Chapter 1

Other Completed 4791

BAB 1

“ KITA tak boleh tunduk bawah Erkens!”

“ Bukan macam tu, Lord Vaughan. Kita cuma nak adakan perdamaian antara Zythor dan Erkens. Sudah hampir lima dekad Zythor dan Erkens bermusuhan. Sampai bila kita nak lihat dua kerajaan ni berseteru?”

“ Itu cuma tipu daya mereka! Jangan tertipu, Lord Beaumont.”

“ Lord Vaughan, tolong jangan ikut emosi tuan. Perkara ni…”

“ Diam!”

Kedua-dua lelaki yang berada dalam lingkungan umur 40-an yang rancak bertikam lidah tadi terus terdiam apabila mendengar arahan yang keluar daripada mulut The 8th King of Zythor. Perhatian mereka tertumpu kepada King Arthur William de Zythor yang sedang duduk di singgahsana baginda. Wajah baginda kelihatan serius. Lord Beaumont mahu pun Lord Vaughan sudah tidak berani untuk mengatakan apa-apa.

“ Beta tak mahu ada pertelagahan dalam dewan ini!”

“ Maafkan kami berdua, tuanku,” Lord Beaumont bersuara. Lord Vaughan menundukkan wajahnya.

“ Raja baharu Kingdom of Erkens telah menghantar delegasi baginda untuk mengusulkan pendamaian antara Kingdom of Erkens dengan Kingdom of Zythor. Beta percaya kalian boleh fikirkan kebaikan usul ini,” tegas King Arthur. Wajah penguasa Zythor itu kelihatan tegang.

“ Tuanku percayakan kata-kata raja Erkens yang masih mentah itu?” Lord Vaughan bersuara.

King Arthur mematikan kata. Baginda terfikirkan raja baharu Kingdom of Erkens yang dilantik menggantikan mendiang The 9th King of Erkens. King Frederick Alandair de Erkens merupakan The 10th King of Erkens, kerajaan yang menjadi pesaing terbesar Kingdom of Zythor sejak awal penubuhan kedua-dua kerajaan besar dunia itu. King Frederick de Erkens baru sahaja memasuki usia 16 tahun pada hari pelantikan baginda, dua minggu selepas kemangkatan Raja yang terdahulu.

“ Izinkan patik untuk bercakap, tuanku,” Lord Beaumont memulakan bicara. Melihatkan anggukan King Arthur sebagai tanda membenarkan dia untuk terus melontarkan cadangan, Lord Beaumont tidak bertangguh lagi. Lord Vaughan memandangnnya dengan pandangan meluat.

“ Usul King Frederick amat bernas. Zythor dan Erkens boleh hentikan kesan The Great War lima puluh tahun dahulu kalau kedua-dua kerajaan bersetuju untuk berdamai. Malah, ini akan beri kebaikan kepada rakyat memandangkan ada rakyat Zythor yang terpisah dengan ahli keluarga mereka yang lari ke Erkens disebabkan perang itu.”

“ Maaf tuanku, tapi patik percaya tindakan rakyat yang lari ke Erkens masa peperangan itu boleh dikelaskan sebagai belot. Mereka patut dihukum bunuh!” Lord Vaughan mencelah kata. Wajahnya merah menahan amarah.

“ Tuanku, itu boleh buatkan rakyat benci kepada kerajaan tuanku. Tidak salah untuk kita berdamai dengan Erkens jika pendamaian itu boleh beri kesan positif kepada kita.” Lord Beaumont tidak mengalah dengan tekanan Lord Vaughan. Kata-katanya ditutur lembut tetapi berbaur tegas.

“ Buktinya kita boleh lihat beberapa usaha Erkens untuk berdamai dengan Zythor dalam beberapa tahun terakhir pemerintahan mendiang King Alston. Selepas The Great War 50 tahun dahulu, baik Zythor mahu pun Erkens sudah kembali pulih daripada kesan peperangan itu. Pada pendapat patik, ini masanya yang sesuai untuk tuanku sebagai Raja Zythor memulakan langkah berdamai dengan Raja Erkens untuk masa depan yang lebih baik demi kesejahteraan kerajaan dan rakyat Zythor.”

“ Tuanku…” Lord Vaughan cuba mencelah tetapi King Athur segera menghalangnya daripada bercakap.

“ Walaupun sudah 50 tahun berlalu, tapi beta masih boleh ingat dengan jelas bagaimana The Great War itu tercetus. Kesengsaraan rakyat, penderitaan mereka malah kehilangan harta benda. Beta bertuah kerana beta dilantik menjadi pemerintah kerajaan ini sewaktu Zythor sudah pulih seperti sedia kala, tapi beta percaya masih ada rakyat beta di luar sana yang hidup dalam bayangan peperangan itu.”

“ Sejarah mengajar kita untuk menghargai dan mempelajari apa yang pernah dilalui. Jika tidak, tidak mustahil untuk sejarah itu kembali lagi. Tapi ianya tidak bermakna kita perlu bermusuhan dengan kerajaan Erkens sampai bila-bila. Zythor boleh gunakan peluang ini untuk mengalih sejarah itu daripada jalan yang membuatkan kita sengsara kepada jalan yang lebih baik, yang lebih membahagiakan.”

“ Malah, seperti kata kamu Lord Beaumont, kita perlu ambil kira mengenai ahli keluarga di Zythor yang terpisah disebabkan peperangan itu. Beta percaya masih ada lagi yang hidup dalam bayangan peperangan tersebut, malah masih ada yang tinggal di Erkens kerana kesukaran untuk mereka kembali ke Zythor. Mereka boleh gunakan peluang ini untuk bertemu kembali sebelum nafas mereka yang terakhir. Beta tidak mahu sebuah keluarga terpisah selama-lamanya disebabkan ego dan sikap pentingkan diri kita. Beta percaya kamu semua faham niat beta.”

King Arthur menutup bicara. Lord Beaumont, Lord Vaughan dan beberapa orang lagi yang berada di dalam Dewan Utama itu tahu, keputusan baginda sudah muktamad. Baginda tidak akan bermesyuarat dengan ahli tertinggi kerajaan untuk membincangkan hal ini, ini adalah keputusan terus dan muktamad.

“ Lord Beaumont.”

King Arthur melihat kepada salah seorang pembantunya yang berdedikasi. Lord Beaumont tidak pernah menghampakan baginda. Lelaki itu tahu apa yang baginda perlukan, bukan sekadar melaksanakan permintaan baginda.

“ Ya, tuanku.”

“ Hantarkan jemputan untuk King Frederick untuk majlis makan malam pada malam esok. King Frederick akan menjadi tetamu kehormat Zythor. Arahkan dapur istana untuk menyediakan makan malam secara besar-besaran seperti majlis-majlis yang terdahulu. Beta serahkan perkara ini kepada kamu.”

“ Baiklah, tuanku. Jemputan akan dihantar kepada semua keluarga kenamaan. Patik akan berjumpa dan menyampaikan jemputan tuanku kepada King Frederick.”

“ Bersurai.”

Sebaik sahaja King Arthur berlalu dari Dewan Utama, Lord Beaumont cuba mendapatkan Lord Vaughan. Beliau tidak mahu lelaki yang tua beberapa tahun daripadanya itu salah anggap dengan cadangannya untuk berbaik-baik dengan Erkens. Mungkin Lord Vaughan sering kali tidak sebulu dengan dirinya, tetapi sebagai orang-orang bawahan King Arthur dalam menjalankan pentadbiran kerajaan ini, Lord Beaumont tidak mahu ada pertengkaran dengan Lord Vaughan.

Lord Beaumont berhenti melangkah apabila terperasan Lord Vaughan sedang merenung kepadanya. Beliau melihat sahaja renungan yang dihadiahkan oleh lelaki itu. Sarat dengan kebencian dan rasa meluat. Akhirnya Lord Beaumont membatalkan niatnya untuk bersemuka dan memujuk lelaki itu. Biarlah Lord Vaughan tenang terlebih dahulu.

Lord Beaumont segera pulang ke rumahnya. Beliau sudah berjanji untuk pulang awal dengan anak perempuannya. Tapi beliau perlu bersegera untuk menghantar jemputan kepada King Frederick dan delegasi baginda yang menetap di sebuah rumah agam yang berada di kawasan luar bandar. King Frederick menolak untuk tinggal di istana King Arthur, baginda ingin menikmati suasana di kawasan perkampungan yang masih terpelihara daripada bangunan-bangunan baharu di bandar.

“ Ayah!”

“ Lilia!”

Lord Beaumont memeluk anak gadisnya yang baru sahaja keluar dari dapur dengan sehelai apron tersarung pada tubuhnya. Rambut panjang perang keemasan anaknya diusap lembut. Lilianna yang berusia 14 tahun itu adalah satu-satunya anaknya bersama-sama mendiang isterinya yang sudah meninggal hampir 10 tahun yang lalu. Ophelia Beaumont meninggal dunia tidak lama selepas hari lahir Lilianna yang keempat. Mendiang isterinya itu mempunyai tubuh yang lemah sejak lahir lagi.

“ Nasib baik ayah balik awal. Kalau tak Lilia tak nak buat kek kegemaran ayah tu.”

Lord Beaumont ketawa. “ Bukankah ayah dah janji? Mana Nanny Sophie?”

“ Nanny kat dapur dengan Lilia. Ayah pergi berehat dulu, bila makan tengah hari dah siap Lilia panggil ayah, okey?”

“ Baiklah.”

Lilianna kembali ke dapur manakala Lord Beaumont menuju ke bilik kerjanya. Beliau ingin menyiapkan beberapa kerjanya sebelum bergerak untuk pergi menemui King Frederick. Surat jemputan akan disiapkan dalam masa yang terdekat ini. Lord Beaumont hanya perlu pergi menghantar jemputan itu.

Lord Beaumont pernah bertemu dengan King Frederick sewaktu awal ketibaan raja muda itu di Zythor beberapa hari yang lalu. Baginda datang ke istana untuk menyampaikan salam kepada King Arthur sebelum menyampaikan hasrat utama kedatangan baginda ke sini. Melalui pemerhatiannya, King Frederick adalah seorang raja yang berhati mulia dan mempunyai karismanya yang tersendiri walaupun raja itu masih tersangat muda. Pastinya dari kecil lagi raja muda itu diajar dengan segala jenis pendidikan untuk menjadi raja yang mampu memimpin kerajaan besar seperti Erkens.

Wajah Lord Vaughan yang dilihat sebelum beliau keluar dari Dewan Utama kembali menerjah minda. Lelaki itu melemparkan pandangan jengkel kepadanya. Lord Beaumont tahu, lelaki bangsawan itu sering kali tidak bersekufu dengannya. Entah mengapa, Lord Vaughan seakan-akan ada menyimpan dendam kepadanya. Beliau cuba untuk berbaik-baik tetapi Lord Vaughan itu tidak pernah mahu bekerjasama dengannya. Selama ini Lord Beaumont bersabar sahaja dengan karenah Lord Vaughan itu.

Mata Lord Beaumont singgah kepada sebingkai gambar yang berada di atas meja kerjanya. Seorang wanita jelita yang berambut panjang, ikal perang keemasan sedang tersenyum melihat kepada seorang bayi yang berada dalam dukungannya. Wajah itu menggambarkan perasaan gembira, teruja serta sayu pada masa yang sama. Bayi itu sedang lena dalam dukungan wanita jelita itu.

Ophelia. Mendiang isterinya dan juga ibu kepada Lilianna.

Lord Beaumont menarik senyum hambar. Beliau terpaksa menerima pemergian wanita itu sewaktu Lilianna masih kecil. Anak gadisnya membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Selepas melahirkan Lilianna, isterinya jatuh sakit berikutan tubuhnya yang sedia lemah. Walaupun doktor menasihatkan isterinya untuk tidak melahirkan Lilianna, tetapi isterinya berkeras untuk tidak menggugurkan kandungannya. Walaupun dia harus membayar dengan nyawanya sendiri.

Kepalanya digeleng perlahan. Lord Beaumont memulakan kerjanya. Tentu Ophelia akan membebel kalau wanita itu melihat dirinya yang sedang bertangguh untuk menyelesaikan sesuatu urusan. Lord Beaumont menarik senyum lalu ketawa perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience