BAB 6

Romance Completed 5655

HARI berganti hari. Tanpa sempat aku sedari, rupanya sudah seminggu berlalu. Semalam ada orang besar datang ke rumah Mak Wa. Aku sangka itu orang yang mahu menempah kuih dari Mak Wa ke apa, tapi rupanya lelaki itu datang untuk bercakap tentang harta pusaka yang ditinggalkan oleh arwah papaku. Oleh kerana aku ini boleh tahan masih mentah juga, aku sedikit tidak faham apa yang dibicarakan. Lelaki itu ada mengeluarkan beberapa surat dari fail. Telinga aku ada juga mendengar perkataan 'geran' dan sebagainya.

Ketika sedang bercakap-cakap, Mak Wa juga duduk di sampingku, ingin turut mendengar apa yang dibicarakan, barangkali. Tak pun, Mak Wa sengaja ingin mendengar bersama-sama, kut-kut aku yang masih bersekolah ini mungkin ditipu oleh lelaki yang mengaku mengenali arwah papaku itu.

Setelah selesai, lelaki itu meminta diri untuk pulang. Beberapa keping surat dan helaian kertas diserahkan kepadaku untuk aku simpan. Katanya, itu sudah menjadi hak milikku. Katanya lelaki, semua itu akan aku gunakan nanti. Tak hari ini, mungkin beberapa tahun nanti.

-KASYFI-

SEMASA aku baru sahaja memberikan salam ketika menunaikan solat Asar, telinga aku mendengar suara seorang lelaki yang memberi salam. Aku duduk bersimpuh untuk berdoa kepada Allah dulu. Tidak lupa untuk aku sedekahkan al-Fatihah kepada ahli keluargaku yang sudah meninggal dunia.

Selepas melipat telekung sembahyang dan menyidai sejadah di atas rak, aku menghampiri pintu. Telinga aku lekapkan di situ, cuba mencuri dengar apa yang dibualkan oleh Mak Wa bersama seseorang di ruang tamu yang terletak tidak jauh dari bilik tidur aku.

"Mak Wa, ini ada mama saya buatkan kuih. Terima kasihlah atas kuih tepung kapur yang Mak Wa bagi hari tu. Mama sibuk sikit dua tiga hari ni, jadi sekarang baru sempat nak hantar balik pinggan Mak Wa."

Aku dengar suara seorang lelaki yang sepertinya sedang bercakap dengan Mak Wa. Aku sedikit terkejut. Mak aih, sedapnya suara... Sampai aku yang duduk jauh di dalam bilik ini pun boleh cair. Anak siapalah tu agaknya? Untung mana-mana gadis sunti di kampung ini yang dapat jadi isteri dia. Kalau aku minta Mak Wa pinangkan aku untuk dia lepas SPM nanti, agak-agak pinggang aku kena cubit tak?

Ehek, menyempat pula aku ni! Entah-entah dah berbini pun dia. Tak pun, entah-entah suara dia aje yang sedap, tapi rupanya memiliki kening yang tebal lagikan lebat bersama misai serta jambang. Whaa, taknaklah kalau macam tu! Aku tak suka lelaki ada misai, okey. Tak handsome! Lagi-lagi yang berkumis nipis hingga menjadikannya berwarna hijau.

Tapi... Serius, suara dia buat aku cairlah!

"Isy. Apanya macam tu. Mak Wa ikhlaslah bagi kamu sekeluarga kuih. Mak Wa bagi bukan untuk dapat kuih balik. Lagipun, memang biasanya Mak Wa buat banyak. Cakap dekat mama kamu tu, lain kali bagi aje pinggan kosong, Mak Wa tak kisahlah..." Kedengaran suara Mak Wa membalas.

Aku semakin merapatkan telinga ke dinding pintu dengan niat ingin mendengar suara mempesona lelaki itu dengan lebih jelas sebab aku yakin yang dia akan bersuara sebentar sahaja lagi.

"Takde apalah, Mak Wa. Mama pun ikhlas bagi kuih ni semua... Karipap ni mama saya yang buat. Samosa ni pulak, tekak saya yang rasa nak makan. Jadi saya sendiri yang buat. Kalau rasa dia pelik tu, mohon buat-buat tak tahu ajelah... Hehe." Lelaki itu membalas ramah, sekali dengan pakej tawa sekali pada hujungnya.

Sekali lagi aku terpegun dengan suara dia. Terpesona. Nak keluar pergi tengok kang, bimbang dia perasan aku keluar semata-mata nak tengok dia pulak.

Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Aduh... Macam mana ni? Aku nak tengok muka dia. Tiba-tiba aku terpandangkan telefon pintarku yang sedang di cas berhampiran meja belajar. Dan aku terus mendapat idea. Laju saja tanganku menggapainya. Baterinya aku pandang sekilas, 92%. Aku capai tudung sarung hitam lalu kemudiannya disarungkan ke kepalaku.

Perlahan-lahan aku membuka pintu. Aku menjengulkan sedikit kepala ke luar bilik. Terus pandanganku terarah pada ruang tamu kerana sememangya bilik tidur aku ini paling hampir dengan ruang tamu. Kelihatan ada seorang lelaki sedang duduk di atas kerusi sambil tunduk melihat skrin telefon.

Hmm, muda lagi. Gaya dia duduk, nampak macam tinggi. Dia pakai baju t-shirt lengan pendek berwarna hitam. Aku tak puas hati tiba-tiba. Apasal dia tak pergi duduk dekat kerusi yang sebelah sana? Kalau tak, mesti aku dah nampak wajah dia yang macam mana dan bagaimana.

Aku menghalakan telefon aku yang sudah sedia terbuka bahagian kamera. Lalu dengan penuh berhati-hati, aku pergi zoom kamera aku ke arah lelaki yang masih menatap skrin telefon itu. Kemudian cepat-cepat aku mengambil gambar tanpa si empunya badan tahu.

Aku tersengih sendiri sebelum kembali melihat foto yang aku curi-curi tangkap itu. Berkerut-kerut keningku apabila melihat gambar lelaki itu yang sedikit tidak jelas. Alah, blur pula. Mesti sebab aku yang laju sangat pergi tarik telefon tadi.

Terus aku menjengahkan kepala sekali lagi. Telefon masih dihalakan ke arah tadi. Aku mengerutkan dahi. Aik! Tadi lelaki itu masih ada kat atas kerusi sana, sekarang dah tak ada? Dia dah balik ke? Kenapa cepat sangat? Dia kan baru aje datang masa aku tengah solat tadi.

Oleh kerana lelaki itu sudah tiada di ruang tamu, aku terus keluar dari bilik. Tiba-tiba jari telunjuk aku tertekan satu butang yang ada pada skrin telefon. Terus kamera belakang bertukar menjadi kamera hadapan. Aku nampak ada wajah aku di skrin telefon.

Dahi aku tiba-tiba berkerut. Sekarang ni aku tengah pakai baju warna merah. Warna hitam kat belakang ni apa benda pula? Nak cakap langsir, langsir ada kat sebelah aku.

Benda hitam yang aku nampak melalui kamera hadapan itu tiba-tiba sahaja seperti bergerak. Sesuatu mula menusuk masuk ke dalam rongga hidung aku. Eh, ini... Ini bukan ke bau minyak wangi lelaki? Setahu aku Mak Wa perempuan, macam-mana boleh terhidu bau ini?

Sedar akan hal itu, aku segera menoleh. Terkejut aku apabila di belakang aku ternyata betul-betul berdirinya lelaki tadi. Jarak kami agak rapat dan aku yang sememangnya pendek separas dagu dia ini terpaksa mendongak sedikit. Aku tergamam melihat lelaki di depan mata.

Dia! Dia yang cakap aku sombong ketika aku dalam perjalanan pulang dari kawasan perkuburan tempoh hari!
Terus aku menjarakkan diri. Dia pandang aku tanpa riaksi.

"Kau buat apa? Curi-curi tangkap gambar aku?" tanya lelaki itu.

Eh, perasannya! Siapa aje yang nak tangkap gambar dia? Ingat aku takde kerja agaknya. Tapi gambar yang blur di dalam handphone aku tu apa pula? Bukan ke memang aku curi-curi tangkap gambar dia?

Aku yang tak tahu nak jawab apa terus tunduk. Dan apabila diri aku terasa janggal, tangan aku akan automatik menarik-narik hujung lengan baju sendiri. Aduh, apa yang perlu aku balas ek? Rasanya otak aku tak sempat nak cari idea jawapan yang takkan menjatuhkan martabat aku sebagai seorang perempuan. Isy, akulah ni yang gatal sangat pergi tangkap gambar dia!

Tiba-tiba aku terpandangkan bekas kuih yang terletak di atas meja. Hmm, kejap. Eh, siapa kata aku nak tangkap gambar dia hah? Janganlah nak perasan sangat, sedara! Aku cuma tertanya-tanya kuih apa yang dia bawa. Itu sebab kenapa aku pergi tangkap gambar. Tapi tangan aku ni aje yang tiba-tiba kebas, membuatkan aku terambil gambar dia. Huh, perasannya...

Baru aje aku nak balas, seseorang tiba-tiba datang.
"Kasyfi? Buat apa tu?" Terdengar suara Mak Wa bertanya dari arah belakang.

Aku dan lelaki itu sama-sama memandang Mak Wa yang baru datang dari dapur bersama beberapa cawan air kopi. Eh, Mak Wa? Sejak bila pulak Mak Wa ada kat dapur? Oh... tak perasan pula aku yang kat ruang tamu sana juga tiada Mak Wa.

"Ni, cucu Mak Wa ni..." Lelaki yang bernama Kasyfi itu tiba-tiba sahaja menundingkan jari ke arah aku.

Aku terkejut. Eh-eh, tangan tu. Kenapa nak tunjuk-tunjuk dekat aku? Jangan dia nak cakap dekat Mak Wa yang aku dah curi-curi tangkap gambar dia yang blur dahlah. Tak kesian ke kalau Mak Wa tiba-tiba aje cubit lengan aku nanti?

Mak Wa pandang aku.

"Ha? Kenapa dengan cucu Mak Wa?" Mak Wa sepertinya tidak dapat faham.

Kasyfi jeling aku sekilas.

"Ni, dia ni... Nak ke ruang tamu, tapi tak perasan belakang langsir bilik dia ada pintu. Terhantuklah dia..." balas Kasyfi yang membohong aje semuanya.

Aku pandang dia. Dahlah tipu dan memalukan aku dengan hal yang pelik-pelik, lepas tu dari tadi asyik 'berdia-dia' dengan aku. Aku ada nama, okey? Nama aku Iqa!
Tapi kan...

...manalah dia nak tahu nama aku, kan? Aku pun baru tahu nama dia Kasyfi. Cantik juga nama tu dengan si tuan badan. Berkulit cerah, rambutnya disikat kemas dan bahagian tepi rambutnya dipotong agak nipis berbanding rambut bahagian atas. Tubuhnya pula tak terlalu kecil dan tak terlalu besar. Senang kata, kalau makan sumber protein banyak sikit, besar nanti dia boleh jadi model boxer.

Mak Wa pandang aku dan aku pandang Mak Wa. Mak Wa menggeleng perlahan, dan aku nampak Mak Wa macam nak tergelak aje. Isy, percayakan Kasyfi buat apa? Aku ke Kasyfi cucu dia?!

"Dah, dah... Meh kita minum petang dulu. Mak Wa ada buat air kopi ni. Sambil-sambil tu, boleh makan kuih yang kamu bawa tu." Ajak Mak Wa lalu berjalan ke ruang tamu.

Aku jeling Kasyfi sekilas. Dia mengangkat bahu sambil pandang aku dengan kening yang sedikit dinaikkan ke atas. Aku sekadar menurut ajakan Mak Wa. Aku duduk di sebelah Mak Wa manakala Kasyfi duduk di kerusi tadi.

"Iqa, tuangkan air. Bagi tetamu minum." Suruh Mak Wa.

Aku mengangguk kecil sebelum mencapai cawan. Air kopi dituangkan ke dalam tiga biji cawan. Aku sorongkan satu kepada Mak Wa, satu diletakkan di hadapan aku dan yang paling terakhir aku tolak untuk Kasyfi. Dan tanpa Mak Wa perasan, air kopi untuk Kasyfi hanya separuh cawan.
Ya. Aku sengaja. Siapa juga yang cari pasal dengan aku? Kata sangat aku terhantuk pintu kan?

Aku sedar Kasyfi memandang ke arah aku. Aku buat-buat tak tahu saja. Kenapa? Dah nampak ke air kau yang cuma separuh aje tu? Nak lagi, ambillah sendiri. Ada tangan, kan? Jari pulak cukup semuanya, kan?

"Makan, Iqa. Kasyfi pun, makanlah sekali..." pelawa Mak Wa lagi.

Aku sekadar senyum nipis sebelum memandang ke dalam tupperware berwarna biru yang diletakkan di atas meja. Karipap dan samosa. Tak silap aku, samosa ini dibuat oleh Kasyfi.

Aku sembunyi senyum. Meh sini aku rasa sikit. Nak jugak aku tahu sedap ke tak air tangan dia. Kalau tak sedap, memang aku akan suruh dia balajar buat lagilah...
Aku mencapai sebiji samosa. Aku hidu sekejap. Hmm, bau macam samosa. Tapi adakah semata-mata kerana bau yang sama, rasanya juga sama dengan samosa yang sebenar-benarnya? Hujung samosa itu aku gigit sedikit, kemudian perlahan-lahan dikunyah.

Kunyah-kunyah, telan. Aku rasa macam nak terkentut.
Mak aih, asal sedap sangat ni? Yum-yum, sempurna rasanya. Betul ke Kasyfi sendiri yang buatkan? Jangan-jangan samosa ini juga buatan mama dia tapi hanya dia yang menipu. Aku tak duduk sekali dengan dia, jadi manalah aku nak tahu kebenarannya, bukan?

Tapi, takkanlah Kasyfi sanggup tipu Mak Wa?

Eh, apasal pulak macam tu? Tadi pun dia tipu Mak Wa. Yang dia kata aku terhantuk pintu tulah...

Perlahan-lahan aku angkat kepala dan pandang Kasyfi. Angkat laju-laju kang, nanti si dia terperasan pro pulak. Aku terkejut apabila nampak-nampak Kasyfi aje, dia dah menghadiahkan senyuman sinis.

Alamak... Mesti dia dah nampak yang samosa di tangan aku ini dah tinggal 1/4 sebelum habis padahal aku mencapainya baru dalam 20 saat.

Isy, mula nak perasan handal membuat kuihlah tu!

"Sedap kan, Iqa?" tanya Mak Wa, tiba-tiba.

Aku pandang Mak Wa. Sempat aku terpandang Kasyfi lagi. Muka dia juga macam tertanya-tanya. Mesti dia nak tahu juga apa yang aku nak cakap, walaupun dia dah nampak samosa di tangan aku yang tinggal sedikit sahaja ini.

Aku buat-buat kunyah sambil tersenyum.

"Bolehlah daripada takde langsung rasa samosa, nek..." Aku membalas dengan senyuman. Maksudnya, okeylah kuih yang Kasyfi buat itu daripada takde langsung rasa samosa yang betul-betul samosa.

Mak Wa hanya senyum. Mesti dia ingat ulasan aku itu tersangatlah positif sebab aku senyum tadi.
Kasyfi pula aku nampak muka dia hanya biasa. Aik. Dia tak berang ke? Kan dah sah-sah dia nampak aku makan cepat tanda sedap tadi? Atau otak dia aje yang lambat nak faham ayat aku?

Tapi, dia sedang pandang ke arah aku.

"Iqa, air dalam cawan ni dah habis. Tolong tuang sikit lagi, boleh?" minta Kasyfi.

Aku yang sedang mengunyah kuih terus terhenti. Apa? Nak aku yang tuangkan? Kenapa pulak aku yang kena? Tu, teko tu kat depan tu aje kan? Kenapa tak boleh nak capai dan tuang sendiri? Punggung gajah ya, sampai susah nak bangun walaupun sikit?

Aku perasan Mak Wa pandang aku. Nak taknak, terpaksalah aku sambut cawan yang dihulurkan oleh Kasyfi. Baru aje aku nak sentuh cawan itu, cawan itu dah terlebih dahulu jatuh ke atas meja. Ai! Macam mana boleh jatuh pulak ni?

"Eh, sorry-sorry... Ingat dah bertukar tangan tadi." Bagitahu Kasyfi.

Aku pandang dia. Iya ke ni? Kenapa aku nampak dia macam sengaja lepaskan tangan sebelum aku sempat menyambut? Dia ni memang sengaja agaknya. Nasib baiklah atas meja tu ada kaca, jadi takdelah basah kain alas.

"Saya ke dapur dulu, Mak Wa. Nak ambil kain. Oh, ya... Kain buruk kat mana ya?" tanya Kasyfi.

Aku sembunyi senyum. Ha, baguslah. Sendiri yang tumpahkan, sendiri yang lapkan. Rasanya dia memang tak sengaja kut terjatuhkan cawan tadi. Sebab kalau dia sengaja, takkan dia sendiri yang offer nak pergi ambil kain buruk kat dapur, kan?

Tapi...

"Eh, tak perlulah, Kasyfi. Cucu Mak Wa boleh tolong," ujar Mak Wa.

"Ha?"

Kemudian Mak pandang aku.

"Iqa... Tolong ambikkan kain dekat dapur. Nenek biasanya letak kerusi paling hujung. Kalau tak jumpa, carilah kat mana-mana. Oh ya... Kalau boleh, ambik cepat sikit. Semut kang biar lama sangat," suruh Mak Wa.

Apa? Aku yang kena ambik? Nak ambik tu boleh, tapi selepas aku yang kena lalu di depan Kasyfi untuk ke dapur? Aduh... Tolonglah, nek. Kasyfi tu tak patut mengotorkan matanya dengan melihat sesuatu yang bukan milik dia. Faham tak maksud aku apa? Nenek faham tak, nek?!

Tapi... Yang aku nak fikir macam-macam tu kenapa? Kasyfi tu nampak macam budak baik apa. Buktinya, ramah aje berbual-bual dengan Mak Wa. Ah, persetankan segalanya. InsyaAllah, dia tak bermata liar.

Nak taknak, terpaksalah aku ke dapur untuk mengambil kain buruk. Masa aku nak lalu di hadapan dia, sempat lagi aku nampak dia yang sedang menahan tawa. Isy, sengaja eh?

Pelangkung karang!

-KASYFI-

"NEK... esok Iqa pergi sekolah, Iqa nak naik apa eh? Jauh ke sekolah tu? Jalan kaki, lepas ke?" Aku bertanya ketika aku dan Mak Wa sama-sama melihat Buletin Utama di TV3.

Mak Wa aku lihat sedang asyik menjahit kain batiknya yang tiba-tiba terbetas siang tadi. Mananya tak terbetas kain batik tu kalau dah panjat pokok mangga dengan berpakaian kain batik. Itulah nenek aku. Galah ada, tapi mahu juga panjat sendiri.

"Isy. Jalan kaki? Jauh sekolah kamu tu," tukas Mak Wa.
"Oh, ya ke? Dah tu? Iqa pergi sekolah dengan apa?" tanyaku lagi.

Mak Wa masih menjahit.

"Naik Pak Hussin. Dia memang angkut budak bu..."
Tiba-tiba Mak Wa berhenti bersuara dan mengangkat kepala memandangku.

"Allahu, Iqa. Nenek sibuk sangat sampai terlupa nak bagitahu Pak Hussin yang mula dari esok, kamu pergi sekolah naik kereta dia..." keluh Mak Wa.

Aku diam. Lupa? Hmm, takpelah. Aku tak kecil hati pun, sebab aku memang tahu yang nenek agak sibuk. Tambah tambah lagi, ahli keluarga aku baru aje dalam seminggu macam tu menghadap Ilahi. Jadi, memanglah Mak Wa boleh terlupa.

"Motor kat pondok tepi pangkin tu siapa punya, nek? Yang nenek ke?" tanyaku lagi. Memang aku dah beberapa kali perasan akan kewujudan motor EX warna hitam tersadai bawah pondok.

"Eh, masa bila pulak nenek pandai bawak motor? Tu motor si Kaharlah, anak Pak Seman Jongang. Dia tu jiran sebelah," jawab Mak Wa.

"La, ya ke? Habis tu, kenapa nampak macam tak rajin guna pun? Sama aje duduknya dari mula-mula Iqa datang sini," aduku.

"Memanglah, sebab si Kahar tu dah beli motor baru. Motor apa nama tu...? Hah, hendal bulat? Ke apa nama." Mak Wa memberi alasan.

Aku bersandar pada kusyen di belakang. Pulak? Adoi, macam mana aku nak ke sekolah esok?

"Kabir tu biasa ada kat rumah tak, nek?" tanyaku.

"Kabir?"

"Haah, Kabir."

"Kabir mana ni?"

"Alaa, Kabirlah... Anak Pak Seman Jongang yang nenek cakap tu," terang aku.

Mak Wa pandang aku lama.

"Kaharlah. Kabir, kabir..." tukas Mak Wa.

Aku pula yang tersengih macam kerang busuk.

"Oh, Kahar ya? Maaf, maaf..." Sengih aku.

Mak Wa menggeleng-geleng.

"Ada aje dia tu. Kenapa tanya?" tanya Mak Wa.

Aku mula tersenyum.

"Esok nenek cakaplah kat dia, Iqa nak pinjam motor dia sebab nak pergi sekolah. Iqa pandai bawak motor, nek." Aku memberikan cadangan.

Kelihatan Mak Wa diam sejenak sambil memikirkan sesuatu.

"Betul ni reti? Kalau macam tu, Mak Wa bagitahu dia esok." Putus Mak Wa. Aku tersenyum. Yes!

Tapi kan...

"Tapi, nek... Kahar tu, pag-pagi dah bangun ke?" tanyaku lagi.

"Alah, takpe pasal tu. Tak bangun lagi pun, Pak Seman biasanya selalu bangun awal. Sebab dia pagi-pagi lagi nak ke kebun, nak pergi menoreh." Ujar Mak Wa.

Aku senyum. Okey, cun! Dah lama dah aku teringin nak pergi sekolah naik motor. Selalunya, arwah papa aku yang hantar aku ke sekolah. Hmm, rasanya kalau pinjam setiap pagi pun takpe kut. Kahar kan dah ada motosikal baru?

Oh yeah!


-KASYFI-

"PERGI dulu, nek!" jeritku selepas menyalami tangan Mak Wa. Mak Wa hanya menghantar aku di hujung beranda.

Selepas memakai kasut, aku terus bergegas ke pondok. Aku pakai seluar panjang kat dalam dan yang paling penting, seluar tu tak ketat dan melekap okey? Aku pakai helmet. Selepas selesai mengetatkan tali, aku mula menghidupkan enjin.

Start, start, tak dapat. Bukan dua tiga kali, tapi dah berkali-kali aku buat. Namun motor itu tetap sama, tak mahu hidup!

"Boleh ke tu, Iqa?" tanya Mak Wa yang pastinya nampak aku yang terkial-kial cuba menghidupkan motosikal.
Aku pandang Mak Wa. Dengan muka yang muram, aku menggeleng. Mak Wa diam, tak tahu nak cakap apa barangkali. Aku turun dari motor dan terus membuka kusyennya. Selepas membuka penutup tangki minyak, aku terus melihat ke dalam. Makkkk! Mana minyaknya?! Sikit pun takde. Ni memang dah kering sangat ni. Kering sekering keringnya kekeringan!

"Nenek...!" Aku ketika itu macam nak menjerit dah. Whaa, nak nangis boleh tak?! Dahlah hari ni hari pertama aku nak masuk sekolah baru!

Tiba-tiba telinga aku menangkap satu bunyi dari depan rumah. Pantas aku menoleh ke arah sana.

"Mak Wa, selamat pagi!" Kasyfi yang ketika itu segak berpakaian sekolah dan memakai helmet menyapa Mak Wa dengan ceria.

Aku buat mata kuyu. Alangkah bagusnya motor hitam yang cantik itu milik aku. Tak cantik pun tak apalah, asalkan aku punya motor sekarang ni.

"Selamat pagi, Kasyfi..." Mak Wa sekadar berbalas sapa.
Kasyfi senyum sebelum melirik ke arah aku yang masih berada di bawah pondok.

"Eh, cucu Mak Wa budak sekolah lagi rupanya..." Kasyfi bersuara lagi.

Mak Wa senyum tipis.

"Iya... Dah tingkatan lima dah." Balas Mak Wa.

"Kenapa tak pergi lagi? Dah pukul 7.15 pagi. Lewat nanti kalau tak gerak sekarang." Ujar Kasyfi lagi.

Aku pandang Mak Wa bila dia cakap macam tu.

"Memang dah nak pergi dah. Tapi motor tu yang taknak hidup." Bagitahu Mak Wa.

Kasyfi pandang Mak Wa.

"Ada masalah apa?" tanya dia.

"Entah. Ada masalah apa, Iqa?" Mak Wa sekadar copy ayat Kasyfi.

"Err, ni..." Aku mati kata sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

"Tak reti start motor kut." Tebak Kasyfi, atau lebih tepat macam nak sindir aku.

Apa? Tak reti start? Hei, aku eja 'tak reti' pun tak pandai, tahu tak?!

"Bukanlah. Motor takde minyak." Tukas aku. Kang kalau tak betulkan, sampai bila bila Kasyfi ingat aku tak reti start motor. Ingat aku apa?!

"Hehe... Sama aje macam takde motor kalau macam tu." Macam biasa, aku nampak dia pasti akan tayang senyum kalau nak sindir aku. Kenapa senyum jugak walaupun pada akhirnya nak menyinis aku?

Aha! Aku tahu. Dia nak mengelabui mata Mak Wa! Isy... Reject terus daripada jadi bakal suami kalau macam ni. Aku diam saja, sebab tak tahu nak balas apa dengan ayat 'sama aje macam takde motor' dia tu.

"Cucu Mak Wa nak tumpang saya tak, Mak Wa?" Kasyfi buat buat tanya. Hei, buat apa tanya nenek aku lagi sedangkan aku turut berada kat sini?!

Eh, jap. Nak tumpang dia ke tak? Ahahaha... Apakah?
Aku pandang Mak Wa. Dan ternyata, Mak Wa turut memandang aku. Mata Mak Wa nampak bersinar aje aku tengok. Macam ternampak hadiah yang jatuh dari langit pula.

"Hah, Iqa. Hari ni kamu tumpang Kasyfi..." Suruh Mak Wa.
Aku ternganga. Apakah? Aku nak tumpang dia? Nak naik motor bersama-sama dia? Lol, apakah...?

"Takkanlah, nek?" Aku pandang Mak Wa macam tak percaya. Bukan tak percaya yang dia benarkan aku naik Kasyfi, tapi tak percaya yang dia suruh aku naik motor Kasyfi.

"Laa, betullah... Takkan main-main pula?" tukas Mak Wa.

"Tapi, nek..."

"Nak ke tak? Lambat nanti sampai, jangan nak salahkan sesiapa. Dalam kiraan tiga, motor ni akan bergerak..." Kasyfi menyampuk.

Aku pandang dia. Jap. Dia ni sengaja nak naik motor bersama-sama aku ke macam mana ni?

"Satu..." Aku mula gelabah apabila Kasyfi dah mengira.

"Nek...!" Aku pandang Mak Wa.

"Dua..."

"Eyyy!!!" Aku menjerit perlahan sebelum menyepak tayar motosikal Kahar anak Pak Seman Jongang. Aku berjalan ke arah Kasyfi. Berat sebenarnya kaki aku nak melangkah ke sana.

Sampai di depannya, aku pandang dia lama.

"Naik ah. Nak aku dukung letak sendiri?" sindir Kasyfi, perlahan.

"No need." Balasku sebelum berura-ura nak lepaskan beg. Bukan apa, aku cuma nak jadikan beg ini sebagai pengantara saja. Sebab si Kasyfi itulah. Beg sekolah dia diletakkan di dalam raga motosikal.

Baru aje aku nak tanggalkan beg, Kasyfi tiba-tiba menghulurkan aku beg sekolah hitamnya.

Aku pandang dia?

"Kenapa?" tanyaku.

"Buat apa yang kau nak buat tadi, tapi guna beg aku. Dah ah, naik cepat. Nak kena tinggal ke?" balas Kasyfi. Aku diam. Teragak-agak aku menyambut begnya.

Perlahan-lahan aku naik motor dan duduk di belakang dia. Walaupun dah ada beg kat tengah-tengah, aku masih lagi duduk di bahagian kusyen paling jauh sejauh yang aku mampu. Seganlah naik dia. Kenal pun baru semalam.
Silap. Seminggu yang lalu.

"Iqa pergi dulu. Bye, nek." Ucap aku yang langsung tidak menjerit.

Kalau sekarang ni aku naik motor Kahar, pasti aku dah menjerit dan melambai ke arah Mak Wa macam kanak-kanak Ribena. Sebab aku naik motor Kasyfi aje, aku diam. Nanti dia ingat aku jadi gembira sebab dapat pergi sekolah naik motor dia pula.

Nasib baiklah, motor Kasyfi ni motor yang biasa-biasa je. Kalaulah sekarang ni aku naik motor tayar besar yang ada kusyen yang naik ke atas, memang aku tak tahulah nak buat macam mana.

Kejung. Itulah yang aku rasa sekarang ini. Cepatlah sampai kat sekolah!


-KASYFI-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience