BAB 8

Romance Completed 5655

JAM loceng yang menandakan sudah tiba waktu pulang baru berbunyi kira-kira dua minit yang lalu. Sesekali aku menyentakkan otot lengan aku yang tiba-tiba terasa lenguh. Aduh, panjang pula nota yang Cikgu Azilawati itu bagi. Dia cakap tak siap salin, tak boleh balik. Padahal yang dia tulis di papan putih itu sebiji macam di dalam buku teks. Apa salahnya kalau suruh murid-murid salin dekat rumah.

Lagi buat aku rasa sedikit tak senang, boleh Cikgu Azilawati itu suruh tunjuk dulu buku kami bila dah siap. Sengajalah tu. Tak bagi can langsung untuk murid-murid kelentong.

Tiba-tiba telinga aku terdengar bunyi kerusi ditolak dari arah belakang. Siapa tu? Kasyfi ke?

Kemudian terasa bahuku dicucuk dengan belakang pen.
"Lambat lagi?" tanya Kasyfi.

"Dua baris lagi. Kenapa?" Aku bertanya balik.

"Tunggu kau ah." Jawabnya. Oh, yalah. Aku lupa pula yang pagi tadi aku naik motosikal dia.

"Jap eh..." Aku cuba untuk menulis dengan lebih pantas.
Seminit kemudian, bahuku dicucuk lagi.

"Dah?" tanya Kasyfi. Isy, tak sabar betul. Tunggulah dua minit lagi.

"Sabar... Nak garis jadual ni kejap." Aku memberi alasan.

"Kat rumah boleh." Tukas Kasyfi.

Aku mengetap bibir.

"Kejap je. Kejap je, tolonglah...!" Aku bersuara sambil memerhati setiap hujung ayat pula. Manalah tahu kut-kut aku ada tertinggal letak tanda noktah, kan?

"Dah?" Kasyfi bertanya lagi, padahal baru 30 saat berlalu. Hisy... Aku ni dahlah suka buat kerja dengan kemas. Tapi kena fikirkan Kasyfi pula. Nasiblah sebab naik motor dia.

"Okey, dah." Balas aku.

"Cun. Jom." Ujar Kasyfi lalu berdiri sambil membawa buku notanya.

Jom? Jom apa? Jom tunjuk nota yang disalin ini kepada Cikgu Azilawati? Dia tunggu aku ke macam mana ni? Kenapa tak tunjuk dari tadi lagi sedangkan dia dah siap lama?

Namun aku malas nak bersuara. Aku mengikut dia dari belakang.

"Okey, good." Cikgu Azilawati puji Kasyfi. Aku yang berdiri di sebelah Kasyfi cuma diam memerhati.

"Okey, awak pula." Cikgu Azilawati meminta buku aku pula. Aku hulur.

"Hmm, bagus. Kemas. Nama apa ni ya? Tak ingat dah cikgu."

"Terima kasih. Nama Afiqah. Orang panggil Iqa."

"Oh. Awak dulu sekolah mana?"

"Ermm... Sekolah kat Kuantan."

"Oh. Sekarang ni duduk kat mana?"

"Saya duduk dengan nenek saya. Err dekat... dekat... kampung nama apa pun, saya tak ingat dah." Sepatutnya bukan tak ingat, tapi tak tahu.

"Oh. Nenek awak yang mana satu... Mak Kiah ke?" tanya Cikgu Azilawati lagi.

"Err..." Aku terdiam sebelum menoleh ke tempat duduk Kasyfi. Kelihatan dia sedang menggalas beg. Matanya masih memandang ke arah aku, macam nak suruh aku supaya cepat sikit.

Kemudian dia berjalan keluar dari kelas.

Aku kembali pandang Cikgu Azilawati iaitu cikgu subjek Biografi kelas 5 Abdul Qayyum.

"Err... Bukan, tapi Mak Wa."

"Mak Wa? Mak Wa yang mana eh?"

"Mak Wa lah. Cikgu tak kenal kut."

"Oh ya. Awak dulu biasanya dapat nombor berapa?"

Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

"Err... Kadang-kadang nombor lima. Kadang empat, macam tulah." Aku menjawab.

"Ada abang tak? Kalau ada, abang hensem tak?" tanya Cikgu Azilawati.

Aik? Tanya pasal benda lain ni untuk apa pula? Apa daaa... Jangan tanya aku dah tunang ke belum dahlah.
Semasa Kasyfi keluar tadi, pelajar masih tinggal lebih kurang 19 orang. Sekarang yang tinggal hanya tiga orang saja.

Aku nak balik!


-KASYFI-


AKU berlari lari anak ke tempat letak motosikal. Namun kelibat Kasyfi tidak kelihatan. Motosikal dia juga tiada di sini. Adakah... Adakah dia sudah meninggalkan aku?
Hwaa... Jahatnya! Tak tahu ke yang tak baik buat anak yatim piatu macam ni?!

Aku keluar dari pagar sekolah. Aku nak balik macam mana ni? Nak tumpang sesiapa sahaja? Hmph, jalan ke rumah Mak Wa pun aku tak ingat!

Tiba-tiba ada satu motosikal yang aku pernah nampak berhenti di seberang jalan. Kasyfi! Ketika itu dia tidak memakai helmet. Dia juga tengah pandang ke sini.
Cepat-cepat aku berlari ke arahnya. Kasyfi hulur helmet yang aku guna pagi tadi.

"Aku ingat kau dah tinggal aku sorang-sorang, tau tak?!" Serius aku rasa macam nak nangis tadi bila ingat dia memang betul-betul dah tinggalkan aku kat sekolah ini.
Kasyfi mencebik.

"Ikutkan memang nak tinggal, tapi tak sampai hati. Lambat sangat, sampai aku sempat order teh ais ikat tepi lagi...!" balas Kasyfi.

Aku sengih. Baik juga hati mamat ni. Perlahan-lahan aku naik ke atas motosikalnya. Aku perasan ada dua tiga orang budak kelas aku tak kira perempuan atau lelaki sedang memandang ke sini. Pasti mereka tertanya-tanya kenapa kami berada di atas motor yang sama. Nak cakap adik beradik, mustahillah.

Jangan ingat aku ni awek Kasyfi dahlah.

Aku pegang beg sekolah dia. Kemudian, motosikal Kasyfi mula bergerak di atas jalan raya.

"Kenapa kau tak pakai helmet? Tak takut ke kalau kena saman ke nanti?" tanya aku yang tertanya-tanya.

"Saja."

"Kenapa saja?"

"Laa... Saja-saja pun kena ada alasan lain jugak ke?" balas dia pula.

Aku diam.

Okey.

Sampai di depan rumah Mak Wa, aku turun dari motosikal Kasyfi. Aku hulurkan beg sekolah kepadanya.

"Thank you." Ucap aku.

"For?" Dia buat-buat tanya pula.

"Hmm, sebab dah tumpangkan aku pergi dan balik sekolah." Ujarku sambil mula ingin membuka tali helmet di bawah daguku. Isy, asal ketat sangat ni?

Aku nampak Kasyfi senyum.

"Dan nanti kau akan berterima kasih untuk yang ini pula." Kata-kata Kasyfi buat aku terhenti laku. Aku mendongak memandangnya.

Kasyfi menaikkan tangannya ke arahku. Kemudian tanpa disuruh, dia tolong longgarkan tali sekali dengan tolong tanggalkan helmet juga.

Aku tergamam.

Hingga akhirnya, aku tersedar semula sebaik sahaja Kasyfi menghulurkan helmet itu kepadaku. Terus aku buat-buat baiki tudung sekolah aku.

Isy, dia ni dah kenapa hah?! Cuba segankan aku ke macam mana ni?

"Err... Terima kasih." Ucapku sambil buat-buat baiki lipatan tudung pula.

Kasyfi cuma senyum tipis.

"Okey. Jumpa petang nanti. Bye." Dia mula bergerak.
Aku angguk saja.

"Bye..." Kataku perlahan meskipun Kasyfi sudah berada di atas jalan.

Oh gosh!

-KASYFI-

SELEPAS membersihkan diri dan menunaikan solat Zuhur, aku turun ke dapur. Kelihatan Mak Wa sedang membuat sesuatu di atas lantai. Di atas lantai pula ada satu plastik beras yang dah dibentangkan.

Aku menghampiri Mak Wa.

"Nek, buat apa?" sapa aku.

Mak Wa menoleh sebelum mengesat peluh di dahinya menggunakan hujung lengan bajunya.

"Tengah koyak ubi kayu. Ni ha, papanya Kasyfi yang bagi." Ujar Mak Wa sambil terus membuat kerja.

Aku diam. Oh.

"Dah makan dah? Nenek dah masak nasi. Ada bawah tudung saji." Kata Mak Wa tanpa memandang aku.

Aku cuma senyum dan menggeleng. Aku belum terasa lapar lagi.

"Err, nek. Selalu ke Kasyfi tu datang rumah nenek?" tanya aku yang entah kenapa tiba-tiba aje rasa nak tahu.

"Selalulah juga. Kadang-kadang kalau pak sedara dia yang datang, Kasyfi tak datanglah." Bagitahu Mak Wa.

Ohh... Macam tu pulak. Kiranya Kasyfi dan pak sedara dia tu bergilir-gilir melawat Mak Wa ke? Atau macam mana?

"Erm... Mak ayah dia memang orang Batu Pahat ke, nek?" tanyaku lagi.

Mak Wa mencapai ubi kayu yang lain pula.

"Eh, taklah. Mak ayah dia asal Selangor. Lepas tu datang sini. Adalah dalam 6 tahun lebih diorang menetap kat sini." Terang Mak Wa.

Oh, okey. Faham. Kasyfi pun sama macam aku, bukan tinggal di tempat sendiri. Tiba-tiba Mak Wa berhenti mengoyak ubi kayu.

Mak Wa pandang aku.

"Tanya pasal dia bagai ni kenapa?" tanya Mak Wa.

Aku terkejut. Eh, tiba-tiba aje? Tanya pun salah ya?

"Ah? Takde apalah. Saja Iqa tanya." Kataku.

Mak Wa pandang aku lama.

"Hmm, iya ke?"
"Kenapa tak betul pula? Betullah. Takde apa. Eh, banyak lagi ubi ni. Biarlah Iqa tolong. Err, pisau lain ada kat mana ya, nek?" Aku alihkan topik sebelum buat-buat buka sorok kabinet.

"Tu, ada kat dalam 'gerobok' coklat tu." Bagitahu Mak Wa.

Pantas aku membuka almari yang dimaksudkan. Oh, okey. Dah jumpa dah. Ketika aku menoleh, Mak Wa masih memandang ke arah aku.

Err, aku ada buat salah ke? Jangan tengok aku macam tulah. Mak Wa buat aku ni macam dah buat jenayah berat pula. Janganlah Mak Wa bangkitkan soal Kasyfi selepas ini.

Amin.


-KASYFI-


KASYFI menutup api dapur gas sebelum menoleh ke belakang. Kelihatan mamanya, Puan Raihana sedang memasukkan beberapa biji karipap ke dalam bekas biskut yang sederhana kecil.

"Dah siap dah? Meh mama rasa sikit. Nak jugak mama tahu sedap ke tak kuih pau yang first time Kasyfi buat tu." Kata Puan Raihana sambil mengerling sejenak ke arah satu satunya anak lelaki yang dia ada.
Kasyfi menguntum senyuman.

"Sebab ni first time saya masak, mama jangan nak komen teruk-teruk eh? Sikit-sikit sudah. Hee hee..." balas Kasyfi dengan tawa kecil.

Puan Suryani ikut gelak.

"Takdelah... Dah, angkat loyang tu elok-elok. Panas tu." Pesan Puan Suryani . Kasyfi hanya mengangguk tanda faham. Perlahan-lahan dia mengangkat loyang menggunakan sarung tangan kain yang dipakainya.

Keluarga Puan Suryani suka menggunakan peralatan tradisional setiap kali membuat kuih. Boleh sahaja dia ingin menggunakan ketuhar sebab keluarga mereka bukannya tidak mampu. Cuma, memang dari kecil lagi Puan Suryani berminat membuat kuih menggunakan peralatan lama. Dan tanpa dia sangka, anaknya juga mengikut langkahnya iaitu suka berada di dapur.
Sebiji kuih pau dicucuk menggunakan garfu. Kemudian Kasyfi meletakkan pau itu ke dalam sebiji piring. Selepas itu, piring itu ditolak ke hadapan Puan Suryani.

"Jemput rasa..." jemput Kasyfi bersama satu senyuman manis.

Puan Suryani memotong sedikit kuih pau itu menggunakan sudu, kemudian isi pau itu disuapkan ke mulut sendiri. Kunyah kunyah, telan. Akhirnya dia berhenti bergerak. Dalam hati tertanya-tanya, betul ke anak aku yang masak ini? Entah-entah aku yang buat tetapi hanya aku yang tak ingat.

"So? Ada rasa pau tak?" tanya Kasyfi.

Puan Suryani angkat kepala sebelum membiratkan senyuman manis.

"Bukan ada rasa pau, tapi memang rasa kuih pau. Kalau ginilah rasa dia, mama bagi 10 bintang!" Puan Suryani sempat lagi berseloroh.

Kasyfi senyum nipis sebelum menggeleng-geleng perlahan.

"Oh ya, mama. Nanti saya nak pergi rumah Mak Wa. Dah janji nak buat homework dengan cucu dia." Ujar Kasyfi, sopan.

"Oh ya, cucu Mak Wa. Perempuan kan? Nama apa? Mama tak sempat pun nak ambik tahu." Tanya Puan Suryani.

"Ya, ma. Iqa nama dia." Balas Kasyfi.

"Cantik tak orangnya?" tanya Puan Suryani lagi.

Kasyfi diam sebelum menunduk memandang meja. Kemudian, kepalanya kembali diangkat bersama senyuman tipis.

"Tentulah lawa, mama... Mana ada ciptaan Allah yang tak cantik. Kan?" Ujar Kasyfi sambil meminta pandangan Puan Suryani, padahal bukan itu yang sebenarnya ingin diberitahunya.

Puan Suryani senyum.

"Yalah. Nanti bawalah kuih tu juga, boleh bagi diorang dua beranak rasa." Pesan Puan Suryani lagi.

Kasyfi cuma mengangguk sahaja. Tiba-tiba dia tersedar sesuatu. Terus dia memandang ke kiri dan ke kanan. Kemudian wajah Puan Raihana dicarinya.

"Ermm... Pak Su mana, mama?" tanya Kasyfi yang baru tersedar.

"Pak Su awak tu baru aje keluar. Pergi mana pun mama tak tahulah. Rasanya jumpa dengam kawan-kawan dia kut..." Bagitahu Puan Suryani .

Kasyfi diam sebelum sekadar mengangguk tanda faham.


-KASYFI-


AKU duduk di beranda. Sesekali aku memandang jam di telefon pintar aku. Jam sudah menunjukkan pukul 5.15 petang. Namun mengapa Kasyfi belum muncul? Dia tak dapat datang ke?

Aku nak menghubunginya, namun nombor telefon Kasyfi pula tidak aku punya. Bosan menunggu, aku mula mendengar lagu yang aku download. Kedua-dua belah earphone aku sumbat ke telinga yang berada di sebalik tudung. Sambil-sambil itu, aku cuba menjawab soalan yang diberikan.

Tengah-tengah mendengar lagu di atas kerusi yang memang berada di luar beranda, tiba-tiba ada sebuah motosikal berhenti di halaman rumah Mak Wa. Aku pantas menanggalkan earphone. Siapa tu? Kasyfi ke?
Terus aku berdiri.

Eh. Itu bukan Kasyfi. Seingat aku, ini lelaki yang dah tolong aku semasa majlis tahlil tempoh hari. Buat apa dia datang sini?

"Assalamualaikum." Irfan memberi salam selepas turun dari motosikalnya.

"Waalaikumussalam..." Aku menjawab perlahan.
Irfan berjalan dan berhenti di depan tangga.

"Mak Wa ada?" tanya Irfan.

"Aa? Mak Wa? Nenek takdelah. Tadi pergi kedai. Ada apa ya cari nenek saya?" tanyaku.

"Oh. Takdelah. Saja singgah, nak tengok Mak Wa sihat ke tak. Lagipun, ada bawa Kuih Durian kesukaan Mak Wa ni..." Balas Irfan sambil mengangkat plastik yang berisi beberapa keping kuih durian yang dimaksudkan.

"Nenek takde. Tapi saya boleh simpankan untuk nenek." Ujar aku sambil menghadiahkan senyuman tipis.

Irfan balas senyum lalu menghulurkan plastik. Baru aje plastik nak bertukar tangan, seseorang tiba-tiba menghampiri.

"Hah, Irfan. Lama dah sampai? Kenapa tak naik dulu? Iqa tak jemput ke?" sergah Mak Wa dari lorong tepi rumah.

Aku sedikit kaget lalu memandang Mak Wa. Laa, manalah aku tahu yang aku kena jemput dia naik. Lagipun, kan tadi Mak Wa takde kat rumah? Kalau orang kampung nampak Irfan naik ke rumah tanpa ada Mak Wa, macam mana?

"Eh, takdelah, Mak Wa. Saya memang nak singgah kejap je." Balas Irfan dengan senyuman manis.

Nah, tu kan. Irfan pun taknak naik. Jadi, atas sebab apa aku kena jemput dia masuk? Tak nampak ke aku tengah sibuk buat kerja sekolah tu?

Eh tak, silap. Tak nampak ke aku yang tengah sibuk menunggu kedatangan Kasyfi ini?

Mak Wa pandang aku dan Irfan silih berganti.

"Laa, naiklah. Boleh kita minum-minum air dulu. Kejap, Mak Wa buatkan air." Pelawa Mak Wa lalu segera menanggalkan selipar setelah tiba di depan tangga.

"Takpelah, Mak Wa. Saya datang pun kejap aje." Tolak Irfan, lembut.

"Hmm, takpe. Kejap je. Buat cukup syarat. Dah-dah, mari naik. Iqa, ajak Irfan naik. Nenek nak buat air kejap." Suruh Mak Wa lalu masuk ke dalam rumah untuk menyediakan minuman.

Aku terkebil-kebil sebelum memandang Irfan. Dia pun macam baru lepas tengok kelibat Mak Wa yang sudah pun menghilang. Sekarang, kami bertentang mata.

Irfan cuma senyum tipis. Aku senyum juga, taknak digelar sombong.

"Naiklah dulu, Irfan." Jemput aku.

Irfan diam sebelum mengangguk. Perlahan-lahan dia memanjat tangga.

"Masuklah." Aku tunjuk pintu rumah.

"Takpelah. Kat luar je. Boleh ambik angin." Ujar Irfan. Aku diam sebelum angguk tanda faham.

Tiba-tiba aku nampak Irfan memandang ke arah meja kopi yang sedikit bersepah dengan buku teks, buku latihan, kalkulator serta pencil box aku. Sedar akan hal itu, aku cepat-cepat bergerak untuk berkemas.

"Iqa tengah buat kerja sekolah ke tadi?" tanya Irfan.
Aku pandang dia dan angguk bersama senyuman nipis. Yalah, tengah buat kerja sekolahlah. Takkan tengah baca akhbar Kosmo pula?

"Addmath? Alang-alang saya ada ni, bolehlah saya ajar kalau ada tak faham apa-apa." Pelawa Irfan.

Aku terus berhenti berkemas. Jam dikerling sekilas. Dah banyak masa berlalu, namun Kasyfi tidak juga datang. Agaknya memang dia tak dapat datang kut. Atau juga memang dia taknak datang.

Banyak juga soalan yang aku kurang faham. Dah Irfan tanpa diminta nak ajar, takkanlah aku nak tolak, bukan? Dia ajar, aku yang untung kalau tiba-tiba jadi budak pandai.

"Betul ke awak boleh ajar? Banyak juga yang saya tak faham ni. Kalau pasal graf fungsi dalam dua pemboleh ubah, awak boleh?" tanyaku sambil memandang dia.
Irfan tersenyum.

"Bukan nak cakaplah kan... Sebenarnya, saya SPM dapat 9A plus tau. Hehe..." Irfan sempat lagi berseloroh.

Aku tersenyum. Bijak rupanya si Irfan ini.

"Kalau macam tu, ajarlah saya. Soalan huruf g tu, ada yang saya tersekat nak jawab." Aku tanpa segan segan lagi terus duduk di kerusi aku tadi lalu membuka buku latihanku.

Irfan turut duduk di situ, di kerusi sebelah kanan aku.

"Oh ya, Irfan. Awak sebenarnya umur berapa? Sekarang dah kerja ke?" tanyaku ketika sedang mencari muka surat yang aku belajar di dalam buku teks.

"Saya 19. Sambung belajar dekat Maktab Perguruan kat sana. Sekarang tengah cuti sem, itu sebab ada kat sini..." Balas Irfan, ramah.

Aku cuma mengangguk tanpa sempat memandang wajahnya. Selepas menemui muka surat di buku teks, aku terus menunjukkan halaman itu kepadanya.

"Err, untuk soalan ni, kena buat macam mana? Soalan ni cakap cari nilai x dalam ungkapan f dan h. Tapi isi yang dia bagi, 3x. Macam mana nak buat kalau macam ni?" tanya aku.

Okey. Aku tahu aku tak berapa pandai dalam Matematik. Apatah lagi dengan subjek Matematik Tambahan ini. Aku masuk kelas pertama pun sebab belajar subjek Sains Tulen. Sebab, cita-cita aku sebenarnya nak jadi doktor. Doktor Pakar Bedah tepatnya.

Semasa tengah menerangkan cara-cara mendapatkan jawapan, sesekali Irfan membuat lawak, membuatkan aku terus tertawa kecil. Irfan pun turut ketawa sama. Aku tak tahu pula Irfan ni boleh tahan kelakar juga orangnya.
Selepas membuat pengiraan berdasarkan apa yang diajar oleh Irfan, aku akhirnya berjaya mendapatkan jawapan. Aku tersenyum sambil mengucapkan terima kasih kepadanya.

-KASYFI-


MATA Kasyfi masih lagi terarah ke suatu arah. Apabila terlihat seseorang itu tertawa dan tersenyum, Kasyfi pantas mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia diam sejenak sebelum tiba-tiba membiratkan senyuman sinis. Namun, riak wajahnya tidak kelihatan seperti berpuas hati langsung walaupun sedikit.

Dia memandang plastik di tangannya. Dia diam lagi. Macam tengah termenung pun ada lihatnya. Dia menoleh ke arah sana sekali lagi. Tiba-tiba hatinya terasa sesuatu. Dia sendiri tidak pasti apakah perasaan itu, tapi rasa itu ialah rasa yang negatif. Apatah lagi apabila melihat ada lelaki itu yang turut bersama-sama dengan seseorang itu.

Kasyfi mengepalkan tangannya. Lalu tanpa mahu memandang lagi, dia terus memulas minyak dan kembali bergerak masuk ke atas jalan. Setelah agak jauh, dia berhenti di depan tong sampah awam yang berwarna biru.

Kasyfi memandang plastik di tangannya. Lalu tanpa perasaan, dia terus membuang plastik itu ke dalam tong sampah itu. Kemudian, dia kembali memecut meninggalkan kawasan itu dengan rasa yang bercelaru.


-KASYFI-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience