BAB 22

Romance Completed 5655

AKU hadir ke sekolah macam biasa. Belajar pun macam biasa. Kawan dengan kawan-kawan aku pun macam biasa. Tapi, tulah... Si Kasyfi tu. Dia pun datang ke sekolah macam biasa. Dah hampir empat hari sekolah dibuka balik selepas cuti hujung minggu. Namun selama empat hari itu, sekalipun tak pernah Kasyfi nak menyapa. Sahkan menegur, bagi salam pun tak. Dia macam dah tak ingin nak berhubung dengan aku.

Kenapa? Marahkah Kasyfi? Atau dia kecewa pasal hari tu? Terasa hati pun boleh jadi jugak. Ya, aku tahu Kasyfi layak rasa semua tu. Tapi nak buat macam mana? Apa dia ingat aku sengaja ke nak semua ni jadi? Hei, kalaulah aku ni punya magik, nak aje aku kecilkan Haiza dan lipat-lipat kemudian masukkan dia ke dalam botol. Lepas tu, botol itu akan ku campak jauh-jauh ke dalam laut, biar hanyut hingga ke hujung dunia!

Tapi masalahnya tak boleh. Tak boleh, kau faham tak?! Sekarang ni bolehlah kau nampak, semua yang jadi adalah salah aku. Senang kau, kan? Asal gaduh, salah aku. Habis kau nak aku buat apa?! Nak aku terus bersahabat baik dengan kau, walaupun masa tu aku dah lama fall in love dengan kau? Tapi dalam masa yang sama, aku juga tahu ada seseorang yang lebih memerlukan kau sedang menunggu malah telah lama menunggu kau. Lepas tu bila korang bertunang, lepas tu nikah... aku macam mana?! Nak suruh hati aku ni terkoyak mengalirkan darah ke bila tengok korang bersanding? Nak-nak kalau kau suruh aku jadi pengapit Haiza.

Macam tu ke yang kau nak dari aku, Kasyfi? Suka? Suka tengok aku derita atas bahagia kau? Ha, lepas rahsia aku dah tersingkap, kau nak buat apa? Nak kata aku bodohlah sebab tak pernah berterus terang? Hei, sebab aku ni terlebih cerdiklah, aku awal-awal lagi dah melangkah pergi. Okey kecewa sekarang aku rasa daripada kecewa menonggeng bila korang naik pelamin kelak!

Tu ha, sepupu kesayangan kau tu tunggu masa aje nak luahkan perasaan cinta dia pada kau. Dia kan sepupu yang paling kau sayang, takkanlah kau akan sampai hati nak tolak hasrat dia untuk bersuamikan kau. Ya tak? Heh, ke andaian aku silap? Ah, takde-takde. Aku berani potong rambutlah kalau kau sampai hati tinggalkan dia.

Aku tersedar dari lamunan apabila mendengar bunyi kerusi dari arah belakang. Tak lama kemudian, Kasyfi lalu di sebelah aku. Tentu dia nak hantar buku supaya cikgu boleh tandakan jawapan soalan Matematik yang perlu dibuat tadi. Aku hanya memerhatikan langkahnya. Dia cuma diam saja semasa berhadapan dengan cikgu.

Dia keseorangan? Dia tiada kawan ke? Tak, aku tak rasa dia keseorangan. Dan dia ada je kawan. Cuma tak berapa nak nampak sangat persahabatan dia dengan kawan-kawan dia. Melalui pemerhatian aku, Kasyfi ni jenis yang tak suka suasana bising. Sebab tu dia jarang lepak dengan kawan-kawan dia. Melepak pun kadang-kadang je. Kalau jumlah yang melepak tiga empat orang, maka Kasyfi join. Tapi kalau dah melepak dekat wakaf masjid sampai dah tak nampak wakaf, memang Kasyfi awal-awal lagi tak datang.

Dia bukan penyombong, cuma malas nak melibatkan diri dalam kebisingan. Sekurang-kurangnya, itulah yang ada dalam fikiran aku.

Sekali lagi Kasyfi melaluiku. Masa dia berjalan di sebelah, entah kenapa aku tiba-tiba memanggilnya. Aku menyumpah jugaklah dalam hati sebab terlanjur memanggil dia. Nasiblah dia bagi respon walaupun hanya berhenti dah berkalih sedikit saja.

Ish, ni mesti sebab aku fikir pasal dia. Sebab tu boleh terpanggil dia!

Kasyfi pandang aku, kononnya tengah bertanya tentang kenapa aku memanggilnya. Isy, sayang nak bertanya walaupun sepatah, kan? Sabar jelah!

"Err... Nanti jangan balik dulu tau. Aku nak cakap dengan kau sikit." Bagitahuku.

"Ok. Kat mana?"

"Kelas nilah."

"Tak payahlah. Kat belakang blok form 3 je."

"Kenapa?"

"Dekat sikit dengan pagar." Balasnya malas.

"Kenapa tak kat sini je? Kejap je, aku janji." Aku cuba memujuknya.

"Nak cakap ke tak? Kau nak, belakang blok form 3." Putus Kasyfi sebelum berlalu pergi ke mejanya.

Aku melongo. Eh, dia nilah kan. Sah merajuk! Dah pandai dah dia merajuk sekarang. Siapa yang ajar ya? Kalaulah aku taknak bercakap hal yang serius dengan dia balik nanti, memang aku dah pusingkan badan dan bagi ceramah dekat dia sekarang juga! Aku ni dahlah tak suka orang bercakap pastu blah macam tu aje padahal aku tak habis cakap lagi.

Isy, sabar jelah!

***

15 MINIT nanti, jam loceng akan berbunyi. Sepanjang tempoh masa itu, aku rasa macam lama sangat. Tunggu punya tunggu, akhirnya masa sudah tiba. Ketua kelas memberikan salam. Guru keluar, aku terus menyimpan buku ke dalam beg. Semasa tengah menzipkan beg, aku nampak Kasyfi menonong keluar dari kelas. Hah, bagus! Kau pergilah sana dulu ya, Kasyfi. Tak mengapa kalau yang sampai dulu. Jangan aku yang jadi penunggu kau sudah! Kalau orang nampak aku yang menanti, mana aku nak letak maruah aku, ha? Ingat aku nak sangat ke ada kaitan dengan cerita pergi mencari timba?

Aku keluar dari kelas dan menuruni tangga. Sampai di blok yang Kasyfi maksudkan, aku nampak dia bersahaja sambil menghadap phone. Eh, dia nilah kan! Tak takut langsung kalau ada budak hingus tak kering yang mengadu dekat pentadbir sekolah, kan? Selamba saja! Kena rampas Iphone tu, baru tahu! Kalau kena rampas saja, takpe lagi. Ni tak, dengan nama sekali tercatat dalam buku disiplin!

Aku berjalan ke arahnya. Nasib baiklah kat sini ada orang yang lalu lalang. Takdelah jadi kami dua orang aje. Nanti adalah tu orang ingat kami pergi dating. Hisy, mintak dijauhkan. Amin!

Aku berdiri di sisi Kasyfi. Dia masih setia menatap telefon. Sedar atau tak yang aku dah sampai pun aku tak tahu.

"Kasyfi... aku nak cakap dengan kau ni..." Bagitahuku.

"Ha ya, cakaplah..."

Aku mengetap bibir. Memanglah nak cakap, tapi phone tu simpanlah dulu. Dia ni pun!

"Aku nak cakap ni!" Aku dah mula geram.

"Iya, cakaplah. Apa?" Dia masih memandang skrin telefon.

Aku mengetap bibir.

"Boleh tak simpan dulu kau punya benda kat tangan tu? Yakin sangat ke telinga kau akan dengar dan hadam apa yang aku nak cakap nanti?" tanya aku, menahan geram. Nak marah kang, tak berani pula. Nanti kalau dia blah tinggalkan aku, macam mana? Berdirilah aku sorang-sorang kat sini macam tunggul kayu.

Jari Kasyfi berhenti menyentuh skrin telefon. Dia tekan butang off dan simpan telefonnya ke dalam poket. Dan dengan tangan-tangannya sekali disimpan ke dalam poket.

Dia pandang aku.

"Ha, apa?"

Aku gigit bibir. Hamboi! Gaya yang malas. Mata tu kenapa jeling? Tak ikhlas ke nak jumpa aku? Memang kurang asam keping betul kau Kasyfi!

"Emm... Kau marah?" tanyaku.

"No."

"Habis tu?"

"What?"

"Kau merajuk ke?"

"I'm not."

"Betul?"

"Sure. Malah lebih bahagia."

Oh, bahagia. Seriuslah? Dia bahagia setelah hampir empat hari kami menyepi tanpa bertanya khabar.

"Err... Aku nak cakap pasal hari tu. Yang apa aku cakap dekat kau masa dalam phone tu."

"Oh. Kenapa?"

"Err, actually... aku nak minta maaf... err... kalau kata-kata aku dah sakitkan hati kau. Aku sedar aku keterlaluan. Aku minta kau stop rapat dengan aku. Aku minta maaflah. Tapi aku cakap macam tu bersebab. Aku ada alasan sendiri. Aku tak boleh bagitahu kenapa tapi, aku yakin suatu hari nanti kau akan faham jugak kenapa aku cakap macam tu dan mintak kita jadi macam tu.

Emm... Mungkinlah... mungkin memang kita betul-betul takkan rapat lagi lepas ni. Yalah. Kau sendiri cakap aku yang mintak, kan? Minta benda ni jadi walaupun semuanya bersebab. Emm... Nanti kita dah tak rapat, dah tak macam dulu lagi... Aku taknaklah antara kita ada rasa tak puas hati. Aku taknak kau berdendam dengan aku. So that's why aku... aku cakap dekat kau yang aku mintak maaf atas semua yang berlaku sejak kita kenal."

Setelah habis ucapan, barulah aku mengangkat wajah. Kasyfi pandang aku. Gayanya macam dah lama pandang aku walapun aku tak pandang dia pun masa cakap tadi.

"Cara kau cakap, macam kau tu budak baru lepas SPM yang nak luahkan cinta..." Sambut Kasyfi.

Aku cuma dia. Sebenarnya aku tak berapa faham motif dia cakap macam tu. Adakah dia memerli? Aku pun tak pasti.

"Aku ingat apalah yang kau nak cakapkan sangat. Ingatkan penting sangat. Rupanya pasal ni je..."

Ingatkan penting sangat? Kenapa, dia tak rasa benda yang aku kemukakan ini sesuatu yang penting ke?

"Maksud kau?"

"Maksud? Perlu maksud jugak ke? Okeylah, aku cakap. Pasal apa yang kau cakap, aku tak kisah punlah. Malah, aku dah hampir terlupa. Tak sangka pula kau masih duk fikir dan serabutkan hal tu. Sebab hari tu kau memang nak kita jauh, kan? Ingatkan, ingatan kau tu pun akan turut jauh dari fikir pasal aku."

Aku terdiam. Wah, coolnya cara dia cakap. Sampai mampu buatkan hati aku rasa terangkat.

"Er, jadinya... ni kau okey ke tak?" tanyaku.

"Kenapa? Aku nampak macam tak okey ke?" balasnya.

"Err, bukan. Cuma..."

"Kau teruk, Iqa...!"

Terus aku tersentak. Eh, apasal tiba-tiba naikkan suara bagai ni? Tadi okey saja cakap elok-elok? Sekarang tiba-tiba aje naik angin. Heh, ingatkan cool sangat!

"Kenapa kau cakap aku teruk?" tanyaku.

"Sebab kau teruklah! Sengaja cipta alasan, kononnya ada sebab kenapa buat macam tu! Padahal memang dah lama kau nak lari, kan?! Padahal kau dah bosan kawan dengan aku! Cakap ajelah yang kau sebenarnya dah tak sudi. Rasanya tak perlu pun menipu dengan bagi alasan yang entah apa-apa! Macam tak pernah belajar agama. Kenapa? Puas? Bosan sangat kawan dengan aku ni? Okey, fine... Kau taknak rapat dengan aku lagi kan? Pergilah... Pergi. Jangan kawan dengan aku lagi. Orang macam aku ni siapa yang sudi nak kawan, kan?! Pergilah kau dengan sebab yang kononnya tak boleh bagitahu tu!"

Aku tersentak. Seriuslah Kasyfi marah sampai macam ni sekali? Kok ngamuk?!

"Hei, kau ni dah kenapa?! Aku cakap elok-elok kan tadi?! Yang kau naik suara tu kenapa?" marah aku.

"Kenapa? Aku tak boleh naikkan suara ke? Salah?"

Aku mengetap bibir.

"At least, biarlah beradab. Aku cakap baik-baik kut. Sopan ke macam tu?!"

"Ah, suka hatilah. Kau pun boleh aje tinggikan suara masa cakap tadi. Kenapa tak cakap kasar? Tak sanggup nak marah aku? Heh, bukan ke kita bukan lagi kawan? We're stranger. Kau yang mintak. Lupa?"

Eh, menyampahlah aku dengan dia ni! Stranger konon! Perangai tak semenggah, langsung tak cool! Dia bukan macam Kasyfi yang aku kenal selama ini. Kasyfi kawan aku yang dulu tu jenis yang tenang dan tak cepat melenting. Ni bukan perangai dia ni. Hahahaha! Kenapa? Koyak ke cik abang sayang? Padan muka!

Dan dalam tak sedar, aku pun koyak juga sebenarnya!

"Bila masa pulak aku cakap stranger?! Kau ni suka kan tuduh-tuduh aku? Cakap tu biarlah berlapik sikit. Dahlah cakap kasar! Kalaulah aku tahu ini cara kau balas, sumpah aku takkan jumpa kau! Menyesal aku! Aku mintak maaf baik-baik, bukan datang-datang terus tendang kau! Kau tu orang Melayu, patutnya ada sifat hormat dan bersopan santun! Tapi ni apa? Ni apa?! Habis mulut kau keluar bahasa kasar! Kau tak macam Kasyfi yang aku kenal. Nampaknya kau dah koyak sangat ni! Kenapa? Dalam hati cakap stranger, tapi sebenarnya masih berat nak lupakan aku, kan? Kenapa? Cantik sangat ke aku ni, ha? Sampai kau tak boleh lupakan bekas kawan kau yang comel ni? Ha, apa? Betul tak?"

Kasyfi pandang aku tajam. Dia melangkah mendekati aku.

"Perasannya kau ni! Kau cantik? Cicak kobeng lagi cutelah!"

Aku tersentak. Cicak kobeng? Astaga... mulut! Nak dicilikan dengan lada burung dan lada jarum ni!

"Apa cicak kobeng?! Kau tu salamander!"

"Lantaklah salamander ke, biawak ke, slanderman ke... Kau kisah apa?"

Aku mengucap. Ya Allah, Kasyfi ke ni? Dia betul-betul Kasyfi ke? Maksud aku, betul ke dia tak kena sampuk dengan mambang cicak kobeng? Tak pun kena rasuk dengan mambang bokbong? Hok aloh... Mana perginya sifat dia yang cool dan tenang dalam setiap masa tu? Nampak sangat kau koyak, bang!

Aku tarik nafas.

"Okeylah, Kasyfi. Macam yang aku cakap tadi, aku mintak maaf. Lantak kaulah kita kawan ke tak selepas ni. Tapi aku cuma harap yang antara aku dan kau..."

"Apa? Harap antara kita apa? Yang ni pun mesti kau berpura-pura jugak, kan? Tak ikhlas mintak maaf, tak payahlah mintak maaf. Jangan hipokrit! Jangan tambah dosa mak ayah kau yang dah mati dalam kubur tu! Kau tu dah takde parents! Kesian diorang, ada anak yang hipokrit dan suka berdalih macam kau. Kalau dia masih ada, mesti dia terkejut tengok kau!"

Aku terkejut. Sampai macam ni sekali? Benci sangat ke Kasyfi dekat aku? Aku mintak maaf kut. Dua kali aku mintak maaf. Dua kali, Kasyfi. Dua kali! Dasar lelaki ego! Kenapalah aku boleh terjatuh suka dekat kau? Kenapa aku boleh pernah ada kawan macam kau?

Oh, aku dah faham. Inilah perangai kau yang sebenarnya. Habis selama ni yang kau baik tu apa? Kaulah yang hipokrit, dasar tak sedar diri! Aku benci kau!

"Sekalipun aku hipokrit, kau tak layak nak kaitkan dengan mak ayah aku! Kau ingat kau tu siapa? Aku tahulah aku takde mak ayah dah... Hidup pun menumpang kasih dan harta nenek aku aje... Belajar pun kadang-kadang atas bantuan kau... Tapi kau... seorang lelaki yang takde kaitan, malah yang dah jadi stranger aku... Kau tak layak nak cakap macam tu! Aku tahulah kau masih ada ibu... Tapi, tak perlu pun kau buat aku macam ni!"

Air mata aku mula bertakung. Ah, aku menagis lagi.

"Sebab kau bodoh! Kau memang bodoh!" maki Kasyfi lagi.

Ya Allah, mamat ni dah kenapa?

Tiba-tiba aku nampak dia buat isyarat tak baik menggunakan jarinya. Astaga, jari tengah yang dia tunjukkan!

"Bodoh!" aku maki dia balik sebelum ternampak Kasyfi yang macam nak pitam sendiri. Dia hampir-hampir jatuh sebelum sempat menstabilkan diri. Kasyfi memegang kepalanya yang terasa sedikit pening dan sakit. Tiba-tiba dia perasan sesuatu.

Perlahan-lahan Kasyfi mengangkat wajah.

"Iqa...? Kk... kenapa kau nangis ni?" tanya Kasyfi yang macam terkejut. Aku menggigit bibir. Dasar hipokrit!

Aku nangis sebab kau, gila!

"Aku benci kau!" bisikku, keras

"Eh, kenapa ni? Aku buat apa?"

Tengok, dasar hipokrit buat-buat tak ingat! Dahlah, malas aku nak hadap kau lagi! Geram dengan Kasyfi, aku terus menolak dada Kasyfi dengan dua tangan sehingga Kasyfi jatuh ke belakang. Dia terduduk di atas lantai. Mukanya bagaikan terpinga-pinga.

Dasar hipokrit!

____

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience