“EHEM... EHEM...”
Nazihah yang tekun melakukan kerja segera mengangkat muka apabila mendengar dehaman seseorang.
“Eh, Encik Qasyi! Ada apa-apa yang boleh saya tolong?” soalnya.
“Jom temankan saya pergi lunch.” Qasyi melambung-lambungkan kunci kereta di tangan.
Semua pekerja di situ tercengang. Nazihah menilik jam di tangan kirinya.
“Baru pukul 12.30, encik. Ada lagi 30 minit sebelum pukul 1…”
Qasyi menongkat kedua-dua telapak tangannya ke meja Nazihah sambil kepalanya di dekatkan ke arah gadis itu.
“Saya kan anak bos. Cepat ikut saya.”
Kali ini bukan ajakan tapi arahan.
“Sorrylah, encik, saya dah janji dengan orang lain nak lunch sama,” tolak Nazihah sambil bersandarkan badan ke kerusi. Dia memang sudah berjanji untuk keluar makan tengah hari dengan orang lain.
“Batalkan saja, Jom cepat.”
Qasyi sudah berpusing untuk keluar.
Nazihah masih lagi kaku di tempatnya.
“Tak baik mungkir janji kalau kita dah berjanji dengan seseorang, encik.” Dia bersuara perlahan.
Langkah Qasyi terhenti. Dia menoleh memandang Nazihah.
“Lagipun, kalau saya keluar lunch sebelum waktunya apa pulak pekerja-pekerja lain cakap nanti?” sambung Nazihah lagi.
“Jadi awak tak nak ikut sayalah?” Qasyi sedikit bengang.
Nazihah menganggukkan kepalanya.
Qasyi terus berlalu dari situ dengan muka bengang. Dia malu dengan semua pekerja yang menyaksikan pelawaannya ditolak mentah-mentah oleh pelajar praktikal itu!
Laila dengan muka menyibuknya datang ke meja Nazihah.
“Beraninya kau, Zihah.”
“Kenapa pulak, kak?” Nazihah mengerut dahi.
“Sebelum ni mana pernah perempuan yang tolak pelawaan dia. Tup-tup bila dia ajak kau, kau tolak pulak. Kau tak terpikat ke kat muka handsome dia? Anak Dato’ lagi...”
Sengaja Laila menguji Nazihah.
Dia tak percaya Nazihah tak terpikat dengan wajah kacak Qasyi. Dia yang sudah berumah tangga pun boleh terpikat dengan daya tarikan Qasyi, inikan pula Nazihah yang masih bujang.
Nazihah tersenyum mendengar kata-kata Laila.
“Saya tak pandang semua tu, kak. Saya kalau nak cari teman hidup, saya tak tengok luaran tapi dalaman.”
Dia meletakkan tangannya ke dada.
“Kalau luaran je cantik tapi dalaman tak cantik nak buat apa, kan? Saya tak suka kacau hak orang. Tak naklah saya dengan Encik Qasyi tu. Dahlah kasanova, merana hidup saya nanti. Lagipun, saya ada kat sini nak buat praktikal, bukan nak mencari cinta!” ujarnya tegas.
Dan ada misi yang perlu saya laksanakan. Ayat terakhir itu hanya ditutur di dalam hati.
Laila berpaling apabila mendengar bunyi tapak kasut di belakangnya. Matanya membulat apabila melihat Qasyi menghampiri meja Nazihah.
“Awak ni tak ada kerja ke, Kak Laila? Asyik nak menempel kat meja orang lain je kerjanya!”
Meninggi suara Qasyi. Mukanya masih lagi masam.
“Erk... saya nak pinjam stapler kat Zihah, encik…”
Laila kelam kabut menjawab. Dia mencapai stapler di dalam bekas alat tulis milik Nazihah lantas berlalu ke mejanya.
Ayat nak cover kantoilah tu, gumam Farhana di dalam hati.
Qasyi merenung tajam ke wajah Nazihah yang selamba membuat kerja. Dia mencapai kunci keretanya yang tertinggal di atas meja gadis itu. Kemudian dia beredar menuju ke biliknya. Terbantut seleranya untuk keluar makan.
Nazihah menghantar pemergian Qasyi dengan pandangan mata. Dia tersenyum sesaat.
Qasyi melabuhkan duduk dengan kasar di kerusi. Interkom ditekan.
“Awin, masuk bilik aku sekarang!” Tegas bunyi suaranya.
Shazwina yang sedang membuat kerja terkejut apabila mendengar suara Qasyi di interkom. Dia mencapai pen dan buku kecil sebelum berlalu ke bilik bosnya.
“Duduklah,” arahnya Qasyi apabila Shazwina sudah berdiri di depannya.
“Tadi kata nak keluar lunch?”
Shazwina pelik melihat Qasyi masuk semula ke bilik.
“Terbantut selera aku!” Suara Qasyi masih lagi keras.
“Siapa yang buat selera kau terbantut ni?” soal Shazwina ingin tahu. Kali ini dia menyoal sebagai kawan baik kepada lelaki itu.
Dia dan tunangnya, Shakir merupakan kawan baik Qasyi sejak di university lagi. Selepas tamat belajar, Qasyi menawarkan dia bekerja sebagai setiausaha. Memandangkan dia masih belum mendapat sebarang tawaran pekerjaan, dia menerima saja tawaran lelaki itu.
“Budak praktikal tulah!”
“Apa yang dia dah buat kat kau?”
Shazwina benar-benar ingin tahu. Pertama kali sejak mengenali Qasyi, belum ada perempuan yang membuat lelaki itu bengang sebegini.
“Aku ajak dia lunch tapi dia tolak. Lepas tu masa aku patah balik kat tempat dia nak ambil kunci kereta aku yang tertinggal, aku dengar dia cakap sesuatu kat Laila.”
“Apa dia cakap?”
“Dia boleh kata macam ni... tak naklah saya dengan Encik Qasyi tu. Dahlah kasanova, merana hidup saya nanti. Lagipun, saya ada kat sini nak buat praktikal, bukan nak mencari cinta!”
Dia mengulang apa yang sempat dia dengar dari mulut Nazihah.
“Mana aku tak bengang! Dia mengata aku tau! Hesy!”
Tangannya menumbuk meja.
“Wow!” Menbulat mata Shazwina mendengarnya.
“Wow tengkorak kau! Aku tengah bengang, kau suka pulak eh!” Qasyi menjegilkan mata.
Shazwina langsung tak mengambil hati dengan kata-kata Qasyi.
“Selama aku kenal kau, belum pernah lagi perempuan tolak kau. Dia baru tolak sikit kau dah bengang semacam. Kalau Shak tahu pasal ni mesti dia tergelak guling-guling punyalah. Hahaha... Qasyi Umair Dato’ Johan, jejaka pujaan ramai telah ditolak mentah-mentah oleh Aina Nazihah, si gadis bertudung!”
“Kau ni, aku panggil kau untuk kurangkan tahap kebengangan aku, kau boleh bantai gelakkan aku pulak! Dahlah, kau boleh keluar sekarang.” Qasyi memusingkan kerusi menghadap ke luar bangunan.
Wajahnya digosok perlahan cuba menenangkan hati yang panas.
“Opss! Bos dah marah. Okeylah, aku keluar dulu. Sekarang lunch time.” ujar Shazwina lalu melangkah keluar dari bilik Qasyi.
“Awin.”
Qasyi memusingkan kembali kerusi menghadap Shazwina.
“Yess, boss?”
Shazwina yang baru memulas tombol pintu berpaling ke belakang.
“Kau lunch dengan siapa?”
“Dengan siapa lagi, dengan bakal suami terchentalah. Wanna join us?”
“Boleh jugak. Kau tunggu aku kat pintu masuk lobi, aku nak ke gents kejap.”
“Okey, bos!”
Shazwina melangkah ke mejanya untuk mengambil beg tangan.
“Mana Shak?” soal Qasyi sebaik sahaja sampai di luar bangunan Impiana Holdings. Kelibat shakir masih belum kelihatan.
“Dia kata lagi lima minit dia sampai.”
Qasyi melemparkan pandangannya. Matanya terpaku pada Nazihah yang sedang memasuki sebuah kereta Honda CRV. Di bahagian pemandu kelihatan seorang lelaki yang tak berapa jelas wajahnya. Shazwina turut memandang ke arah yang sama.
“Patutlah dia tolak kau, rupa-rupanya dah ada kekasih.”
Qasyi mengetap gigi. Hari tu cakap tak ada kekasih!
“Awin, kau boleh tolong aku tak?”
“Ni mesti nak suruh aku buat bancian, kan?” serkap Shazwina.
“Pandai pun kau. Tolong aku eh?” rayu Qasyi.
Dia tak tahu kenapa hatinya rasa panas apabila melihat Nazihah keluar dengan lelaki lain. Nak kata dia dah jatuh cinta, tak mungkin! Sepanjang hidup dia, dia tak pernah jatuh cinta dengan semua perempuan yang dia dah kecewakan.
Share this novel