BAB 3

Romance Completed 5655

MALAM itu, aku berada di dalam bilik sahaja. Aku takde hati langsung nak pergi ke bawah sana. Sebab aku tahu, bukannya ada orang pun dekat ruang tamu. Sejak peristiwa petang tadi, papa terus keluar dari rumah dan memandu entah ke mana. Sekarang dah jam 8.30 malam, namun papa juga tidak balik-balik.

Afifah pula aku tidak tahu dia di mana. Barangkali sedang duduk-duduk di dalam bilik tidurnya. Tidak pun, dia sedang bermain PS4 di atas kerusi roda dia itu. Setidak-tidaknya, itulah yang berada di fikiranku.

Ibu pula aku lihat sedang berada di dapur tadi. Dia kelihatan asyik bermundar-mandir di tepi singki, seperti buntu nak menyediakan makan malam apa. Biasanya, akulah yang membantu ibu menyediakan makanan. Namun hari ini, aku tiada hati untuk berbuat demikian. Hati aku masih basah, menangis kerana sedih.

Perlahan-lahan aku turun dari katil dan berjalan ke arah almari pakaian. Luggage hitam yang berada di bahagian paling atas itu aku capai. Kemudian aku letak ia di atas lantai bersebelahan dengan katilku. Aku membuka pintu almari, lalu dikeluarkan semua baju t-shirt yang aku miliki. Baju yang berlengan pendek aku hanya ambil beberapa helai. Aku turut mengambil baju kurung yang elok tersangkut pada hanger.

Semua pakaian itu aku lipat secara ala kadar sebelum dimasukkan ke dalam beg. Tidak lupa juga akan barang-barang kecantikan yang aku miliki. Barang yang macam manalah sangat. Pelembab bibir, bedak Carry Junior, bedar cermin dari jenama Obses serta Fair and Lovely. Aku ni jenis yang simple. Tak mainlah pakai Qu Puteh ke, Dina Skin Care ke...

Selepas mengemas apa yang patut, aku tolak luggage itu ke almari lalu disandarkan di situ. Kemudian aku turun ke bawah, nak tengok-tengok sesiapa yang mungkin ada. Ruang tamu kelihatan begitu suram walaupun ada lampu yang terpasang di sana sini. Malam ini, dah tiada papa yang biasanya menonton berita di tv3.

Aku mengaturkan langkah ke dapur pula. Kelihatan ibu aku sedang mencedok daging rendang ke dalam mangkuk yang agak besar. Aku berjalan ke arahnya dan berdiri di sebelah.

"Ibu? Masak rendang malam-malam macam ni?" sapaku sambil melihat lihat ke arah periuk yang papa beli dari Go Shop.

Ibu menjeling aku sekilas sebelum menayangkan senyuman tawar.

"Yalah, ibu masak rendanglah ni. Hari tu kan adik nak makan?" balas ibu pula sambil terus memasukkan kuah ke dalam mangkuk yang sama.

Aku terdiam. Peristiwa yang berlaku kira kira seminggu yang lalu kembali terlayar di layar ingatan. Di mana hari ketika Afifah dibawa oleh papa untuk memeriksa kakinya yang lumpuh itu. Tempoh hari, aku tertidur semasa menyiapkan kerja sekolah. Sedar pada senjanya, aku mendapati bahawa Afifah, papa dan ibu masing-masing tiada di rumah. Puas aku mencari mereka namun langsung tak jumpa.

Jadi aku mengambil keputusan untuk menunaikan solat Asar yang sudah hampir nak terbabas itu. Semasa aku duduk di atas katil, aku terpanggil untuk memeriksa telefonku. Rupa-rupanya ada satu mesej yang belum aku baca dan ianya dihantar daripada ibuku sendiri.
IBU: Adik, pergilah makan. Ibu dah tinggalkan lauk dekat bawah tudung saji. Ibu dan papa bawa kakak jumpa doktor. Ibu nampak adik tengah tidur, jadi ibu tak sampai hati nak kejutkan. Makan ya? Nanti sakit perut pula.
Aku tenung mesej itu dalam-dalam. Mesej itu dihantar sekitar jam 5 petang. Sekarang sudah 6.15 petang. Mesti ibu dan yang lain-lain sudah makan di luar.

Tiba-tiba saja aku merajuk. Ibu selalu cakap tak sampai hati nak kejutkan aku, padahal aku dah beberapa kali cakap yang kalau mereka nak pergi ke mana-mana, aku pun nak ikut juga. Tapi nampaknya...

Hmm... agaknya ibu dan papa memang taknak bawa aku sekali kut. Atau mungkin juga kehendak Afifah yang tidak ingin aku turut serta.

Aku turun ke bawah apabila perut aku mula berbunyi. Cakap sahajalah nak lagu apa, aku rasa perut aku ni sudi nak dendangkan semua. Dengan langkah yang ceria, aku masuk ke dalam dapur. Tudung saji diangkat, namun tiada pun lauk yang ibu cakap. Yang ada hanyalah ikan siakap, itu pun cuma bahagian kepala yang terkontang-kanting di dalam pinggan.

Aik? Hmm, mungkin ibu tak ingat kut. Terus aku membuka periuk di atas dapur gas pula. Dan...

Aik? Sup ayam ini dah tinggal kuah aje? Lauknya mana?

Aku intai ke dalam tong sampah, manalah tahu kalau-kalau ibu dah terbuang. Namun tiada pun. Aku membuka periuk nasi, masih ada separuh nasi yang belum diusik.

Terus mood aku patah. Dahlah tak bawa aku sama-sama. Lepas tu tak tinggalkan lauk pun untuk aku makan. Agaknya memang ibu nak aku mati kebuluran kut!
Dengan langkah yang monyok, aku terus melangkah ke ruang tamu. Aku buka televisyen, kebetulan ada rancangan TV yang agak bagus ketika itu. Tunggu punya tunggu, mereka tidak juga balik meskipun jam dinding sudah menunjukkan pukul 8.30 malam.

Aku mengeluh. Haih... Bawa Kak Ifa jalan-jalan, dah tak ingat aku ke? Dah tak ingat jalan balik rumah sebab seronok sangat dapat meluangkan masa dengan Kak Ifa? Mood aku yang tadinya patah dua, kini sudah patah empat pula.

Aku menutup tv. Baru aje nak naik ke bilik, aku terdengar deruman kereta seiringan dengan cahaya yang menerobos masuk ke dalam ruang tamu melalui sliding door ruang tamu yang lutsinar.

Mereka dah balik!

Terus tak jadi aku nak pergi masuk ke dalam bilik. Aku tunggu pintu dibuka kerana sememangnya aku tak pernah kunci pun pintu itu. Papa masuk lalu tanpa memandang aku, papa terus menolak Afifah yang menaiki kerusi roda itu ke dalam bilik tidurnya.

Aku terpinga-pinga. Kenapa dengan Afifah tu? Monyok saja mukanya? Doktor ada cakap apa apa yang tak baik ke pasal kaki dia? Kemudian aku pandang ibu pula. Masa itu, ibu sedang menutup pintu utama sambil menjinjit beberapa beg plastik.

"Adik dah makan?" tanya ibu sambil berjalan masuk.

"Ibu pulak dah makan?" Aku malah bertanya balik.

"Dah, dah makan kat luar tadi. Adik dah makan ke?" Ibu bertanya lagi. Aku hanya menggeleng. Memang betul aku tidak makan, bukan? Ibu mula mengerutkan kening.

"Belum? Kenapa tak makan?" tanya ibu lagi, macam nak marah pun ada.

Aku tersentak.

"Nak makan macam mana? Mana ada lauk yang membolehkan adik makan." Balas aku, laju.

Ibu pandang aku lama bila aku cakap macam tu.

"Kan ibu dah cakap, ibu dah tinggalkan lauk bawah tudung saji?" kata ibu.

"Dah puas adik cari tapi maaflah, tak jumpa. Malah adik ditinggalkan sorang-sorang dalam rumah besar ni tanpa sebarang makanan. Yalah, siapa juga yang tak sudi nak kejutkan adik bangun dan pergi keluar sama-sama, kan?" Tanpa sedar, aku tersindir ibu.

Ibu jeling aku bila aku cakap macam tu. Ketika itulah baru tersedar yang aku dah tersindir ibu. Aku mengikut langkah ibu yang berjalan laju ke dapur. Aku nampak ibu membuka tudung saji, agaknya nak tengok betul ke tak apa yang aku cakapkan tadi.

Seketika kemudian, aku nampak ibu menepuk dahi sendiri.

"Allahu, adik... Ibu lupalah. Ibu dah bagi semua lauk-lauk tu dekat jiran-jiran sebelah..." Ibu berkata dengan nada kesal.

Aku diam saja. Terbit jugalah rasa bangga di dalam hati apabila terbukti yang aku tidak berbohong. Nak marah ibu pun, tak boleh juga. Ibu sendiri pun tak jangka yang dia akan secepat itu terlupa, bukan?

Aku hanya mengangguk kecil dan buat-buat minum air.
"Ibu masakkan something untuk adik ya?" ujar ibu.
Aku automatik memandangnya.

"Betul ke? Ibu nak masak apa?" tanyaku.
"Adik nak makan apa?" Ibu malah bertanya balik.
Aku diam sambil pandang sejenak ke arah peti sejuk.
"Hmm, adik nak makan rendanglah. Tadi adik nampak ada daging dalam peti sejuk,” pintaku dengan wajah yang manis.

Ibu pandang aku sekilas sebelum mengeluarkan barang barang yang dibeli dari beg plastik.

"Rendang? Hmm, tak payahlah..." tolak ibu, buatkan wajah aku kembali muram. Hmm, tak payah pula? Tadi tanya sangat...

"Habis tu?" Aku buat-buat tak terkesan apa-apa.
Ibu menutup pintu peti sejuk sebelum memandang aku.
"Ibu buatkan maggi goreng untuk adik. Lepas tu, ibu gorengkan telur mata dan letak kat atas. Boleh?" tanya ibu pula.

Aku diam sekejap sambil memandang ke arah tong sampah.

"Hmm, asal boleh ajelah." Kataku lalu berlalu ke ruang tamu.


"Adik? Dengar tak ibu cakap apa ni?"

Aku tersentak apabila melihat tangan ibu yang asyik terlambai-lambai di depan wajah aku. Terus aku pandang ibu yang berada di sisi meja makan.

"Ha? Err... ibu cakap apa?" tanyaku.

Ibu tersenyum pudar.

"Ibu tanya, adik nak makan sekarang tak? Kalau nak, pergi basuh tangan. Kita makan berdua, sama-sama..." ujar ibu sekali lagi.

Aku terdiam.

"Oh... Eh, mestilah nak,” balasku lalu membasuh tangan. Kemudian kami berdua saling duduk bertentangan di meja makan.

Ibu menghulurkan pinggan berisi nasi putih.

"Ambiklah banyak sikit rendang tu,” suruh ibu apabila perasan aku yang ambil beberapa ketul sahaja.

Aku tayang senyuman tipis.

"Nanti adik ambil lagi,” balasku.

Ibu hanya tersenyum.

Tengah-tengah makan, aku tiba-tiba teringat sesuatu.

"Ibu... Dulu sebelum atuk meninggal, papa mimpi gigi dia tercabut kan?" tanya aku, tiba-tiba.

Ibu diam sebelum pandang aku. Dia mengangguk.

"Kenapa?"

Aku diam sejenak, sambil mengunyah daging di dalam mulut secara perlahan-lahan.

"Betul ke semua tu?" tanyaku, ingin tahu.

Ibu diam sebelum mengambil sedikit lagi rendang.
"Isy, karut aje semua tu,” tukas ibu.

Aku diam.

"Oh, ya ke?"

"Betullah. Orang tua-tua aje yang cakap. Takkanlah asal mimpi gigi tercabut, tandanya ada orang nak mati? Sama jugak dengan konsep baju putih. Karut aje tu,” balas ibu lagi.

Aku terdiam.

"Kenapa?" tanya ibu lagi.

Aku pandang ibuku.

"Takdelah... Dua minggu lepas, adik mimpi gigi adik tercabut. Lepas tu adik teringatlah cerita papa. Yang pasal atuk tu. Beberapa hari aje lepas papa cakap yang gigi papa tercabut, atuk terus aje meninggal." Aku membuka cerita sambil menguis nasi.

Ibu tiba-tiba tersedak. Aku pandang ibu yang mula mendapatkan air. Kemudian ibu meneruskan makannya sambil sesekali menjeling pandang ke arah aku. Aku diam lagi sambil bermain-main pada nasi yang sedikit tidak habis.

"Jadi maknanya... mimpi adik tu tak betullah, kan?" tanyaku lagi.

Ibu diam sebelum mengangkat kepala. Dia pandang aku lama.

"Dahlah, adik. Makan aje. Nanti pergi solat,” suruh ibu.
Aku diam saja, memerhati gelagat ibu yang kelihatan seperti agak tidak tenang. Hurm, salah aku juga sebab dah mengingatkan ibu tentang ayah mertuanya.
Aku tenung pinggan.

"Yalah..." sahutku sebelum menghabiskan air sirap sejuk yang ibu sediakan.

-KASYFI-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience