Chapter 19

Other Completed 4791

BAB 19

BAU masin air laut dihidu. Prince Neirin memberhentikan kuda tunggangnya, pandangan matanya melihat kepada lautan biru yang terbentang luas. Kini baginda berada di puncak sebuah bukit, dalam perjalanan untuk turun ke kaki bukit. Prince Neirin menoleh kepada pengawal-pengawal yang mengikutinya ke Sherside, wajah masing-masing menunjukkan keletihan.

“ Tinggal sedikit sahaja lagi perjalanan kita. Sampai sahaja di kaki bukit, kita berehat dahulu. Sekurang-kurangnya di bawah sana ada kedai,” kata Prince Neirin.

“ Baiklah, tuanku,” sahut mereka serentak.

Prince Neirin mendahului kumpulan kecil pengawalnya melalui jalan untuk menuruni bukit itu. Derapan kaki kuda mereka memecah kesunyian dalam hutan itu. Baginda bersyukur kerana berjaya sampai di Sherside kurang daripada satu hari setengah. Masa tak akan menunggunya. Prince Neirin sedar sekarang ini dirinya sedang berlumba dengan masa.

Sebelum matahari muncul di ufuk timur lagi mereka memulakan perjalanan. Prince Neirin tidak mahu kumpulannya diekori oleh sesiapa maka pergerakan kumpulan itu dicepatkan. Hanya apabila mereka selamat memasuki hutan barulah Prince Neirin mengarahkan anak-anak buahnya untuk berehat buat seketika.

Segala urusan Prince Neirin yang melibatkan Lord Vaughan baginda tinggalkan kepada Leon. Prince Neirin tahu Leon boleh dipercayai. Lelaki itu sudah berkhidmat dengannya sejak mereka berdua masih kecil lagi. Leon akan membantu Lilianna sekiranya gadis itu memerlukan apa-apa.

Masalahnya sekarang adalah apakah yang sedang Lord Vaughan rancangkan ketika dirinya meninggalkan istana ketika ini?

Lord Vaughan seorang yang licik. Walaupun beliau senang diprovok bagi menaikkan kemarahannya, tetapi Lord Vaughan bijak dalam menyembunyikan tindakannya daripada dihidu. Terbaru, Leon memberitahunya Lord Vaughan didapati membuat pembelian senjata dalam jumlah yang banyak, termasuklah pistol yang dihadkan penggunaannya di Zythor. Leon sedang menyiasat hal itu dengan lebih terperinci lagi. Prince Neirin hanya mampu berharap dokumen pembelian itu berjaya dicari oleh Leon.

Larian kudanya diperlahankan ketika mereka tiba di kaki bukit. Prince Neirin melontar pandangan ke sekitarnya. Bandar pelabuhan yang terkenal di antara pedagang luar itu sudah kedengaran riuh rendahnya dari kejauhan. Beberapa buah rumah berada di kaki bukit tersebut. Prince Neirin melihat kepada kumpulan pengawalnya.

“ Kita berhenti di sini. Di hadapan sana ada kedai makan, kita makan di situ sebelum teruskan perjalanan kita.”

Kuda-kuda mereka ditambat pada pagar yang terletak di sebelah kedai makan pilihan mereka. Kedai makan itu tidaklah terlalu besar tetapi ramai pelanggan sedang menjamu selera sekarang. Prince Neirin melihat ke langit, matahari sedang tegak di atas kepala. Patutlah. Orang sedang makan tengah hari, fikirnya.

Prince Neirin dan dua orang pengawalnya memilih sebuah meja kosong yang terletak di suatu sudut dalam kedai itu. Selepas memesan makanan masing-masing, Prince Neirin kembali memerhatikan keadaan di sekitarnya. Tiada apa-apa yang mencurigakan tetapi baginda perlu berhati-hati. Bahaya akan datang sebagai kejutan.

“ Ingat, panggil saya Leon dan gunakan bahasa biasa sahaja, faham?” perlahan Prince Neirin bersuara, mengambil nama Leon untuk digunakan ketika penyamaran ini.

“ Baiklah,” balas pengawal-pengawalnya serentak. Wajah masing-masing kelihatan ragu-ragu, tidak biasa bercakap sebegitu dengan putera mahkota mereka.

“ John, Bill,” Prince Neirin memanggil nama kedua-dua pengawalnya itu. Tubuh mereka menegak. Prince Neirin ketawa.

“ Kamu tahu kenapa saya pilih kamu berdua, kan? Saya harap kamu berdua tak akan khianati kepercayaan saya. Sekarang ini adalah masa yang genting untuk kerajaan kita. Sama seperti kamu berdua, saya sayangkan kerajaan ini. Jadi, bantu saya untuk betulkan keadaan.”

“ Tuan… Tuan Leon, kami memilih untuk menjadi askar kerana cintakan tempat tumpahnya darah kami,” Bill bersuara.

John mengangguk, mengiakan kata-kata Bill. “ Setia kami hanya pada tuan. Izinkan kami untuk melindungi tuan.”

“ Terima kasih.”

Prince Neirin mengukir senyum, baginda sudah berpuas hati. Jika bukan kerana kepercayaan yang John dan Bill tunjukkan kepadanya selama ini, baginda tidak akan mengekalkan mereka berdua di sampingnya. Baginda tidak boleh terburu-buru dalam usahanya untuk menangkap Lord Vaughan. Bukti-bukti penting harus dikumpul terlebih dahulu.

“ …pembunuhan?”

“ Ya! Semalam, kan?”

Prince Neirin melihat pada dua orang lelaki yang sedang berbual di meja sebelah. Dahinya berkerut, memikirkan adakah baginda tersilap dengar perkataan pembunuhan tadi. Baginda melihat kepada wajah Bill dan John siling berganti, memberi isyarat kepada mereka untuk menumpukan perhatian pada dua orang lelaki tersebut. Mereka berdua mengangguk, memahami arahan itu.

“ Kawan mangsa yang jumpa mayat tu di pelabuhan.”

“ Waktu tengah malam, masa tu memang banyak pencuri di kawasan pelabuhan.”

“ Tapi ada yang pelik pada mangsa…”

“ Pelik? Kenapa?”

“ Tiada apa-apa yang hilang, duit mangsa tidak diambil.”

“ Eh? Bukan perbuatan pencurikah?”

“ Polis masih menyiasat. Dengarnya anak lelaki mangsa tidak dapat ditemui. Anak dia menghilang sejak pagi tadi. Tak tahu ke mana dia pergi.”

“ Dia tak ada ahli keluarga lainkah?”

“ Tak pasti. Tapi kasihannya, mangsa terkenal dengan sikap baik budinya.”

“ Kau kenal dia secara peribadi? Apa namanya?”

“ Ya. Dia tukang baiki atap rumah aku dahulu. Encik Simmons, Ethan Simmons…”

“ Dia…”

Pendengaran Prince Neirin tidak menangkap perbualan mereka yang seterusnya, nama Ethan Simmons bermain-main di telinganya. Uncang berisi wangnya dikeluarkan daripada beg yang diikat pada pinggang. Beberapa keping syiling emas dikeluarkan.

“ Kita kena pergi ke Sherside dengan segera,” Prince Neirin memperlahankan suaranya. “ Kita dah terlambat.”

John dan Bill tidak bertanya apa-apa, mereka sendiri mendengar dengan jelas nama mangsa yang disebut oleh salah seorang lelaki itu. John memanggil pelayan untuk membatalkan pesanan mereka sebelum menyerahkan syiling-syiling emas itu kepada pelayan tersebut sementara Prince Neirin dan Bill berlari mendapatkan kuda-kuda mereka. Terkebil-kebil pelayan perempuan itu melihat syiling-syiling emas di tangannya.

Tak guna!

Prince Neirin menjerit semahu-mahunya dalam hatinya. Baginda sama sekali tidak menyangka kedatangannya ke Sherside disambut dengan berita yang tidak diingini. Prince Neirin tidak mahu menuduh tanpa sebarang bukti tetapi hatinya kuat mengatakan ini adalah perbuatan Lord Vaughan. Ternyata lelaki itu terlebih dahulu bertindak daripadanya.

Jika benar anak lelaki Encik Simmons menyembunyikan dirinya, Prince Neirin berharap penyiasatnya di Sherside, Declan berjaya menemui Noah Simmons. Baginda tidak boleh terperangkap dalam permainan Lord Vaughan. Nyawa orang yang tidak bersalah menjadi taruhannya. Prince Neirin tidak mahu lebih banyak nyawa melayang dengan sia-sia. Larian kudanya dilajukan lagi. Angin terasa menampar kuat pipinya.

Vaughan!

WAJAH kanak-kanak yang berusia kurang daripada 12 tahun itu direnung dengan senyuman pahit. Lilianna membetulkan gaunnya sebelum duduk mencangkung bagi menyamai ketinggian mereka. Pakaian yang tersarung di tubuh mereka menunjukkan bahawa sudah banyak kali pakaian yang sama dipakai. Malah ada kesan koyak dan kotoran yang tidak tanggal pada pakaian mereka.

“ Kamu semua dah makan?” Lilianna bertanya lembut.

Wajah-wajah polos di hadapannya hanya mengangguk dengan senyuman kecil. Tapi berdasarkan pandangan pada mata mereka, Lilianna menduga mereka sebenarnya sedang kelaparan. Untuk anak-anak pada usia ini, sepatutnya mereka diberi makanan bergizi tinggi untuk perkembangan tubuh dan minda mereka.

Kasihan pada kanak-kanak ini, menurut Madam Watson, pengurus di rumah kebajikan yang dilawati Lilianna itu, mereka terpaksa mencatu kuantiti makanan untuk kanak-kanak ini untuk memastikan ianya cukup sebelum tibanya bekalan makanan yang baharu. Walaupun hanya ada 16 orang kanak-kanak sahaja di situ, tetapi mereka tetap tidak dapat makan dengan sebaiknya.

Lilianna mendongakkan kepalanya, melihat kepada Handrien yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya. “ Awak bawa uncang syiling saya?”

Lilianna ada membawa dompet miliknya tetapi dia menyerahkan uncang itu untuk dipegang oleh Handrien sekiranya dia memerlukan wang tambahan.

Handrien mengangguk. “ Kenapa?”

Lilianna bangun untuk berdiri, dia melihat kepada Madam Watson. Pengiring yang dihantar oleh Leon untuk membantunya melawat rumah kebajikan itu sedang berdiri di sebelah Madam Watson. Leon mengatakan Samuel, pengiring itu, adalah orang yang setia kepada Prince Neirin.

“ Bolehkah kalau saya bawa kanak-kanak ini keluar ke pasar di Anville?”

Madam Watson kelihatan terkejut. “ Anville? Apa yang Lady Lilianna mahu buat?”

“ Saya nak bawa mereka bersiar-siar. Kalau tak keberatan, bersama-sama puan juga,” dengan tertib Lilianna bersuara, cuba menyakinkan Madam Watson untuk menerima cadangannya.

Madam Watson diam buat seketika, kelihatannya dia sedang menimbangkan cadangan itu. Akhirnya senyuman kecil tercetus daripada bibirnya. “ Kalau ianya boleh menggembirakan mereka, apa salahnya. Terima kasih, Lady Lilianna.”

Lilianna membalas senyuman itu. “ Saya yang patut berterima kasih sebab puan sudi terima cadangan ini.” Lilianna melihat pada wajah-wajah polos yang kelihatan berseri-seri apabila mendengar kata-katanya tadi. Lilianna ketawa perlahan. “ Saya bawa kamu semua makan dahulu ya? Lepas tu kita jalan-jalan.”

Kata-kata Lilianna disambut dengan sorakan daripada anak-anak kecil itu, malah ada yang menari-nari kerana gembira. Tawa Lilianna meletus lagi, geli hati dengan gelagat mereka.

Memandangkan kereta kuda yang membawa Lilianna tidak dapat memuatkan kesemua kanak-kanak itu di dalamnya, mereka berjalan sahaja dari rumah kebajikan itu menuju ke pusat Anville, sebuah bandar yang terletak dalam Idalia. Anville terkenal sebagai tempat kunjungan orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan dan kehendak memandangkan di bandar itu, barang-barangnya dikenakan cukai yang lebih rendah daripada bandar-bandar lain. Penurunan cukai itu adalah hadiah daripada kerajaan Zythor kerana penduduk Anville berjaya mengekalkan kebersihan bandar ini dari zaman pemerintahan raja sebelum King Arthur sehinggalahsekarang.

Rumah kebajikan yang dikunjungi Lilianna itu terletak tidak jauh dari pusat bandar maka tidak menjadi masalah untuk mereka berjalan sahaja ke sana. Terlebih dahulu Lilianna berhenti di sebuah bakeri. Dia membenarkan kanak-kanak itu memilih sendiri roti dan pastri yang mereka inginkan. Melihatkan keriangan yang jelas terzahir pada wajah mereka, Lilianna menarik senyum kerana dia dapat meluangkan masa untuk menggembirakan kanak-kanak ini. Kebanyakan daripada mereka kehilangan ahli keluarga masing-masing, tidak kurang juga yang pernah menjadi gelandangan sejak usia yang teramat muda lagi.

“ Awak tak nak beli apa-apa?” Handrien bertanya ketika dia menyerahkan uncang yang berisi wang Lilianna kepada gadis itu di kaunter. Lilianna menggeleng.

“ Saya kenyang lagi. Lagi pun bukan selalu mereka dapat pilih makanan sendiri macam ni,” ucap Lilianna. Dia mengeluarkan beberapa keping syiling gangsa dan perak kepada pekerja di kaunter bakeri tersebut. Sekeping syiling emas dihulurkan juga.

“ Cik, ini dah cukup,” kata pekerja itu sambil memulangkan dua keping syiling gangsa dan syiling emas kepada Lilianna.

Lilianna menggelengkan kepalanya. “ Kalau boleh, gunakan lebihan wang itu untuk beri makanan kepada kanak-kanak atau orang yang tak mampu membelinya jika mereka ada datang ke bakeri ini, atau nampak mereka di luar bakeri.”

Lelaki itu mengangguk, segaris senyuman terbentuk pada wajahnya. “ Baiklah. Terima kasih, cik.”

“ Cik…” Suatu suara halus kedengaran sewaktu mereka semua melangkah keluar dari bakeri.

“ Ya?’ sahut Lilianna. Dia melihat kepada seorang kanak-kanak perempuan berambut perang gelap.

“ Terima kasih,” kanak-kanak itu menuturkan dengan suara yang perlahan, dia menundukkan wajahnya.

“ Siapa nama kamu?”

“ Daisy…”

“ Sama-sama, Daisy.”

Kayla menyembunyikan senyumannya di balik beg kertas yang berisi roti pilihannya.

Orang ramai sedang sibuk berjual beli ketika mereka tiba di Lunola Street, jalan yang terkenal dengan pelbagai jenis kedai yang boleh didapati menjual barang-barang yang kadang kala sukar untuk ditemui di mana-mana. Lilianna masuk ke dalam sebuah kedai menjual pakaian kanak-kanak, sekuntum senyuman dihadiahkan kepada dua orang gadis yang menjaga kedai itu.

“ Baiklah, kamu semua boleh pilih tiga helai pakaian dari kedai ini. Pilih yang cantik, ya? Oh ya, jangan lupa untuk pilih sepasang kasut untuk setiap orang.”

Sementara kanak-kanak tersebut memilih pakaian sambil dibantu oleh pekerja-pekerja kedai dan juga Emily, Lilianna mengambil peluang itu untuk berbual dengan Madam Watson. Mereka berdua berdiri di suatu sudut sementara Handrien berdiri bersandarkan dinding kedai itu. Samuel dan dua orang pengawal istana menunggu di luar kedai.

“ Tadi puan kata bekalan makanan mereka tak cukup? Bukankah pejabat datuk bandar yang menguruskan pembahagian bekalan makanan untuk rumah-rumah kebajikan seperti ini?” Lilianna menyuarakan kehairanannya. Dari tadi lagi dia ingin bertanya pada Madam Watson tetapi dia tidak menemui masa yang sesuai.

Madam Watson mengeluh, dahinya berkerut menandakan perasaannya yang tidak selesa. “ Sebelum ini bekalan makanan yang dihantar baik-baik sahaja. Malah, mereka menghantarnya pada hari yang ditetapkan. Tapi sejak tiga bulan lalu, kuota bekalan yang dihantar mereka berkurang. Selalu juga mereka terlambat sehingga seminggu barulah kami mendapat bekalan itu.”

“ Kenapa boleh jadi macam tu? Bekalan yang terbaru ini puan dapat bila?”

“ Dua minggu lepas. Saya terpaksa kurangkan kuantiti untuk menyediakan makanan mereka, risau bekalan itu akan habis sebelum kami mendapat yang baru.”

“ Puan tak cuba bertanyakan pada pegawai di pejabat datuk bandar?”

Madam Watson menggeleng. “ Dah dua tiga kali saya ke sana tapi mereka tak benarkan saya masuk. Entahlah, cik. Saya kasihankan mereka, sejak isu bekalan tak cukup bermula, saya lihat mereka semakin cengkung. Kadang kala anak-anak yang lebih kecil menangis kerana masih kelaparan walaupun dah makan.”

Lilianna mencuri pandang pada wajah kanak-kanak itu yang sedang seronok memilih pakaian baharu. Pastinya sudah lama mereka tidak mempunyai pakaian baharu kerana kesempitan hidup. Melihatkan sinar pada wajah mereka membuatkan Lilianna teringat sewaktu pertama kali dia mengikut Emily melawat adik-adiknya yang tinggal di rumah kebajikan. Mereka nampak gembira sangat ketika Emily memberikan hadiah berupa pakaian dan barangan lain yang cantik-cantik.

“ Siapa nama datuk bandar Anville?” Lilianna tidak pernah bertemu dengan datuk bandar yang menguruskan Anville walaupun dahulu mendiang bapanya kerap ke sini atas urusan kerajaan.

“ Alexander Davis, beliau baru sahaja dilantik menggantikan Mayor Baker lima bulan yang lalu.”

“ Jadi, Mayor Davis masih baru lagi di Anville?”

Madam Watson mengangguk.

Lilianna melihat kepada Handrien yang masih tidak berganjak daripada kedudukannya. Handrien mengangguk perlahan kepada Lilianna, menandakan dia mendengar setiap perbualan di antaranya dengan Madam Watson.

“ Tak apalah, puan jangan risau pasal bekalan makanan itu. Saya akan hantarkan barangan yang diperlukan pada esok hari. Beri mereka makanan yang secukupnya, jangan kurangkan kuantiti yang mereka perlukan. Atau pun,” Lilianna menarik senyum, suatu idea terlintas dalam fikirannya. “ Esok, lepas dapat bekalan makanan itu kalau boleh puan adakan satu jamuan kecil-kecilan untuk mereka. Lagi pun, dah lama mereka tak dapat makan sedap-sedap, kan?”

“ Terima kasih, Lady Lilianna,” Madam Watson kelihatan terharu. Matanya kelihatan berair.

“ Jangan risau, puan. Saya akan cuba utarakan masalah ini pada pihak yang bertanggungjawab. Tapi… bagaimana dengan rumah-rumah kebajikan yang lain di bandar ini? Selain rumah kebajikan di bawah puan, masih adakah rumah kebajikan yang lain?”

“ Ada.” Madam Watson mengangguk. “ Di bandar ini ada empat buah rumah kebajikan, tapi rumah jagaan saya ini tidak punya ramai penghuni. Tapi di rumah yang lain, kalau tak salah kanak-kanak yang berada di situ berjumlah lebih daripada 20 orang.”

“ Puan ada dengar masalah yang sama menimpa mereka?”

“ Ya. Keadaan mereka lebih teruk kerana jumlah mereka yang ramai. Saya ada bertemu dengan pengurus di rumah kebajikan yang lain, kami cuba berbincang untuk selesaikan masalah ini.”

“ Masa hantar bekalan makanan, tentunya penghantar itu ada dokumen yang perlu disahkan kuantiti setiap makanan yang dihantar?” Lilianna menduga. Jika bekalan itu dibeli menggunakan cukai yang dikenakan terhadap rakyat, sepatutnya ada rekod yang menyatakan di mana dan kuantiti bekalan tersebut.

“ Ada… saya simpan rekod itu dan penghantar itu ada salinannya juga. Kenapa cik?” Madam Watson mula bingung dengan pertanyaan-pertanyaan itu.

Lilianna menggeleng. “ Tak ada apa-apa. Cuma, jangan hilangkan semua rekod itu. Mungkin kita perlukannya nanti.”

“ Baiklah… terima kasih, Lady Lilianna.”

Setitis air mata Madam Watson jatuh menimpa pipi. Wanita separuh umur itu kelihatannya seperti baru dilepaskan daripada suatu beban yang dipikul berat di bahunya. Lilianna tersenyum. Dia memegang tangan Madam Watson lalu digenggam tangan itu. Seakan-akan menyalurkan sedikit tenaganya kepada wanita itu.

“ Terima kasih, cik!”

Kanak-kanak itu melaung kuat ucapan terima kasih mereka kepada Lilianna ketika Lilianna menyatakan dia mahu kembali ke istana selepas mereka pulang dari membeli pakaian. Lilianna tidak dapat menahan perasaannya. Rasa gembira dan sayu bercampur baur membuatkan dia tidak tahu apakah yang patut dia lakukan.

Kasihan anak-anak ini, menjadi mangsa ketamakan pembesar yang sudah kaya-raya.

“ Kalau ada masa, saya akan datang lagi lain kali,” Lilianna tersenyum sayu, anak matanya melihat pada setiap wajah di hadapannya itu. “ Gayakan pakaian baru kamu untuk majlis esok. Madam Watson akan buat jamuan kalau kamu semua jadi budak yang baik, boleh?”

“ Jamuan? Yayy!”

“ Betul ke?”

“ Nak ayam panggang!”

“ Dah, dah, jangan seronok sangat,” Madam Watson cuba menenangkan kanak-kanak itu yang sudah kelihatan gembira mendengarkan perkataan jamuan itu. “ Ucapkan terima kasih pada Lady Lilianna, kalau bukan kerana Lady Lilianna, kamu semua tak dapat makan sedap-sedap nanti.”

Lilianna ketawa. “ Tak adalah. Yang penting selalu tolong Madam Watson buat kerja, ya?”

“ Baik!”

Selepas mengucapkan selamat tinggal, Lilianna sudah bersedia untuk masuk ke dalam kereta kuda. Sebelum sempat pintu kereta itu ditutup, namanya dipanggil dari luar. Lilianna menjenguk dari kereta kuda itu, Daisy sedang berlari mendapatkannya.

“ Daisy, kenapa sayang?”

Daisy kelihatan takut-takut, matanya silih berganti daripada wajah Lilianna kepada kedua-dua tangannya yang sedang memegang sesuatu. “ Ini… saya nak beri bunga ini pada cik…”

Pandangan Lilianna jatuh kepada beberapa kuntum bunga yang berada di tangan Daisy. Lilianna ketawa perlahan, dia turun daripada kereta kuda itu lalu mencangkung di hadapan Daisy.

“ Bunga daisi, ya?”

Daisy mengangguk berulang kali. Dia menundukkan wajahnya lalu menghulurkan bunga berkelopak putih itu kepada Lilianna. Lilianna menyambutnya dengan senang hati.

“ Terima kasih,” ucapnya lembut.

Daisy mengangkat wajah, pada wajah polos itu terukir satu senyuman manis. Lilianna tergamam apabila tiba-tiba sahaja Daisy memeluk lehernya. Lilianna menggeleng kepalanya, tubuh kecil itu dipeluk erat.

“ Saya harap Daisy akan membesar jadi seorang gadis yang berhati mulia. Jangan sesekali lupa pengorbanan dan kasih sayang orang di sekeliling kamu, ya? Kamu tak keseorangan di dunia ini. Ada orang yang sayangkan kamu.”

“ Terima kasih… terima kasih…”

Lilianna meleraikan pelukannya. Pipi Daisy yang sudah sembap dengan air mata dikesat dengan tangannya. Dahi anak kecil itu dicium.

“ Jumpa lagi, Daisy.”

Daisy mengangguk. Dia berjalan ke belakang untuk menjauhi kereta kuda itu. Lilianna kembali naik ke dalam kereta kuda, tersenyum apabila melihat anak kecil itu sedang melambai kepadanya dengan senyuman pada wajah cengkung itu.

“ Selamat tinggal!”

Lilianna duduk bersandar selepas rumah kebajikan itu dan Daisy sudah mengecil dari pandangan. Tiga kuntum bunga daisi yang berada di tangannya direnung. Bunga ini melambangkan kesucian, sama seperti Daisy yang masih belum dicemari dengan ketamakan duniawi.

“ Handrien,” Lilianna memanggil perlahan, matanya masih tidak lari daripada kuntuman bunga itu.

“ Ya?” Handrien yang duduk di sebelahnya menyahut tanpa melihat kepadanya. Pandangan Handrien dilontarkan ke luar tingkap kereta kuda tersebut.

“ Alexander Davis. Ada sesuatu yang mencurigakan pasal dia.”

“ Baiklah,” balas Handrien, memahami maksud Lilianna.

Melihatkan perbuatan dan ekpresi pada wajah gadis itu ketika Lilianna berbual-bual dengan Madam Watson, Handrien tahu apakah yang sedang bermain dalam fikiran Lilianna. Sama seperti Lilianna, Handrien menganggap Alexander Davis itu mungkin orang bawahan Lord Vaughan. Walau pun keraguan mereka terhadap Mayor Davis hanya sebesar zarah, lelaki itu harus diselidiki juga kegiatannya. Siapa sangka umpan yang kecil dapat menangkap ikan yang besar?

“ Oh, ya. Tadi…” Handrien melihat kepada Lilianna dari ekor matanya. “ Perasan?”

Lilianna mengangguk.

Sejak mereka berada di Lunola Street, Lilianna sedar ada sepasang mata sedang memerhatikannya dalam kumpulan orang ramai di situ. Seseorang yang bersembunyi di balik bayang tetapi tidak dapat melindungi renungan matanya.

Siapa?

Liliana tidak punya jawapan untuk itu.

PINTU rumah tumpangan itu dibuka. Mata Prince Neirin meliar melihat kepada setiap wajah manusia yang berada di dalamnya. John dan Bill berdiri di belakangnya, hairan dengan tindakan putera itu yang meluru ke arah rumah tumpangan itu sebaik sahaja turun daripada kudanya.

“ Tiada…”

Prince Neirin menutup pintu rumah tumpangan tersebut. Baginda kelihatan resah. Langkahnya kembali mendapatkan kuda miliknya. John dan Bill segera mengikut langkah lelaki itu.

“ Kenapa, tuan… Leon?” John bertanya perlahan, hampir tersasul memanggil Prince Neirin dengan panggilan biasanya.

“ Sepatutnya kita jumpa Declan di pelabuhan tapi… sampai sekarang tiada bayangnya. Declan kata dia akan tinggal di sini selama dia berada di Sherside, tapi saya risau kalau dia dah menghilang,” balas Prince Neirin.

“ Declan? Penyiasat itu?”

Prince Neirin mengangguk. Tali yang berada pada kudanya dipegang. “ Kita berjalan sahaja, sambil-sambil itu cuba lihat jika ternampak orang yang mencurigakan.”

“ Baiklah.”

Mereka bertiga berjalan di laluan berbatu di bandar pelabuhan itu. Tiada apa-apa yang berubah di bandar ini sejak kali terakhir Prince Neirin datang ke sini dahulu. Seperti tiada langsung berita kematian seorang lelaki kerana dibunuh didengari penduduk-penduduk di sini. Mereka kelihatan sibuk dengan urusan masing-masing. Ada yang sedang berjual beli, ada yang sedang menarik perhatian orang untuk suatu pertandingan jalanan. Riuh rendah suasana di situ tetap sama seperti dahulu.

Sebaik sahaja mereka tiba di Sherside beberapa jam yang lalu, Prince Neirin terus mengarahkan John untuk ke pejabat polis di bandar itu untuk menyiasat maklumat mengenai Ethan Simmons. Boleh sahaja jika Prince Neirin sendiri pergi ke sana dan meminta informasi yang diperlukannya, tetapi baginda tidak mahu ada orang Lord Vaughan perasan akan kehadirannya di sini.

Mengikut maklumat yang berjaya diperoleh John, termasuklah usaha Bill bertanya kepada penjual-penjual di kawasan pelabuhan itu, memang benar Ethan Simmons yang mati dibunuh tengah malam semalam adalah Ethan Simmons yang dicari oleh Prince Neirin. Isteri Ethan Simmons sudah meninggal dunia dua tahun yang lalu dan dia hanya hidup bersama-sama Noah, anak lelakinya. Kini, Noah menghilang tanpa sebarang jejak.

“ Kita tiada maklumat lainkah selain daripada rumah tumpangan itu? Bill bersuara selepas sekian lama mereka berjalan tanpa sebarang hala tuju.

“ Declan… saya pilih dia kerana katanya dia dahulu membesar di Sherside sebelum berpindah ke tempat lain dan…” Prince Neirin terdiam. Baginda cuba mengingati apakah yang pernah Declan katakan kepadanya pada kali terakhir mereka bertemu secara sulit sebelum lelaki itu berangkat ke Sherside.

“ Gavan Cave… gua Gavan.”

Prince Neirin meramas rambutnya yang sudah tidak kemas. “ Dia pernah sebut masa dia kecil dahulu, dia selalu ke Gavan Cave untuk bersembunyi jika bergaduh dengan ibu bapanya. Kawasan gua itu terpencil kerana laluannya berbatu taja dan licin, bahaya untuk didekati. Mungkin… ya, kita cuba cari dia di sana. Declan tak suka berbual pasal masa silamnya, tapi pada hari itu tiba-tiba dia bercerita pasal gua itu.”

“ Mungkin, secara tak langsung dia memberi maklumat jika berlaku kecemasan… cari dia di sana,” John memberi pendapatnya.

“ Tak apa, kita cuba dahulu. Bill, tolong tanyakan penduduk arah ke gua itu. John, ikut saya untuk beli barang sedikit. Kita perlukan tanglung untuk elak api terpadam. Kawasan gua itu tentu gelap.”

“ Baiklah, tuan.”

Bill segera meninggalkan mereka berdua untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya. Prince Neirin dan John pula mencari kedai yang ada menjual tanglung kaca. Tiga batang lilin baharu dan mancis turut dibeli. Tidak lama kemudian, mereka berdua kembali bertemu dengan Bill. Bill tidak pernah menghampakan jika diberi tugas untuk mengumpul maklumat tanpa disyaki oleh sesiapa.

“ Kita perlu ke bahagian selatan pelabuhan, di sana ada kawasan berbatu sebelum kita jumpa Gavan Cave. Buat masa ini mereka tumpukan pencarian anak Encik Simmons di kawasan kampung penduduk, jadi lebih baik kita terus bergerak ke gua itu sebelum mereka ubah hala.”

“ Terima kasih. Cepat, kita tak boleh tangguh banyak masa lagi.”

Tiga ekor kuda tunggangan mereka berlari laju meninggalkan kawasan tumpuan penduduk itu menuju ke pantai. Dalam keadaan mereka yang ingin segera sampai di kawasan Gavan Cave itu, fokus mereka kepada keadaan sekeliling tidak dileraikan. Mereka tidak boleh membenarkan pihak musuh menjatuhkan mereka sebelum mereka mengatur strategi untuk berlawan.

Ketika matahari sedang tenggelam di ufuk barat, mereka bertiga tiba di kawasan berbatu tajam yang menghala ke Gavan Cave. Tiada kelihatan kelibat sesiapa atau rumah sepanjang perjalanan mereka ke sini, bermula dari sempadan kawasan kampung penduduk. Nampaknya apa yang pernah Declan katakan dahulu benar, penduduk di sini tidak mahu berada berdekatan dengan gua yang dikatakan gelap gelita dan penuh dengan misteri itu.

“ Kita tambat kuda di sini,” kata Prince Neirin lalu melompat turun daripada kuda tunggangannya.

Tali yang berada pada leher kuda-kuda itu diikat pada sebatang pokok. Lilin dinyalakan lalu diletakkan dalam tanglung kaca yang dibeli oleh Prince Neirin tadi. Sebagai langkah berjaga-jaga, John dan Bill menyalakan dua batang kayu besar yang terdapat di atas pasir pantai.

“ Hati-hati. Batu-batu ni licin.”

Mata Prince Neirin fokus pada sebuah gua yang terletak di hujung laluan berbatu itu. Melihatkan gua tersebut, fahamlah Prince Neirin akan ketakutan penduduk untuk mendekati kawasan ini. Menggunakan laluan berbatu tajam ini sudah satu hal, kemudian masuk ke dalam gua yang gelap gelita itu satu hal lagi. Selagi mereka tidak memasuki perut gua misteri itu, selagi itu mereka tidak tahu apakah yang bakal menjemput mereka.

Prince Neirin hanya mampu berharap kata hatinya untuk datang ke sini adalah betul.

Angin yang bertiup kuat menyukarkan perjalanan mereka. Nyaris-nyaris api pada batang kayu yang dipegang oleh John dan Bill terpadam. Nasib baik Prince Neirin terfikir untuk membeli tanglung kaca itu. Jika tidak mereka terpaksa meniti dari satu batu ke satu batu yang licin dan tajam tanpa bantuan cahaya.

“ Argh!”

“ Bill!”

Prince Neirin dan John melihat kepada Bill yang sedang menyeimbangkan tubuhnya. Refleks tubuh Bill yang cepat menyelamatkannya daripada terjatuh. Prince Neirin menarik nafas lega.

“ Hati-hati, tengok pada batu yang kamu lalu itu,” pesannya buat kesian kali.

“ Patik minta maaf, tuanku,” ucap Bill serba salah, sekaligus menggunakan kembali gelaran itu kepada Prince Neirin.

“ Tak apalah. Teruskan perjalanan. Sedikit sahaja lagi sebelum kita tiba di gua itu.”

Baki perjalanan yang ada kembali diredah oleh mereka. Hanya tinggal sedikit sahaja lagi sebelum mereka tiba di pintu gua itu. Hanya tingga sedikit lagi sebelum mereka tahu adakah pilihan mereka untuk ke sini adalah tepat atau salah.

“ Sini!”

Prince Neirin menarik tangan John, membantu lelaki itu untuk mendarat di atas dataran gua tersebut sebaik sahaja kakinya berjaya menjejakkan kaki di situ. John hampir terjatuh dibuatnya. Selepas itu Prince Neirin membantu Bill yang masih bersusah payah melalui laluan itu.

“ Akhirnya, kita dah sampai.”

Tangan kiri Prince Neirin diletakkan pada pinggangnya manakala tangan kanan yang masih memegang tanglung itu dihala ke arah pintu gua. Berdiri dalam jarak yang dekat dengan pintu gua misteri itu membuatkan baginda sedikit gerun. Prince Neirin melihat kepada John dan Bill silih berganti.

“ Kita masuk dan pastikan Declan ada atau tidak. Jangan lupa, laluan yang ada dalam gua itu mungkin licin. Hati-hati, jangan sampai tergelincir.”

Prince Neirin mendahului John dan Bill untuk memasuki pintu gua itu. Matanya sentiasa berwaspada dengan setiap benda yang kelihatan mencurigakan. Jalan di dalam gua itu agak lembap malah batunya berlumut. Silap hari bulan ada juga yang mencium tanah.

“ Declan!” laung Prince Neirin. Gema membawa suaranya itu ke hujung gua tersebut.

“ Declan! Kamu ada di sini?”

“ …tuanku!”

Prince Neirin mengecilkan matanya pada bayang-bayang yang sedang bergerak di hadapannya. Senyumannya tercetus apabila dia menyedari Declan sedang berjalan mendapatkan dirinya. Melihatkan keadaan Declan, tiada apa-apa yang tidak elok pada tubuhnya. Nampaknya Declan tidak diapa-apakan.

“ Baguslah! Beta fikir kamu cedera,” kata Prince Neirin, baginda menarik nafas lega.

“ Maafkan patik, tuanku,” ucap Declan. “ Patik berharap tuanku akan ingat pasal gua ini. Nasib baik tuanku segera ke sini. Patik tak tahu sampai bila harus patik bersembunyi di sini.”

“ Tak mengapa. Bagaimana dengan anak Encik Simmons? Adakah kamu hilang jejak?”

Declan menggeleng. “ Noah ada bersama-sama patik. Tuanku, dia memang menunggu kedatangan tuanku. Katanya, ada sesuatu yang harus dia serahkan pada tuanku.”

Prince Neirin mengerutkan keningnya. “ Sesuatu?”

Declan membawa mereka menuju ke tempatnya dan Noah bersembunyi. Ada suatu sudut yang tersembunyi dalam gua itu. Seorang remaja lelaki sedang duduk menghadap nyalaan kayu api. Sehelai kain menyelimuti tubuh remaja itu.

“ Noah, Prince Neirin dah tiba,” umum Declan.

Noah cepat-cepat berdiri tetapi dengan segera Prince Neirin mengarahkan remaja itu untuk kembali duduk. Tanpa membuang masa lagi Prince Neirin mengambil tempat bertentangan dengan Noah. Hanya kayu api yang sedang menyala itu sahaja memisahkan kedudukan mereka.

“ Kamu tak apa-apa?” tanya Prince Neirin risau.

Noah mengangguk perlahan. “ Patik tak apa-apa. Encik Declan yang selamatkan patik, bawa patik bersembunyi di sini.”

“ Jadi… kamu dah tahu pasal…”

“ Patik nampak dengan mata patik sendiri bagaimana ayah…” Noah kematian kata-kata. Prince Neirin menghela nafas.

“ Maaf. Beta terlambat. Kalaulah…”

“ Tak mengapa, tuanku. Memang ayah patik selalu berpesan, hari ini akan tiba juga.”

“ Hari ini?”

“ Ayah patik kata, dia merasakan ada orang akan datang dan mengambil nyawanya. Pesan ayah, kalaulah hari itu tiba, ayah patik mahu patik segera bersembunyi untuk sementara waktu.”

Prince Neirin melihat kepada Declan. Declan menundukkan kepalanya. “ Nampaknya, Encik Simmons sedar dia sedang dalam buruan orang Lord Vaughan.”

“ Ayah minta patik serahkan ini pada tuanku…” Noah mengeluarkan sesuatu daripada dalam bajunya. Kelihatannya seperti sebuah buku. Buku itu dihulurkan kepada Prince Neirin. “ …ayah kata, tuanku akan dapat jawapan untuk peristiwa 21 tahun lepas dalam buku ini.”

Huluran itu bersambut. Prince Neirin meneliti buku yang sudah kelihatan lusuh itu. Ada kesan habuk pada permukaan buku tersebut. Malah, ada juga kesan kotoran daripada tanah.

“ Itu adalah catatan ayah. Ayah kata, dia tulis catatan itu sejak ayah berhenti daripada menjadi askar selepas pemberontakan di sempadan Erkens oleh kumpulan pemberontak Zythor. Segala rahsia yang disimpan mengenai peristiwa itu, ada di dalam buku itu. Ayah rahsiakan kewujudan catatan ini sehinggalah tiga minggu yang lalu, ketika ayah dikejar oleh dua orang lelaki berpakaian serba hitam.”

“ Encik Simmons dah jangka perkara ini akan berlaku?”

Noah menggumam perlahan, wajahnya kelihatan keruh.

“ Tolong patik, tuanku. Bawa pembunuh ayah patik ke muka pengadilan. Patik tak mahu kematian ayah… sia-sia…” Noah menundukkan kepalanya. Tubuh itu mula menggigil.

“ Noah…” Prince Neirin mengeluh. Buku itu disimpan dalam kocek yang terdapat dalam kemejanya. “ Beta berjanji, beta akan bawa semua orang yang terlibat dalam perkara ini ke muka pengadilan. Mereka tidak boleh dibiarkan berleluasa lagi. Beta tak mahu kerajaan kita musnah.”

Esakan Noah mula kedengaran. Walaupun Noah sudah meningkat remaja, tetapi pastinya kematian bapanya disebabkan pembunuhan membuatkan hatinya goyah.

“ Kamu tak perlu melarikan diri lagi,” tutur Prince Neirin lembut. “ Ikut beta pulang ke ibu kota. Beta akan sediakan tempat untuk kamu bersembunyi dengan selamat buat sementara waktu ini. Tapi, bila tiba masanya nanti, beta akan perlukan pertolongan kamu. Tolong beta, Noah.”

Noah mengesat wajahnya yang sembap dengan air mata. Lutut kanannya mencecah tanah manakala kaki kirinya diangkat rapat ke dadanya. Tangan kanan Noah yang membentuk genggaman diletakkan pada bahagian jantungnya.

“ Patik berbesar hati untuk menolong tuanku. Izinkan patik melakukan apa sahaja arahan tuanku.”

Prince Neirin mengangguk. “ Terima kasih, Noah Simmons.”

Perjalanan mereka untuk pulang ke Idalia akan bermula beberapa jam selepas ini. Memandangkan masing-masing sudah kepenatan, Prince Neirin menyuruh mereka berehat dahulu. Mereka akan bergerak pada jam satu pagi, ketika bulan masih berada di langit malam untuk mengelak dikesan oleh orang-orang suruhan Lord Vaughan yang masih berada di Sherside.

Dua jam sebelum bertolak, Prince Neirin tersedar daripada lenanya. Bill sedang mengawal di pintu gua, memastikan tiada sesiapa yang tidak diingini muncul di kawasan Gavan Cave. Prince Neirin mengarahkan Bill berehat dahulu di dalam sementara dia berkawal di situ. Nampaknya John, Bill dan Declan sudah mengambil giliran masing-masing untuk berjaga.

Sementara Prince Neirin duduk berdekatan dengan pintu masuk gua tersebut, buku catatan Encik Simmons dikeluarkan daripada kocek kemejanya. Buku bersaiz kecil itu dibelek. Berbekalkan bantuan cahaya bulan, Prince Neirin cuba membaca isi catatan itu. Baginda tidak mahu menggunakan tanglung di situ kerana tidak mustahil cahaya tanglung itu akan dapat dilihat sesiapa sahaja walaupun dari jarak yang jauh.

Semakin lama Prince Neirin tenggelam dalam isi catatan itu, semakin kuat terasa jantungnya berdegup. Setiap tulisan Encik Simmons membuatkan baginda tidak senang duduk. Berulang kali Prince Neirin membaca perenggan yang sama, menyakinkan dirinya bahawa baginda tidak tersalah baca.

Adakah ini sebenarnya yang berlaku 21 tahun yang lalu? Sebab inilah… Lord Beaumont dibunuh?

Prince Neirin kembali menyimpan buku itu ke dalam kocek kemejanya. Baginda perlu segera pulang ke Idalia. Tidak mustahil Lilianna akan menjadi mangsa yang seterusnya sekiranya Lord Vaughan beria-ria mahu melenyapkan saksi yang masih hidup pada kejadian lima tahun yang lalu.

Catatan ini akan membantu mereka menumpaskan Lord Vaughan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience