SEBAIK saja mama tirinya ke tempat kerja, Nazihah pantas menyelinap masuk ke bilik wanita. Album gambar yang menjadi punca wanita itu mengalirkan air mata dicari. Hampir semua tempat digeledah namun satu album pun dia tak jumpa. Matanya tiba-tiba terpaku pada almari pakaian.
Dia membuka almari lalu memulakan pencariannya. Matanya bersinar apabila menjumpai apa yang dicari. Ketika dia menarik keluar album itu, sebuah diari yang kelihatan agak kusam turut terjatuh. Dia mengutip diari itu
lalu membeleknya.
“Diari siapa ni?”
Naziha duduk di birai katil dan membaca isi yang terkandung dalam diari itu. Dia terkejut membaca isi diari milik mama tirinya. Dia tak menyangka wanita itu sanggup mengorbankan diri demi menyelamatkan syarikat bekas suaminya. Dia juga tak menyangka ayah yang amat dia sayang dan hormati sanggup meruntuhkan rumah tangga orang. Usai membaca diari itu, dia membuka pula album yang diambil tadi. Dia melihat satu per satu gambar yang ada.
Tiba-tiba dia terdengar bunyi enjin kereta dimatikan. Dia melangkah ke tingkap bilik untuk melihat siapa yang balik. Terkejut dia melihat mama tirinya keluar dari kereta. Mungkin tertinggal barang.
Sepantas kilat dia mengambil sekeping gambar pada album itu lalu menyimpan semula album itu di dalam almari. Diari milik wanita itu dibawa ke biliknya. Sejak dari itu dia nekad untuk mengembalikan mama tirinya ke pangkuan bekas suami dan anak-anak kandungnya. Sejak dari itu juga dia mula mengumpul maklumat mengenai bekas suami mama tirinya, Dato’ Johan.
Nazihah bangkit dari pembaringan. Badannya di sandarkan di kepala katil.
“Aku mesti berterus terang pada Qasyi. Tapi aku takut! Tak apalah, demi mengembalikan mama pada Uncle Johan, aku sanggup terima apaje keputusan Qasyi. Mama dah banyak menderita sejak berkahwin dengan ayah. Aku nak tengok mama bahagia. Zihah, kau kena kuatkan semangat kau!”
Share this novel