NAZIHAH merebahkan badannya di atas katil. Dia tersenyum memandang siling. Hubungannya dengan Qasyi semakin rapat sejak lelaki itu keluar dari hospital. Selain Qasyi, dia juga semakin rapat dengan Dato’ Johan dan Qaleef. Berada di kelompok keluarga Qasyi membuatkan dia bahagia. Dato’ Johan melayannya seperti anak sendiri. Terasa seperti mendapat semula kasih sayang ayahnya.
Ayahnya meninggal akibat serangan jantung ketika berusia 15 tahun dan sedang menduduki peperiksaan PMR. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan dia ketika itu. Dia menjadi yatim piatu pada usia yang terlalu muda.
Mama kandungnya pula meninggal dunia sebaik saja dia dilahirkan. Ketika dia berusia 9 tahun, ayahnya telah berkahwin lain. Mama tirinya terlalu baik. Melayan dia seperti anak kandung sendiri walaupun mempunyai anak dengan bekas suami. Dia pernah bertanya kepada mama tirinya kenapa berpisah dengan bekas suami? Jawapan yang diberikan adalah tiada jodoh.
Selepas kematian ayahnya, dia bergantung hidup pada mama tirinya. Wanita itulah yang menguruskan segala keperluan hidupnya. Nazihah terkenang kembali peristiwa yang menyebabkan dia nekad untuk masuk ke dalam keluarga Dato’ Johan.
Nazihah melangkah perlahan menghampiri bilik mama tirinya. Sampai saja di depan pintu bilik yang terbuka luas itu, dia pelik melihat mama tirinya menangis sambil menatap sebuah album.
“Kenapa mama nangis?” soalnya sambil melangkah menghampiri wanita itu.
Mama tirinya pantas menyembunyikan album di bawah bantal.
“Mana ada mama nangis. Mata mama ni masuk habuk.”
Mama… mama... Zihah bukan budak-budak lagi. Zihah tahu mama menangis. Tapi apa yang menyebabkan mama menangis? Tak mungkin mama menangis bila tengok gambar arwah ayah. Tu mesti gambar orang lain sebab aku tak pernah tengok pun album tu masa ayah hidup. Kata-kata itu hanya terluah di dalam hatinya saja.
“Zihah dah makan?”
“Belum lagi. Zihah masuk bilik mama ni nak ajak mama makanlah. Jom kita makan, ma. Zihah laparlah.”
Nazihah mengusap perutnya.
“Kesian anak mama. Jomlah kita makan.”
Nazihah mengekori langkah mama tirinya dari belakang.
Sekilas dia berpaling ke bantal merenung tajam pada album gambar yang disorokkan wanita itu tadi. Dia nekad mahu mendapatkan album itu nanti. Selagi tak lihat sendiri hatinya tak akan rasa puas. Dia yakin ada sesuatu pada album itu.
Share this novel