“AWAK tahu tak yang awak dah berubah sekarang niKhal. Mana Khalidah yang saya kenal dulu? Saya dah tak kenal awak siapa lagi. Mana dia janji awak yang sanggup sehidup semati dengan saya tak kira susah ataupun senang? Mana?!”
Meninggi suara Johan. Panas hatinya membara dan hatinya luluh melihat insan yang dicintainya berubah secara total di depan matanya, apabila melihat isterinya sedang memasukkan kesemua pakaian ke dalam
luggage.
“Saya dah tak boleh hidup dengan awak lagi. Dulu sebelum
kita kahwin, awak janji yang kita takkan hidup susah sebab awak kata
perniagaan awak tu stable tapi sekarang syarikat awak dah bankrap!
Mana nak cekau duit untuk bayar hutang-hutang tu semua? Entah-entah awak
akan jadikan saya alat untuk langsaikan semua hutang-hutang tu. Sebelum
saya dipergunakan, lebih baik saya balik rumah mama saya!
Sekurang-kurangnya saya masih ada tempat untuk berlindung lepas kondo ni
disita.”
Selesai mengemas semua barang-barangnya, Khalida melangkah
keluar dari bilik sambil mengheret luggage dan menjinjing sebuah beg
pakaian.
“Astaghfirullahalazim... apa yang awak merepek ni, Khal?
Perniagaan saya bankrap tak ada kena mengena dengan nak pergunakan awak.
Awak ingat saya jahat sangat ke hah? Saya bukan lelaki pengecut yang
sanggup korbankan perempuan yang saya sayang demi kepentingan sendiri.
Saya masih waras lagi, Khal! Siapa yang dah menghasut awak ni?!”
Johan mengekori langkah isterinya yang sedang menuruni tangga.
“Tak ada siapa yang menghasut. Saya sendiri yang nak keluar
dari sini.”
Khalidah masih terus berjalan. Langkahnya terhenti apabila terasa lengannya ditarik kuat dan dia sedikit terdorong ke belakang.
“Isy, lepaskan saya! Sakit tahu tak?!” jeritnya.
Johan melepaskan pegangannya.
“Awak dah tak sayangkan saya ke, Khal?”
Suaranya kedengaran sayu.
“Cuba awak ingat balik pelbagai rintangan yang kita dah lalui untuk hidup bersama dulu. Tolong jangan pergi, Khal…”
“Saya memang dah tak sayangkan awak lagi malah saya menyesal kahwin dengan awak! Mungkin betul kata orang dulu-dulu, orang yang kahwin tanpa restu keluarga ni rumah tangganya takkan bahagia!”
Wajah Johan bertukar mendung.
“Kalau awak dah tak sayangkan saya lagi, tolonglah fikirkan tentang anak-anak kita. Takkan awak nak tinggalkan dia orang macam tu je? Dia orang perlukan awak sebagai ibu dia orang.”
“Diorang kan anak awak. Awak jelah yang jaga dia orang. Saya tak nak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia orang dan awak!”
Khalida menuding jari telunjuk ke dada suaminya. Kemudian dia meneruskan langkah.
Dengan wajah yang menyinga, Johan merentap kuat beg pakaian yang dijinjit oleh Khalidah.
Khalidah terkejut. Dia menjeling tajam ke wajah Johan.
“Apa awak kata tadi? Diaorang tu anak awak jugak tau! Awak yang lahirkan diaorang. Saya tak benarkan awak keluar dari rumah ni!” herdik Johan.
“Apa hak awak nak halang saya hah? Apa hak awak?!”
Khalidah menarik semula beg pakaiannya.
“Saya suami awak! Sebagai isteri, awak kena patuh arahan saya. Pergi masuk bilik sekarang!”
Johan merentap kembali beg pakaian itu.
“Awak ni tak paham bahasa ke hah? I don't want to be your wife anymore! Saya dah tak ada hati dengan awak tahu tak! Biarkan saya pergi.”
Khalidah merampas balik beg pakaiannya. Dia meneruskan langkahnya kembali apabila melihat Johan terdiam. Belum sempat dia sampai ke pintu keluar, seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 11 tahun berlari mendapatkannya.
“Mama, tolong jangan pergi! Jangan tinggalkan along dengan
adik...”
Budak lelaki itu memaut kedua-dua belah kaki Khalidah menyebabkan pergerakkannya terkunci.
Adiknya hanya berdiri kaku di tangga paling atas. Di situlah tempat mereka berdiri menyaksikan pertengkaran antara kedua-dua ibu bapa mereka sebelum si along meluru mendapatkan mamanya tadi.
“Lepaskan akulah, aku bukan mama kau lagi! Lepas!”
Khalidah cuba menarik kakinya namun pautan budak itu terlalu kejap.
“Tak nak! Along takkan lepaskan kalau mama janji takkan tinggalkan along, adik dengan papa!” tegas budak itu.
Wajahnya sudah lencun dengan air mata.
“Aku kata lepas!”
Khalidah menolak badan budak itu sekuat hati. Tolakannya menyebabkan kepala budak itu terhantuk pada bucu meja kopi yang diperbuat daripada kaca.
“Along!!!”
Johan memangku anaknya. Dia menarik tisu yang ada di atas meja kopi lantas menekup ke dahi si along yang berlumuran darah.
Si adik yang hanya berdiri kaku dari tadi segera mendapatkan papa dan alongnya. Wajahnya turut dibanjiri air mata.
Pucat muka Khalidah apabila melihat banyak darah yang mengalir pada dahi anak sulungnya. Dia hanya berdiam diri tak mampu berbuat apa-apa.
“Sampai hati awak cederakan anak sendiri, Khal! Apa salah dia hah? Dia cuma tak nak awak tinggalkan rumah ni. Kalau awak masih ada secebis kasih sayang untuk anak-anak kita, awak janganlah pergi. Kalau awak tetap nak pergi jugak, pergilah tapi ingat!”
Johan menarik nafas sebelum menyambung kata.
“Sebaik saja awak melangkah keluar dari rumah ni, gugurlah talak satu!”
Khalidah masih lagi berdiri kaku. Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi menandakan satu SMS diterima. Selesai membaca SMS itu, dia memandang wajah suami dan anak-anaknya. Perlahan-lahan dia melangkah pergi. Pergi meninggalkan keluarganya.
“Mama! Mama!” jerit si along tanpa menghiraukan dahinya yang sakit. Kelibat Khalidah hilang dari pandangan matanya.
“Papa, along nak mama... jangan biarkan mama pergi, pa...”
Johan memejam mata. Sayu hatinya mendengar rayuan si along.
“Sudahlah, along... biarkan mama pergi. Jom papa bawak along ke hospital.”
Dia mencempung tubuh anak sulungnya lalu dibawa ke hospital.
Share this novel