Tak ada apa-apa. Awak boleh keluar sekarang.” Qasyi meneliti semula fail di atas meja.
Ceh, panggil aku masuk bilik semata-mata nak tanya ni je? Nazihah bangkit keluar dari bilik Qasyi.
Qasyi menarik nafas sebaik saja Nazihah menutup pintu bilik. Dia tersenyum sendiri. Tangannya dibawa ke dada merasai denyutan jantungnya yang sudah kembali normal.
Share this novel