BAB 5

Romance Completed 5655

HUJAN turun renyai-renyai pada petang itu. Orang ramai yang tadinya penuh di kawasan perkuburan perlahan-lahan beransur pulang. Sedang aku masih lagi duduk di tepi kubur. Mata aku sedikit bengkak oleh kerana terlalu banyak menangis.

Aku pandang kubur yang tanahnya masih merah, menandakan ianya baru sahaja dibuat. Bila teringat balik, aku menangis lagi. Siapa saja yang kuat menghadap kepergian tiga orang ahli keluarga sekali gus? Bahkan ianya terjadi betul-betul di hadapan mata sendiri.

Aku sentuh batu nisan yang bertanda 'Syakila Binti Abdul Rahman.' Inilah kubur milik ibu aku. Di sebelah kubur ibu, ada kubur papa. Tidak pernah aku sangka yang aku akan menjadi anak yatim piatu secepat ini. Di sebelah sana pula ada kubur yang bernama 'Nur Afifah Binti Mohd Azman.'

Ibu, papa, kakak... Kenapa tinggalkan adik sendirian? Ibu tahu yang adik tidak kuat, bukan? Papa tahu yang adik tidak mampu, bukan? Kakak tahu yang adik langsung tidak bersedia, bukan?

Mereka meninggal dunia akibat kemalangan. Dan adakah kemalangan itu berpunca daripada aku? Sebab aku yang meminta papa untuk menghantar aku ke rumah Mak Wa, macam tu? Betul ke kepergian ahli keluarga aku berpunca daripada aku? Tapi, bukan aku minta semua ini. Siapa juga yang buat aku mengambil keputusan untuk tinggal dengan nenek?

Salah siapa sebenarnya? Salah aku ke?

Air mata aku menitis lagi buat sekian kalinya. Tiba-tiba Mak Wa mendatangi aku dari belakang. Dipeluknya belakang aku dengan penuh pengertian. Aku yang lemah terus tersandarkan kepala di dada Mak Wa. Mak Wa ialah satu satunya ahli keluarga yang aku ada. Arwah papa dan ibu masing-masing anak tunggal, jadi aku tiada ibu bapa saudara mahupun sepupu.

"Nenek... Kenapa semua ni berlaku, nek? Kenapa Allah tak ambil nyawa Iqa jugak? Kenapa mesti hanya Iqa yang merasa peritnya sebuah kehilangan?" Aku melepaskan tangis di dalam dakapan nenekku.

Mak Wa mengusap kepala aku yang berlapikkan tudung.

"Iqa, Iqa kena sabar. Nenek tahu Iqa gadis yang kuat. Sabar, cu..." Mak Wa memujuk aku.

Aku menyapu air mata yang masih setia mengalir. Sudah puas aku cuba untuk kuat, tapi ternyata aku tak boleh. Aku tak boleh hadap semua ni. Berat sangat ujian yang engkau turunkan kepadaku ini, Ya Allah...

Aku tersedu-sedu di sisi Mak Wa. Setelah hampir beberapa minit, aku tidak lagi menangis. Aku tahu yang aku sudah berdosa kerana meratapi kematian, tapi aku tidak boleh untuk tidak menangis. Aku ni hanyalah insan yang lemah. Takkan aku boleh berlagak kuat sedangkan aku merasai sendiri kehilangan ahli keluarga dalam sekelip mata?

"Iqa... Kita balik ya? Malam nanti nak buat tahlil untuk arwah ni semua." Ajak Mak Wa sambil cuba mendirikan aku. Namun aku mengeraskan badan sebelum menggeleng.

Aku angkat wajah untuk memandang Mak Wa.

"Tak apalah, nek. Iqa nak duduk kat sini aje dulu. Nanti Iqa balik... Iqa nak bersendirian kejap. Iqa harap nenek faham." Tolak aku bersama senyuman pudar.
Mak Wa pandang aku lama sebelum mengangguk tanda faham.

"Yalah... Jangan lambat sangat tau? Dan... nenek harap Iqa takkan sedih macam ni lagi. Sebab kalau papa dan ibu kamu nampak, mesti dia sedih. Kamu nak ke tengok dia susah hati tengok kamu yang bersedih macam ni? Fikirkan ia, Iqa..." Pesan Mak Wa sebelum berdiri.

Aku hanya diam, langsung tidak mengangguk atau menggeleng. Aku hantar langkah Mak Wa dengan ekor mata. Nenek aku yang bernama Mak Wa itu, usianya baru menginjak 60 tahun. Kata arwah papa aku, nenek aku itu sangat terkenal di kampung ini kerana kemahirannya dalam menyediakan tapai dan makanan lain. Jika perayaan Aidilfitri sudah hampir tiba, ramailah yang akan membuat tempahan makanan daripada Mak Wa.

Dan Mak Wa pun pulang. Petang pun merangkak pergi. Senja mula mengambil ruang. Sedang aku kian terpanggung. Di kawasan perkuburan ini, sudah tiada sesiapa lagi. Hanya aku seorang sahaja yang masih duduk di bawah pohon, sambil merenung lama ke batu nisan yang baru aje beberapa jam dipacakkan.

Tiba-tiba aku terasa sesuatu. Perlahan-lahan aku mendongakkan kepala. Setitis air hujan jatuh ke wajahku. Alamak, hujanlah pula. Baru aje nak berdiri, hujan yang agak lebat tiba-tiba aje turun secara mendadak. Aku mulai gelabah. Cepat-cepat aku menyimpan buku Yasin ke dalam bakul rotan yang turut berada di sebelahku. Tidak lupa juga dengan jag yang digunakan untuk menyiram kubur beberapa jam yang lalu itu.

Aku memandang kubur kubur ahli keluargaku. Lain kali Iqa datang lagi untuk melawat kamu semua. Selamat tinggal, Assalamualaikum. Bisik aku di dalam hati sebelum perlahan-lahan berjalan keluar dari kawasan kubur.
Semasa aku tengah berjalan, aku terasa sedikit kelainan. Sekarang hujan turun dengan agak lebat, tapi mengapa tubuh aku seperti tidak kehujanan? Dan mengapa pula aku rasa atas aku ini agak mendung?

Aku berhenti melangkah. Perlahan-lahan aku menoleh ke belakang. Aku agak tergamam apabila melihat ada seorang lelaki yang berjalan di belakang aku. Dan yang mengejutkan aku ialah, dia sedang memayungkan aku daripada terus ditimpa hujan.

"Kena..." Baru aje aku nak bertanya, si lelaki itu pantas memusingkan kepala aku daripada terus memandangnya.

Aku kaget dan cuba untuk menoleh lagi, namun dia sekali lagi memusingkan kepala aku menggunakan tangan kanannya.

"Jalan terus. Anggap aje aku takde sekarang ni." Kata lelaki yang memakai hoodie berwarna hitam itu.

Aku menggigit bibir sendiri sambil meneruskan langkah. Dan tiba-tiba sahaja aku berhenti. Sekali lagi aku menoleh ke arahnya.

Kali ini lelaki itu tidak memusingkan kepalaku lagi.

"Tt... tak apalah..." Aku menolak.

Lelaki itu memandang aku lama.

"Kenapa?" tanya dia.

"Takde apa apa tapi, tak mengapalah..."

"Kau taknak aku tolong kau?" tanya dia lagi.

"Bukan macam tu, saya cuma tak..."

"Ambiklah kau payung sendiri!" Dingin suaranya memotong ucapanku. Dia menarik tanganku lalu tanpa disangka-sangka, dia membuka tanganku lalu menyerahkan payung itu kepadaku.

Aku terkejut. Dia ni dah kenapa? Perlu ke bersentuhan kulit dengan aku? Namun oleh kerana dia berbuat begitu hanya sekejap, tak jadilah aku untuk menyuarakan pendapat aku itu.

Dia renung aku dengan pandangan yang boleh tahan tajam jugalah.

"Sombong!" ujar dia lagi sebelum berpatah balik ke belakang.

Aku kian terpinga-pinga. Apasal dengan lelaki itu? Aku sombong? Wei, selama aku hidup takde sesiapa pun yang cakap aku ni penyombong. Tapi kenapa dia mudah-mudah aje judge aku sombong? Apakah sebab aku yang dah menolak bantuan dia yang memayungkan aku itu?

Kenapa dia taknak dengar alasan yang aku nak bagi tadi? Aku bukan sombong. Aku cuma tak selesa apabila terpaksa berjalan di depan dia. Bukan di depan dia saja, malah di depan orang lain juga. Apatah lagi dia itu seorang lelaki? Aku tak kenal dia. Adakah aku akan boleh berlagak selamba walhal aku tak tahu dia pandang aku macam mana? Mana tahu kut kut dia tu ambil peluang untuk tenung benda yang bukan hak milik dia ke?
Jadi sebab itulah aku menolak.

Aku diam sejenak sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah Mak Wa.


-KASYFI-


MALAM itu, ramai juga jiran-jiran yang datang. Tahlil arwah dilakukan secara bersederhana sahaja. Adalah empat lima orang yang datang membantu. Hanya mihun goreng sahaja yang disediakan. Esok nak buat tahlil lagi , jadi Mak Wa kena pandai mengurus perbelanjaan. Bukanlah kata nak kedekut ke apa, tapi memang itu hakikatnya.

Semasa tetamu lelaki yang hadir sedang membacakan tahlil secara beramai-ramai, aku menolong Mak Wa di dapur. Kelihatan Mak Wa sedang memasukkan mihun goreng ke dalam bekas yang agak besar. Kemudian wajah aku dipandang, mesti nak aku yang membawanya ke depan.

"Nah, Iqa... Bawak ke depan. Lepas ni datang sini balik. Ada satu bekas lagi." Kata Mak Wa sambil menghulurkan bekas itu kepadaku.

Aku sekadar mengangguk sahaja.

"Jalan elok-elok. Terpijak kain jubah sendiri, kang naya pula..." Pesan Mak Wa lagi.

"Iya, nek..." Aku membalas perlahan. Mak Wa ni, buat macam aku ni budak darjah empat pula. Aku dah besarlah, dah 17 tahun pun. Mestilah aku tahu nak jalan elok-elok supaya tak sampai terpijak kain sendiri. Tapi takpelah, mungkin Mak Wa nampak aku sebagai seorang yang cemerkap, barangkali.

Aku berjalan dan bawa bekas berisi mihun itu ke depan. Ketika aku sampai di bahagian meja, kelihatan permukaan meja agak penuh dengan bekas bekas makanan lain seperti keropok dan air minuman. Bekas ni dahlah berat, nak letak atas kerusi pun tak boleh sebab kerusi semuanya dah disimpan di tempat lain supaya ruang menjadi lebih luas.

Ketika aku ingin meletakkan bekas itu di atas lantai, datang seorang lelaki yang aku kira baru masuk ke dalam rumah. Apabila melihat aku yang terkial-kial, dia menghampiriku.

"Mari saya tolong pegangkan." Pelawa lelaki yang segak berpakaian baju Melayu warna dark blue itu.

Aku mengangkat kepala. Aku terpanar melihat wajah lelaki itu. Wajahnya putih, dan begitu kelihatan tampan sekali apabila dikenakan bersama songkok hitam di kepala. Bayangkan kalau dia sedang berbaju melayu putih dan bersamping, lepas tu berstatus bakal imam aku. Hehek, menyempat pula aku!

Aku terdiam beberapa saat sebelum menyerahkan bekas itu kepadanya. Dia menyambut dengan senyuman manis. Aku pula terus mengemas bekas-bekas di atas meja supaya menjadi lebih rapi dan tersusun. Lepas semuanya dah disusun, aku memandangnya.

Lelaki itu meletakkan bekas berisi mihun itu di ruang yang sudah kosong. Kemudian dia memandang aku.

"Terima kasih..." Ucapku sambil tersenyum tipis.

Dia juga ikut tersenyum.

"Oh, ya... Awak ni siapa ya? Cuz tak pernah nampak pun sebelum ni." Ujar lelaki yang begitu tampan itu.

Pertanyaannya membuatkan senyuman di bibirku perlahan lahan memudar. Sungguh, aku masih tidak boleh berlagak biasa dengan soalan yang sebegitu.

"Saya Iqa, cucu Mak Wa." Bagitahu aku.

Lelaki itu diam. Dia pandang aku lama. Aku nampak muka dia agak lain apabila aku berkata sebegitu. Pasti dia dah dapat menangkap. Semua orang di sini tahu tahlil ini diadakan untuk siapa. Untuk anak-anak dan cucu Mak Wa yang baru siang tadi dikebumikan. Hanya aku saja yang terkontang-kanting di sini.

Dia tunduk sejenak sebelum kembali memandangku.

"Oh, maaf. Takziah atas kepergian ahli keluarga awak. Doakan mereka semua mendapat tempat terbaik di sisi-Nya." Ujar lelaki itu seketika kemudian.

"Amin..." Aku turut mendoakan, perlahan.

"Hmm, by the way, saya Khalish Irfan. Panggil je Irfan. Rumah saya kat sebelah sana aje. Selalu aje petang-petang lawat Mak Wa. Ada apa-apa, jangan segan-segan bagitahu saya ya? Kitakan dah kira berjiran..." Pesan lelaki yang ternyata bernama Irfan itu.

Aku sekadar senyum sahaja, taknak digelar sombong.

"Baiklah... Terima kasih, Irfan."

Irfan senyum lagi.

"Saya ke dapur dulu..." Aku meminta diri lalu berlalu ke dapur. Pasti lepas ni Mak Wa akan tanya aku itu dan ini, tentang mengapa begitu lama masa yang aku ambil untuk meletakkan makanan di hadapan.

Sesampainya di dapur, aku mengenakan seteguk dua air masak. Tiba-tiba aje tekakku terasa kering kerana sememangnya aku belum minum air tadi. Kemudian aku membawa bekas yang satu lagi ke depan. Ketika tiba semula di ruang tamu, kelibat Irfan sudah tidak kelihatan. Aku ada juga mengintai ke arah para lelaki yang asyik membacakan tahlil, kut-kut terselit muka dia yang kacak itu kat mana-mana ke. Namun, memang takde pun Irfan di dalam rumah ini.

Selepas membuat apa yang patut, aku kembali ke dapur untuk berehat sekejap. Kat kampung ni, aku tak boleh suka-suka aje pergi masuk dalam bilik walaupun alasan aku ingin berehat. Mak Wa aku itulah, kadang-kadang dia boleh tersalah faham. Nanti dia ingat aku bersenang-lenang bermain telefon pula padahal aku cuma ingin melepaskan lelah.

Jadi nak taknak, terpaksalah aku berehat di kerusi makan kat dapur saja.

-KASYFI-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience