Chapter 18

Other Completed 4791

BAB 18

PADA waktu malam keesokannya, Lilianna dan Handrien kembali ke bilik urusan Prince Neirin untuk menyambung perbincangan mereka sebelum ini. Memandangkan pada waktu siang Lilianna akan ke sana sini semata-mata untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil daripada kerajaan Erkens dan Prince Neirin sendiri sibuk dengan pelbagai jenis urusan diraja, mereka hanya dapat bertemu pada waktu malam.

“ Beta ada titah terbaharu daripada ayahanda beta,” ujar Prince Neirin sebaik sahaja Lilianna dan Handrien mengambil tempat duduk masing-masing.

“ Memandangkan sudah lama ayahanda gering dan tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai raja, ayahanda beta berhasrat untuk memberikan takhta kerajaan Zythor kepada beta.”

“ Itu satu berita yang baik,” kata Handrien. “ Adakah tarikh sudah ditetapkan?”

Prince Neirin mengangguk. “ Majlis pertabalan itu akan diadakan dalam tempoh dua minggu dari sekarang. House of Lords sendiri sudah tahu kerana ayahanda beta memanggil kesemua mereka untuk memaklumkan perkara itu. Walaupun beta tahu, ada sedikit pertelingkahan pendapat berlaku tadi.”

“ Bagaimana pula dengan Lord Vaughan?” Lilianna membuka mulut. “ Adakah beliau membantah?”

“ Beliau antara orang yang lantang bersuara mengatakan beta masih tidak layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai raja kerajaan Zythor. Beliau mengatakan masih banyak perkara perlu dipelajari oleh beta sebelum beta bersedia untuk memimpin kerajaan ini.”

“ Tapi patik fikir King Arthur tidak mendengar bantahannya?” tanya Handrien.

“ Ya. Keputusan ayahanda beta sudah muktamad dan baginda mahu beta bersedia untuk upacara pentabalan itu.”

“ Baguslah. Kalau macam ni, makin mudahlah usaha tuanku untuk membuktikan kegiatan haram mereka. Tahniah, tuanku,” ucap Lilianna gembira. Apabila Prince Neirin sudah bergelar raja, sukarlah untuk Lord Vaughan dan pengikutnya membantah titah raja baharu Zythor itu.

“ Tapi kita tak boleh duduk dengan tenang lagi,” kata Handrien. “ Tidak mustahil Lord Vaughan ada rancangan untuk menangguhkan upacara itu, atau lebih teruk lagi, membatalkannya terus.”

“ Maksud awak…” Lilianna melihat kepada Handrien. “ Sesuatu seperti pemberontakan?”

“ Tak ada salahnya dengan apa yang Lord Handrien nyatakan,” Prince Neirin bersetuju.

“ Kalau macam tu kita perlu perhatikan pergerakan Lord Vaughan dan pengikutnya dengan lebih giat lagi. Bagaimana pula dengan siasatan tuanku? Adakah Encik Simmons sudah ditemui?”

Handrien merenung pada wajah putera muda itu. Walaupun usia mereka sebaya tetapi Handrien yakin lelaki itu mampu menjadi pemimpin Zythor yang baik. Lihat sahaja Frederick yang muda setahun daripada mereka berdua. Sudah banyak perkara Frederick lakukan untuk mengukuhkan lagi ekonomi Erkens dan juga kebajikan rakyatnya, tidak kira golongan bangsawan atau pun golongan kebanyakan. Sama seperti Frederick, Prince Neirin mempunyai potensi untuk mengharumkan lagi nama Kingdom of Zythor.

“ Pada esok pagi beta akan berangkat ke Sherside. Perjalanan ke sana boleh memakan masa selama dua hari jika beta menggunakan kereta kuda. Untuk menjimatkan masa, beta akan menggunakan laluan singkat untuk ke sana. Dijangkakan perjalanan itu akan mengambil masa selama satu hari setengah sahaja jika tiada halangan. Untuk mengelak daripada diekori, beta akan bertolak sebelum matahari terbit.”

“ Di manakah laluan singkat itu?”

“ Melalui sebuah kawasan pergunungan. Tidak ramai orang menggunakan laluan itu kerana laluannya berliku dan sempit. Hanya dua kuda sahaja yang boleh melalui laluan itu dalam satu-satu masa secara beriringan. Jadi beta tidak akan menggunakan kereta kuda.”

“ Ada pengiring tuankukah?” Lilianna bertanya. Tidak dapat membayangkan laluan sempit di kawasan pergunungan seperti mana yang disebutkan oleh Prince Neirin. Pastinya suatu perjalanan yang membahayakan.

“ Akan ada dua orang pengawal kepercayaan beta ikut sama. Leon akan kekal di sini untuk memerhatikan Lord Vaughan, memastikan tiada perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam tempoh masa ketiadaan beta.”

“ Berapa lama tuanku akan berada di Sherside?”

Lilianna mula tidak senang duduk. Sejak pagi tadi lagi dia berasa tidak sedap hati. Jantungnya berdebar-debar sahaja, seakan-akan memberi amaran akan berlaku sesuatu tidak lama lagi. Sudahlah majlis semalam kecoh apabila mereka yang mengenali mendiang bapanya terkejut dengan kemunculan dirinya selepas lima tahun berlalu, apatah lagi apabila Prince Neirin mengumumkan bahawa dia adalah bakal permaisuri kerajaan ini.

“ Beta akan cuba singkatkan masa beta berada di sana. Leon akan tolong cik sepanjang ketiadaan beta. Hubungi dia jika cik ada masalah.”

“ Baiklah. Patik harap tuanku berhati-hati, macam-macam perkara boleh jadi.”

Prince Neirin meletakkan sekeping kertas di atas meja. Perhatian Lilianna dan Handrien tertumpu kepada kertas itu.

“ Kita tutup dahulu pasal pemergian beta ke Sherside. Beta nak tunjukkan surat ini kepada kamu berdua.”

“ Surat layang yang terbaru?” Handrien cepat meneka.

“ Betul. Beta temui surat ini selepas kamu berdua keluar pada malam perbincangan kita kelmarin. Maaf, beta tak beritahu kamu berdua dengan segera.”

“ Tak apa, tuanku,” balas Lilianna. “ Lagi pun semalam kita sudah sibuk dengan majlis tarian itu. Apakah isi surat ini? Petunjuk baharu?”

“ Bacalah.”

Handrien mengambil surat itu. Lipatan surat tersebut dibuka. Tulisan yang sama tertera pada surat tersebut. Lilianna turut membaca kandungan pada kertas itu. Dahinya berkerut.

Apa yang tuanku sedang siasat sekarang ini hanya berpunca daripada orang yang sama.

“ Orang yang sama?” Lilianna melihat kepada Prince Neirin. “ Adakah dia maksudkan…”

“ Lord Vaughan,” Handrien mendesis. Surat itu renyuk kerana Handrien menggengam kuat tangannya.

“ Apa?” Pandangan Lilianna beralih kepada Handrien. “ Tak… takkanlah…”

“ Setakat ini isi surat-surat yang kita terima tidak sukar untuk kita rungkaikan maksudnya. Pengirim surat ini menggunakan petunjuk yang mudah untuk kita fahami. Kalaulah betul apa yang kita fikirkan sama dengan maksud sebenar yang ingin pengirim ini beritahu, suspek utama kita adalah Lord Vaughan,” Prince Neirin bersuara tenang. Baginda tidak mahu membuatkan Lilianna semakin tidak keruan. “ Jadi, Lord Vaughan berkemungkinan besar terlibat dengan kes bapa kamu, Lady Lilianna.”

Lilianna menarik nafas panjang lalu dihembus perlahan. Kedua-dua tangannya diletak rapat di atas ribanya. Matanya dipejamkan lama. Mindanya memfokuskan kepada perkara yang akan membuatkan dia berasa tenang. Spontan tangan kanannya bergerak, memegang loket rantai pemberian bapanya. Rantai yang tak akan sesekali ditanggalkan olehnya.

“ Ada apa-apakah yang tuanku tahu pasal Lord Vaughan yang melibatkan bapa patik?” Lilianna membuka matanya, melihat terus kepada mata biru Prince Neirin.

“ Berdasarkan maklumat yang beta dapat, hubungan di antara Lord Beaumont dan Lord Vaughan tak berapa baik. Pendapat mereka berdua selalu bercanggah. Walaupun dalam kebanyakan perkara Lord Beaumont tidak bersetuju dengan Lord Vaughan, tapi orang yang bekerja bersama-sama mereka kata Lord Beaumont akan bertolak ansur juga dengan Lord Vaughan. Lord Vaughan sahaja yang selalu memarahi Lord Beaumont, menganggap Lord Beaumont menghinanya jika Lord Beaumont bersikap baik dengannya.”

“ Perlukah Lord Vaughan bermusuh dengan Lord Beaumont jika Lord Beaumont berbuat baik dengannya? Lainlah kalau Lord Beaumont sendiri memilih untuk bermusuh dengan Lord Vaughan.” Handrien menyuarakah pendapatnya. Surat yang sudah renyuk itu diletakkan di atas meja. Handrien tidak peduli langsung untuk cuba meratakan surat itu kembali.

“ Lord Vaughan terkenal dengan sikap panas barannya, malah beliau juga tidak suka cakapnya dibantah. Orang bawahan mereka berdua kata, Lord Vaughan selalu melepaskan kemarahannya kepada pekerja-pekerjanya setiap kali selepas beliau berselisih pendapat dengan Lord Beaumont. Mereka sendiri tidak tahu kenapa Lord Vaughan tidak boleh sependapat dengan Lord Beaumont.”

“ Bagaimana jika ada sesuatu yang kita tidak tahu pasal mereka berdua?” Handrien terus bertanya. “ Yalah, jika Lord Vaughan selalu tidak bersetuju dengan Lord Beaumont, tentu ada perkara pernah berlaku di antara mereka berdua.”

“ Kita perlu siasat dengan lebih mendalam lagi. Lady Lilianna, pernahkah bapa cik ceritakan pasal hubungannya dengan Lord Vaughan?”

Lilianna menggeleng perlahan. Matanya melekat pada gubahan bunga yang terletak di atas meja kopi itu. “ Bapa patik jarang bercerita pasal kerjanya. Mungkin ada sekali dua bapa menyebut nama Lord Vaughan tapi maaf, tuanku, patik lupa.”

“ Tak mengapalah. Kita akan dapat tahu juga suatu hari nanti,” balas Prince Neirin. Baginda tidak mahu menekan perasaan gadis itu. Risau sekiranya Lilianna akan memberi reaksi yang tidak sepatutnya.

“ Maafkan patik, tuanku. Tapi sebenarnya ada satu soalan yang dah lama patik fikirkan tapi malangnya tidak sempat tanyakan pada tuanku,” Handrien kembali bersuara.

“ Ada apa, Lord Handrien?”

“ Pasal surat-surat layang yang tuanku terima,” Handrien menunjuk kepada surat terbaharu yang diterima Prince Neirin. “ Sejak tuanku beritahu tuanku jumpa surat pertama di dalam kamar peribadi tuanku, patik tertanya-tanya. Bagaimana dengan kawalan di bangunan tempat kamar peribadi tuanku ditempatkan? Kenapa mudah sangat pengirim surat itu masuk ke dalam kamar peribadi tuanku dan meletakkan di bawah bantal. Tuanku ada syak sesiapa?”

“ Hanya pembantu yang berada bawah beta sejak kecil sahaja dibenarkan keluar masuk kamar itu untuk mengemas. Malah pengawal bangunan itu juga orang-orang yang sudah lama beta kenal. Sukar untuk syak sesiapa sebab beta kenal mereka sejak kecil, beta anggap mereka lebih daripada orang bawahan.”

“ Kalaulah pengirim ini bukannya dalam kalangan mereka, dia bukannya calang-calang orang. Kalau dia menyelinap masuk tanpa disedari sesiapa, maksudnya dia mahir dalam seni mempertahankan diri. Apatah lagi dia sudah menghilangkan diri ketika tuanku pergi ke Beaumont Manor House. Dalam kes surat yang ketiga, ianya bukan perkara besar kerana kamar mandi pekerja itu dipenuhi dengan orang. Tetapi untuk surat yang keempat, siapa lagi yang tuanku benarkan masuk dalam bilik ini?”

“ Hanya Leon dan beberapa orang pekerja yang lain. Bilik ini akan sentiasa dikunci jika beta tiada di sini. Beta dan Leon sahaja pemegang kunci bilik ini.”

“ Ada pengawalkah untuk bilik ini?” Handrien cuba mengingati keadaan di luar bilik kerja Prince Neirin ini. Seingatnya tiada pengawal berdekatan dengan bilik ini.

Prince Neirin menggeleng. “ Dahulu ada, tapi sebab beta kunci bilik ini jadi beta pindahkan pengawal kepada posisi yang lain.”

Handrien melihat kepada tingkap bilik itu yang terbuka. Angin malam memasuki ruang bilik ini, menyejukkan suasana. “ Bagaimana dengan tingkap itu? Adakah tuanku selalu biarkannya terbuka?”

“ Itu…” Prince Neirin bangun daripada sofa yang didudukinya. Baginda berjalan mendekati tingkap itu. “ Selalunya beta buka sebelah tingkap sahaja untuk biarkan pengaliran udara berjalan dengan baik. Kamu fikir pengirim itu masuk melalui tingkapkah?”

“ Boleh jadi.” Handrien turut meninggalkan tempat duduknya. Dia meneliti tingkap panjang itu sebelum menjengukkan kepalanya ke luar tingkap. Matanya meliar memerhatikan kawasan di luar tingkap tersebut. Handrien kembali berdiri tegak, kepalanya mendongak melihat ke hujung bingkai tingkap itu.

“ Walaupun tuanku buka sebelah sahaja, pengirim itu boleh melaluinya tanpa membuka bahagian yang tidak dibuka. Patik percaya pengirim itu seorang yang kurus, dia boleh melalui tingkap ini.”

“ Tapi bagaimana dengan kedudukan tingkap ini? Bilik ini terletak di tingkat tiga,” soal Prince Neirin.

“ Tak jadi masalah,” jawab Handrien mudah. “ Di bahagian bawah bilik ini memang tiada apa-apa yang boleh dijadikan pemegang. Pengirim itu mungkin berjalan di atas titian itu,” Handrien menunjukkan kepada titian sempit yang melekat pada dinding bangunan itu. Ada hiasan berbentuk lingkaran pada permukaan titi batu tersebut. “ Dengan merapatkan badannya pada dinding dan berjalan dengan tumpuan pada ibu jari kakinya, dia boleh berjalan ke sini dan berpaut pada tingkap ini. Tapi cara itu agak bahaya, jika tersilap langkah pengirim itu boleh terjatuh.”

“ Ada cara lain yang lebih memudahkan? Beta tak fikir pengirim itu sanggup bergadai nyawa semata-mata untuk letakkan surat ini dalam bilik ini.”

“ Dia boleh gunakan cangkuk dan panjat menggunakan tali, tapi tindakannya harus cepat untuk mengelak daripada dinampak oleh pengawal. Atau, senang kata dia ada kunci bilik ini.”

“ Ada kunci bilik?” Prince Neirin tergamam. “ Ada kemungkinan dia guna alat untuk pecah masuk dalam bilik ini juga kan selain daripada mempunyai kunci pendua?”

Handrien mengangguk. “ Ada kemungkinan juga. Tambahan lagi tiada pengawal di bilik ini, mudahlah urusannya.”

Prince Neirin mengeluh, baginda berdiri berpeluk tubuh. “ Beta teringin sangat nak jumpa siapa pengirim itu. Kadang kala rasa nak ketawa pun ada bila fikirkan bagaimana dia bersusah payah guna cara yang susah untuk sampaikan surat ini. Beta pernah juga terima surat layang, tapi kebanyakan surat itu diberikan pada pengawal untuk disampaikan pada beta. Atau pekerja yang menemuinya akan memberi kepada beta.”

“ Kita boleh anggap pengirim itu mahu maklumat pasal surat itu kekal sulit, hanya diketahui oleh tuanku dan orang kepercayaan tuanku sahaja.”

“ Kalau macam tu… besar kemungkinan dia memang tahu apakah yang berlaku di antara Lord Beaumont dan Lord Vaughan serta pemberontakan di sempadan Erkens dahulu.”

“ Ya.”

Mereka berdua mendiamkan diri. Riak pada wajah kedua-duanya menunjukkan mereka sedang berfikir mengenai misteri di sebalik surat-surat tersebut dan juga pengetahuan yang dimiliki oleh si pengirim surat. Barangkali juga melibatkan strategi untuk memastikan segala kegiatan haram Lord Vaughan berjaya dibongkarkan. Kedua-dua mereka lupa bahawa mereka tidak berdua sahaja di dalam bilik itu sejak masing-masing sibuk membicarakan pasal si pengirim surat.

“ Tuanku, Handrien!”

Kedua-duanya tersentak daripada lautan fikiran masing-masing apabila suara Lilianna sedikit meninggi daripada kebiasaan singgah di cuping telinga. Serentak mereka melihat kepada Lilianna yang masih duduk di sofa. Wajah Lilianna kelihatan sedikit merah, begitu juga dengan sepasang mata miliknya.

“ Boleh tuanku beritahu apa maksud tuanku yang mayat bapa patik tidak ditemui?” laju Lilianna bercakap, seperti takut Prince Neirin akan menyuruhnya untuk tidak menyentuh pasal perkara tersebut.

“ Pasal itu…” Prince Neirin mengeluh. Baginda terlupa untuk membuka kembali topik itu. “ Pada awal kes itu berlaku, pakar bedah diraja sendiri buat autopsi untuk mayat-mayat yang terlibat dalam kebakaran tersebut. Kebanyakannya hangus terbakar tetapi masih boleh dicam. Lord Harvey, pakar bedah diraja tersebut, mengatakan tiada seorang pun di antara mayat itu mempunyai kesan patah pada kaki kanan mereka. Mengikut rekod kesihatan Lord Beaumont, kaki kanannya pernah patah dan ketika kejadian kebakaran itu berlaku, Lord Harvey baru sahaja mengesahkan patah pada kaki Lord Beaumont baru pulih selama seminggu. Jadi Lord Harvey memutuskan mayat Lord Beaumont tidak termasuk dengan mayat-mayat lain yang ditemui.”

“ Ayah patik…” Lilianna menelan liur. “ Langsung tidak dijumpai?”

Prince Neirin mengangguk. “ Kita tidak tahu sama ada Lord Beaumont dilarikan oleh penjenayah itu atau beliau sendiri melarikan diri. Tapi menurut kamu,” Prince Neirin melihat pada wajah pucat gadis itu. “ Lord Beaumont cedera teruk, kan?”

Teragak-agak Lilianna mengangguk. Imbasan malam itu kembali menerjah mindanya. Lilianna tidak akan sesekali lupa bagaimanakah keadaan bapanya pada malam itu. Muntah darah keluar daripada bibir bapanya yang pastinya sudah membiru pada ketika itu. Kecederaan pada tubuh itu tidak membenarkan bapanya berdiri walaupun untuk sesaat.

“ Jangan risau, Lilianna,” Handrien mendekati Lilianna yang kaku di sofa tersebut. Sebelah tangannya diletakkan atas bahu gadis itu. “ Sebaik sahaja kita selesaikan kes ini, berjaya cari Encik Simmons dan pengirim surat itu, kita akan tahu apakah yang berlaku pada bapa awak pada malam itu.

Lilianna mengangguk lemah. Bibirnya diketap kuat. Sedaya upaya dia menahan diri daripada mengalirkan air mata. Dikuatkan hatinya untuk tidak menangis lagi. Dia perlu kuat jika dia mahu meneruskan siasatan kes bapanya ini. Masih banyak kejutan akan diterima olehnya.

“ Kita bersurai dahulu untuk malam ini,” putus Prince Neirin. Kasihan baginda melihat wajah gadis itu.

“ Baiklah.” Handrien membantu Lilianna untuk berdiri. “ Terima kasih, tuanku.”

Handrien memegang lengan Lilianna. Gadis itu menunduk sahaja merenung lantai.

“ Semoga perjalanan tuanku pada pagi esok berjalan lancar,” ucap Handrien. “ Berhati-hati.”

“ Terima kasih, Lord Handrien. Jika ada apa-apa masalah, segera dapatkan Leon. Kamu juga, jaga Lady Lilianna baik-baik. Kita tidak tahu berapa banyak mata sedang memerhatikannya.”

Handrien menarik senyum. “ Jangan risau. Patik tak akan pergi jauh daripada Lady Lilianna. Selamat malam, tuanku.”

“ Selamat malam.”

Perlahan sahaja langkah Handrien meninggalkan bilik itu, mengikut rentak kaki Lilianna. Sepanjang perjalanan mereka pulang ke kamar masing-masing, tiada sepatah kata pun bertukar di antara mereka.

MATA Lord Vaughan melekat pada kertas yang tersusun sebelah menyebelah di atas meja kerjanya. Wajahnya merah padam menahan perasaan marah. Sejak akhir-akhir ini setiap perkara yang berlaku akan menaikkan suhu tubuhnya. Daripada kegagalan anak gadisnya terpilih untuk menjadi bakal permaisuri terbaharu Zythor, keputusan King Arthur untuk menyerahkan takhtanya kepada Prince Neirin dalam masa dua minggu lagi yang sepatutnya ditabalkan pada hari keputeraannya tiga bulan dari sekarang sehinggalah kemunculan mengejut anak gadis musuhnya yang sepatutnya sudah lama lenyap di muka bumi ini.

Lord Vaughan masih dapat mengawal kemarahannya ketika gadis yang terpilih walaupun sakan juga amukan dia pada hari itu, tetapi apabila mendapat berita bahawa King Arthur ingin mempercepatkan pertabalan Prince Neirin dan juga mendapat tahu anak kandung Lord Beaumont masih hidup, dia tidak dapat mengawal dirinya lagi.

Baginya mereka sengaja mahu mencabar kesabarannya selama ini. Dia tidak akan berdiam diri lagi. Dia harus melakukan sesuatu untuk membatalkan upacara pertabalan itu. Jika tidak, kedudukannya akan terancam kerana Lord Vaughan tahu, Prince Neirin tidak akan menggunakan cara yang halus lagi untuk menyiasat segala kegiatan haramnya selama ini. Silap hari bulan, dia dibuang negara. Merempat tanpa pangkat dan darjatnya.

“ Macam mana anak dia masih boleh hidup?” Lord Vaughan mendesis, menahan marah. Wajah Klaus yang kosong tanpa ekpresi direnung tajam.

Klaus tidak bersuara, matanya melihat sahaja kepada wajah Lord Vaughan.

“ Bukankah semua orang di rumah itu dibunuh pada malam itu?” Nada suara Lord Vaughan kian meninggi tetapi sedikit pun tidak menggugat perasaan Klaus. Pandangan matanya dingin seperti ais.

“ Gadis itu cedera parah pada malam itu,” ujar Klaus.

“ Tapi kenapa dia tak mati?” Lord Vaughan membentak. “ Kenapa? Aku dah arahkan kau uruskan mereka semua! Kenapa dia boleh terlepas?”

“ Saya boleh uruskan dia.”

Lord Vaughan menumbuk permukaan meja kerjanya. Vas kecil yang berada di hujung meja itu jatuh di atas lantai, menyerakkan kaca yang pecah. Lord Vaughan melihat kembali kepada kertas yang tersusun tadi. Semua jenis maklumat mengenai anak gadis Lord Beaumont yang masih hidup itu tercatat di atas kertas tersebut.

Sukar untuknya terus menghapuskan gadis itu. Apatah lagi gadis itu datang ke sini sebagai wakil diplomat Kingdom of Erkens. Dengan mengapa-apakan gadis itu bermaksud mengundang persengketaan dengan Erkens. Apatah lagi mengikut maklumat daripada penyiasatnya, Lilianna kini adalah ahli keluarga Moyes, sebuah keluarga bangsawan yang bertaraf paling elit di antara kesemua keluarga bangsawan di Erkens. Bukan calang-calang orang gadis itu sekarang. Jika dia bertindak melulu, besar kemungkinan namanya akan dilibatkan sama sekali.

“ Hapuskan gadis itu memang penting tapi…” Lord Vaughan merenung tajam pada wajah dingin Klaus, “…yang paling penting sekarang adalah gerakkan semua pemberontak bawah kita. Kita perlu cari jalan untuk batalkan upacara itu. Lagi baik, kalau anak Beaumont mati dalam pemberontakan. Sekurang-kurangnya Erkens tidak dapat menunding jari pada kita secara membuta tuli. Pastikan kematian itu nampak seperti kemalangan.”

“ Apa yang tuan mahu saya lakukan sekarang?”

“ Mulai esok, perhatikan anak Beaumont dan…” Lord Vaughan menyeringai, “ …takutkan dia. Arahkan seseorang pergi urusankan sasaran kita yang itu.”

“ Baiklah.”

Klaus membongkok untuk memberi tunduk hormat kepada Lord Vaughan sebelum membuka langkah untuk meninggalkan bilik itu. Dia tidak perlu bertanya dengan lebih lanjut kepada lelaki itu. Klaus tahu apakah yang perlu dia lakukan terhadap gadis itu.

LILIANNA mengiring tubuhnya menghadap tingkap. Anak bulan bersembunyi di balik awan. Pastinya suasana di luar gelap lantaran cahaya bulan yang terhad. Matanya melihat kepada setiap biji bintang yang mampu dilihat pada dada langit. Berkelip-kelip matanya merenung bintang-bintang tersebut.

Sejak pulang dari bilik kerja Prince Neirin, hati Lilianna tidak keruan. Tidak sudah-sudah dia memikirkan apa yang putera itu katakan kepadanya tadi. Lilianna tidak dapat mempercayai sepenuhnya berita itu. Jika mayat bapanya tidak ditemui, mayat siapa yang berada dalam kubur bapanya? Lilianna tidak pernah melawat kubur bapanya kerana dia tidak punya kekuatan untuk menjejakkan kaki di sana tetapi Handrien membantunya dengan pergi meletakkan bunga ros putih di kubur ibu dan bapanya.

Salahkah dia untuk berharap bapanya masih hidup? Bersembunyi di mana-mana sahaja asalkan tidak ditemui musuh bapanya.

Bermula saat ini, Lilianna tidak akan dapat melihat Lord Vaughan dengan senyuman lagi. Jika benar lelaki itu adalah dalang di sebalik pembunuhan bapanya, Lilianna tidak akan teragak-agak untuk menumpaskan lelaki itu. Dia mahu Lord Vaughan mendapat balasan yang setimpal dengan semua kejahatan yang dia lakukan selama ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience