BAB 21

Romance Completed 5655

HAIZA menghantar aku pulang. Sepanjang perjalanan, aku terpaksa kuatkan hati untuk berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Senyuman di bibir ini, juga tawa yang terhasil ini, ketahuilah bahawa semuanya hanya palsu. Semuanya hanya poyo! Semuanya hanya untuk menutup hati yang merintih.

Aku taknak kelihatan sebak. Aku kena buktikan dekat Haiza yang aku seorang yang kuat. Aku bukan jenis yang terus tersungkur buat selama-lamamya bila gagal dalam percintaan. Hei, aku tak lembiklah, sampai nak terus tersembam macam tu. Tengok dulu okey aje aku mulakan hidup baru? Heh.

Takpe. Kalau Haiza cuma nak Kasyfi aje, it's okay. Aku boleh mengalah. Lagipun, takdelah aku suka sangat dekat lelaki tu. Alah, suka macam manalah sangat, kan? Cinta monyet. Tahu tak cinta monyet tu apa? Ingat cinta monyet akan menjamin sampai ke jinjang pelamin ke? Ewah... Kalau macam tu, aku nak bercinta dengan mana-mana lelaki yang aku minat sangat, biar bila besar nanti aku boleh kahwin dengan dia. Heh!

Sedarlah Iqa yang selama ni kau menjaga jodoh orang!

Kereta Haiza berhenti di depan rumah.

"Thank you, Haiza... Susah-susah je datang jemput dan hantar balik." Aku bersuara seraya menghadiahkan sekuntum senyuman.

"Haha, no lah. Haiza yang patut berterima kasih sebab Iqa sudi luangkan masa dengan Haiza. You know what? Haiza tak jangka pun Iqa ramah macam ni. Kali pertama jumpa, ingat Iqa ni sombong..."

"Hehe. Dengan orang yang Iqa tak rapat, memang mulut ni berat sikit nak senyum. Kalau orang tak kenal, mesti orang ingat sombong."

"Haha. Ada ya orang yang macam tu?"

"Ada je. Iqalah contohnya. Kalau Iqa betul-betul nak kenal seseorang je, baru Iqa mula. Ni pun nak cakap dengan Haiza, Iqa buat-buat berani je. Hehe..."

Haiza ketawa lagi.

"Janganlah takut. Haiza jenis yang okey aje kalau orang tegur. Sebab Haiza memang suka berkawan pun." Bagitahu Haiza pula. Aku hanya senyum.

"Ya, tahu. Iqa memang dah nampak ciri-ciri tu pada diri Haiza. Haiza ni jenis peramah. Tak macam Iqa, susah nak mesra dengan orang baru." Aku bersuara seakan-akan sedang merendah diri.

"It's okay. Jangan paksa jadi macam orang lain. Jadilah diri sendiri. Kalau Iqa rasa apa yang Iqa buat tu mampu jadikan Iqa lebih baik, why not kekalkan aje? Lagipun, bukannya Iqa tak bergaul langsung, kan?" Haiza memberikan kata-kata semangat pula.

Aku pula hanya angguk dan senyum mengiyakan.

"Baru aje kenal dengan Iqa, Haiza rasa macam dah lima tahun kenal. Harap lepas ni kita boleh jadi kawanlah pulak, bukan sekadar kenalan aje."

Aku senyum lagi.

"Kalau Haiza sendiri tak kisah, takkan Iqa taknak pulak, kan?"

Haiza terangguk-angguk sendiri bersama senyuman.

"Hehe. Thanks. You memang baik, Iqa. Patutlah Kasyfi senang berkawan dengan awak. Jenis yang go macam tu..."

Aku senyum saja.

Eh, lama pulak bercakap dalam kereta. Aku meminta izin untuk masuk ke dalam rumah. Kereta mewah Haiza mula menyusul keluar dari halaman rumah. Aku menghantar keretanya dengan pandangan mata. Pintu dibuka dan kembali ditutup.

Tanpa sedar, aku mengeluh. Nampaknya, memang patut aku tak jadikan Kasyfi sebagai pilihan. Walaupun Kasyfi pernah cakap yang kalau dia ditanya tentang ciri-ciri wanita idamannya adalah terletak pada 'hanya' aku seorang, tidak mengapa sebab aku takkan jadikan Kasyfi sebagai pilihan.

Haiza cuma ada Kasyfi seorang. Aku tak sangguplah nak rebut Kasyfi daripada Haiza meskipun memang betul diorang tiada hubungan lain selain sepupu. Yalah, siapa aje yang tahu kalau-kalau Haiza tu memang dah dari kecil lagi angaukan si Kasyfi tu sebagai suami dia? Manalah tahu kut-kut Haiza 100% yakin dan pasti bahawa dialah tulang rusuk Kasyfi yang hilang itu.

Takpelah. Kalau dengan melepaskan Kasyfi membuatkan Haiza bahagia, maka aku redha. Siapalah aku untuk melawan, bukan? Aku bukannya sellfish sangat sampai tahap nak rampas impian orang.

Tapi tentang hati ini, aku tak pasti berapa lama tempoh masa yang aku perlukan untuk betul-betul dapat lupakan dia. Okey, serius cakap... Dialah lelaki pertama yang berjaya buat hati aku terusik setelah hati aku yang dahulu itu dilukai seseorang. Aku cintakan kau, Kasyfi.

Ah, celah mana pulak cinta? Kau jangan nak mengarut sangat boleh tak, Iqa? Kau suka dia pun sebab dia baik saja, bukannya sebab apa pun. Dia tu jodoh orang, tahu tak?! Sedarlah, Iqa. Sedarlah bahawa kau dan Kasyfi bukan ditakdirkan untuk bersama!

***

'BOLEH kita jumpa tak? Aku tak berapa sukalah cerita hari tu tergantung macam tu aje. Aku ke rumah Mak Wa pukul 5 petang nanti ya?'
-Kasyfi

Aku terdiam apabila terbaca whatsapp yang dihantar oleh Kasyfi itu. Kira-kira 30 minit yang lalu. Sekarang dah pukul 4.45 petang. Ah sudahlah... Aku taknak jumpa dia. Aku taknak jadi perosok hubungan orang biarpun hubungan tu hanya sebagai sepupu sahaja. Aku taknak Haiza tuduh aku perampas nanti.

Cukup-cukuplah aku dah buat silap. Tahu tak apa kesilapan yang aku buat? Kesilapan aku adalah mencintai Kasyfi, lelaki yang bukan untuk aku cintai sebetulnya. Salah aku sebab dah terlanjur menyukai seseorang yang terlebih dahulu disukai oleh perempuan lain. Kalau boleh putarkan masa, aku taknak kenal dengan Kasyfi.

Pada awal pertemuan kami iaitu sewaktu di dalam iringan hujan yang menari-nari itu, kalau boleh aku taknak pun kenal dia. Sepatutnya masa dia ajak aku tumpang motosikal dia tu, aku tak payah naik. Sepatutnya aku tak payah pergi sekolah hari tu! Tengoklah sekarang...! Tengok apa yang berlaku sekarang! Aku dah serahkan hati aku dekat dia, tapi ada aku pun dapat hati dia? Takde.

Kosong, Iqa. Kosong!

Tiba-tiba hatiku terasa sayu. Kalau tak kerana Haiza, mesti aku masih letakkan harapan terhadap Kasyfi. Namun, siapa aku nak melawan takdir? Nak taknak, aku kena terima yang hubungan aku dengan Kasyfi takkan pernah melebihi seorang kawan. Sedarlah hakikat itu, wahai pemilik nama Nur Afiqah!

Perlahan-lahan aku mengetik telefonku.

Me: Eh, tak payahlah. Tunggu jelah buka sekolah nanti.

Baru aje nak off, tiba-tiba aku nampak Kasyfi online. Eh, kenapa terus online lepas aku hantar whatsapp ni? Memang tunggu reply daripada aku ke apa ni?

Kasyfi: Kenapa tak sekarang?

Me: Saja. Malaslah...

Kasyfi: Malas nak dengar ke?

Me: Bukan malas tu...

Kasyfi: Lepas ni kalau tak sudi, bolehlah cakap awal-awal ya? Takdelah aku tercerita dekat kau masalah aku.

Aku mula terangkat. Aip, lain bunyi mesej kali ini.

Me: Eh, kau ni kenapa? Ada aku cakap tak sudi ke?

Kasyfi: Memang takde tapi cara kau tu macam ya.

Me: Macam, bukan memang. Kan?
: Lagipun Haiza ada, kan? Whatsapp jelah dia. Takpun, korang boleh jumpa. Sambil tu, bolehlah minum-minum, makan-makan dulu. Ya tak?

Aku tunggu balasan daripada Kasyfi. Seminit kemudian, barulah dia reply.

Kasyfi: Iqa, kau ni kenapa ek setiapa masa nak petik nama dia? Kalau sebab kesilapan aku dulu yang buat kau marah, aku minta maaf. Okey?

Me: Siapa yang marah? Ingat aku takde kerja ke?

Kasyfi: Jangan nak tipulah. Sebenarnya kau jealous aku dengan dia, kan? Kenapa? Sebab kau suka aku? Macam tu?

Me: Eh, perasannya. Aku tak sukakan kaulah! Hati aku pun dah ada seseorang. Kau aje yang tak tahu!

Kasyfi: Siapa yang kau suka?

Me: Kenapa kau nak tahu?

Kasyfi: Sebab hati aku pun ada seseorang..

Aku herotkan bibir.

Me: Hati kau, hati kaulah. Kenapa nak sibukkan hal percintaan aku?

Kasyfi: Kenapa kau tak suka sangat dekat aku? Semua nak kaitkan dengan Haiza. Habis tu kau nak aku buat apa? Apa yang aku kena buat supaya kau stop marahkan aku?".

Me: Betul kau nak tahu?

Kasyfi: Betul. Cakaplah...

Aku tarik nafas panjang-panjang. Bismillah...

Me: Okey, caranya ialah... Kau kena stop buat baik kat aku. Stop buat orang ingat kita ni berkawan baik. Boleh ke?

Kasyfi: Kenapa? Kenapa persahabatan yang kena diputuskan? Tergamak ya kau buat aku macam ni?

Me: Aku tak minta putus kawan. Aku cuma mintak jangan buat-buat rapat. Tu je. Kenapa? Tak boleh?

Kasyfi: Okay. Kau yang mintak, Iqa. Mungkin betul apa tanggapan aku pada kau dulu...

Me: Apa tanggapan kau?

Kasyfi: Sombong. Suka menghukum orang. Fake hope.

Aku sekali lagi terangkat. Kasyfi ni memang nak kena betullah! Terus aku menghubunginya. Lantaklah kalau dia cakap aku tak tahu malu pun. Apabila talian bersambung, aku terus bersuara pantas.

"Asal aku pulak? Kau tu yang fake hope! Suka bagi orang harapan palsu, tapi sebenarnya orang lain terlebih dahulu berharap dekat kau. Kau ingat aku suka-suka aje ke buat macam ni kalau bukan sebab taknak kau dengan..."

"Dahlah. Aku kecewa dengan kau." Pintas Kasyfi lalu mengakhiri panggilan.

Aku yang memang dah sebak terus memandang skrin telefon yang sudah malap. Air mataku menitis. Aku mintak maaf, Kasyfi. Bukan niat aku nak sakitkan hati kau. Bukan niat aku juga untuk meretakkan hubungan persahabatan kita. Aku tahu, menjauhkan diri bukanlah penyelesaian terbaik. Aku tahu, sepatutnya kita masih boleh berkawan macam biasa.

Tapi aku tak mampu, Kasyfi. Haiza sukakan kau. Kau baik dengan dia, jadi tak mustahil kau akan terima dia suatu hari nanti. Dan aku juga sukakan kau. Aku taknak kalau terus berkawan dengan kau, perasaan aku ini takkan lenyap malah makin bertunas. Aku taknak lukakan hati sendiri, Kasyfi.

Nanti apabila kau memilih Haiza... ataupun apabila Haiza meluahkan rasanya dan kau tidak sanggup untuk menghampakannya lalu menerimanya, bagaimana pula dengan aku? Apa yang akan berlaku kepada hati aku yang sudah sarat dengan cinta pada ketika itu?

Daripada terluka kelak, baik aku memilih untuk terluka sekarang. Sekurang-kurangnya, luka aku yang sekarang tidak akan seteruk luka yang akan datang.

____

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience