BAB 4

Romance Completed 5655

KEESOKANNYA, pukul 7.30 aku dah siap mandi. Yalah, Afifah kan tak suka aku. Jadi mestilah aku kena blah dari rumah ni cepat-cepat walaupun dia takde cakap pun, kan? Kalau ikutkan, hari ini hari sekolah. Tapi tak dapatlah aku pergi kerana aku tidak lagi menjadi pelajar di sana. Aku kecewa juga sebab tak dapat jumpa kawan-kawan aku untuk kali terakhir. Aku harap, ada rezeki kami akan jumpa lagi suatu hari nanti.

Aku mengenakan baju t-shirt muslimah yang berwarna biru gelap. Seluar pula aku hanya pakai seluar trek. Bawal dari nada yang sama dengan baju t-shirt aku pakai ala kadar saja. Kali ini aku tiada hati nak tarik hujung bawal itu lalu dipinkan di atas kepala.

Semasa aku tengah mengebas cadar yang sedikit berkedut, pintu bilik aku tiba-tiba dibuka oleh seseorang. Aku toleh ke belakang. Kelihatan Afifah berada di muka pintu bersama wajah yang agak pahit. Aku melepaskan bantal lalu perlahan-lahan bergerak ke pintu.

"Ada apa, akak?" tanyaku, perlahan.

Afifah pandang ke seluruh bilik sebelum memandang aku dengan pandangan yang macam nak taknak sahaja.

"Kau ada t-shirt lebih tak?" tanya Afifah.

Aku diam sejenak.

"T-shirt? Ada, tapi bukan yang tahun inilah. Kak Ifa nak jugak ke?" tanya aku pula.

Afifah pandang aku tajam.

"Kau ingat balik, ada aku cakap taknak ke?" Nada suara Afifah macam dah nak masuk mood marah-marah.

Aku tunduk sebelum menghampiri almari pakaian. Pintunya aku buka lalu tanganku mula mencapai satu baju t-shirt yang tergantung pada hanger. Baju t-shirt lengan panjang berwarna ungu lembut aku tarik keluar.

"Nah, kak..." kataku sambil menghulurkan pakaian itu.

Afifah menjeling aku sebelum menyambut huluran aku dengan agak kasar. Aku terkulat-kulat di depannya sambil memerhati Afifah yang sibuk buat-buat ukur baju di depannya. Afifah sedikit berisi, jadi aku harap muatlah baju yang hak milik aku yang kurus langsing ini.
Afifah membelek baju itu sebelum memandang ke arah aku.

"Baju ni nampak buruk. Bagi aku yang lain,” arah Afifah.

Apa? Buruk? Tu baju tahun lepas punya dan aku baru pakai dalam tiga kali. Masakan boleh nampak buruk? Aku tengok okey aje baju tu? Siap bau sabun pencuci pakaian jenama Downy lagi. Kut celah mana pulak buruknya?

"Dah takde baju, kak. Yang tinggal semua baju lengan pendek,” kataku.

"Penipulah kau ni! Aku nak yang lain, tak faham bahasa ke macam mana ni? Hari tu aku nampak papa bawa balik baju warna merah hati. Bak sini baju tu! Aku nak guna!" minta Afifah dengan suara yang keras.

Aku tunduk.

"Baju tu... saya dah masukkan dalam beg, sebab saya nak bawa kat rumah nenek,” balasku dengan suara yang takut-takut.

Afifah pandang aku sebelum melempar baju di tangannya itu ke udara, sampai tersangkut pada kipas siling yang elok tergantung di atas kami. Aku pejam mata kerana agak terkejut. Bila aku dah buka balik kedua-dua mataku, aku nampak Afifah tengah menggerakkan kerusi rodanya.
Terkial-kial Afifah bergerak ke tempat luggage aku disandarkan. Lalu dengan kasar, dia membalikkan bagasi milik aku. Aku pantas mendekatinya. Aku halang kakak aku daripada menggeledah beg pakaian aku.

"Kak Ifa... apa ni, kak? Tolonglah, kak..." Aku merayu kepadanya.

Afifah berhenti menyentuh luggage itu, lalu dengan selamba dia menunjal dahi aku menggunakan jari telunjuk kirinya. Sampai tertolak aku ke belakang jadinya.

"Dah kau kedekut sangat? Dasar bahlol! Anasir dalam keluarga ni!" kutuk Afifah sebelum bertindak ingin merentap tudung bawal dikepalaku.

Aku sudah mampu mengagak, jadi cepat saja aku mengelak daripada disentuhnya. Tindakan aku ternyata dah buat Afifah tersembam sendiri. Dia jatuh tertonggeng di atas permaidani gebu yang elok terhampar di atas lantai.

Dengan geramnya, Afifah mengangkat kepala dan memandang aku.

"Kau ni memang bodohlah!" maki Afifah lalu mencubit paha aku kasar.

Aku mengaduh kesakitan lalu menepis tangannya. Kalau aku ni jenis yang tak kisah pasal hormat kepada orang yang lebih tua, sudah tentu aku dah pijak-pijak kepala bulat dia ni sampai lenyek.

"Berani kau!" marah Afifah lalu cuba bangkit.
Aku duduk di hadapannya. Kemudian tanpa apa-apa, aku terus memegang kedua-dua belah pipinya.

"Akak! Akak ni dah kenapa? Selama ni saya selalu tertanya-tanya kepada diri sendiri, kenapa Kak Ifa tak suka sangat dekat saya? Saya dah buat dosa apa dekat akak? Kalau Kak Ifa marah saya sebab kaki akak, cuba akak fikir balik, layak ke akak marahkan saya? Akak ingat balik, saya ke yang dah buat kaki akak jadi macam ni?"

"Kak Ifa... jujur saya katakan, saya sedih sangat dengan hubungan kita. Kenapa sekejap sangat saya boleh merasai kasih sayang daripada seorang kakak? Saya rindu Kak Ifa saya yang dulu. Saya rindu kakak yang selalu usap air mata saya bila saya bersedih..."

"Tapi kenapa semua tu dah takde? Mana perginya diri akak yang dulu? Kenapa sampai sejauh ini Kak Ifa berubah, sampaikan saya dah tak nampak di manakah kakak saya yang dulu. Saya cukup-cukup terkilan dengan layanan akak terhadap saya selama ni. Tapi sebab saya sayang dan hormat akak, saya masih lagi bertahan.
Kak Ifa nak apa lagi, cakap... Saya boleh tunaikan permintaan akak. Akak tak suka saya, jadi saya boleh pergi dari hidup akak. Tapi kenapa Kak Ifa masih layan saya macam ni? Malah di saat saya sudah nak pergi dari hidup akak, akak masih boleh layan saya dengan buruk macam ni? Apa yang akak fikir, kak?" Dengan sesungguh hati, aku meluahkan rasa yang terbuku di hati.

Afifah yang berada di hadapan aku kelihatan sedikit tergamam. Namun aku tak hiraukan semua itu. Hati aku kembali basah... Aku menangis lagi.

"Semalaman, akak... Semalaman saya tak tidur sebab asyik menangis. Dan akak rasa saya menangis sebab apa? Sebab fikir pasal akak, kak. Saya tatap siling, sambil berfikir... adakah esok yang merupakan hari terakhir saya di rumah ini, Kak Ifa akan melayan saya dengan baik? Saya teringin sangat nak dipeluk macam yang dulu-dulu, akak. Saya betul-betul nak rasa disayangi macam dulu..."
Aku menangis lagi di depannya.

"Akak... boleh tak untuk kali terakhir, saya nak akak peluk saya dan cakap yang kakak sayang saya sangat-sangat? Saya... bb... betul-betul rindukan kakak saya yang dulu. Tt... tolonglah..." pintaku dengan linangan air mata.

Afifah masih terdiam. Entah kenapa, aku seperti nampak mata dia sedikit berair. Mata dia berkacakah? Adakah dia terkesan dengan luahan aku? Aku harap dia sedar yang aku begitu menyayanginya.

Kelihatan tangan Afifah perlahan-lahan naik. Dia kelihatan seperti sedang mendepangkan tangannya dengan bukaan yang tak berapa nak besar sangat. Kak Ifa sudi nak peluk aku ke? Perlahan-lahan aku bergerak ke arahnya. Ketika tubuh aku sudah hampir dengan tubuhnya, Afifah tiba-tiba menolak bahuku, membuatkan aku kembali terhentak ke belakang.

Aduh... sakitnya tulang punggung aku. Hmm... Kak Ifa tak sudi peluk aku rupanya.

Perlahan-lahan aku mengangkat kepala. Kelihatan Afifah seperti menyeka tubir matanya dengan jari sebelum buat-buat pandang ke sisi katil. Bila matanya bersabung dengan aku, cepat-cepat dia cuba untuk memanjat naik ke atas kerusi tayar besar miliknya itu.

Aku sapu air mata sebelum berdiri.

"Saya tolong, kak..." ujarku sambil cuba menyentuh bahunya. Namun Afifah pantas menepis.

"Tak payah!" tolak dia.

Aku terkulat-kulat. Dia memanjat. Hingga akhirnya, dia sudah berada di atas kerusi rodanya. Dia jeling aku sebelum bergerak keluar dari bilik aku. Aku pandang dia dari jauh.

Macam mana Afifah boleh naik ke sini? Bukankah dia berkerusi roda? Bukankah sukar bagi orang sepertinya untuk naik ke sini? Apatah lagi apabila terpaksa membawa kerusi bertayar besar itu bersama sama?


-KASYFI-

"KAKAK dah jumpa adik?" tanya ibu.

Aku berhenti berjalan apabila mendengar suara ibu yang sepertinya tengah bercakap dengan seseorang. Perlahan-lahan aku mengintai ke dalam bilik mama. Kelihatan ibu sedang duduk di birai katil sambil mengelus rambut Afifah yang tak lurus, tak panjang dan tak lebat mana itu.

Afifah diam sebelum menjeling ibu.

"Pasal apa kakak kena jumpa dia?" tanya Afifah, dingin.
Ibu mengerutkan kening.

"Laaa... Tadi malam kakak juga yang tanya pasal adik itu dan ini? Tadi pun, kakak yang minta ibu bawa kakak naik atas, sebab nak jumpa adik, kan?" balas ibu pula.

Mulut aku membetuk huruf 'O'. Ibu rupa rupanya yang telah menolong Afifah. Aku ingat kaki dia dah elok ke apa tapi dia aje yang sengaja sorokkan.

"Ibu, nak ke dia jumpa kakak sedangkan kakak ni dah buat macam-macam yang buruk dekat dia? Cakap aje apa yang kakak tak buat dia sakit hati. Rasanya semua kakak dah buat,” balas Afifah.

Ibu terdiam.

"Kenapa kakak cakap macam tu? Kakak, adik kakak tu orangnya baik. Seteruk mana pun layanan orang dekat dia, dia masih lagi boleh memaafkan. Kan ibu dah cakap, adik tu ikut perangai nenek, suka maafkan orang. Tak percaya, kakak cubalah minta maaf dengan dia. Lagipun, adik kat sini tak lama dah. Nanti kita balik rumah nenek, kakak dah tak boleh jumpa dia dah..." ujar ibu.

Aku diam sambil fokus, nak dengar apa balasan yang bakal Afifah katakan.

"Hmm... Tengoklah dulu. Tapi rasanya tak kut. Tak dan tak akan..." balasnya perlahan dengan mata yang sedikit dijulingkan ke atas.

Hancur luluh hati aku bila dia cakap macam tu. Hmm, tak apalah. Kalau Kak Ifa dah tak boleh nak sukakan aku, takkanlah aku nak paksa. Aku harap kepergian aku kali ini sedikit sebanyak mampu membuka hatinya yang kering macam tisu lap hingus itu.

Aku mengeluh sebelum membawa diri ke ruang tamu.


-KASYFI-

PERJALANAN dari Kuantan ke Batu Pahat yang sebenarnya memakan masa selama empat jam lebih menjadi lima jam oleh kerana berlakunya sebuah kemalangan ketika kereta papa melepasi salah sebuah tol. Agak teruk kemalangan yang berlaku, sampaikan lebuh raya menjadi sedikit sesak biarpun sekarang bukanlah musim perayaan.

Ketika kereta papa membelok di sebuah selekoh yang boleh tahan tajam, tidak semena-mena Nomik yang berjudul Misi Kira: Cabaran Infiniti karya Nazri Salam dan Afiq Salam yang aku letak ditengah-tengah kerusi bagi menjaga jarak antara aku dan Afifah menggelungsur lalu terkena tangan Afifah. Itu hanya sebuah buku dan aku pun tak perasan tapi kenapa Kak Ifa...

"Awww... sakitlah!" Aku mengaduh perlahan.

"Hah, tahu pun sakit!" marah Afifah lalu membuang pandang ke luar tingkap.

"Apa hal cubit-cubit orang ni? Sakit, tahu tak?" kataku sambil menggosok lengan aku yang dah menjadi mangsa cubitan ketam Afifah itu. Ini bukan cubitan ketam, tapi patukan burung kakak tua. Nampak sikit aje dia cubit, tapi kuku Afifah itu tajam bagaikan pisau.

"Buku kau tu dah tekena tangan aku! Baik kau ambik cepat, sebelum aku lempar kat luar sana!" gertak Afifah.
Cepat-cepat aku ambil buku itu lalu dipeluk. Aku sayang buku ni sebab ini bukan kegemaran aku.

"Buku je kut? Bukan benda kotor pun, kan?" balas aku sambil buat-buat belek buku itu. Memang tak dapat dinafikan yang aku sedikit bengang dengan perangai Afifah yang terlalu annoying itu.

Afifah yang baru nak pejam mata itu terus pandang aku bersama mata yang membulat marah.

"Bukan benda kotor kau kata? Hei, buku tu kau punya. Tuan punya buku itu ialah seorang yang pengotor. Dengan automatik, barang milik si pengotor akan menjadi kotor, kotor dan selamanya akan kotor macam kau, pengotor!" Nah, dia lagi sekali menggunakan perkataan kegemarannya iaitu kotor. Penyakit apalah yang dia hidap sampaikan setiap masa nak sebut perkataan itu.

"Sampai hati akak buat macam tu. Hina sangatkah saya sampaikan akak boleh hina saya macam tu? Saya ni adik akak, kenapa panggil saya pengotor? Saya pun mandi, gosok gigi, pakai sabun macam Kak Ifa. Masih nak panggil saya pengotor?" balasku geram.

Afifah menoleh ke arahku.

"Eh, dia ni! Terbelah jugak kepala kau tu nanti!" marah Afifah lalu bertindak menyekeh kepalaku.

Air mataku menitis lagi. Sempat aku pandang ke cermin pandang belakang. Kelihatan mata papa berkaca. Papa sedih ke? Papa sedih tengok hubungan aku dengan Kak Ifa? Mata papa berair, tandanya papa melihat apa yang berlaku, bukan? Tapi kenapa papa tak marah dekat Afifah?

Adakah sebab aku yang dah tak lama dalam keluarga ini, ia boleh menjadi alasan untuk aku dibiarkan dan diperlakukan sebegini? Dan kepada Kak Ifa, berapa lama lagi saya kena bertahan dengan sikap kakak yang seperti terlalu mempersiakan kewujudan saya ini?

Aku merintih lagi di dalam hati.

-KASYFI-

"AZMAN... Betul ke kamu taknak bermalam kat rumah mak dua tiga hari ni? Kamu sekeluarga tu baru aje sampai tengah hari tadi, dah nak balik. Tak letih ke diri kamu tu, Azman?" tanya Mak Wa, nenek aku merangkap ibu kepada papa aku.

Papa yang tengah menyarungkan kasut tersenyum tipis sebelum berdiri lalu memandang Mak Wa.

"Iya, mak. Esok Azman kena kerja, jadi tak boleh stay lama. Tengok raya nilah, kalau tak sibuk, Azman bawa Kila dengan Afifah datang sini lagi." Balas papa dengan senyuman.

Mak Wa hanya mengangguk tanda faham.
"Betul tu, mak. Saya pun, esok dah kena kerja. Saya ada klien dari Kerteh, katanya nak tengok produk-produk saya kat butik." Tambah ibu sambil menghulurkan tangan ingin bersalam dengan ibu mertuanya.

Mak Wa tersenyum.

"Iyalah, Kila oi. Mak faham, bukannya tak faham. Tu ha, bawa kereta elok-elok. Kalau penat, berhentilah dulu kat jalan, biar hilang sikit letih tu,” pesan Mak Wa.

Papa tarik senyuman nipis.

"Ya, mak..."

"Eh, rasanya dah lewat ni. Kami gerak dulu ya, mak?" ujar papa sebelum mencium tangan Mak Wa. Kemudian giliran Afifah pula yang menyalami tangan Mak Wa.
Ketika mereka bersentuhan tangan, Mak Wa menyentuh kepala Afifah.

"Iqa aje yang nak duduk dengan nenek? Ifa taknak?" tanya Mak Wa yang sudah tahu tentang kenapa aku sorang aje yang nak tinggal dengan dia masih lagi bertanya, saja mahu menyapa cucu sulungnya itu.

Afifah yang tengah bersalam perlahan-lahan mengangkat kepala. Kemudian dia tersenyum janggal.

"Err... Nenek tanyalah tuan punya badan tentang kenapa dia nak duduk dengan nenek. Dia cakap, dia nak pindah sekolah sebab kawan-kawan dia semuanya dah tukar sekolah. Tu yang dia nak duduk dengan nenek, nak jadi budak sekolah kat sini." Pandai betul Afifah mereka cerita.

Aku hanya diam saja. Papa dan ibu juga diam sambil masing-masing melirik ke arah Afifah sekilas.
Kemudian ibu menghampiri aku.

"Adik... Ingat tau, jangan susahkan nenek. Rindu ibu, call lah ibu setiap hari ya? Jangan nakal-nakal tau? Berkawan dengan orang yang baik-baik aje. Tolonglah nenek selalu, okey?" pesan ibu sambil memegang kedua-dua belah pipiku.

Mataku mula berkaca. Tu dia, sebak dah datang bertandang. Aku hanya mampu mengangguk sebab kalau aku bersuara, mesti akan tersekat-sekat kerana sebak. Ibu tarik aku ke dalam pelukan. Selepas itu, aku salam tangan papa pula. Tiba-tiba pandangan aku bersabung dengan Afifah yang berada di belakang tubuh ibu.

Aku pandang dia lama. Ibu yang tersedar terus berganjak ke tepi sedikit, kononnya nak bagi ruang untuk kami yang terasa sangat janggal ini. Aku terkejut apabila Afifah tiba-tiba saja menghulurkan tangannya. Aku pandang dia dengan pandangan yang tidak percaya. Sekali lagi aku perasan yang ada butir-butir jernih di pelupuk matanya. Cepat-cepat aku salam tangannya dan cium belakang tangannya lama.

"Saya minta maaf kalau sepanjang saya jadi adik kakak, saya ada buat kakak tak senang dan terasa hati. Saya betul-betul tak niat nak sakitkan hati akak..." bisikku ketika mencium tangannya.

Dan tanpa disangka, aku seperti terdengar satu esakan panjang. Perlahan-lahan aku mengangkat kepala. Kelihatan Afifah mengemam bibir sendiri sambil membuang pandang ke pokok bunga yang Mak Wa tanam. Sesekali dia menyapu air hidungnya yang meleleh-leleh.

Aku tersenyum bersama linangan air mata. Kak Ifa... Saya sayang Kak Ifa sangat-sangat.

Tiba-tiba Afifah menarik tangannya daripada terus berada di dalam tanganku.

"Jom, papa... Kakak... kakak ada Google Meet dengan owner Yah Shopee. Jom, ibu..." Afifah tarik tangan ibu lalu diletakkan di belakang kerusi rodanya, seperti mahu ditolak oleh orang lain.

Aku nampak ibu tersenyum nipis. Pasti itu pun nampak kejadian antara kami tadi, di mana Afifah sebenarnya juga pandai mengalirkan air mata!

Antara papa, ibu dan Afifah, semuanya sudah masuk ke dalam kereta. Papa menghidupkan enjin. Semasa mengundurkan kereta, papa sempat lagi membunyikan hon. Aku hanya pandang belakang kereta papa yang baru nak keluar dari halaman rumah Mak Wa.

Tinggallah aku sendirian dengan nenek aku kat sini. Aku toleh ke arah Mak Wa sebelum telinga aku tiba-tiba terdengar satu bunyi hentaman yang kuat dan membingitkan telinga. Terus aku menoleh ke depan semula.

Jantung aku bagaikan meluruh apabila melihat kereta milik papa yang sudah remuk di atas jalan. Ada sebuah lori ais kiub yang turut berada di atas jalan itu. Aku menutup mulut dengan kedua-dua tangan sebelum berlari turun ke tanah.

"Allah!" Aku menjerit sambil berlari ke jalan.

Ketika sudah hampir, mataku sempat melihat kepala Afifah yang dipenuhi dengan darah yang mengalir di dahi. Juga kepala papa yang mengalirkan darah pekat. Aku berjalan lagi sebelum pandanganku tiba-tiba menjadi gelap.

Sebelum rebah, aku masih dapat merasakan yang tubuh aku sempat disambut oleh seseorang.

Aku pengsan tidak sedarkan diri.

-KASYFI-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience