Chapter 5

Other Completed 4791

BAB 5

SAYUP-SAYUP kedengaran suara bercakap pada pendengarannya. Matanya terasa amat berat untuk dibuka walaupun dia ingin melihat siapakah yang berada di sampingnya. Suara-suara itu bukanlah suara yang pernah didengarinya sebelum ini. Siapakah mereka? Di manakah dia berada?

“ Tiada kecederaan…”

“ Darah siapa pada pakaian dia…”

“ Kaki dia terseliuh… luka lain…”

“ Keluarga bangsawan…”

“ Dia kenal? Kan?”

“ Handrien…”

Handrien?

Matanya terus celik saat mendengar nama itu disebut. Handrien? Adakah Handrien yan dikenalinya?

Lilianna cuba bangun tetapi tubuhnya terasa dipaku untuk terus terlantar di atas suatu permukaan yang lembut. Imej di hadapannya kelihatan bertindih-tindih sehinggalah dia berjaya menyesuaikan diri dengan pemandangan di hadapannya. Barulah Lilianna sedar dia sedang terbaring di atas sebuah katil. Sekali lagi Lilianna cuba bangun, menggunakan kudrat yang dia ada.

“ Erghh…”

“ Kamu dah sedar?”

Lilianna tergamam. Matanya terpaku pada wajah yang bersuara kepadanya tadi. Seorang lelaki yang kelihatan berusia dalam lingkungan 30-an merenungnya dengan wajah kerisauan. Wajah yang langsung tidak dikenalinya.

Siapa dia ni?

“ Cik tak apa-apa?” Lelaki itu bertanya lagi. Dia menghampiri katil yang diduduki Lilianna.

Wajah asing itu direnungnya lagi. Ketika itu Lilianna perasan masih ada beberapa orang lagi berada bersama-sama lelaki asing itu. Dua orang wanita berpakaian pembantu rumah dan seorang lelaki yang sudah agak berusia berpakaian seperti seorang doktor sedang melihat ke arahnya.

“ Saya…”

Kata-kata Lilianna terputus terus di situ. Bayangan peristiwa mengerikan yang dialaminya membuatkan dia panik. Nafasnya terasa sesak serta-merta. Imej wajah dan tubuh bapanya yang berlumuran darah dipancar di hadapannya. Tergesa-gesa Lilianna mengengsot, cuba untuk turun daripada katil itu.

“ Ayah… ayah… tidak..” Lilianna mengongoi. Mereka yang berada dengannya itu kelihatan panik. Kedua-dua pembantu rumah itu menghampiri Lilianna. Mereka berdua cuba menenangkan gadis itu yang pada pandangan mereka kelihatan seakan-akan hilang dalam suatu ilusi yang menakutkan.

“ Lepaskan saya! Ayah saya… ayah! Tolong!”

“ Cik, bertenang. Tubuh cik lemah lagi,” doktor lelaki itu bersuara.

Lilianna menggeleng pantas. “ Ayah! Jangan bunuh… ayah!”

“ Lilianna!”

Pergerakannya terhenti di situ. Perlahan-lahan Lilianna mengalihkan wajahnya ke arah suara itu. Suara yang tidak asing padanya. Susuk tubuh tinggi Handrien sedang berdiri di muka pintu bilik itu. Lelaki itu sedang merenungnya dengan wajah yang Lilianna tidak tahu bagaimana untuk mentafsirkannya. Sedih? Simpati? Kecewa?

“ Handrien…?”

Handrien berjalan mendekatinya. Sebelah tangannya memeluk bahu Lilianna lalu disandarkan tubuh itu pada tubuhnya, menyokong berat gadis itu. Kedua-dua pembantu rumah itu melepaskan pegangan mereka pada Lilianna. Handrien menghela nafas. Dapat dirasakannya tubuh lemah itu sedang menggigil.

“ Doktor Brown, boleh tinggalkan kami berdua?” Handrien melihat kepada doktor itu sebelum matanya beralih kepada General Hamilton yang turut berada di dalam bilik itu. “ Jeneral pun sama?”

“ Baiklah. Panggil kami kalau ada apa-apa. Kami ada di luar,” putus General Hamilton tanpa menunggu Doktor Brown bersuara. Mereka berempat segera meninggalkan Handrien dengan gadis yang dipanggilnya Lilianna itu. Pintu bilik itu ditutup rapat.

“ Lilianna?” Handrien bersuara lembut. “ Kita duduk dulu ya?”

Lilianna mengangguk sahaja. Dia mengikut Handrien untuk duduk di birai katil. Wajahnya tunduk sahaja, tidak berani untuk bersemuka dengan lelaki itu walaupun Lilianna hairan bagaimana Handrien boleh berada di sini. Adakah Handrien yang menyelamatkannya? Ingatannya pada malam yang membawa peristiwa hitam itu tidak berapa jelas sekarang.

“ Lilianna, apa dah jadi?”

Handrien baru sahaja tiba dari bangsal kuda ketika dia mendengar kekecohan berlaku di dalam bilik yang menempatkan Lilianna. Dia berasa lega apabila melihat Lilianna sudah sedarkan diri tetapi dia amat terkejut apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Lilianna sewaktu gadis itu merayu agar pembantu-pembantu rumah itu melepaskan dirinya.

Bunuh? Ayah? Apa sebenarnya yang terjadi?

Kepala Lilianna digeleng perlahan. Air matanya bergenang. Bayangan wajah ayahnya pada saat terakhir sebelum dia melarikan diri dari rumah agam keluarganya itu tidak lepas-lepas daripada menghantui fikirannya. Begitu juga dengan pesanan bapanya yang terakhir. Betulkah ayah dah… tiada?

Esakan Lilianna mula kedengaran. Handrien kaget tetapi dengan cepat dia memeluk Lilianna, menyandarkan kepala gadis itu pada bahunya. Kepala Lilianna diusap lembut. Dibiarkan sahaja gadis itu menangis. Dia tidak mahu memaksa Lilianna sekiranya gadis itu tidak mahu menceritakan apa-apa kepadanya. Menurut Doktor Brown, emosi Lilianna berada dalam keadaan yang tidak stabil.

Selepas berjaya menidurkan gadis itu, Handrien terus keluar dari bilik tersebut. Dia tidak mahu menganggu lena Lilianna. Gadis itu hanya menangis sahaja sehinggalah dia terlelap dengan sendirinya. Doktor Brown dan General Hamilton masih menunggunya di luar bilik.

“ Jeneral tak perlu iring baginda ke?”

General Hamilton menggeleng. “ Hari ini tuanku Frederick ada mesyuarat dengan kumpulan pedagang yang berminat untuk mula mengimport barang ke Erkens. Lord Moyes dan General Hopkins ada bersama-sama baginda. Termasuklah sekumpulan pengawal keselamatan yang lain.”

“ Tapi sebelum itu, kamu kata kamu kenal gadis itu? Siapa nama penuhnya?” General Hamilton menyambung kata-katanya.

Ketika Handrien memberitahunya dia mengenali gadis itu sewaktu ditemui di jalan pada malam sebelumnya, General Hamilton sudah ragu-ragu. Sejak bila pula Handrien mula berkawan dengan orang dari kerajaan Zythor? Anak muda itu baru sahaja menjejaki Zythor beberapa hari yang lalu kerana mengikut rombongan merisik keamanan bersama-sama Zythor.

“ Saya kenal dia di majlis makan malam di istana Zythor. Tak sangka akan jumpa dia dalam keadaan sebegitu pula. Namanya Lilianna, tapi saya tak tahu nama keluarganya. Dia hanya beritahu namanya sahaja. Yang saya pasti, dia anak gadis sebuah keluarga bangsawan.”

“ Saya ada dengar berita dari Idalia. Dengarnya kawasan rumah seorang bangsawan hancur dijilat api. Beberapa orang mayat ditemui dalam kebakaran itu tapi mereka masih belum dapat mengenal pasti sama ada ketua keluarga bangsawan dan ahli keluarganya terselamat atau tidak,” kata General Hamilton, cuba mengingati maklumat yang disampaikan oleh anak buahnya sewaktu mereka tiba dari Idalia petang semalam.

“ Kebakaran? Di mana? Bila?” Handrien terkejut.

“ Berdekatan kawasan yang kita lalui, pada malam kelmarin.”

“ Malam kelmarin?” Handrien mula keliru. “ Malam kita jumpa Lilianna?”

General Hamilton mengangguk, menyakinkan Handrien.

Handrien mengeluh. “ Ada petunjuk mengatakan kebakaran itu untuk menutupi kes bunuh?”

“ Mungkin. Memandangkan sesetengah daripada mayat yang tidak hancur sepenuhnya itu mempunyai kesan ditembak atau ditikam oleh pedang. Kalau benar Cik Lilianna itu anak daripada keluarga bangsawan itu, apa yang kamu nak lakukan? Serahkan dia kepada pentadbiran Zythor?”

“ Jangan!”

Wajah General Hamilton berubah. Handrien tersentak, terkejut dengan tindakannya sendiri. Tiba-tiba sahaja dia menolak cadangan General Hamilton walaupun dia sedar, cadangan itu ada kebaikannya untuk diri Lilianna. Sekiranya benar, maka Lilianna sepatutnya tiada masalah untuk bersatu dengan ahli keluarganya yang lain, mungkin saudara-maranya.

“ Maaf, General Hamilton,” tutur Handrien perlahan. “ Saya fikir, saya nak biarkan keberadaan Lilianna dengan kita dirahsiakan dahulu. Saya risau, dia akan dijadikan sasaran yang seterusnya jika benar keluarganya dibunuh. Kita tak tahu, mungkin dia saksi pembunuhan itu.”

“ Baiklah. Kamu jangan risau, Handrien.” General Hamilton bersetuju. “ Apa-apa pun, kamu laporkan perkara seterusnya kepada tuanku Frederick. Memandangkan kamu penyelamat gadis itu, kamu lebih berhak dalam hal ini. Saya akan beritahu anak-anak buah saya untuk rahsiakan pasal gadis itu.”

Handrien mengangguk, kepalanya ditundukkan ke bawah. Dia tidak yakin jika tindakannya ini betul. Apa yang dia harapkan hanyalah keselamatan Lilianna. Dalam keadaan Lilianna yang masih belum stabil mental dan fizikal, ditambah pula dengan khabar mengenai kebakaran rumah agam sebuah keluarga bangsawan membuatkan Handrien sangsi untuk mendedahkan keberadaan Lilianna kepada pentadbiran Zythor. Benar dia baru sahaja berkenalan dengan gadis itu, tetapi ianya tidak bermakna dia tidak perlu mempedulikan keselamatan gadis itu.

“ Handrien,” kata General Hamilton, memecah sepi antara mereka berdua. Sebelah tangannya diletakkan pada bahu Handrien. “ Kamu akan menjadi Knight yang akan melindungi tuanku Frederick. Kamu harus kuat. Kedudukan Knight lebih penting daripada General, kamu tahu itu. Kamu akan sentiasa berada di samping tuanku Frederick. Kuatkan minda dan fizikal kamu. Bukankah tuanku Frederick mahukan kamu sebagai Knight pertama untuknya?”

Apa yang dikatakan oleh General Hamilton ada kebenarannya. Selepas kemangkatan raja Erkens yang terdahulu, kumpulan Knight yang berkhidmat untuk baginda Raja dibubarkan. General Hamilton dan General Hopkins adalah antara Knight yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan mendiang Raja. Kumpulan Knight of Honour terbaharu yang terdiri daripada tujuh orang akan dilantik pada hari lahir King Frederick yang seterusnya, lima bulan dari sekarang. Seminggu sebelum hari lahir baginda, akan ada puluhan tentera atau ahli seni mempertahankan diri yang terpilih akan bertarung untuk mendapatkan kedudukan sebagai Knight.

“ Saya akan menjadi Knight dengan kebolehan saya sendiri, tanpa bantuan datuk atau pun tuanku Frederick yang mahu kan saya menjadi Knight baginda. Jika saya gagal, itu bermakna ada orang yang lebih baik akan dapat melindungi baginda.”

“ Bagus. Kuatkan semangat kamu. Saya beredar dulu, jika perlukan apa-apa, Doktor Brown ada di dalam bilik tetamu.”

“ Terima kasih, General Hamilton.”

General Hamilton mengukir senyum, melembutkan wajahnya yang sentiasa mempunyai riak wajah yang serius walaupun jeneral itu berhati baik. Tanpa membalas ucapan Handrien, jeneral itu meninggalkan kawasan bilik tersebut.

Handrien menggaru kepalanya yang tidak gatal. Segan kerana mengeluarkan kata-kata sedemikian kepada salah seorang jeneral yang pernah berkhidmat sebagai Knight kepada Raja Erkens yang terdahulu. Adakah kata-katanya terlebih bersemangat? Tetapi apa yang diucapkan oleh General Hamilton menaikkan semangat Handrien. Dia ingin menjadi pelindung Frederick daripada sebarang bahaya. Walaupun mereka membesar bersama-sama sejak kecil tetapi Handrien tetap menghormatinya sebagai pemerintah kerajaan Erkens yang disegani.

“ Kau janji akan jadi Knight bila aku jadi Raja nanti?”

“ Janji. Aku akan lindungi kau.”

Itulah janjinya dengan Frederick ketika mereka masih belum mencapai usia 10 tahun. Pada waktu itu, Frederick yang muda setahun daripadanya baru sahaja selesai menjalani latihan seni pedang dengan guru di istana Erkens. Handrien pula baru sahaja pulang daripada mengajar anak-anak bangsawan yang masih muda mengendalikan seni memanah. Walaupun Handrien baru sahaja berusia sembilan tahun ketika itu, tetapi kehebatannya dalam seni mempertahankan diri mendapat pujian ramai. Kebolehan dan ketangkasannya setanding dengan remaja belasan tahun.

Handrien kembali masuk ke dalam bilik yang menempatkan Lilianna. Gadis itu masih tidur walaupun raut wajah Lilianna menunjukkan ketidakselesaan. Adakah gadis itu sedang bermimpikan sesuatu yang tidak enak? Handrien berdiri di sebelah katil Lilianna. Dia mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarnya.

Seutas rantai dan aksesori berbentuk pedang berada dalam tangannya.

Pedang kecil itu amat dicam oleh Handrien. Ini adalah pedang yang diberi olehnya ketika Lilianna membawanya berjalan-jalan di festival bunga Zythor beberapa hari yang lalu. Dia perasan pedang itu diubah menjadi aksesori rambut kerana pada malam dia menemui Lilianna di jalan ketika dia pengsan dahulu, pedang itu terjuntai diikat pada rambut Lilianna.

Rantai itu pula diberikan oleh salah seorang pembantu rumah yang menguruskan Lilianna. Kerana mereka ingin membersihkan gadis itu, rantai itu diserahkan kepadanya. Handrien membuka loket yang berbentuk bulat itu. Gambar sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki, perempuan dan bayi yang masih kecil berada di dalam loket tersebut. Handrien yakin itu adalah gambar keluarga Lilianna.

Handrien menutup tapak tangannya. Kedua-dua harta Lilianna itu digenggam erat. Wajah gadis itu dipandang. Dia akan menyerahkan harta berharga ini kepada gadis itu kelak. Tetapi sebelum itu, Handrien mahu Lilianna menceritakan apa yang berlaku pada malam itu kepadanya. Dia akan berhati-hati, untuk mengelakkan gadis itu daripada berjauh diri dengannya. Mungkin dengan pendedahan itu, Handrien akan dapat membantu Lilianna dalam perkara yang masih belum dapat difikirkan olehnya.

Sedarlah, Lilianna. Awak kuat, kan?

SECAWAN teh panas dihulurkan kepada Handrien yang sedang duduk di atas balkoni, melihat kepada langit malam. Huluran itu bersambut tetapi cawan teh itu diletakkan di atas balkoni sahaja tanpa disentuh. Wajah kusut Handrien mengundang tawa Frederick. Handrien melihat kepada sahabatnya itu. Sebelah keningnya dijongket ke atas.

“ Kenapa?”

“ Jarang dapat tengok kau murung macam ni,” tutur Frederick sebelum menyisip secawan teh panas yang berada di tangannya. Matanya tidak lari daripada wajah Handrien. Keluhan sahabat baiknya itu menyapa telinga. Frederick turut meletakkan cawan tehnya di atas balkoni. Dia berdiri bersandarkan balkoni itu, kepalanya ditoleh ke arah Handrien.

“ Pasal gadis yang kau jumpa tu?”

Pertanyaan Frederick dibalas dengan anggukan sahaja.

“ Kau dah tanya dia apa yang berlaku? Kenapa dia boleh terdampar atas jalan dikelilingi hutan pada waktu malam?”

“ Dah tapi…” Handrien mengeluh lagi. “ Dia tak mahu beritahu.”

“ General Hamilton ada beritahu kau, kau dah dengar pasal kes kebakaran di sebuah rumah bangsawan pada malam kita jumpa gadis itu. Aku hantar General Hopkins untuk siasat pasal kes itu masa kami di Idalia tadi. Nama keluarga bangsawan itu Beaumont. Khabarnya, Lord Beaumont dan satu-satu anak perempuannya hilang pada malam itu.”

“ Beaumont? Anak perempuan?” Handrien tersentak. “ Siapa namanya?”

Frederick mengukir senyum. “ Lilianna Beaumont.”

Handrien segera turun daripada balkoni itu. Dia berdiri di sebelah Frederick. Wajah sahabatnya itu dipandang lama.

“ Mungkin… dia melarikan diri daripada pembunuhan,” kata Handrien perlahan.

“ Pembunuhan?”

Handrien mengangguk. “ Masa Lilianna sedar tadi, dia ada meracau sekejap. Dia nampak terdesak mencari ayahnya dan dia seolah-olah… merayu seseorang agar jangan bunuh ayahnya.”

“ Serius?” Senyuman Frederick mati serta-merta. “ Kenapa kau baru beritahu aku?”

“ Aku tak nak susahkan kau, Fred. Banyak lagi perkara yang perlukan perhatian kau. Tujuan kita ke sini untuk mula damaikan Erkens dan Zythor, kan? Lagi pun aku yang bersungguh-sungguh nak selamatkan Lilianna. Jadi, biarkan aku uruskan hal ini. Kau tak perlu tambah lagi beban kau.”

“ Handrien, tugas aku sebagai raja Erkens tak akan terganggu dengan tanggungjawab aku sebagai sahabat kau. Lilianna itu rakyat Zythor, bagaimana kalau kau dituduh culik dia? Aku akan minta General Hopkins siasat lagi pasal hal ini, okey?”

Handrien diam sejenak. Dia buntu sebenarnya. Kalaulah Lilianna sudah bersedia untuk bercerita kepadanya. Gadis itu sedar sekejap pada lewat petang tadi, tetapi dia membisu sahaja. Dipujuk untuk makan tetapi gadis itu menolak. Selepas didesak berulang kali oleh Handrien, barulah Lilianna makan itu pun sesuap dua. Akhirnya Handrien mengalah sahaja. Sekarang ini bukan masanya untuk memaksa gadis itu.

“ Baiklah. Maaf, Fred,” balas Handrien perlahan. Kepalanya ditunduk ke bawah.

Frederick tersenyum. “ Tak apa, Handrien. Aku faham. Kita masih ada empat hari lagi untuk berada di sini. Cuba selesaikan masalah ini dengan Cik Lilianna. Aku akan cuba tolong mana yang patut.”

Handrien mengangguk sahaja. Dia kembali berdiri menghadap balkoni. Baru sahaja dia ingin menghirup teh yang dibawa oleh Frederick tadi, dia terpaku saat matanya melekat pada suatu bayang yang sedang bergerak meninggalkan halaman rumah agam yang menjadi tempat mereka menginap.

“ Lilianna!”

“ Apa?” Frederick terkejut. Dia turut melihat kepada bayang yang sedang diperhatikan oleh Handrien. “ Dia… nak lari ke?”

“ Tak… tahu. Aku pergi halang dia dulu!” Handrien segera melompat ke atas balkoni itu. Pandangan matanya melekat kepada susuk tubuh Lilianna yang sedang berjalan terhuyung hayang menuju ke bahagian pintu pagar rumah agam tersebut.

“ Kita ada pengawal di pintu itu… tunggu! Handrien!”

Halangan Frederick sudah terlambat kerana Handrien sudah melompat dari balkoni itu. Frederick melihat ke bawah, memerhatikan kecekapan sahabatnya bergayut pada dahan pokok yang berada di bawah balkoni. Frederick menggelengkan kepalanya. Tanpa berlengah lagi dia berlari menuju ke tingkat bawah.

“ Lilianna! Lilianna! Berhenti!”

Tangan kanan Lilianna dipegang lalu gadis itu ditarik ke arahnya. Lilianna terjelepok di atas tanah. Handrien segera menampung gadis itu daripada terjatuh. Walaupun langkah Lilianna perlahan sahaja menuju ke arah pintu pagar rumah agam itu tetapi nampaknya gadis itu bersungguh-sungguh benar untuk meninggalkan kawasan ini.

“ Lepaskan saya… Handrien…” Gadis itu merayu. Tangan yang tidak begitu mempunyai kudrat itu menolak tubuh Handrien. Handrien mengemaskan pegangannya. Jelas pada matanya Lilianna masih belum berada dalam keadaan stabil.

“ Lilianna, saya bawa awak masuk bilik dulu ya?” Handrien memujuk, tidak mahu berkeras dengan gadis itu. Tetapi Lilianna menggeleng sahaja. Dia masih cuba melepaskan diri daripada pegangan Handrien.

“ Tak mahu… lepaskan saya… pergi…”

“ Lilianna, saya akan benarkan awak pergi bila awak dah sihat. Kita masuk ke dalam rumah, ya? Mari, saya tolong awak.”

Handrien bangun seraya membantu Lilianna untuk berdiri. Lilianna tetap berkeras untuk melepaskan diri daripada Handrien. Semakin lama rontaannya semakin kuat. Akhirnya Lilianna berjaya menolak Handrien jauh daripadanya. Tanpa berlengah lagi gadis itu mempercepatkan langkahnya ke arah pintu pagar rumah agam tersebut. Handrien tersentak tetapi dia segera mendapatkan gadis itu semula.

“ Lilianna,” tutur Handrien separuh merayu. Dia kasihankan gadis itu. Lilianna kelihatan tidak tentu arah. Berbeza dengan perwatakan yang Lilianna tunjukkan kepadanya sebelum ini.

“ Kita balik dulu, sekarang dah lewat malam. Mustahil awak boleh balik ke rumah awak.”

Pujukan Handrien tidak diendahkan Lilianna. Terpaksa juga Handrien merentap tangan gadis itu.

“ Lilianna!” Handrien menjerit. Riak terkejut pada wajah Lilianna membuatkan dia kaget.

“ Lilianna… saya…”

“ Lepas!”

Tangan Handrien ditepis kasar. Wajah lelaki itu direnung tajam. Handrien terkejut melihatkan perubahan pada intonasi dan raut wajah Lilianna.

“ Apa yang awak fikir? Ayah saya… ayah saya! Dia korbankan diri dia di tangan pembunuh! Janji… tak! Saya tak boleh teruskan janji itu! Saya akan cari pembunuh tu dan bunuh dia! Apa-apa pun jadi… dia akan mati di tangan saya. Saya tak akan lepaskan dia!”

Ledakan amarah Lilianna secara tiba-tiba itu membuatkan Handrien semakin terkejut. Apa yang keluar daripada mulut gadis itu bukanlah apa yang dijangkakan oleh Handrien. Kata-kata gadis itu selari dengan pancaran pada matanya. Seolah-olah Lilianna memaksudkan kata-katanya.

“ Lilianna, bawa bertenang,” Handrien memujuk lagi, tidak mahu tekanan itu membuatkan Lilianna semakin lemah. Kedua-dua tangannya mencapai bahu gadis itu tetapi Lilianna lebih pantas mengelak.

“ Ayah saya… Handrien… ayah saya…” Nada marah itu bertukar sayu. Air mata Lilianna mula mengalir. Tangan kanan gadis itu mula memukul dadanya kuat. “ Ayah saya korbankan diri… untuk saya… macam mana saya nak teruskan hidup? Macam mana? Ayah tak akan maafkan… kalau saya tak lari… tapi macam mana… macam mana saya nak teruskan hidup? Saya tak boleh… tak boleh tunaikan janji tu… tak boleh…”

Lilianna tidak berhenti-henti memukul dadanya, seakan-akan ingin meredakan kesakitan yang teramat dalam tubuhnya. Suaranya semakin serak, tangisannya semakin lebat. Tiada lagi Lilianna yang meletup dalam amarahnya tadi. Tiada lagi Lilianna yang sering ketawa dan tersenyum seperti sebelumnya.

“ Ayah nak saya teruskan hidup… macam mana? Ibu dah tak ada… siapa lagi… tempat saya bergantung? Ayah… kenapa ayah pentingkan diri? Kenapa…? Kenapa ayah korbankan diri? Kenapa?”

Tanpa bersuara Handrien memeluk gadis itu. Rontaan gadis itu sudah semakin lemah. Lilianna sudah kehabisan tenaganya. Tangisannya sudah tidak kedengaran lagi walaupun Handrien dapat merasakan dadanya basah dengan air mata gadis itu. Rambut panjang gadis itu diusap. Handrien menghela nafas sebelum dihembus perlahan. Lilianna sudah penat. Penat untuk menanggung semuanya dalam suatu masa.

“ Handrien.”

Seruan Frederick dari belakang kedengaran. Handrien menoleh ke belakang sejenak. Frederick sedang berdiri di belakangnya dengan wajah yang serius. Yakin bahawa Lilianna sudah kembali tidur, Handrien mendukung tubuh gadis itu. Dia berpaling menghadap Frederick.

“ Serahkan hal ini pada aku. Kau hanya uruskan Cik Lilianna sahaja.”

Handrien mengangguk. Riak pada wajahnya turut bertukar serius.

“ Terima kasih, tuanku.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience