“Hah JANGAN!!!Dia tersedar dari tidur. Turun naik dadanya menarik nafas. Dia meraup wajahnya yang berpeluh. Sejak dua tiga hari kebelakangan ini dia sering bermimpikan kejadian lima belas tahun yang lalu. Dahi yang meninggalkan kesan parut disentuh perlahan. Hatinya sakit mengenangkan peristiwa itu. Dia tak menyangka mamanya sanggup mencederakannya.
Kerana sikap mamanya itu, dia tak pernah percaya pada perkahwinan dan perempuan. Jam di telefon pintar ditilik.
“Baru pukul 4.30 pagi,”keluhnya.
Qasyi turun dari katil mencapai jubah mandi dan tuala. Kemudian dia keluar dari bilik tidur menuju ke kolam renang di luar rumah banglo dua tingkat itu.
Sampai saja di kolam renang, dia terus terjun dan berenang. Jika jiwanya kacau, dia akan berenang. Segala masalah yang membelenggu otaknya akan hilang. Hilang bersama kedingingan air kolam, juga membawa pergi wajah mamanya yang sering menghantui mimpinya.
Setelah puas berenang, dia naik ke atas dan membaringkan diri di kerusi malas. Matanya dihalakan ke langit yang gelap. Keadaan cuaca pagi yang sejuk tak dihiraukan. Tangannya meraba di atas meja mencapai tuala yang diletakkannya tadi. Perlahan-lahan dia mengelap badannya yang basah.
“Along berenang lagi?”
Qasyi tersentak. Dia berpaling ke arah suara yang menegurnya.
Qaleef yang sudah lengkap berbaju Melayu merah, berkopiah putih dan berkain pelekat melabuhkan duduk di kerusi malas di sebelah Qasyi. Dia pelik melihat perangai alongnya yang sejak dua menjak ini asyik berenang pagi-pagi buta.
“Dah pukul berapa sekarang?”
Soalan Qaleef dibiarkan tak berjawab.
“Lagi 10 minit nak dekat pukul 5.30 pagi.”
Qasyi mencapai jubah mandi lantas menyarung ke badan.
“Along masuk dululah, kejap lagi dah nak azan subuh.”
Rambutnya yang basah dilap dengan tuala ditangan. Kaki melangkah ke arah pintu.
“Along, papa ajak jemaah sama.”
“Okey, tunggu along kat bilik solat.”
Share this novel