JAM sudah menunjukkan pukul 8 malam. Hujan di luar masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, sebaliknya semakin lebat. Nazihah
melangkah ke jendela lalu mengintai ke luar pagar. Dia ternampak kelibat
Qasyi yang sedang duduk di luar bermandikan hujan.
“Dia serius ke sukakan aku?” tanya Nazihah kepada diri sendiri.
Dia jatuh kasihan melihat keadaan Qasyi yang menggigil kesejukkan. Telefon pintar yang diletakkan di meja solek dicapai lantas menghubungi Eshaan.
Apabila talian bersambut, dia menceritakan kejadian lewat petang tadi.
“Tak baik Zihah biarkan dia berhujan. Zihah tak kesiankan dia ke?”
Eshaan ternyata tak menggemari apa yang dilakukan oleh Nazihah.
“Cuba Zihah tanya pada hati Zihah. Tak ada sekelumit rasa kasih ke Zihah pada dia? Kalau perempuan-perempuan kat luar sana boleh jatuh hati pada dia, mesti Zihah pun ada tersangkut sekali kan bila tengok muka dia 8 jam setiap hari?”
“Ya, Zihah mengaku memang Zihah terpaut pada dia sejak pertama kali tengok gambar dia kat dalam paper tapi Zihah takut. Zihah takut kalau Zihah terima dia nanti, nasib Zihah akan sama dengan kekasih-kekasih dia yang lain.”
Nazihah membuat pengakuan. Dengan abang sepupunya itu memang dia tak pernah berahsia.
“Dengar sini, Zihah. Cuba Zihah fikir secara logik. Pernah tak dia merayu macam tu kat bekas kekasih dia yang lain? Pernah ke?”
“Tak pernah,” jawab Nazihah perlahan.
“See… maknanya dia betul-betul cintakan Zihah! Kejadian pagi kelmarin buktinya. Zihah sendiri tengok muka dia berubah, kan? Kalau dia nak main-mainkan Zihah, dia takkan lamar Zihah jadi isteri dia. Sekarang, abang nak Zihah keluar dari rumah dan cakap kat dia yang Zihah terima lamaran dia!”
“Tapi apa akan jadi pada Zihah nanti kalau dia tahu siapa Zihah yang sebenarnya?”
“Abang rasa Zihah kena berterus-terang kat dia. Abang yakin dia akan terima Zihah dan akan berterima kasih sebab Zihah dah kembalikan kebahagiaan dia,” nasihat Ehsaan.
“Okeylah, abang nak keluar makan ni. Assalamualaiku.”
“Waalaikumussalam.”
Selepas memutuskan talian, Nazihah melangkah keluar dari biliknya. Dia menuruni tangga lalu membuka pintu rumah. Payung yang terletak di luar rumah dicapai dan dia berjalan ke arah pintu pagar. Dia memayungi Qasyi sebaik saja pintu pagar dibuka.
Qasyi yang masih setia di situ segera bangun. Dia menggigil kesejukkan.
“Awak sudi terima saya?”
Nada suaranya kedengaran lemah.
Nazihah menggangguk laju. Matanya mula berair.
“Betul ni?”
Qasyi teruja namun suaranya masih lagi lemah.
“Ke awak cakap macam tu sebab nak suruh saya balik?”
“Betul... saya ikhlas terima awak dan saya sebenarnya cintakan awak jugak,” jawab Nazihah kuat, melawan jeritan hujan.
“Awak janji jangan mainkan perasaan saya ya?”
Qasyi mengangguk.
“Saya janji. Terima kasih, Zihah...”
Dan dia mula rebah. Mujur Nazihah sempat menahan Qasyi dari jatuh. Payung yang dipegang tadi terlepas.
“Encik Qasyi, kenapa ni? Encik Qasyi!”
Nazihah panik. Dia melekapkan belakang tangannya ke dahi Qasyi. Panas! Dia menggunakan kudrat yang ada untuk menarik Qasyi ke dalam kereta lelaki itu.
Kemudian dia berlari ke rumah untuk mencapai beg tangan dan telefon pintar. Selepas mengambil apa-apa yang patut dan mengunci pagar rumah, dia menuju ke kereta semula lalu memandu laju ke hospital.
Share this novel