Chapter 2

Other Completed 4791

BAB 2

MATA Lilianna meliar melihat ke dalam Dewan Besar yang dipenuhi dengan orang dewasa. Dia menarik muka. Entah kemanalah pula bapanya menghilangkan diri. Nasib baik dia ada bertemankan Nanny Sophie. Kalau tidak, dah macam anak ayam kehilangan ibu. Lilianna menoleh ke sebelah, merenung kepada Nanny Sophie.

“ Tak nampak ayah.”

Nanny Sophie menarik senyum. Sebelah tangannya diletakkan pada bahu kanan gadis muda itu. “ Mungkin ayah Cik Lilianna ada kerja. Marilah kita jalan dulu. Cik tak nak makan?”

Lilianna melihat kepada hidangan mewah yang dihidangkan secara buffet. Mungkin makanan yang mampu mengenyangkan dia sampai minggu depan. Lilianna sudah telan liur berkali-kali juga kerana bau makanan yang lazat sedang menarik-nariknya untuk dinikmati. Dia senyum kepada Nanny Sophie.

“ Biarkan ajelah ayah lapar. Kita makan dulu.”

Nanny Sophie ketawa. “ Baiklah.”

Lilianna dan Nanny Sophie berjalan mendapatkan meja yang menghidangkan aneka kek dan manisan. Kedua-duanya hantu manisan. Apatah lagi jika melihat hidangan kek dan manisan yang pelbagai itu. Sajian daripada dapur istana sememangnya mempunyai taraf yang berlainan dengan hidangan lain.

“ Nak makan kat mana?” Nanny Sophie bertanya. Dia sudah mengambil beberapa jenis kek dan pastri.

“ Kat luar? Bosanlah makan dalam ni. Ayah pun tak ada.”

“ Baiklah. Mari.”

Lilianna dan Nanny Sophie keluar dari Dewan Besar itu menuju ke taman di luar. Tidak ramai orang makan di luar. Kesemuanya sedang sibuk berbual dan menari di dalam dewan tersebut. Angin malam menyapa lembut pipi mereka. Musim bunga sudah menjelang tiba, meninggalkan musim sejuk yang penuh dengan kedinginan. Esok akan berlangsungnya festival bunga yang menjadi tarikan seluruh Zythor yang diadakan di Idalia, ibu negeri Zythor.

“ Itu Nanny Mars. Nanny tak nak pergi berbual dengan dia ke?”

Lilianna melihat kepada pengasuh salah seorang kawannya, Alice. Wanita yang sebaya dengan Nanny Sophie itu sedang duduk di sebuah bangku berhadapan dengan suatu kolam air pancut. Nanny Mars sedang menikmati makanan berseorangan. Tidak pula Lilianna nampak Alice bersama-sama pengasuhnya itu. Barangkali Alice masih berada di dalam Dewan Utama.

“ Cik Lilianna pula nak ke mana?”

Nanny Sophie bertanya apabila melihat Lilianna ingin berjalan ke arah yang bertentangan dengan kedudukan Nanny Mars. Ke manalah gadis itu ingin pergi?

“ Nanny pergilah duduk dengan Nanny Mars. Saya nak pergi ke pokok tu. Tak nak ganggu Nanny berbual dengan Nanny Mars.”

Lilianna menunjuk kepada sebatang pokok yang agak tinggi yang terletak tidak jauh dari kawasan itu. Walaupun malam sudah lama menggantikan siang tetapi cahaya bulan purnama menerangi sekitar kawasan istana ini. Baik Nanny Sophie mahu pun Lilianna mampu melihat dengan jelas kedudukan pokok yang ditunjuk oleh Lilianna itu.

“ Baiklah. Tapi jangan duduk kat sana lama sangat. Nanti datang balik ya?”

“ Nanny janganlah risau. Saya pergi sekejap ya.”

Lilianna segera berjalan ke arah pokok itu selepas Nanny Sophie melangkah ke arah Nanny Mars. Dia sengaja mahu meluangkan masa seorang diri, duduk di bawah pokok itu. Langit pada malam ini lengang dengan gumpalan awan. Bulan purnama jelas kelihatan pada matanya. Lilianna juga mampu melihat kelompok buruj yang dikenalinya pada dada langit.

Chirp chirp!

Lilianna cuba mencari bunyi burung galak berkicau yang menarik perhatiannya. Tiba-tiba sahaja dia mendengar bunyi itu, seakan-akan burung itu sedang mengalami kesusahan. Lilianna menumpukan pendengarannya dari arah mana bunyi itu kedengaran. Pantas Lilianna mendongak kepada pokok itu. Lilianna tergamam apabila mendapati ada seorang remaja lelaki sedang memanjat pokok yang sedang ditujunya itu. Pantas dia berlari ke arah pokok tersebut. Pinggan yang berisi kek dan pastri dan gelas minumannya diletakkan di atas rumput.

“ Apa yang awak buat kat atas pokok tu?”

“ Nak letak anak burung ni. Dia terjatuh dari sarang.”

Sebelah tangan remaja lelaki itu berpaut pada dahan pokok manakala sebelah lagi dihala kepada sarang yang terletak jauh di hujung dahan. Lilianna mengetap bibir. Dahan yang dijadikan tempat remaja lelaki itu berpaut kelihatan rapuh.

“ Sikit lagi…” Remaja lelaki itu cuba menghampiri lagi sarang burung tersebut. “ Sikit lagi… argh!”

BUK!

Lilianna memejamkan matanya spontan saat melihat remaja lelaki itu terjatuh sebelum dibuka perlahan. Mendengarkan remaja lelaki itu mengaduh kesakitan membuatkan dia berasa kasihan. Remaja lelaki itu cuba untuk bangun walaupun kelihatan tidak stabil.

“ Sebelah lutut awak cedera.”

Lutut kanan remaja lelaki itu kelihatan berdarah walaupun sedikit. Seluarnya koyak sedikit pada bahagian lutut. Melihatkan penampilan remaja lelaki itu membuatkan Lilianna terfikir bahawa remaja lelaki ini bukanlah datang daripada calang-calang keluarga. Mungkinkah daripada keluarga diraja? Atau keluarga bangsawan sepertinya juga?

“ Luka sikit aje,” balas remaja lelaki itu. Dia mendongak kepada sarang burung tadi. “ Yang penting anak burung tu dapat kembali ke sarangnya. Ibunya tiada. Mungkin masih keluar mencari makanan.”

Kelihatan kepala anak burung itu terjengul daripada sarangnya. Ada dua ekor lagi anak burung bersama-samanya. Sebuah keluarga. Mereka masih menantikan kepulangan ibu mereka. Mengharapkan ibu mereka pulang dengan selamat.

“ Awak duduklah. Saya balutkan luka tu dahulu.”

“ Tak perlulah.”

“ Duduk.” Lilianna buat suara tegas. Remaja lelaki itu terdiam sebelum tersengih.

“ Baiklah.”

Remaja lelaki itu duduk bersandarkan pokok. Lilianna berlari menuju ke kolam air pancut bersama-sama sebiji gelas yang dikosongkan daripada minuman. Gelas itu diisi dengan air bersih sebelum dia kembali mendapatkan remaja lelaki itu.

“ Saya cuci luka awak dulu ya?”

Remaja lelaki itu mengangguk. Dia melihat sahaja perlakuan Lilianna tetapi dia terkejut apabila melihat Lilianna mengoyakkan gaunnya pada lapisan dalam. Walaupun gaun gadis muda itu berlapis-lapis tetapi kesan koyakan akan tetap boleh dilihat.

“ Apa yang awak buat tu?” Remaja lelaki itu kehairanan.

“ Nak balut luka awaklah. Saya tak ada kain pembalut. Jangan risau, gaun saya bersih.”

Lilianna mencurahkan sedikit air pada luka remaja lelaki itu. Dengan cekap Lilianna membuat kerjanya. Kepakarannya dalam pertolongan cemas seperti ini adalah kerana dia perlu membalut luka-luka bapanya sekiranya lelaki itu pulang dari berburu di hutan atau pun menyertai aktiviti lasak. Kadang kala bapanya itu agak cuai dalam menjaga dirinya sendiri. Liliannya yang akan membantu bapanya merawat luka-luka tersebut.

“ Dah siap.” Lilianna mematikan ikatan pada balutan itu.

“ Terima kasih.” Remaja lelaki itu bangun daripada duduknya. Lilianna turut berbuat demikian. Tatkala berhadapan dengan remaja lelaki itu barulah dia sedar ketinggiannya hanyalah pada paras dada remaja lelaki itu. Pastinya remaja itu tua beberapa tahun daripadanya.

“ Lain kali hati-hati. Tahulah awak lelaki, tapi janganlah lasak sangat. Silap langkah, leher awak boleh patah, tahu?” pesan Lilianna, mengingati kejadian tadi.

Remaja itu ketawa perlahan. “ Ya, silap saya. Awak dijemput ke majlis inikah?”

Lilianna mengangguk. “ Bapa saya yang dijemput. Saya datang menyibuk aje. Lagipun, makanan dari dapur istana sedap-sedap. Rugi kalau saya lepaskan peluang ini.”

Remaja lelaki itu ketawa lagi. Dia menyangka gadis muda itu ingin memberi alasan dia dijemput kerana bapanya berpangkat tinggi dalam masyarakat. Sebaliknya dia menggunakan makanan istana pula sebagai alasannya. Tetapi itu tidak menutup kenyataan bahawa gadis muda ini berasal daripada keluarga yang berprestij. Jika tidak masakan gaun gadis itu kelihatan seperti dibuat daripada kain sutera dan kapas yang bermutu tinggi.

“ Saya pun datang sebab datuk saya. Mungkin dia masih di dalam. Bosan kalau lama-lama dalam tu. Kita bukannya faham apa yang orang dewasa bualkan,” balas remaja itu.

Lilianna tergelak. “ Baiklah, saya minta diri dulu. Nanny saya tengah tunggu di sana. Nanti bising pula dia kalau saya hilang lama-lama.”

“ Baiklah. Terima kasih sekali lagi.”

Lilianna meletakkan kedua-dua tangannya di bawah paras perutnya sebelum menunduk buat seketika kepada remaja lelaki itu. Selepas dia mengambil pinggan yang berisi manisan yang belum dijamah olehnya, tanpa membuang masa lagi Lilianna membuka langkah untuk beredar dari situ. Pastinya Nanny Sophie masih berada bersama-sama Nanny Mars. Sebelum telinganya menjadi mangsa bebelan Nanny Sophie, lebih baik dia segera mendapatkan pengasuhnya itu.

“ Cik!”

Langkah Lilianna terhenti. Dia menoleh ke belakang. Remaja lelaki itu masih berdiri di tempat tadi.

“ Boleh saya tahu nama cik?”

Lilianna menarik senyum. “ Lilianna.”

“ Nama saya Handrien. Selamat berkenalan.”

Lilianna tersenyum lagi. Sekali lagi dia memberi tunduk hormat kepada remaja lelaki itu.

“ AYAH suka sangat tinggalkan Lilia seorang diri kalau dalam majlis macam tadi.”

Lilianna merenung tajam kepada bapanya yang duduk di sebelah. Matanya menyeringai. Bibirnya diketap geram. Lord Beaumont ketawa. Nanny Sophie yang duduk berhadapan dengan mereka hanya mendiamkan diri. Tidak mahu campur tangan dengan pertelingkahan yang sering terjadi di antara kedua beranak tersebut.

“ Bila masa ayah tinggalkan Lilia seorang diri? Bukan ke Nanny Sophie ada dengan Lilia tadi?” Lord Beaumont cuba menenangkan sikap geram anak perempuannya itu.

Lilianna mengeluh. “ Memanglah Nanny Sophie ada. Tapi, yang Lilia geram dengan ayah ni, baru aje masuk dalam dewan tadi ayah terus menghilang. Sampai hati ayah tinggalkan anak gadis ayah terkontang-kanting macam tu aje? Ayah tak takut Lilia kena culik ke?”

Lord Beaumont ketawa. “ Lilia kan dah arif dengan majlis-majlis macam tu. Ayah dah bawa Lilia ke majlis macam tu dah berpuluh-puluh kali dah.”

“ Yalah. Dan… berpuluh-puluh kali juga ayah abaikan Lilia tahu. Jangan terkejut kalau suatu hari nanti Lilia tak datang balik pada ayah.”

“ Lilia nak ke mana kalau tak datang cari ayah?”

Lilianna tersenyum sinis. “ Lilia nak pergi pada suami Lilia.”

Serentak dengan itu Lord Beaumont ketawa besar. Kuat sehingga boleh kedengaran di luar kereta kuda itu. Nanny Sophie yang diam daripada tadi juga kelihatan bersungguh-sungguh menahan tawa. Lilianna mencebik. Geram dengan sikap bapanya.

“ Lilia tak main-mainlah.”

Lord Beaumont ketawa lagi. Kadang kala Lilianna ini seperti kanak-kanak juga walaupun biasanya anak gadisnya itu bersikap matang. Dari manalah gadis muda itu boleh mendapat idea seperti itu.

“ Puteri ayah baru 14 tahun. Takkanlah Lilia dah ada calon suami?” Lord Beaumont masih belum dapat menahan tawanya.

“ Alice yang muda setahun daripada Lilia pun dah bertunang dengan Paul. Takkanlah Lilia tak dapat cari calon suami lagi?” Lilianna mengjongketkan sebelah keningnya.

“ Itu ayah tahu. Tapi Alice kan sebab keluarga mereka nak bersatu dengan keluarga Paul kan? Lilia memang nak ayah carikan calon suami untuk Lilia ke?”

Lilianna diam sejenak, tergamam dengan cadangan yang keluar daripada mulut bapanya. Walaupun dia menyebut mengenai topik itu tetapi sebenarnya dia hanya ingin main-main sahaja dengan ayahnya. Dia masih muda lagi. Dia tidak mahu memikirkan topik itu lagi.

“ Lilia… main-main ajelah, ayah.”

Lord Beaumont ketawa lagi. Akhirnya Lilianna mengalah juga.

“ Kebanyakan kawan-kawan yang sebaya dengan Lilia dah ada calon suami mereka sendiri. Tapi, ayah tak carikan untuk Lilia lagi. Lilia tahu kenapa?”

“ Bukankah ayah kata ayah tak mahu Lilia rasa terpaksa?”

Lord Beaumont mengangguk. Kepala Lilianna diusap lembut. Senyumannya dihadiahkan buat si permata hati, hadiah yang paling bermakna mendiang Ophelia tinggalkan untuk dirinya.

“ Kebanyakan perkahwinan yang diatur ini tak membuahkan cinta atau kasih sayang. Perkahwinan politik ini hanyalah untuk menguatkan status sesebuah keluarga atau mengukuhkan lagi keadaan kewangan mereka. Ayah tak nafikan ada yang bahagia tapi ayah tak nak satu-satunya puteri ayah ni tak bahagia dengan perkahwinan tu.”

“ Lilia tahu, ayah. Kalau tak, nasib Lilia dah macam Alice dah. Dia bukannya suka pun kat Paul tu tapi nak buat macam mana, nak kukuhkan status keluarga kononnya. Nenek marah ayah kan sebab tak jodohkan Lilia dengan sesiapa lagi?”

Lilianna teringatkan mendiang neneknya yang meninggal dua tahun lepas kerana sakit tua. Sejak umurnya mencecah enam tahun lagi nenek beria-ria mendesak ayahnya mencari mana-mana calon suami untuknya daripada golongan bangsawan.

“ Tak payah risaulah. Nenek memang macam tu. Tapi datuk sokong prinsip ayah. Bagi datuk, biarlah ayah sebagai bapa kamu yang tentukan pilihan untuk Lilia. Ayah yakin Lilia tak mahu terikat dengan sesiapa lagi pada usia yang muda ini, kan?”

“ Mestilah!” Lilianna memeluk lengan ayahnya lalu melentokkan kepalanya pada bahu ayahnya. “ Lilia baru 14 tahun. Masih banyak perkara lagi yang Lilia nak rasa. Lilia dah mahir dengan hal rumah tangga, jadi sekarang Lilia teringin nak belajar seni pedang dan memanah. Lilia teringin nak merantau seluruh dunia dulu. Boleh kan ayah?”

“ Amboi! Kalau macam tu sampai bila-bila anak ayah ni tak kahwin.”

Lilianna tersengih. Dia mencium sebelah pipi bapanya.

Lilianna bersyukur kerana bapanya tidaklah seperti bapa-bapa daripada keluarga bangsawan yang lain. Hampir kesemua rakan sebayanya sudah mempunyai perancangan untuk berkahwin dua hingga tiga tahun akan datang tetapi dirinya masih tidak mempunyai calon. Bukannya tiada keluarga datang merisik dirinya tetapi kerana menuruti permintaan dirinya, ayah menolak risikan mereka.

“ Lagi pun ayah tengok perangai Lilia ni tak sesuai lagi kalau nak jadi tunang siapa-siapa. Lasak sangat, kawan-kawan lelaki kamu pun tak selasak kamu.”

“ Ayah!” Satu cubitan dihadiahkan pada lengan bapanya. Lord Beaumont ketawa lagi.

Kereta kuda itu berhenti di hadapan pintu masuk Beaumont Manor House. Sepi sahaja suasana di rumah agam itu. Hari sudah larut malam malah jam sudah melepasi waktu tidur Lilianna. Dalam keadaan dirinya yang mengantuk, Nanny Sophie membawa Lilianna ke kamar peribadinya. Usai menukar pakaian, Lilianna terus merebahkan dirinya di atas katil yang empuk itu.

“ Pagi esok tuan nak bawa cik ke festival musim bunga itu, kan? Jadi, cik kena bangun dan bersiap-siap. Sebab tuan perlu ada awal di sana memandangkan raja akan turun untuk merasmikan festival esok.”

“ Baiklah, Nanny. Jangan risau. Lagipun saya memang tak sabar nak tengok festival esok. Yalah, hari ni tak sempat pula nak tengok-tengok persiapan mereka. Saya dengar perarakan pada tahun ini lebih menarik dari tahun lepas, betul ke?”

Nanny Sophie menggeleng. “ Entahlah, Nanny pun tak pasti. Jadi, kalau cik betul-betul nak tengok, esok kita gerak awal, ya? Tentu cik tak sabar nak tengok Flower Shower, kan?”

“ Ya! Baiklah Nanny, selamat malam.”

“ Selamat malam, Cik Lilianna.”

Nanny Sophie segera beredar dari kamar itu selepas memastikan Lilianna sudah tidur. Dia perlu menyiapkan beberapa barangan sebelum tidur. Ianya sebagai kelengkapan untuk ke festival bunga tersebut pada pagi esok. Festival yang diadakan di tengah-tengah Idalia itu akan dihadiri oleh kesemua komuniti masyarakat tanpa mengira pangkat. Memandangkan kediaman Beaumont ini terletak di pinggir Idalia, perjalanan ke sana boleh mengambil masa hampir dua jam.

SATU keluhan dilepaskan oleh Lord Beaumont. Pening beliau memikirkan apa yang berlaku ketika majlis untuk meraikan King Frederick dan degelegasinya di Dewan Utama tadi. King Arthur dan King Frederick bersantap di bahagian yang sudah dikhaskan untuk mereka. Sempena orang-orang King Frederick mengambil peluang ini untuk meninjau majlis itu dengan lebih baik lagi, tetapi jelas pada matanya Lord Vaughan tidak berselindung untuk menunjukkan layanan yang tidak baik kepada delegasi King Frederick.

Ketika King Frederick bersama-sama King Arthur di bahagian khas itu, Lord Vaughan menunjukkan betapa berbesar hatinya beliau menyambut kedatangan orang penting Erkens itu. Malah bermacam-macam kata-kata pujian dilontarkan kepada King Frederick, memuji tindakan King Frederick yang ingin berdamai dengan kerajaan Zythor. Tetapi sikap Lord Vaughan berubah sama sekali sebaik sahaja beliau keluar dari bahagian itu, bersama-sama beberapa orang suruhan King Frederick.

Lord Vaughan bersikap acuh tidak acuh sahaja sewaktu salah seorang daripada delegasi itu bertanyakan sesuatu kepadanya. Malah Lord Vaughan langsung tidak meminta maaf sewaktu beliau terlanggar bahu seorang ahli delegasi itu, sebaliknya beliau terus meninggalkan tempat itu untuk kembali ke tempat kedua-dua Raja itu menikmati selera. Tidak ingin memalukan Zythor dengan layanan Lord Vaughan tadi, Lord Beaumont segera mengambil alih tugas untuk melayan ahli-ahli delegasi itu. Berpuluh kali beliau memohon maaf di atas sikap Lord Vaughan yang tidak masuk akal itu. Nasib baik ahli-ahli delegasi itu tidak mahu memanjangkan topik itu.

Sebaik sahaja Lord Beaumont menikmati masanya bersendirian di koridor istana untuk menarik udara segar, beliau didatangi oleh Lord Vaughan. Pelawaannya untuk minum bersama-sama ditolak oleh Lord Vaughan tanpa berfikir panjang. Tajam sahaja renungan Lord Vaughan kepadanya.

“ Kau fikir tumpuan raja hanya pada kau?”

Lord Beaumont termangu selepas mendengarkan ayat itu, ringkas tetapi pedas.

“ Kalau Lord Vaughan fikir saya setuju dengan pendapat raja sebelum ini sebab inginkan perhatian raja, ternyata Lord Vaughan silap. Saya hanya fikirkan kebaikan untuk rakyat Zythor sahaja.”

“ Pedulikan kebaikan mereka. Bagaimana kalau kau tersalah langkah? Zythor sudah cukup baik dan maju tanpa bantuan Erkens. Perlu ke kau hasut baginda dengan cadangan-cadangan tu? Tunduk pada raja yang mentah tu? Kau jangan bergurau!”

Lord Beaumont kehairanan. Perlukah Lord Vaughan marah sedemikian rupa kepadanya?

“ Kenapa Lord Vaughan beria-ria bencikan Erkens? Apa yang berlaku masa The Great War dulu dah jadi sejarah. King Arthur sendiri tidak mahu bincangkan perkara ini lagi. Ini masanya Zythor berdamai dengan Erkens.”

“ Senanglah kau cakap. Kau dah lupa peristiwa 16 tahun dahulu? Perang kecil tercetus di antara Zythor dan Erkens. Puncanya? Ada pegawai yang beria-ria mahu berdamai dengan Erkens tapi rupanya, ditipu daya oleh mereka.”

“ Lord Vaughan,” Lord Beaumont cuba bertoleransi, tidak mahu meninggikan suaranya. “ Peristiwa 16 tahun dahulu pun salah kita juga. Pada hari tandatangan penjanjian damai dengan Erkens, ada pemberontak Zythor menyerang perkampungan kecil di sempadan Erkens. Bukannya kehendak kita untuk biarkan perkara tu berlaku. Malah, pemberontakan itu tidak mengambil masa yang lama. Semuanya atas usaha mendiang Raja Erkens yang terdahulu yang bersungguh-sungguh untuk berdamai dengan kita.”

Lord Vaughan berdengus. “ Walau apa-apapun, aku tak akan berdiam diri. Aku akan bantah pendamaian kali ini. Tiada ruginya kita tidak berdamai dengan mereka.”

Tanpa membuang masa lagi Lord Vaughan segera mengangkat kaki dari tempat itu. Wajahnya merah menahan marah. Lord Beaumont menggelengkan kepalanya. Tidak faham dengan pendirian Lord Vaughan. Beliau ingat akan peristiwa yang berlaku pada 16 tahun yang lepas. Tetapi ianya bukan salah Zythor mahu pun Erkens sepenuhnya. Tiba-tiba sahaja muncul kumpulan pemberontak Zythor, memusnahkan perkampungan kecil di sempadan Erkens pada malam hari sehingga tiada seorang pun yang hidup.

Yang menghairankan Lord Beaumont, kenapa peristiwa 16 tahun lepas diungkit dengan tiba-tiba sahaja oleh Lord Vaughan?

Lord Beaumont tahu jawapannya tetapi lebih baik sekiranya beliau berdiam diri sahaja.

“ Lord Vaughan!” Ringan sahaja mulutnya memanggil Lord Vaughan yang masih belum masuk ke dalam Dewan Utama. Lord Vaughan berpaling menghadap dirinya.

“ Kenapa Lord Vaughan takut sangat dengan pendamaian ini? Adakah Lord Vaughan cuba sembunyikan sesuatu mengenai peristiwa 16 tahun lepas?”

Wajah bengang Lord Vaughan bertukar riak kepada pucat. Tetapi dengan sekelip mata sahaja wajah itu kembali kepada sedia kala. Tanpa menjawab apa-apa, Lord Vaughan segera masuk ke dalam dewan tersebut. Lord Beaumont menggelengkan kepalanya, tidak faham dengan apa rakan sekerjanya itu fikirkan.

Lord Beaumont tersentak apabila mendengar dentingan jam. Wajahnya diraup berulang kali. Tidak menyangka sudah lama dia tenggelam dalam fikirannya. Lord Beaumont melangkah ke katil. Matanya singgah kepada gambar di mana dia dan Ophelia sedang tersenyum bersama-sama Lilianna yang baru sahaja menyambut hari lahir yang keempat. Lord Beaumont tersenyum hambar.

“ TUAN.”

Lelaki yang berpakaian serba hitam itu memberi tunduk hormat kepada Lord Vaughan yang sedang berdiri berhadapan dengan tingkap rumah agam miliknya. Lord Vaughan tidak berganjak daripada kedudukannya. Matanya singgah kepada bulan di dada langit malam.

“ Kau dah telitikan rancangan itu?”

“ Ya, tuan. Pihak kami akan ambil peluang dalam kemeriahan sambutan festival pada malam esok.”

“ Kau akan dapat ganjarannya lepas kau berjaya laksanakan rancangan itu. Aku tak mahu ada sebarang kegagalan.”

“ Baiklah, tuan.”

Lord Vaughan ketawa sinis. Gelas tinggi yang berisi champagne diambil daripada meja yang berada berhampiran dengannya. Dia menghabiskan minuman beralkohol itu sebelum berpusing ke belakang untuk menghadap lelaki yang berpakaian serba hitam itu.

“ Pastikan kau dapat rehat yang secukupnya. Kita ada buruan besar pada malam esok.”

“ Baiklah, tuan.”

Lelaki itu memberi tunduk hormat sebelum berjalan meninggalkan bilik itu. Lord Vaughan meletakkan gelas yang sudah kosong itu di atas meja. Kedua-dua buku limanya dikepal kemas. Matanya menyeringai.

Tidak lama sahaja lagi sebelum pemburuan akan bermula.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience