BAB 10

Romance Completed 5655

"ASSALAMUALAIKUM..."

Kedengaran suara orang lelaki memberi salam dari luar rumah. Perbuatan aku yang tengah melipat kain di dalam bilik terus terhenti. Dengar macam suara Kasyfi. Lekas-lekas aku memakai tudung sarung berwarna hitam. Tidak lupa juga untuk memakai sarung lengan kerana sememangnya aku memakai tshirt lengan pendek sekarang ini.

"Assalamualaikum..." Suara pemberian salam kedengaran lagi. Aku mempercepatkan langkah.

"Waalaikumussalam." Aku menjawab ketika sedang berjalan keluar ke ruang tamu.

Terus aku menjengah ke beranda. Kelihatan Kasyfi sedang berdiri di hadapan tangga. Di bahunya ada satu beg galas kecil berwarna hitam. Nampak macam beg buku. Dia nak buat kerja sekolah bersama sama dengan aku ke?

Aku menguntumkan senyuman manis.

"Naiklah." Jemput aku dengan senyuman.

Kasyfi pandang aku lama sebelum mengangguk kecil. Perlahan-lahan dia menaiki tangga. Kami berpandangan untuk seketika.

"Duduklah dulu. Aku buat air kejap." Aku menjemput dia sambil buat-buat kebas kusyen kerusi yang memang terletak di beranda ini.

Kasyfi diam sebelum duduk. Aku terus masuk ke dalam untuk menyediakan minuman. Kebetulan semasa aku nak turun tangga, aku nampak Mak Wa baru lepas keluar dari bilik air.

"Hah, Iqa. Nenek dengar ada orang bagi salam tadi. Siapa yang datang?" tanya Mak Wa sambil sesekali cuba mengintai ke ruangan atas.

Aku pandang Mak Wa.

"Kasyfi, nek. Kitorang nak buat kerja sekolah sama-sama." Jawab aku.

"Oh. Dah tu, kenapa tinggalkan tetamu sorang-sorang kat atas?" tanya Mak Wa lagi.

"Err... mana ada tinggalkan. Iqa cuma nak buat air kejap je." Balasku.

"Oh, iya ke? Alah takpe, nenek boleh tolong buatkan." Pelawa Mak Wa.

"Ha? Tapi..."

"Dah, pergi naik atas. Nenek buatkan." Suruh Mak Wa, sedikit tegas nadanya. Aku diam. Nak taknak, terpaksalah aku menurut kata kata Mak Wa.

Aku angguk perlahan sebelum masuk ke dalam bilik tidur aku. Buku teks Addmath serta buku latihan aku bawa keluar dari beg. Juga bekas pensel aku yang besarnya sampai boleh letak satu buku diari. Kemudian aku bawa barang-barang itu ke beranda.

Ketika aku sampai, aku nampak Kasyfi tengah menyalin soalan daripada buku teksnya. Aku duduk di sebelah kanan sisi meja. Kasyfi pula duduk bertentangan dengan aku.

Dia mengangkat kepala apabila menyedari kehadiran aku.

"Mak Wa mana?" tanya Kasyfi yang sudah pun kembali memandang buku.

Aku diam sambil membuka pencil box aku.

"Ada. Kat dapur, tengah buat air." Jawabku.

Kasyfi cuma mengangguk kecil tanda faham. Aku membuka halaman muka surat yang perlu aku salin soalannya. Tapi tak jumpalah pula muka surat berapa.

"Muka surat 128." Ujar Kasyfi tiba-tiba.

Aku diam dan memandangnya. Dia masih lagi khusyuk menulis soalan pada buku latihannya.

"Terima kasih." Ucapku perlahan lalu membuka halaman yang baru sahaja dia nyatakan sebentar tadi.

Kasyfi hanya diam.

Ketika aku baru selesai menyalin semua soalan, Kasyfi sudahpun menyelasaikan dua soalan. Dan di dalam satu soalan itu, ada lebih kurang empat soalan kecilnya.

Aku pandang soalan nombor satu pada muka kertas.

1. SELESAIKAN PERSAMAAN KUADRATIK BERIKUT DENGAN MENGGUNAKAN KAEDAH PENYEMPURNAAN KUASA DUA. BERIKAN JAWAPAN BETUL KEPADA TIGA TEMPAT PERPULUHAN.

a. x² + 4x - 9 = 0
b. x² - 3x - 5 = 0
c. -x² - 6x + 9 = 0
d. -3x² + 6x - 1 = 0

Terkelip kelip aku memandang soalan demi soalan. Apakah ini? Kuadratik? Kuadratik aku tahulah sebab pernah belajar di dalam subjek Matematik biasa semasa aku di tingkatan empat. Yang sekarang ini pula soalan nak jawapan mengunakan kaedah penyempurnaan. Lepas tu banyak songeh pula, kena bagi jawapan yang betul itu di dalam tiga tempat perpuluhan pula.

Aku membelek buku teks, ingin melihat contoh soalan yang mungkin sama. Namun aku tidak jumpalah pula. Bab ini pun aku baru belajar pagi tadi. Baru sehari belajar, dah nak bagi soalan? Banyak pula tu. Kang aku tulis jawapan dengan semberono, baru tahu.

Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Alahai, macam mana nak jawab ni? Dahlah aku tak pandai kira-mengira. Kalau Matematik biasa pun aku dapat markah 60 lebih je, Matematik Tambahan apatah lagi. Itu pun kadang-kadang gagal, tahu tak?!

Nak tanya Kasyfi? Taknaklah. Dia tak siap lagi. Aku malas nak ganggu dia. Kalau aku nak tanya sangat pun, aku akan tanya lepas dia dah senang-senang nanti.

Tanpa sedar, Kasyi melihat aku yang asyik serba tak kena.

"Boleh buat tak?" tanya Kasyfi, tiba-tiba.

Aku diam. Perlahan-lahan aku angkat wajah. Kemudian aku menggeleng kecil.

Kasyfi diam memandang aku.

"Kenapa tak tanya aku?" tanya dia.

"Aku malas nak ganggu kau. Aku nak tunggu kau siap kerja kau dulu. Then, barulah aku kacau kau." Jawabku, perlahan.

Kasyfi ketawa kecil.

"Tanya jelah kalau tak faham. Kalau tak, apa guna aku datang sini buat kerja sekolah dengan kau tapi kau tak dapat apa-apa pun?" balas Kasyfi malah bertanya soalan pula.

Aku cuma diam. Memang betul apa yang Kasyfi cakapkan itu. Tapi, aku cuma taknak ganggu dia aje. Tambahan, aku malu sikit. Aku nampak dia macam hebat Matematik. Jadi mestilah aku terasa segan.

"Yang mana tak faham?" tanya Kasyfi.

"Erm... yang... yang ni..." Aku tunjuk soalan nombor satu. Sebenarnya, bukan nombor satu sahaja. Nombor dua, tiga dan empat di bawah itu pun aku tak tahu juga. Nantilah aku tanya Kasyfi. Sekarang ni, aku kena faham satu-satu dulu. Kalau tak, mahunya pecah otak aku.

"Oh, yang ni. Okey. Sekarang ni, kau tahu nak jawab soalan ni sampai kat bahagian mana? Maksud aku, step demi step. Kat mana kau stuck?" tanya Kasyfi dengan lembut.

Aduhai... Kenapa buat suara macam tu? Kenapa tak cakap macam biasa aje? Suara dia lunak, merdu dan berlemak krim. Sama macam kali pertama aku curi curi dengar semasa dia berbual dengan Mak Wa tempoh hari. Jangan buat aku cair dengan suara kau, Kasyfi. Aku nak buat kerja sekolah ni. Kang tak siap kerja aku nanti.

"Ha? Erm... sebenarnya... semua..." Jawabku, segan. Alahai, malunya aku nak pandang dia. Mesti dia dah pandang rendah dekat aku. Huhu, terpaksalah aku buat kulit muka gajah dengan dia dua tiga hari ini.

Kasyfi diam.

"Okey. Takpe. Slow-slow, okey? Kau pulak, janganlah malu sangat. Dengan aku je pun." Ujar Kasyfi lagi.

Aigoo! Kenapa bersuara macam tu lagi? Aduh, aduh... Sesiapa, tolong aku! Hahaha, gatal aku ni. Menyempat pula ya! Siapa ajar ni?!

"Mm... mana ada malu... Segan aje..." Aku menjawab perlahan.

Kasyfi tersenyum tipis.

"Okey, whatever. Lepas ni, tak payah nak segan. Tanya aje kalau tak faham. Aku okey aje kalau orang nak belajar dengan aku. Ilmu kan perlu dikongsi? Lagipun, kita kan dah jadi kawan? Mestilah aku tolong kalau kau tak boleh buat sesuatu. Betul tak apa yang aku cakap?"

Aku pandang Kasyfi bila dia cakap macam tu. Kami kawan? Ya, memang kami dah jadi kawan. Tapi kenapa aku rasa gembira bila dia yang cakap macam tu? Aduh... Kau jangan nak macam-macam, Iqa. Kasyfi ni hensem, mesti dah ada awek.

Aku angguk dan mengukirkan senyuman.

"Baiklah. Kalau macam tu, tolong ajarkan aku." Minta aku dengan senyuman manis.

Kasyfi angguk lalu mencapai pen berdakwat biru dan sehelai kertas conteng yang memang dia buat untuk proses kira-kira.

"Tengok sini, aku bagi contoh untuk soalan 1.d. ni. Soalan dia, selesaikan persamaan Kuadratik berikut dengan menggunakan kaedah penyempurnaan kuasa dua. Berikan jawapan betul kepada tiga tempar perpuluhan. Soalan dia, -3x² + 6x - 1 = 0. Perkara pertama yang kau kena buat adalah bahagikan kedua dua belah persamaan ini dengan -3. Tahu tak kenapa? Sebab, kau kena jadikan pekali x² ni kepada 1." Terang Kasyfi.

Kemudian dia pandang aku.

"Kalau sampai kat sini, kau faham?" tanya dia.

Aku angguk.

"Kalau faham, try bahagi dengan -3 dulu. Aku nak tengok, betul tak kau boleh buat." Ujar Kasyfi lalu menghulurkan pennya kepadaku.

Aku diam sebelum menyambut. Kena bahagi kedua-dua persamaan ini dengan -3 ya? Okey, aku cuba buat apa yang Kasyfi katakan. Kira punya kira, aku sudah mendapat persamaan baru.

Aku pandang dia.

"Betul tak jadi x² - 2x + ? = 0?" tanyaku sambil menghulurkan kertas tadi kepadanya. Kasyfi menyambut lalu melihat lihat. Kemudian dia angguk.

"Bagus. Okey, kita lanjut lagi. Lepas tu, tambahkan -2 per 2 kuasa dua pada kedua dua belah persaman ni. Kenapa kita kena guna kuasa dua? Sebab, soalan cakap menggunakan kaedah penyempurnaan kuasa dua, kan? Ingat lagi tak?" tanya Kasyfi lagi yang sesekali memandang ke arah aku.

Aku angguk tanda faham. Dan sesekali, aku juga memandang dia. Mencuri-curi pandang sebetulnya. Ahaks!

"Okey. Lepas tu kita buat macam ni. Tengok aku buat ni betul-betul..." Suruh Kasyfi. Aku angguk dan terus fokus pada tangannya yang dari tadi lagi sibuk bergerak-gerak menulis itu dan ini.

"Okey. Dah dapat. Tapi jangan lupa pula, soalan ni nak kau beri jawapan ni kepada tiga tempat perpuluhan. Kau tahu tak buat yang ni?" tanya Kasyfi yang separuh mengingatkan.

Aku angguk tanda boleh. Kasyfi menghulurkan pen itu semula, agaknya dia nak tengok jawapan yang aku akan dapat nanti. Lepas dah buat, aku ambil buku latihan dia dan bandingkan dengan jawapan di buku aku.

Wah, sama! Bahagianya!

"Terima kasih ajar aku." Ucapku dengan senyuman.

"Sama-sama. Buat yang lain tu dulu. Tak faham, tanya. Kalau boleh, aku tolong. Tapi kalau tak boleh, bagi masa untuk aku studi dulu. Haha..." Balas Kasyfi selepas itu.

Aku cuma diam sambil tersenyum. Kemudian kami sama sama buat kerja masing-masing. Jujur aku katakan, aku lebih suka cara Kasyfi mengajar berbanding Irfan. Mungkin sebab kami ini seumuran. Irfan boleh juga, tapi macam tulah. Aku lebih banyak bergantung kepada dia. Sebab aku mengaku yang semalam, aku lebih banyak suruh dia tulis di atas kertas lain dan kemudiannya aku tiru. Hahaha. Jangan marah aku. Kan aku dah cakap, aku lemah Matematik?

"Kenapa kau bijak Matematik, Kasyfi? Math memang subjek yang paling kau suka ke?" tanya aku tanpa memandang dia.

"Hmm, tak terlalu. Aku lebih suka subjek bahasa daripada benda ni. Tapi untuk soalan kau tu, aku bolehlah jugak Matematik sebab aku suka belajar. Sebenarnya kalau kau nak tahu, masa mula-mula form 1, aku lemah jugak Matematik. Tak pernah dapat A. Kadang-kadang, dapat D. Suatu hari tu, result Matematik aku fail..." Cerita Kasyfi tanpa pandang aku.

Aku pandang dia bila dia cakap dia gagal.

"Fail? Lepas tu?" tanyaku pula.

"Eh, takpe ke aku cerita ni? Tak ganggu kau buat kerja ke?" tanya dia lagi sebelum mengangkat kepala memandangku. Buat seketika, mata kami bersabung.

Namun aku buat buat macam biasa.

"Takpe. Ceritalah. Lepas kau fail, kau buat apa?" tanya aku.

Kasyfi angguk sebelum kembali tunduk memandang buku latihan.

"Lepas aje mama aku dapat tahu yang aku fail, mama aku cakap dia kecewa dengan aku. Sebab selama ni kalau aku nak apa-apa, mama selalu bagi. Yalah, kau pun tahukan yang kalau satu subjek teras kita gagal, kira tak lulus jugak. Kan? Lepas mama kata dia kecewa, aku terus berazam nak belajar sungguh-sungguh. Walaupun aku tak minat sangat dengan Math, tapi result aku lepas tu dah makin membaik. Sampailah start form 3, aku selalu dapat straight A dalam Matematik setiap kali peperiksaan. Sebab tulah, sekarang pun aku ambik Addmath." Cerita Kasyfi dengan panjang lebar.

Aku diam dan mengangguk tanda faham.

"Oh, macam tu. Kalaulah aku bijak macam kau jugak..." Aku bersuara perlahan.

"Boleh je kalau kau nak jadi macam aku jugak." Sampuk Kasyfi tiba tiba.

"Ya ke? Macam mana?" tanyaku.

"Belajar sungguh-sungguh. And maybe, belajar dengan aku ke? Kau faham tak aku ajar tadi? Sebab ada orang yang akan lebih faham kalau belajar dengan kawan atau adik beradik." Bagitahu Kasyfi.

"Oh ya ke? Mana kau tahu?" tanya aku lagi.

"Sepupu aku contohnya. Nama dia Haqiem, sebaya dengan kita. Dia tak faham sangat bila belajar dengan cikgu. Bila belajar dengan kakak dia, baru faham." Bagitahu Kasyfi lagi.

Aku cuma angguk tanda faham.

"Kau pulak, suka subjek apa? Sains? Aku tengok dalam kelas, kau suka baca nota Bio dan Kimia." Teka Kasyfi.

Aku diam bila Kasyfi sebut tentang hal itu. Perlahan lahan aku mengeluh.

"Sebenarnya... Sains pun aku tak minat. Aku ambil aliran Sains tulen pun sebab aku nak jadi doktor." Ujarku, perlahan.

"Aik? Jadinya kau nak jadi doktor tapi tak minat Sains, sebab tu kau belajar jugak walaupun tak suka?" teka dia lagi.

Aku diam.

"Bukan macam tu. Sebenarnya, dua dua pun aku tak suka. Aku tak minat Sains, dan aku juga sebenarnya tak berminat nak jadi doktor." Bagitahu aku.

Kasyfi mengangkat kepala.

"Laa... tadi cakap, nak jadi doktor?" tanya Kasyfi, agak tak faham.

"Ya, memanglah aku belajar Sains sebab nak jadi doktor. Tapi sebenarnya, cita-cita aku bukanlah nak jadi doktor. Aku... aku sebenarnya..."

"Kau sebenarnya apa?"

"Aku sebenarnya... Oh, takde apalah." Putusku.

"Eh, kenapa macam tu? Cakap jelah." Ujar Kasyfi.

"Ya, takde apa. Eh, rasanya nenek aku ada panggil akulah. Ak... aku pergi masuk dalam kejap..." Bagitahu aku sebelum berdiri dan terus masuk ke dalam rumah.

Masuk aje di dalam rumah, aku terus bersandar pada dinding laluan nak ke dapur. Aku menyeka air mata yang tiba-tiba saja mengalir. Aku menangis lagi. Tiba-tiba aje rasa sedih. Aku tak bolehlah bercakap pasal ni. Ia buat aku jadi rindu kepada mereka yang sudah tiada.

***

KASYFI diam dan hanya memerhati kawannya yang sepertinya sedang menangis kecil di sebalik dinding. Dia ingin bertanya tapi nampak gayanya, sekarang bukanlah masa yang sesuai. Tadi pun, kawannya itu kelihatan macam keberatan untuk bercerita. Kalau orang taknak cerita, Kasyfi tidak mahu memaksa. Semua orang mahukan privasi. Kasyfi faham semua tu sebab sememangnya, dia sendiri juga ada sesuatu yang tidak mahu dikongsi pada orang lain.

Ketika Kasyfi kembali duduk di atas kerusi, dia secara tidak sengaja ternampak ada buku sederhana kecil berwarna biru cerah yang sedikit terkeluar dari dalam bekas pensel. Tanpa segan silu, Kasyfi mencapai buku itu lalu dibelek belek. Tidak banyak pun yang tertulis di dalam buku itu. Yang ada hanyalah nota-nota kecil seperti rumus-rumus dan juga senarai muka surat kerja sekolah yang perlu dibuat.

Tiba-tiba, jarinya terbelek satu muka surat yang boleh tahan penuh juga tulisannya.

Kelebihan kalau aku keluar dari aliran Sains Tulen.
1- Masa aku lebih banyak
2- Aku sempat buat kerja lain.
3- Petang-petang boleh baca novel.
4- Malam-malam boleh melukis.
6. Hujung minggu boleh lepak dengan kawan.
7. Senang kira, banyaklah boleh buat benda yang best.

Kekurangan kalau aku keluar dari aliran Sains Tulen.
1. Kakak akan kecewa.

Iqa : Isnin, 13 Februari 2019

Kasyfi diam. 2019? Sekarang sudah masuk Mac 2020. Jadi ini bermakna, ia sudah ditulis kira-kira setahun yang lalu. (Covid tak wujud ya)

Apa maksud dia yang 'Kakak akan kecewa?'.

___

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience