BAB 20

Family Completed 36452

PINTU wad dikuak dari luar. Nazihah berpaling ke arah pintu.

Dia berdiri apabila Dato’ Johan dan Qaleef melangkah masuk.

“Maafkan saya, uncle… ni semua salah saya. Kalau saya tak biarkan Qasyi berhujan, mesti dia tak jatuh sakit.”

Dia menundukkan wajah.

Dato’ Johan memandang wajah lembut di depannya. Dia tersenyum.

“Tak apa, Zihah. Uncle tak salahkan Zihah. Qasyi memang sensitif dengan hujan. Kalau dia terkena hujan, dia memang mudah demam. Macam mama dia jugak.”

Senyuman Dato’ Johan mati apabila dia tersasul menyebut tentang bekas isterinya. Sudah lama dia tak menyebut pasal bekas isterinya apabila bersama dengan anak-anak. Jauh di sudut hati, dia masih mencintai bekas isterinya itu. Hanya anak-anaknya saja yang tak tahu. Mereka menyangka dia sudah membenci bekas isterinya.

“Awak baliklah dulu, Zihah… kami boleh jaga along.”

Qaleef memecahkan kejanggalan di wad itu.

“Eh, tak apa! Saya yang sepatutnya jaga dia. Sebab saya, dia jatuh sakit.”

Rasa bersalah masih menyelubungi ruang hati Nazihah.

“Zihah balik dulu. Tengok pakaian Zihah tu basah. Nanti Zihah pulak yang demam.”

Dato’ Johan pula bersuara.
“Kalau macam tu saya balik dulu, uncle… ni kunci kereta Encik Qasyi.”

Nazihah menghulur kunci kereta pada Dato’ Johan.

“Zihah bawak balik kereta Qasyi tu. Bahaya anak dara naik teksi malam-malam.”

Dato’ Johan bimbangkan keselamatan Nazihah.

Nazihah mengangguk lalu melangkah keluar dari wad itu.

Satu jam kemudian Qasyi membuka matanya. Dahinya berkerut melihat dirinya berada di tempat lain, bukan di rumah sewa Nazihah. Dia lihat papanya sedang membaca majalah di sofa manakala Qaleef sudah tertidur di sebelah papanya.

“Papa…” panggilnya.

Dato’ Johan mengangkat muka. Majalah di tangan ditutup dan dia mendapatkan Qasyi. Dahi anak sulungnya dirasa dengan belakang tangan.

Qaleef yang hanya tidur-tidur ayam turut membuka matanya.

“Macam mana along boleh ada kat sini, pa? Bukan tadi along ada kat rumah Zihah ke?” Qasyi keliru.

“Along pergi rumah Zihah? Buat apa?” tanya Qaleef.

Keningnya dijungkit.

Dato’ Johan juga menanti jawapan Qasyi. Ada senyuman terukir di bibirnya.

“Tadi hujan sebab tu along hantar Zihah balik.”

“Along hantar Zihah? Bukan dia ada kereta ke?” Dato’ Johan pelik.
“Kereta dia masuk bengkel.”

“Chop… chop… along hantar Zihah naik kereta, kan? Macam mana along boleh kena hujan pulak?”

Qaleef cuba menganalisa jawapan Qasyi.

“Along lamar dia jadi isteri along,” jawab Qasyi.

“Along dah bersedia nak kahwin, pa. Along dah bersedia nak galas tanggungjawab sebagai suami. Along tak nak bercinta lama-lama.”

Mata Dato’ Johan dan Qaleef sudah membesar.

“Nazihah macam mana? Dia terima along?” tanya Dato’ Johan.

Qasyi mengangguk lantas tersenyum.

“Bukan ke dulu dia pernah tolak pelawaan along? Macam mana boleh terima pulak?” tanya Dato’ Johan lagi.

Qasyi bangkit lantas menyandarkan badannya di kepala katil.

Tak selesa rasanya apabila asyik berbaring.

Nak air, dahagalah.”

Qaleef pantas bangun lalu mencapai gelas. Air di tuang ke dalam gelas dan diberikan kepada alongnya. Kemudian dia duduk di sisi papanya.

Gelas yang sudah kosong Qasyi letakkan ke meja sisi.

“Along lamar dia masa dah sampai kat depan rumah dia. Mula-mula tu dia tolak. Along nekad tunggu kat luar rumah dia sampai dia setuju.”

“Maknanya along berhujanlah?” Qaleef menyampuk.

Qasyi mengangguk.

Dato’ Johan tekun mendengar.

“Lepas tu?” tanya Qaleef.

“Lepas tu… lama jugaklah along tunggu kat luar rumah tu. Dengan menggigilnya, dengan hujan yang tak henti-henti turun. Ada jugak along rasa nak putus asa tapi along cuba bertahan. Bak kata orang dulu-dulu, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Tak lama lepas tu Zihah datang dan dia terima along. Masa tulah along pengsan. Sedar-sedar je along ada kat hospital.” Qasyi mengakhiri ceritanya.

“Wah… dah macam dalam novel pulak kisah along ni. Nasib baik Zihah terima. Buatnya dia tak terima, alamat berkampunglah along kat depan rumah dia tu,” komen Qaleef.

“Along tak main-main dengan Zihah, kan?”

Bukan Dato’ Johan tak tahu perangai anak sulungnya. Dia tak mahu anaknya itu mempermainkan Nazihah.

“Along serius dengan Zihah, pa. Along nak hidup dengan dia sampai ke hujung nyawa.” Ikhlas Qasyi berkata.

Dato’ Johan mengucap syukur di dalam hati. Akhirnya muncul juga gadis yang telah berjaya memecahkan tembok yang Qasyi bina. Sedikit sebanyak anaknya itu sudah percaya pada ikatan perkahwinan.

“Kalau macam tu, nanti bolehlah papa jumpa keluarga Zihah kan, pa?” Qaleef bersuara ceria.

“Along rasa jangan dulu kot. Tunggu masa yang sesuai. Kalau kita pergi mengejut, boleh pengsan keluarga dia nanti.”

“Papa ikut je. Papa tak kisah lambat atau cepat yang penting Zihah jadi menantu sulung papa.” Dato’ Johan tersenyum.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience