“AWIN, batalkan semua appointment aku. Lagi satu, aku tak nak sesiapa ganggu aku. Aku nak bersendirian!”
Suara Qasyi kedengaran di Interkom. Selepas beberapa hari tak datang ke pejabat, akhirnya dia muncul juga hari ini.
“Okey, bos!”
Nazihah berjalan mendapatkan Shazwina.
“Awin, Encik Qasyi ada kat dalam ke?”
Hampir setiap hari dia bertanya Shazwina mengenai Qasyi. Pagi tadi ketika dia memarkirkan kereta, dia ternampak kereta Qasyi di situ. Dengan muka berseri-seri dia melangkah ke pejabat.
“Bos ada tapi... dia tak nak jumpa sesiapa.” Shazwina serba salah
“Please, Awin… saya kena jumpa dengan Encik Qasyi jugak. Penting sangat-sangat. Ini soal hidup dia.”
“Tunggu kejap.”
Shazwina menekan interkom.
“Bos, Nazihah nak jumpa.”
“Kan aku dah kata tak nak jumpa sesiapa. Kau tak faham bahasa ke?!” herdik Qasyi.
Shazwina terperanjat. Selama dia bekerja di bawah Qasyi, tak pernah lagi dia ditengking sebegitu rupa.
Dalam Shazwina sedang terkulat-kulat, Nazihah mengambil keputusan untuk melangkah masuk ke bilik Qasyi. Pintu bilik lelaki itu dikuak.
Mencerlung mata Qasyi melihat Nazihah merempuh masuk ke dalam biliknya.
“Siapa suruh kau masuk hah? Keluar dari bilik aku sekarang!”
Marahnya pada Nazihah masih belum pudar. Dia rasa tertipu.
“Awin, bawak dia keluar!” arahnya sebaik saja melihat wajah serba salah Shazwina di belakang Nazihah.
“Zihah, jom kita keluar…”
Shazwina memegang lengan Nazihah.
“Saya takkan keluar sebelum awak dengar penjelasan saya!” ujar Nazihah tegas.
Tangan Syazwina yang menariknya ditepis.
“Okey, apa yang kau nak jelaskan? Cepat sikit, aku sibuk!” Qasyi mengalah.
Mendengar kata-kata Qasyi, Shazwina melangkah keluar. Pintu bilik Qasyi ditutup rapat.
Nazihah menghampiri Qasyi. Diari kusam milik Khalidah dihulur kepada lelaki itu.
“Awak baca ni dulu, nanti awak akan faham.”
Dengan malas Qasyi mengambil lalu menyelak helaian demi helaian. Dia terhenti pada helaian yang bertarikh 18 April 1996. Dia membaca satu per satu bait yang tertulis di situ.
*18 April 1996*
Aku mendapat panggilan telefon dari mama. Mama memaksa aku meminta cerai dari Johan. Kalau aku tak ikut arahan mama, mama akan hancurkan perniagaan Johan. Mulanya aku hanya abaikan permintaan mama. Aku menyangka mama hanya berpura-pura mengugutku. Mana ada ibu yang sanggup tengok anak dia menderita, kan.
*21 April 1996*
Sedikit demi sedikit pelabur di syarikat Johan menarik diri untuk terus melabur. Johan semakin susah hati dengan syarikatnya yang kian terumbang-ambing. Kalau boleh aku nak sangat bantu tapi aku tak tahu apa yang perlu aku buat. Hanya satu je yang terlintas kat kepala aku sekarang. Mama! Ya, hanya mama yang boleh tolong syarikat Johan. Esok aku akan ke rumah mama meminta bantuan.
*22 April 1996*
Aku tak sangka kejatuhan syarikat Johan berpunca dari mama. Mama memaksa aku sekali lagi meninggalkan Johan dan kedua-dua puteraku yang masih kecil tapi aku tak sanggup. Aku sangat sayangkan keluarga aku. Tapi mama bagi kata putus. Kalau aku tak minta cerai, mama akan buat hidup kami sekeluarga merempat!
Sampainya hati mama buat anak kandung dia macam ni. Tak nak ke mama tengok aku hidup bahagia dengan keluarga aku sendiri? Aku terpaksa membuat keputusan! Demi untuk tak mahu melihat suami dan anak-anak hidup menderita, biarlah aku mengalah. Biarpun pedih, kuteruskan jua.
*23 April 1996*
Mama menghubungiku bertanyakan keputusan aku. Aku kata aku setuju dengan kehendak dia. Mama gembira. Dia akan suruh Malik ambil aku esok.
Hari ni merupakan hari terakhirku bersama keluarga tercinta. Aku memasakkan lauk kegemaran suami dan anak-anakku. Aku melihat satu per satu wajah yang aku sayang. Dalam hati, aku menangis pilu. Ya Allah, aku tak sanggup berpisah dengan keluargaku. Tolonglah kuatkan semangatku esok.
*24 April 1996*
Tahniah, Khal! Kau dah berjaya menyakitkan hati suami dan anak-anak kau! Tapi aku terpaksa! Kalau tak, aku tak akan sampai hati nak tinggalkan mereka. Aku memang ibu yang teruk! Dengan tangan sendiri aku tolak along. Aku tergamam masa tengok banyak darah yang mengalir kat dahi along. Aku ingin menghampiri along dan bagitahu dia yang aku tak sengaja tolak dia. Maafkan mama, along... maafkan mama... Bila Johan bagi kata putus kepadaku, aku nak sangat pilih untuk terus jadi isteri dia tapi mesej yang dikirim mama membantutkan keputusanku.
Aku pasrah kalau sampai di sini saja jodohku dengan Johan. Kerna terpaksa juga, aku melangkah pergi buat selama-lamanya dari hidup suami dan anak-anakku. Along, Qaleef... maafkan mama. Maafkan Khal, abang...
*25 April 1996*
Hari ini mahkamah mengesahkan perceraianku dan Johan. Aku terpaksa meneruskan hidupku tanpa Johan dan anak-anak. Petang itu juga tanpa pengetahuan Johan aku pergi ke hospital di mana along ditempatkan. Aku hanya melihat dari jauh. Pilu hati tengok kepala along yang berbalut. Aku teringin sekali nak peluk along dan kurangkan kesakitannya. Maafkan
mama, along… maafkan mama. Mama sayang along, sayang Qaleef dan juga papa. Tapi mama tak berdaya, along… tak berdaya...
Air mata Qasyi tumpah. Dia menyelak helaian seterusnya dan meneruskan pembacaan tanpa menghiraukan Nazihah yang merenungnya.
*26 April 1996*
Aku terkejut mendengar permintaan mama. Mama memaksaku mengahwini Malik yang telah lama kematian isteri, sesudah aku habis edah nanti. Menurut mama, Malik mempunyai seorang anak perempuan yang ketandusan kasih-sayang seorang ibu. Mama kejam! Kenapa mama tak fikir pasal anak-anak aku yang juga memerlukan kasih sayang aku?!
Petang itu jugak aku jumpa Malik, minta dia menolak cadangan mama tapi Malik tak nak. Dia membuat pengakuan. Pengakuannya membuatkan aku terkejut. Dia sebenarnya cintakan aku sejak dulu lagi. Dia kecewa apabila dapat tahu aku berkahwin lari di Songkhla, Thailand bersama Johan.
Sejak itu dia membawa diri ke luar negara. Beberapa tahun kemudian dia
kembali ke Malaysia bersama anak tunggalnya yang ketika itu berumur 9 tahun. Apabila dia mendapati syarikat mama menghadapi masalah, dia menghulurkan bantuan tapi dengan syarat, mama mesti kahwinkan aku dengan dia. Demi menyelamatkan syarikatnya, mama sanggup menggadaikan aku tanpa mengira aku masih isteri kepada Johan. Sungguh kejamnya mama!
Ternyata rancangan Malik dan mama untuk memisahkan aku dan keluarga berhasil. Sehingga aku dibenci oleh bekas suami dan anak-anakku sendiri.
*14 August 1996*
Hari ini, aku telah sah menjadi isteri Malik. Hati merintih pilu namun apabila melihat wajah anak tunggal Malik, aku merasakan rinduku terhadap anak-anakku terubat. Aku layan anak Malik seperti anakku sendiri. Nazihah seorang anak yang baik dan mendengar kata.
*28 Julai 1999*
Mama telah kembali ke Rahmatullah. Aku redha dengan pemergian mama. Kepada Dia kita datang dan kepada Dia juga kita kembali. Semoga roh mama dicucuri rahmat. Sebelum mama menghembuskan nafas terakhir, mama sempat memohon maaf atas segala perbuatannya kepadaku. Aku dengan seikhlas hati memaafkan mama.
*30 september 2000*
Hubunganku dengan Malik tak bahagia sejak dari mula kami berkahwin. Kami sering bertengkar sebab dia tangkap aku selalu menangis melihat gambar-gambarku bersama Johan dan anak-anak. Pernah dia campak album itu ke luar tingkap.
Mujur Mak Milah, orang gaji Malik ternampak ketika dia sedang menyiram pokok bunga. Dia bagi kepadaku semula selepas Malik ke tempat kerja.
*20 February 2002*
Malik telah selamat dikebumikan semalam. Aku terjumpa sepucuk surat dari dalam laci. Aku kenal tulisan tangan Malik. Surat itu kubuka apabila melihat namaku tertera di situ. Dalam kandungan surat itu Malik juga memohon maaf kepadaku kerana telah meruntuhkan rumah tanggaku. Dia meminta aku menjaga anaknya Nazihah dan memintaku menguruskan syarikatnya. Aku berjaji akan menjaga Nazihah seperti anakku sendiri kerana Nazihah la penawarku sekarang.
*15 September 2003*
Selepas terbaca artikel tentang Johan di paper, aku rasa sangat rindu dengan anak-anakku. Ternyata Johan telah berjaya membangunkan empayarnya semula. Aku teringin berjumpa dengan anak-anakku dan Johan tapi aku
takut mereka tak nak berjumpa denganku lagi.
Biarlah aku memendam rindu ini, asalkan mereka bahagia tanpaku. Biarlah Tuhan yang menentukan segalanya.
Qasyi menutup diari kusam itu setelah selesai membaca. Air matanya masih lagi belum berhenti. Dia memandang Nazihah.
“Thanks, Zihah… thanks sebab bagitahu saya perkara yang sebenar. Kalau tak, mesti saya masih benci mama. Rupa-rupanya mama tak salah,” ucapnya
Nazihah tersenyum.
“Lepas je saya baca diari mama, saya nekad nak kembalikan mama semula kepada keluarganya. Sebab tulah saya masuk ke syarikat ni tapi awak je yang salah anggap.”
“Sorry sebab saya dah sakitkan hati awak kelmarin.”
“It's okay...” Nazihah tersenyum.
“Awak balik dengan apa hari tu?”
“Saya telefon Abang Eshaan suruh dia ambil.”
“Boleh bawak saya jumpa mama?”
Nazihah mengangguk. “Tapi bukan sekarang.”
“Kenapa pulak?” Qasyi pelik.
“Sebab saya ada rancangan saya sendiri tapi saya nak awak tolong saya.” Nazihah tersengih nakal.
“Tolong apa?”
“Macam ni… hari Ahad ni hari bapa, kan? So, saya nak awak pakat dengan Qaleef supaya bawak Uncle Johan ke Hotel Hilton. Saya pulak akan bawak mama ke sana. Nanti kita jumpa kat sanalah.”
“Ooo… maknanya awak nak buat program jejak kasihlah ni ya?”
Qasyi tersenyum. Terharu dengan rancangan Nazihah.
“Pandainya awak teka,” puji Nazihah.
Shazwina yang berada di luar pelik mendengar ketawa bosnya dan Nazihah.
“Aik, tadi bukan main melenting. Sekarang ketawa pulak? Entah apalah ilmu yang Si Zihah pakai ni.”
“Zihah, saya nak kita sambung balik hubungan kita. Saya janji takkan sakitkan hati awak lagi. Awak pun tahu kan masa tu fikiran saya bercelaru bila awak bagitahu pasal identiti awak yang sebenarnya. Terima saya balik eh?” pinta Qasyi.
Nazihah mengangguk laju.
“Thanks, Zihah… thank you so much,” ucap Qasyi.
Share this novel